Ahad, 28 Julai 2013

CATATAN 17 RAMADHAN 1434

Di Malaysia, 17 Ramadhan diraikan sebagai ulangtahun permulaan penurunan Al-Quran ke dunia untuk menjadi panduan kepada umat manusia. Sesetengah negeri menjadikan hari ini cuti umum termasuklah Selangor. Seperti kebiasaan, bandaraya Kuala Lumpur akan menjadi sesak kerana warga Selangor yang bercuti pada hari ini akan berpusu-pusu ke kompleks membeli-belah untuk 'shopping' hari raya yang bakal menjelang tak berapa lama lagi. 

Setelah 17 hari dalam Ramadhan, banyak peristiwa dan isu yang timbul dan menjadi perbualan ramai orang di Malaysia. Dari isu murid-murid makan dalam tandas, blogger alvivi yang menghina agama, pemwartaan haram Syiah di Kedah, penjagaan anak antara ibubapa yang Muslim dan belum Islam serta peguatkuasaan fatwa larangan orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik. Banyak pandangan diberikan ada yang liberal dan ada yang bersifat perkauman. Kadang-kadang membaca pandangan-pandangan tersebut walaupun datang daripada kalangan yang kononya 'cerdik' tetapi amat melucukan. Antara yang lucu bagi saya adalah nasihat yang diberikan kepada ulama' agar membuka pemikiran dan melihat pertandingan ratu cantik sebagai satu pertandingan menghargai kecantikan wanita yang dianugerah oleh Allah.  Pandangan seperti ini menunjukkan betapa pemikiran sebahagian kita yang telah dipengaruhi oleh sekular dan liberal.
 
Bulan Ramadhan sewajarnya bulan untuk lebih sabar dan menjadi pemaaaf tetapi banyak isu yang dibangkitkan sebenarnya lebih kepada rasa perkauman. Isu blogger yang menghina logo halal JAKIM dan tidak sensitif kepada perasaan orang Islam di Malaysia dan isu murid-murid makan dalam tandas adalah antara yang saya rasa sengaja dihangatkan kerana tujuan tertentu. Jika diteliti isu-isu tersebut sebenarnya tidak perlu menjadi bahan jualan media daripada awal lagi. Saya tidak berminat dan berniat untuk mengulas perkara-perkara tersebut lagi.
 
Sebaiknya dalam saki-baki Ramadhan yang masih tinggal ini, kita sibukkan diri untuk mencari keredhaan Allah dan kelebihan yang diberikan antaranya malam al-Qadr. Sementara itu saya tidak berapa bersetuju dengan ungkapan yang mengatakan bahawa sembahyang terawih hanya di bulan Ramadhan dan selepas ini tiada lagi terawih. Jika yang dimaksudkan dengan tiadanya terawih tersebut ialah pahala yang diberikan berganda tiada di bulan lain atau tidak disyariatkan sembahyang sunat malam secara berjemaah di masjid pada malam selain bulan Ramadhan, itu adalah tepat. Hakikatnya sembahyang malam samada dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan masih disyariatkan sebagaimana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a seperti berikut:
 
ما كان يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة
"Tidak Rasulullah sembahyang melebihi 11 rakaat samada dalam bulan Ramadhan atau selainnya"
- Hadith Bukhari
 
Sembahyang malam pada bulan Ramadhan dinamakan Terawih (bukan oleh Rasulullah) adalah disebabkan keadaan solat tersebut yang panjang sehinggakan setelah habis antara dua rakaat solat, maka Rasulullah berhenti rehat sementara melepaskan penat sebelum menyambung dua rakaat seterusnya. Tetapi sembahyang malam atau menghuidupkan malam (qiamulllail) adalah disyariatkan sepanjang tahun. Cumanya Ramadhan adalah madrasah tarbiyah di mana ganjarannya bergandan dan dilakukan secara berjemaah untuk latihan agar selepas Ramadhan dapat diteruskan secara solat bersendirian pula. Semoga kita memperolehi rahmat daripada Allah sehingga dikurnia-Nya kelebihan Malam al-Qadr.
 
Wallahu 'alam
 

Jumaat, 19 Julai 2013

CATATAN 8 RAMADHAN 1434

Pada bulan Ramadhan sudah menjadi kebiasaan pelbagai kain rentang digantung di merata-rata tempat dengan pelbagai ucapan bertujuan meraikan bulan tersebut. Baru-baru ini ada seorang sahabat hubungi dan bertanya tentang status kononnya hadith yang bermaksud sabar itu separuh daripada iman. Tujuannya adalah untuk ditulis perkataan berkenaan di kain rentang. Usaha sahabat saya tersebut yang memeriksa terlebih dahulu sebelum menyandarkan perkataan tersebut kepada Rasulullah amat terpuji. 

Memang kata-kata tersebut amat masyhur di kalangan orang ramai. Ada yang menyandarkan kata-kata tersebut kepada nabi sallalahu alaihi wasallam dan ada yang cuma menyebutkan kata-kata tersebut apabila menasihatkan orang yang sedang marah atau merungut tentang sesuatu. Benarkah ia sabda Nabi atau benarkah fakta yang disampaikan? Dalam kita menyandarkan apa-apa perkataan kepada Rasulullah sallalahu alaihi wasallam hendaklah kita ingat kepada peringatan baginda:

إن كذبا علي ليس ككذب على أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
   "Penipuan atasku tidak sama seperti penipuan atas seseorang (dari kalangan kamu). Sesiapa yang menipu atasku secara sengaja maka tempahlah tempat duduknya daripada api neraka."- Riwayat Bukhari

Banyak hadith-hadith yang disampaikan berkenaan bulan Ramadhan oleh para ustaz tidak diteliti kesahihannya terlebih dahulu. Saya ada mendengar satu ceramah Ramadhan yang disampaikan oleh seorang ustaz baru-baru ini, pelbagai ucapan yang sebenarnya bukan daripada Rasulullah disandarkan kepada Rasulullah. Antaranya seperti sebahagian daripada bait syair Imam Syafie ra:

فكم من صحيح مات من غير علة *** وكم من سقيم عاش حينا من الدهر.

“Berapa ramai yang sihat tetapi mati tanpa sebab#
                            Dan berapa ramai yang sakit tetapi hidup lama kemudiannya.”

Alangkah baiknya kalaulah kita tidak tahu bahawa sesuatu itu hadith atau bukan, kita hanya menyebutkan ia sebagai kata-kata hukama'. Itu adalah lebih selamat pada pandangan saya.

Berbalik kepada ucapan sabar separuh daripada iman, setelah dilakukan pencarian serba sedikit saya menjumpai bahawa perkataan tersebut sebenarnya adalah daripada Abdullah Bin Mas'ud. Atsar tersebut ada diriwayatkan antaranya oleh Al-Hakim dalam Mustadraknya seperti berikut:
أخبرنا أبو زكريا العنبري ، ثنا محمد بن عبد السلام ، ثنا إسحاق ، أنبأ جرير ، عن الأعمش ، عن أبي ظبيان قال : كنا نعرض المصاحف عند علقمة فقرأ هذه الآية : " إن في ذلك لآيات للموقنين " فقال : قال عبد الله : اليقين الإيمان كله وقرأ هذه الآية : " إن في ذلك لآيات لكل صبار شكور " قال : فقال عبد الله : " الصبر نصف الإيمان " . " هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه

Diriwayatkan kepada kami oleh Abu Zakaria Al-Anbari, daripada Muhammad Bin Abdul Salam, daripada Ishak, daripada Jarir, daripada A'mash, daripada Abi Zibyan katanya: Kami membentangkan mashaf-mashaf di sisi Alqamah maka dia membaca ayat ini: (Sesungguhnya di dalam perkara itu terdapat tanda-tanda untuk orang yang yakin) perawi kemudian berkata: Abdullah berkata: Yakin adalah Iman keseluruhannya dan dia membaca ayat ini (Sesungguhnya dalam perkara tersebut terdapat tanda-tanda untuk setiap orang yang sabar dan bersyukur), perawi berkata: Maka Abdullah berkata: "Sabar itu adalah separuh daripada Iman". Kata al-Hakim hadith ini sahih isnad dan tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim.

Jadi saya telah menasihatkan sahabat saya tersebut agar menyandarkan perkataan tersebut kepada Abdullah Bin Mas'ud. Walau bagaimanapun saya kemudiannya mendapati bahawa Imam Al-Ghazzali pula di dalam kitab Ihya' beliau  ketika membicarakan tentang puasa dan mengatakan bahawa puasa adalah 1/4 daripada Iman membawakan satu hadith bahawa Rasulullah bersabda:
الصوم نصف الصبر
"Puasa adalah separuh daripada sabar"
- diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibn Majah. Tirmizi mengatakan hadith ini hassa.
Kemudian beliau membawakan hadith bahawa Rasulullah bersabda :
الصبر نصف الإيمان
                                      “Sabar separuh daripada Iman”

Al-Iraqi mentakhrijkan hadith tersebut diriwayatkan oleh Abu Nuaim di dalam Hilyah dan Khatib Al-Baghdadi dalam Kitab Tarikh daripada hadith Ibn Mas'ud dan beliau mengatakan sanadnya Hassan. tetapi status hadith tersebut dipertikaikan antaranya oleh Al-Albani. Imam Al-Bukhari pula membawakan secara ta'liq di dalam sahih beliau perkataan Abdullah Ibn Mas'ud yang hampir sama dengan ucapan tersebut iaituالصبر شطر الإيمان واليقين الإيمان كله. 

Setelah diteliti semua ini, yang pasti perkataan tersebut sekurang-kurangnya adalah hassan jika tidak sampai sahih daripada Abdullah Bin Mas'ud. Malah para salaf sentiasa mengungkapkan  bahawa Sabar adalah separuh daripada Iman. Walau apa pun,  maksud ucapan tersebut adalah yang lebih penting untuk kita hayati. Sabar senang diungkap melalui perkataan tetapi sukar diamalkan kecuali mereka yang telah diuji sendiri. Saya pada 5 Ramadhan lalu diuji Allah dengan demam yang sedikit tetapi terasa amat pedih sekali, lebih-lebih lagi ketika itu berpuasa. Akibat demam sudah tidak mampu solat berjemaah dan solat Terawaih. Tetapi saudara-saudara kita di Mesir, Bangladesh dan Syria diuji dengan ujian yang lagi besar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Moga-moga Allah memberikan kesabaran kepada kita semua dalam menghadapi mehnah kehidupan dunia ini.  


Jumaat, 12 Julai 2013

CATATAN 3 RAMADHAN 1434




Hari ini telah masuk hari ke-3 Ramadhan bagi tahun 1434. Masa akan tetap berlalu sebagaimana biasa tetapi yang membezakan antara hari-hari yang berlalu adalah pengisian yang kita lakukan. Imam Ibn Qayyim Rahimahullah memetik kata-kata Imam Syafie Rahimahullah berkenaan waktu di dalam Kitab beliau Ad-Da' wa Dawa' seperti berikut:

قال الشافعي : رضي الله عنه : صحبت الصوفية ، فلم أستفد منهم
سوى حرفين  أحدهما قولهم : الوقت سيف، فإن قطعته ، وإلا
 قطعك  . وذكر الكلمة الأخرى 
Berkata As-Shafie Radiyallahuanhu: Aku bersahabat dengan golongan sufi, akan tetapi aku tidak mendapat sebarang faedah daripada mereka kecuali 2 mutiara kata sahaja, salah satunya kata mereka: Waktu itu adalah pedang, maka samada kamu memotongnya dan jika tidak dia memotong kamu. Kemudian beliau menyebut kata-kata yang satu lagi.#

Dalam menjelaskan lanjut maksud waktu tersebut Imam Ibn Qayyim menyatakan bahawa waktu itu adalah sebenarnya umur manusia dan waktu itu bergerak lebih pantas daripada bergeraknya awan ( يمر أسرع من مر السحاب). Sesiapa yang waktunya habis untuk Allah dan dengan Allah maka itulah hidupnya dan umurnya. Dan selain daripada itu tidak dikira sebagai hidupnya, jika dia hidup dalam kehidupan sebegitu (iaitu bukan kerana dan bersama Allah) maka kehidupannya adalah kehidupan haiwan. (Ad-Da' wa Dawa', m.s 358-359, Darul 'Alim lil Fawaid)

Masya Allah kata-kata yang hebat daripada dua orang Imam yang wajar kita renungi dan ambil istifadah. Ramadhan 1434 akan berlalu juga tetapi jadikanlah Ramadhan kali ini adalah yang terbaik dalam hidup kita agar kita tidak menyesal setelah perginya Ramadhan ini. Ramadhan yang datang belum tentu lagi untuk kita. Ya Allah, berikanlah kami kekuatan dan istiqamah untuk beribadat kepada-Mu di bulan Ramadhan 1434 ini sehingga ke penghujungnya. Amin ya Rab A'lamin.

#satu lagi kata-kata yang dipelajari Imam Syafie daripada golongan sufi ialah (ونفسك إن لم تشغلها
بالحق وإلأ شغلتك بالباطل) bermaksud Jika kamu tidak menyibukkan diri dengan kebenaran  maka ia(diri) akan menyibukkan kamu dengan kebatilan. Dinukil oleh Ibn Qayyim di dalam kitab beliau Madarijul Salikin.

Rabu, 10 Julai 2013

CATATAN 1 RAMADHAN 1434


Alhamdulillah, akhirnya sampai juga ke Ramadhan 1434. Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa dan dinanti-nati oleh semua umat Islam yang beriman dan bertadayyun bidinil Islam haqiqatan. Keistimewaan bulan ini amat jelas sekali dilihat kepada banyaknya galakan Rasulullah Sallalahualaihi wa Salam kepada umatnya agar mengambil kesempatan daripada bulan Ramadhan, tambahan pula nama Ramadhan sendiri disebut di dalam Al-Quran. Syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita peluang untuk hidup sebagai perantau di bumi ini dan bertemu dengan Ramadhan untuk ke sekian kali. Rasa syahdu juga seusai solat maghrib semalam mengenangkan telah sampai lagi Ramadhan.


'Ya, Allah berikanlah aku peluang untuk mempertingkatkan ibadat kepada mu di bulan yang mulia ini, janganlah engkau cabut nyawaku sebelum engkau ampunkan segala dosa-dosaku dan sebelum aku berjaya merebut peluang Ramadhan kali ini. Ya, Allah bantulah Muslimin di Mesir, Suriyya, Palestin, Myanmar dan di seluruh dunia dimana sahaja mereka berada. Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Zal Jalali wal Ikram, gunakanlah aku untuk agama-Mu Ya Allah.'

Itu adalah antara doa yang saya minta di awal Ramadhan. Sudah tentu kita semua sebagai hamba Allah beharap Ramadhan kali ini adalah lebih baik daripada yang sebelumnya. Semoga kita semua bisa menghabiskan Ramadhan ini dengan sepenuh kudrat beribadat kepada-Nya. Jangan juga lupa kita kepada saudara-saudara kita di tempat lain, sekurang-kurangnya iringi dengan doa jika tiada kemampuan lain.

Marhaban Ya Ramadhan.

Wallahu a'lam.  

Jumaat, 5 Julai 2013

Mesir Yang Bergolak

Mesir masih lagi bergolak dan tidak pernah aman sejak kejatuhan Hosni Mubarak. Kini tiba pula Presiden Mohamed Morsi yang dipilih melalui proses demokrasi selepas kejatuhan Mubarak dijatuhkan pula oleh pihak tentera Mesir kononnya atas aspirasi rakyat yang telah berdemonstrasi lebih daripada seminggu di Dataran Tahrir. Memang tidak dinafikan pihak tentera Mesir mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Ikhwan Muslimin yang merupakan gerakan diwakili Morsi. 

Semasa demonstrasi rakyat ke atas Mubarak di Dataran Tahrir sehinggalah Mubarak terpaksa meletak jawatan akibat tekanan demonstrasi tersebut dan juga negara-negara lain (bukan melalui rampasan kuasa tentera), ramai yang memberikan sokongan kepada demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan. Malah apabila Mubarak meninggalkan Mesir, Syeikh Yusuf Qardawi antara yang datang dan menyampaikan ucapan di Dataran Tahrir serta memberikan khutbah di Masjid Al-Azhar. Ketika itu, ramai  menganggap seolah-olah bahawa kebenaran telah mengatasi kebatilan atau akhirnya Islam telah menang di Mesir. Jika dibaratkan sebagai wayang, itulah penamat ceritanya di mana kebaikan mengatasi kejahatan. Tetapi realiti adalah berbeza dengan wayang. Selagi dunia belum kiamat kehidupan umpama roda yang sekejap di atas dan sekejap di bawah.

Saya adalah antara mereka yang bersikap berhati-hati atau mungkin pesimis melihat perkembangan di Asia Barat. Bukan kerana tidak menyokong gerakan Islam tetapi bimbang dengan cara bagaimana gerakan Islam atau rakyat yang menyokong gerakan Islam di negara-negara Timur Tengah naik ke puncak kuasa. Walaupun cara yang digunakan berjaya menjatuhkan pemerintah yang tidak disukai, zalim, kuku besi, autokrat dan sebagainya tetapi cara yang sama juga boleh digunakan oleh pihak penyokong lawan sebagaimana yang telah berlaku terhadap Presiden Morsi. Lebih-lebih lagi pemimpin yang didakwa masih seorang Muslim. Mungkin itulah antara sebab ulama'-ulama' silam ada yang menasihatkan agar pemerintah Islam tidak dijatuhkan walaupun mereka zalim. Namun rakyat di Mesir lebih mengetahui kebenaran dan hakikat yang berlaku di Mesir.
Al-Sisi mengumumkan kudeta dengan dihadiri pemimpin tentera dan agama
termasuk Syeikh Al-Azhar 

Dalam keadaan yang berlaku di Asia Barat juga kita melihat ulama' yang berbeza pendapat dan memainkan peranan yang bertentangan. Tuan guru Nik Abdul Aziz ada memberikan komen di dalam facebook beliau berkenaan Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Taiyib yang turut berada bersama ketika Ketua Tentera Mesir, General Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan kudeta terhadap pemerintahan Morsi, seolah-olah menggambarkan pendirian Al-Azhar yang menyokong tindakan tentera tersebut. Tetapi semasa demonstrasi ke atas Mubarak dahulu pun Al-Azhar dilihat cuba menenangkan rakyat daripada menentang kerajaan semasa itu. Begitu juga kita melihat Syeikh Said Ramadhan Al-Bhouti rahimahullah yang turut menyokong kerajaan semasa pemberontakan 'Free Syrian Army'. Walaupun pelbagai berita dan spekulasi yang disebarkan termasuk di kalangan ustaz-ustaz di Malaysia tentang tindakan Syeikh al-Bhouti tersebut tetapi yang jelas adalah sebaliknya (terdapat keterangan daripada anak Al-Bhouti di youtube selepas insiden tersebut). Begitu juga pandangan daripada tokoh-tokoh tertentu yang berbeza berkenaan isu di Syria seperti dakwaan bahawa ia melibatkan campurtangan asing seperti US dan sebagainya. Dr.Chandra Muzaffar dalam rancangan di TV Al-Hijrah berpendapat bahawa pihak barat cuba melaga-lagakan antara fahaman Syiah dan Sunnah di Syria untuk kepentingan politik serantau mereka. 

Wallahu a'lam biSawab. Saya lebih suka memilih sikap tawaqquf dalam banyak perkembangan berlaku di Asia Barat kecuali isu Palestin. Sementara itu saya menyokong sebarang usaha untuk membantu rakyat-rakyat di negara terlibat daripada kesan konflik yang berlaku. Sokongan saya adalah tetap kepada Islam dan keamanan serta perdamaian. Dalam apa-apa situasi, peperangan dan pertumpahan darah harus sedaya-upaya dielakkan.Sebagai saudara seagama dan kemanusiaan saya berdoa agar negara Mesir serta negara-negara Asia Barat lain dapat keluar daripada kemelut yang dihadapi dengan Islam masih dijunjung tinggi kerana Islam membawa erti keamanan.

Selasa, 2 Julai 2013

PENGARUH MODENISME DALAM THE MESSAGE OF THE QURAN KARYA MUHAMMAD ASAD: PENELITIAN TERHADAP KISAH ASHABUL KAHFI DAN KONSEP JIN

Oleh: Shahizad Sulaiman
Shah Alam, Selangor

Abstrak
Muhammad Asad adalah seorang tokoh pemikir Islam yang banyak menulis untuk memperjelas dan mempertahan Islam. Antara karya agung beliau ialah tafsir Quran dalam bahasa Inggeris,The Messaage of The Qur’an. Banyak pihak mengkritik karya beliau tersebut kerana didakwa beliau menafikan unsur-unsur metafizikal atau ghaibiyyat seperti kisah ashabul kahfi, Jin, syurga, neraka, isra’ dan dialog Nabi Adam dengan Iblis di dalam syurga. Asad dikatakan dipengaruhi idea modenisme yang antara cirinya cuba menyempitkan unsur-unsur ghaibiyyat kerana terpengaruh dengan materialisme. Kajian ini cuba meneliti perbahasan Asad berkenaan kisah Ashabul Kahfi dan konsep Jin untuk melihat sama ada tafsir beliau dipengaruhi dengan idea modenisme. Kajian ini menggunakan metodologi kajian perpustakaan sepenuhnya. Kajian mendapati bahawa Asad cenderung untuk menyatakan bahawa ayat-ayat Al-Quran yang menceritakan tentang perkara-perkara yang tidak dapat dicapai oleh pancaindera manusia adalah ayat Mustasyabihat justeru harus ditakwil sesuai dengan akal manusia. Namun dalam masa yang sama Asad berhati-hati dengan tidak menafikan sepenuhnya tafsiran ulama’ salaf.  


Pengenalan

Tidak ada suatu buku yang paling banyak mendapat perhatian manusia di dunia ini selain Al-Quran. Ini terbukti dengan terhasil banyak tafsir-tafsir yang ditulis oleh ilmuan Islam dalam pelbagai bahasa sejak dahulu sehingga sekarang untuk menjelaskan isi kandungan Al-Quran. Secara umumnya, tafsir-tafsir berkenaan boleh dibahagikan dari sudut sumber penafsiran kepada dua kategori utama iaitu tafsir bi ma’tsur[1] dan tafsir bi ra’yi[2]. Pentafsir yang menghasilkan tafsir Al-Quran menggunakan kekuatan akal mereka dalam memahami Al-Quran sudah semestinya terpengaruh dengan persekitaran, pengalaman dan idea-idea tertentu yang wujud semasa pentafsir tersebut menafsirkan Al-Quran. Oleh itu, di kalangan ulama’ Islam terdapat perbezaan pendapat sama ada penafsiran Al-Quran dengan ra’yi atau pendapat dibolehkan atau tidak.[3]

Salah satu daripada tafsir yang dikategorikan sebagai tafsir bi ra’yi adalah tafsir yang dihasilkan oleh Muhammad Asad bertajuk ‘The Message of the Quran’ yang merupakan kitab terjemahan serta tafsir Al-Quran berbahasa Inggeris. Muhammad Asad adalah nama yang tidak asing kepada dunia Islam. Beliau adalah seorang tokoh pemikir Islam yang banyak menulis untuk memperjelas dan mempertahan Islam daripada salah faham bukan sahaja di kalangan bukan Muslim malahan di kalangan umat Islam juga. Asad hidup di zaman umat Islam dijajah oleh Barat dan wujudnya pandangan yang menyalahkan agama Islam akibat kemunduran umat Islam tersebut. Dalam masa yang sama lahirnya tokoh-tokoh modernis Islam seperti Jamaluddin al-Afghani dan Muhammad Abduh yang cuba membawa ‘islah’ dalam masyarakat Islam. Artikel ini cuba meneliti latarbelakang pentafsir iaitu Muhammad Asad serta meninjau sejauh mana modernisme mempengaruhi penafsiran Al-Quran beliau.

Latarbelakang Kehidupan Muhammad Asad

Muhammad Asad dilahirkan sebagai Leopald Weiss pada 2 Julai 1900 di Bandar Lvov, Timur Galicia, Austria. Beliau merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik. Bapa beliau merupakan seorang peguam yang berjaya dalam kariernya. Datuk beliau pula merupakan seorang rabbi ortodoks di Czernowitz, wilayah Bukovina di Austria. Manakala ibu beliau adalah anak kepada seorang jurubank yang kaya dan memiliki ladang yang luas.

Sejak dari kecil Asad berminat di dalam bidang sastera dan sejarah dan tidak berminat ke arah  sains dan matematik yang pada kebiasaannya akan menjamin kerjaya yang menguntungkan dari segi kewangan. Dalam masa yang sama, Asad diberikan penekanan kepada pendidikan agama dan beliau banyak menghabiskan masa mempelajari kitab suci yahudi sehingga ketika berusia 13 tahun, beliau telah menguasai bahasa hebrew dengan baik. Faktor penguasaan bahasa ini banyak membantu beliau menguasai bahasa arab kemudiannya.

Walaupun Asad diberikan pendidikan agama Yahudi tetapi beliau tidak bersetuju dengan agama Yahudi kerana menurut beliau agama Yahudi hanya menekankan tentang ibadat kepada tuhan semata-mata dan tuhan dalam  gambaran agama Yahudi seolah-olah melebihkan satu bangsa sahaja iaitu bangsa Yahudi.[4] Ini menyebabkan Asad lebih jauh daripada agama. Akibat kekosongan jiwa tersebut, Asad pernah cuba mendekati Agama Kristian tetapi beliau mendapati bahawa agama Kristian telah diresapi sekularisme iaitu pemisahan antara agama dan urusan dunia atau antara roh dan jasad. Selain itu, Kristian menekankan konsep bahawa manusia lahir dengan dosa warisan dimana konsep ini sukar untuk diterima oleh Asad. Atas faktor ini, Asad tidak dapat menerima kedua-dua agama tersebut.

Ketika berusia 19 tahun, Asad bermimpi beliau mengembara menaiki keretapi bawah tanah yang sesak dengan penumpang di Berlin. Mimpi tersebut diceritakan oleh Asad sendiri di dalam buku beliau The Road To Mecca. Apabila keretapi tersebut keluar daripada satu lorong bawah tanah ia keluar di kawasan yang berlumpur menyebabkan ia terkandas. Semua penumpang keluar daripada keretapi dan kebingungan. Tetapi Asad tidak berkongsi keadaan tersebut sebaliknya beliau berjalan sepuluh langkah dan mendapati seekor unta tersedia untuk beliau naiki. Di atas unta tersebut terdapat seorang lelaki yang memakai abaya berjalur putih kelabu dan berlengan pendek. Muka lelaki berkenaan dilitupi dengan kufiyya yang dipakainya. Asad menaiki unta tersebut dan dibawa menuju ke suatu cahaya putih yang terletak antara dua tiang. Ketika unta tersebut bergerak, Asad merasa amat gembira sehinggalah apabila beliau semakin mendekati cahaya tersebut beliau terdengar suara berkata ‘Inilah bandar paling jauh dari Barat’ dan beliau terjaga daripada tidur. Asad mencatat mimpi berkenaan walaupun beliau ketika itu tidak memahami maksudnya. Sehinggalah beliau menceritakan mimpi tersebut kepada Ibn Saud maka Ibnu Saud menafsirkan mimpi berkenaan.[5]

Asad meneruskan pengajian tinggi beliau di Universiti Vienna dalam bidang Sejarah Sastera dan Falsafah. Walau bagaimanapun beliau tidak menghabiskan pengajian berkenaan kerana konflik dalam diri yang timbul akibat kekosongan jiwa atau ‘spiritual vacuum’ dan suasana masyarakat pada zaman tersebut. Walaupun mendapat tentangan daripada ayahnya beliau tetap meninggalkan Vienna pada musim panas tahun 1920 dan menuju ke Berlin dengan cita-cita untuk terlibat dalam bidang kewartawanan. Setelah menghadapi kesukaran hidup dan menjadi telefonis di United Telegraph, beliau akhirnya menjadi wartawan di agensi yang sama kerana berjaya mendapatkan temuramah eksklusif dengan isteri kepada seorang tokoh terkenal di Rusia, Maxim Gorky.[6]

Perubahan dalam hidup Asad bermula pada musim luruh tahun 1922 apabila beliau menerima surat daripada bapa saudara beliau, Dorian yang menetap di Juruselam mengajak beliau untuk datang ke Juruselam dan tinggal bersamanya. Tertarik dengan tawaran tersebut, Asad meletakkan jawatan dari United Telegraph dan menuju ke Juruselam. Ketika beliau berada di Timur Tengah, Asad menjadi penulis tetamu bagi agensi berita terkenal, Frankfurter Zeitung,  menulis pengalaman beliau di Timur Tengah. Sepanjang berada di Timut Tengah, Asad banyak mengembara, mendalami Agama Islam melalui pembacaan serta perkenalan dengan tokoh-tokoh tertentu antaranya Syeikh Mustafa Al-Maraghi sehinggalah beliau memeluk Islam pada akhir tahun 1926. Dalam tahun 1932, Asad pergi ke India dan tinggal di Lahore. Di sini beliau mengenali Dr. Sir Muhammad Iqbal. Semasa Perang Dunia ke-2, beliau diletakkan di kem tahanan British antara 1 September 1939 sehingga 14 Ogos 1945 semata-mata kerana beliau adalah rakyat Austria.[7]

Asad adalah antara penyokong kuat kepada pembahagian India kepada dua negara sebagaimana yang dipegang oleh Muhammad Iqbal. Selepas India terbahagi kepada Pakistan, Asad memainkan peranan penting dalam pembentukan Negara Pakistan kerana beliau dianggap salah seorang yang mempunyai autoriti dalam undang-undang Islam. Pada tahun 1953, beliau dilantik sebagai Menteri mewakili Pakistan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.  Setelah bersara daripada sebarang jawatan di Pakistan, Asad berpindah ke Switzerland dan kemudian Maghribi. Sepanjang waktu tersebut beliau menulis karya magnum opus beliau iaitu ‘The Message of The Qur’an’ yang akhirnya diterbitkan dalam tahun 1980. Kebanyakan penulisan karya tersebut dilakukan di Villa Assadiya, berdekatan Tangiers, di mana Asad tinggal selama 19 tahun sebelum berpindah ke Mijas, Lisbon, Sepanyol. Asad akhirnya meninggal dunia pada 20 Februari 1992 dan dikebumikan di perkuburan Islam Granada, Sepanyol.[8]

Selain menghasilkan kitab terjemahan dan tafsir al-Quran tersebut, Asad turut mempunyai beberapa karya lain antaranya The Road to Mecca, The Unromantic Orient, Laws of Ours, Islam at the Crossroads, Sahih al-Bukhari: Early Years of Islam dan lain-lain lagi.

The Message of The Qur’an

The Message of The Qur’an merupakan karya agung Asad dan dihasilkan dalam tempoh 17 tahun. Di dalam kata pengantar kepada karya tersebut, Asad menjelaskan:
“The work which I am now placing before the public is based on a lifetime of study and of many years spent in Arabia. It is an attempt – perhaps the first attempt – at a really idiomatic, explanatory rendition of the Qur’anic message into a European language.”[9]   

Sebelum diterbitkan secara lengkap pada tahun 1980, sebahagian daripada The Message of The Qur’an telah diterbitkan secara berasingan iaitu terjemahan bagi sembilan surah yang awal. Struktur penulisan The Message of The Qur’an adalah dimulakan dengan kata pengantar yang ditulis oleh Asad. Kemudian Asad menyenaraikan rujukan yang beliau gunakan dalam penghasilan tafsir ini iaitu sebanyak 50 rujukan yang terdiri daripada kitab tafsir, hadith, fiqh, nahu dan sejarah. Ini diikuti dengan terjemahan beliau mengikut susunan surah dimulai Surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah an-Nas. Sebelum menterjemahkan sesuatu surah, Asad akan terlebih dahulu mengemukakan muqaddimah surah tersebut menceritakan nama-nama surah, asbab nuzul dan intipati kandungan surah berkenaan. Tafsir dikemukakan Asad dalam bentuk notakaki pada perkataan atau ayat-ayat tertentu yang difikirkan oleh beliau perlu kepada pentafsiran lanjut.  Pada penghujung kitab tafsir tersebut, Asad memasukkan empat appendik yang menjelaskan lebih lanjut empat isu yang disentuh oleh beliau dalam terjemahan dan penafsiran ayat iaitu isu simbolik dan perumpamaan di dalam Al-Quran, huruf-huruf Muqatta’at, konsep Jin dan yang terakhir ialah kisah Isra’ atau perjalanan malam.   

Di dalam kata pengantar tersebut, amat menarik sekali apabila Asad menggariskan beberapa prinsip penterjemahan Al-Qur’an yang beliau aplikasi dalam penterjemahan dan penafsiran beliau iaitu:
  1. Penterjemahan perlu dilakukan berdasarkan kepada penggunaan linguistik semasa zaman penurunan Al-Quran kerana sebahagian daripada perkataan atau konsep tertentu telah mengalami perubahan makna dalam minda popular semasa. Justeru penterjemah tidak seharusnya menterjemah berdasarkan  makna yang diberikan selepas zaman penurunan Al-Quran.

  1. Penterjemah perlu mengambil kira i’jaz Al-Quran semasa penterjemahan kerana amat sukar untuk menyampaikan maksud ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi kedalaman makna ke bahasa manusia yang agak terbatas menyebabkan berlakunya pengabaian maksud. Justeru Asad mencadangkan penggunaan kaedah pencelahan huraian dalam braket bagi menjelaskan sesuatu maksud perkataan atau ayat Al-Quran.

  1. Terma-terma keagamaan (religous terms) yang digunakan di dalam Al-Quran perlu diterjemahkan kepada maksud yang difahami semasa ia diturunkan dan bukan berdasarkan kepada makna yang telah di’institusi’kan (institutionalized) hasil perkembangan zaman. Sebagai contoh perkataan Islam dan muslim difahami semasa penurunan Al-Quran sebagai ‘penyerahan diri kepada  tuhan’ dan ‘seseorang yang menyerah diri kepada tuhan’ tanpa menghadkan terma tersebut kepada komuniti tertentu sebagaimana yang difahami pada masa sekarang. Contohnya dalam ayat 67 Surah Ali Imran di mana Nabi Ibrahim dikatakan sebagai seorang Muslim, Asad menterjemahkan maksud muslim di situ sebagai ‘having surrendered himself unto God’. Asad menterjemahkan hampir keseluruhan perkataan dalam Al-Quran kecuali beliau mengekalkan dua perkataan iaitu Al-Quran dan Surah kerana bagi beliau penterjemahan dua perkataan tersebut ke bahasa asing tidak memberikan sebarang manfaat kepada pembaca.

  1. Al-Quran tidak boleh diteliti sebagai satu pengumpulan perintah-perintah yang tersendiri tetapi sebagai sesuatu yang berkait antara satu sama lain atau dalam perkataan Asad ‘one integral whole’. Justeru sesuatu ayat tidak boleh difahami kecuali dengan mengaitkan satu ayat dengan ayat-ayat yang lain yang menjelaskan konsep yang sama dalam surah yang lain dan rujukan silang perlu dilakukan dengan kerap. Asad menyimpulkan prinsip ini dengan mengatakan:
“Whenever this rule is faithfully followed, we realized that the Qur’an is – in the words of Muhammad Abduh – “its own best commentary”.

  1. Al-Quran tidak boleh dilihat dari sudut pandang sejarah sebaliknya setiap penerangan berkenaan kejadian dan suasana sejarah mestilah diianggap sebagai ilustrasi kepada keadaan manusia. Justeru pertimbangan kepada kejadian sejarah tidak boleh mengaburi tujuan dasar ayat tersebut dan kerelevenannya kepada pengajaran etika yang dikemukakan oleh Al-Quran.

Muhamad Asad mungkin telah mengjangkakan kontroversi yang mungkin timbul daripada The Message of The Quran kerana perbezaan tafsiran yang dibawakan oleh beliau dengan pentafsir-pentafsir sebelum beliau. Bagi beliau perbezaan tersebut sebenarnya menunjukkan kepada keunikan Al-Quran itu sendiri iaitu apabila bertambah maju ilmu keduniaan dan meningkat pengalaman sejarah manusia maka semakin terdedah maksud ayat-ayat Al-Quran yang tidak disangka pada masa sebelumnya.[10]   

Modenisma dan ciri-cirinya

Perkataan modenisme berasal daripada bahasa Inggeris iaitu ‘modernisme’. Modenisme merupakan perkataan yang tercantum daripada dua patah perkataan iaitu moden dan ‘-isme. Moden dari sudut bahasa bermaksud ‘pada masa sekarang’ atau ‘berkaitan dengan masa kini’.[11] Manakala -isme bermaksud kepercayaan.[12] Jika dilihat dari sudut bahasa, maksud modenisme adalah hampir sama dengan sekularisme. Sekular yang diambil daripada perkataan Inggeris yang berasal daripada perkataan latin iaitu ‘saeculum’ beerti masakini di sini.[13]

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka pula mentakrifkan modenisme sebagai pemikiran cara moden.[14] Manakala kamus Oxford pula mendefinasikan modenisme sebagai satu gerakan ke arah mengubah kepercayaan tradisional supaya bersesuaian dengan idea-idea moden terutamanya berlaku di dalam Gereja Roman Katolik di sekitar lewat kurun ke-19 dan awal kurun ke-20.[15]Encyclopedia of Islam and Muslim Worlds pula mentakrifkan modenisme sebagai gerakan untuk menyesuaikan nilai-nilai moden seperti nationalisma, demokrasi, hak asasi, rationaliti, sains, ekualiti dan pembangunan. Modenisme Islam berbeza dengan sekularisme dari segi penegasannya tentang kesinambungan kepentingan kepercayaan dalam kehidupan harian.[16] Perbezaan antara modenisme Islam dan sekularisme mungkin dinyatakan di dalam ensiklopedia ini adalah kerana persamaan dari sudut makna bahasa antara modenisme dan sekularisme.

Charles C.Adams di dalam tesis beliau mengenai gerakan islah yang dipelopori oleh Muhammad Abduh menggunakan istilah ‘Muhammadan modernism’ dan mendefinasikannya sebagai usaha untuk membebaskan Agama Islam daripada rantai ortodoks yang ketat dan untuk menyempurnakan reformasi yang akan membuatkan ia (agama Islam) boleh mengadaptasi  keperluan yang kompleks dalam kehidupan moden.[17]Berdasarkan takrifan-takrifan tersebut, modenisme dikaitkan dengan pemikiran, gerakan dan usaha. Individu yang dikatakan mempunyai pemikiran modernisme dipanggil sebagai modernis. Antara tokoh-tokoh Islam yang dikatakan sebagai modernis Islam ialah seperti Sayyid Jamal al-Din al-Afghani (1838 – 1897),  Muhammad ‘Abduh (1849 – 1905) dan Sayyid Ahmad Khan (1817 – 1898).[18]

Satu lagi ungkapan yang sering digunakan adalah islah atau tajdid. Menurut Ibrahim Abu Bakar di dalam tesis beliau, modernis Islam dan muslih[19] atau perkataan yang digunakan oleh beliau iaitu ‘reformist’ adalah berbeza walaupun matlamat mereka adalah sama. Malah reformisme Islam turut menyumbang kepada idea modenisme Islam pada abad ke-20. Dua perbezaan yang dinyatakan oleh Ibrahim Abu Bakar antara modenisme Islam dan reformisme Islam ialah:
  1. reformisme Islam hanya menekankan reformisme dalam agama manakala modenisme Islam menekankan reformisme dan modenisme dalam Islam
  2. reformisme Islam adalah respon kepada masalah dalaman umat Islam manakala modenisme Islam adalah respon kepada masalah dalaman dan luaran umat Islam.

Syeikh Salman Fahd Al-Audah[20] melalui penelitian beliau menyenaraikan enam ciri utama modenisme iaitu:
  1. Penolakan terhadap Sunnah Nabi secara menyeluruh atau sebahagian seperti menolak hadith ‘Ahad walaupun sahih
  2. Meluaskan penafsiran al-Quran berdasarkan kepada ilmu semasa walaupun menyebabkan ia bertentangan dengan kaedah bahasa arab atau pendapat yang dinukilkan daripada salaf radiallahu anhum seperti metakwilkan istilah jin, syaitan, burung ababil di dalam Al-Quran.
  3. Mengurangkan kepentingan Ijma’ sama ada dengan menolaknya secara keseluruhan atau menghadkan skop Ijma’ dengan menambah takrif baru kepada Ijma’ yang tidak pernah diketahui oleh ulama’ sebelumnya.
  4. Kebebasan yang luas dalam berijtihad tanpa memberi perhatian kepada syarat-syarat yang perlu dimiliki oleh seseorang mujtahid
  5. Kecenderungan untuk menyempitkan skop metafizik atau ghaibiyyat seboleh mungkin kerana dominasi materialisme dalam pemikiran moden.
  6. Menekankan bahawa pelaksanaan hukum-hukum syariat berkaitan amalan perlu tunduk kepada suasana semasa dan tuntutannya seperti isu riba, kebebasan berfikir dan kesatuan kebangsaan bukan berdasarkan agama.
  
Pengaruh Modenisme dalam tafsir ‘The Message of the Quran’

Muhammad Asad menganggap ayat 7 Surah Ali Imran sebagai ‘key phrase of all its key phrases’ iaitu ayat kunci bagi segala ayat-ayat kunci yang lain.

هُوَ الَّذِي أَنْزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ فَأَمَّا الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ زَيْغٌ فَيَتَّبِعُونَ مَا تَشَابَهَ مِنْهُ ابْتِغَاءَ الْفِتْنَةِ وَابْتِغَاءَ تَأْوِيلِهِ وَمَا يَعْلَمُ تَأْوِيلَهُ إِلا اللَّهُ وَالرَّاسِخُونَ فِي الْعِلْمِ يَقُولُونَ آمَنَّا بِهِ كُلٌّ مِنْ عِنْدِ رَبِّنَا وَمَا يَذَّكَّرُ إِلا أُولُو الألْبَابِ (٧)
Terjemahan Asad: He it is who has bestowed upon thee from on high this divine writ, containing messages that are clear in and by themselves – and these are the essence of the divine writ – as well as others that are allegorical. Now those whose hearts are given to swerving from the truth go after that part of the divine writ which has been expressed in allegory, seeking out (what is bound to create) confusion, and seeking (to arrive at) its final meaning (in an arbitrary manner); but none save God knows its final meaning. Hence, those who are deeply rooted in knowledge say: We believe in it; the whole (of the divine writ) is from our Sustainer – albeit none takes this to heart save those who are endowed with insight. 

Bagi Asad pembahagian ayat al-Quran sebagai ayat Muhkamaat dan Mutasyabihaat adalah merupakan asas untuk memahami mesej yang ingin disampaikan oleh al-Quran. Asad menterjemahkan Mutasyabihaat sebagai ‘allegorical’ yang bermaksud metafora. Terjemahan tersebut turut diberikan oleh Abdullah Yusuf Ali, Muhsin Khan dan Marmaduke Pickthall. Di dalam tafsiran beliau, Asad tidak bersetuju dengan tafsiran at-Tabari berkenaan ayat Muhkamaat dan Mutasyabihaat. Asad berpendapat bahawa tafsiran at-Tabari terhadap ayat Muhkamaat; iaitu ayat yang mesejnya jelas dan zahir berdasarkan kepada penyusunan perkataannya; dan ayat Mutasyabihaat; adalah ayat yang mengandungi lebih daripada satu makna; adalah terlalu dogmatik. Bagi Asad terdapat ayat yang mempunyai lebih daripada satu tafsiran tetapi tidak mengandungi metafora dan sebaliknya ada ayat yang mengandungi satu makna tetapi bersifat metafora. Justeru Asad mendefinasikan ayat Mutasyabihaat sebagai:

“...those passages of the Qur’an which are expressed in a figurative manner, with a meaning that is metaphorically implied but not directly, in so many words, stated.”

Penafsiran ayat Mutasyabihaat sebagai ‘allegorical’ bukanlah sesuatu yang baru. Ibn Kathir menukilkan beberapa pendapat salaf mengenai maksud Mutasyabihaat antaranya satu pendapat yang dinukilkan secara sighah tamridh dan dinisbahkan kepada Ibn Abbas bahawa al-Mutsyabihaat ialah ayat-ayat yang dimansukhkan; yang didahulu dan dikemudiankan; perumpamaan-perumpamaan; sumpah; dan yang diimani tetapi tidak diamalkan.[21]

Jika dilihat daripada sudut ini, penafsiran Asad terhadp maksud ayat Mustasyabihaat tidaklah berbeza daripada penafsiran ulama’-ulama’ tafsir lain.  Tetapi pengaruh modenisme dalam tafsir Asad bermula dari segi pengkategorian sesuatu ayat tersebut ayat Mutasyabihaat atau sebaliknya. Persoalan metafizikal (ma wara’ at-thabiat) atau ghaibiyyaat seperti jin, ashabul kahfi, isra’, syurga, neraka dan lain-lain lagi adalah sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh akal manusia kerana ia adalah sesuatu yang tidak pernah dilihat, tidak pernah didengar dan tidak pernah digapai oleh pemikiran manusia kecuali apa yang dinyatakan oleh Allah melalui Rasul-Nya. Justeru untuk menerangkan tentang sesuatu yang tidak jelas konsepnya dalam pemikiran manusia maka Allah menggunakan perumpamaan dengan sesuatu yang ada di dunia ini. Oleh itu bagi Asad, ayat-ayat Al-Quran yang menerangkan tentang perkara-perkara ghaibiyyat tersebut termasuk ayat mutasyabihaat walaupun ia menerangkan perkara tersebut secara jelas. Contohnya ayat yang menerangkan terdapat sungai yang mengalir serta buah-buahan yang pelbagai di syurga adalah sebenarnya perumpamaan bagi gambaran nikmat yang akan diperolehi oleh orang yang membuat kebajikan di dunia. Akibat pengkategorian beliau tersebut, Asad memberikan tafsiran yang berbeza terhadap konsep-konsep berkenaan berbanding dengan ulama’ tafsir terdahulu.  

Walaupun terdapat banyak isu yang boleh diteliti di dalam The Message of the Quran  untuk melihat kesan pemahaman ayat Mustasyabihaat dalam penafsiran Asad, tetapi dalam artikel ini penulis memilih untuk meneliti hanya dua isu iaitu kisah Ashabul Kahfi dan konsep Jin.

i)     Kisah Ashabul Kahfi di dalam Al-Quran

Kisah Ashabul Kahfi diceritakan di dalam Surah Al-Kahfi secara jelas.  Dalam tafsir beliau kepada ayat 9 Surah Al-Kahfi, Asad terlebih dahulu mengemukakan kisah Ashabul Kahfi yang dibawakan oleh pentafsir-pentafsir klasik yang merujuk Ashabul Kahfi sebagai pemuda-pemuda Kristian yang melarikan diri daripada Maharaja Decius pada kurun ke-3 Masihi. Malah Asad turut mengemukakan pandangan beliau sendiri bahawa pemuda-pemuda tersebut bukan pemuda Kristian sebaliknya adalah pemuda Yahudi yang berasal daripada satu gerakan yang dikenali sebagai Persaudaraan Essene. Setelah menjelaskan tentang kisah tersebut barulah Asad membawakan maksud metafora ayat.

Muhammad Asad menganggap kisah Ashabul Kahfi adalah sebagai metafora kepada:
  1. Ilustrasi kuasa Allah untuk memati dan menghidupkan manusia serta segala kehidupan lain
  2. Gambaran kepada ketakwaan yang mendorong manusia untuk meninggalkan dunia yang penuh kejahatan dan tipudaya dengan tujuan menjaga kepercayaannya  serta keredhaan Allah kepada kepercayaan tersebut dengan menganugerahkan kesedaran kerohanian yang melampaui masa dan kematian. [22]


ii)                  Tafsir Jin di dalam Al-Quran oleh Asad

Dalam membincangkan ayat-ayat yang menyebut tentang Jin, Asad menolak pemahaman konsep jin yang beliau nyatakan sebagai berdasarkan ‘cerita dongeng arab’ yang mengaitkannya dengan hantu yang berupaya merasuk manusia. Asad menjelaskan bahawa dari sudut bahasa perkataan Jin berasal dripada akar kata ‘Janna’ yang bermaksud yang disembunyikan. Bagi Asad, Al-Quran menggunakan istilah Jin untuk lima maksud iaitu:
  1. Kuasa-kuasa atau kewujudan kerohanian yang tidak mempunyai kewujudan fizikal sebagaimana penggunaan dalam ayat 27 Surah Al-Hijr iaitu:
وَالْجَانَّ خَلَقْنَاهُ مِنْ قَبْلُ مِنْ نَارِ السَّمُومِ (٢٧)
Terjemahan Asad: “whereas the invisible beings We had created, (long) before that, out of the fire of scorching winds.”[23]

  1. Kuasa alam semulajadi termasuk kuasa semulajadi manusia seperti dalam ayat 158 Surah As-Saffat iaitu:
وَجَعَلُوا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجِنَّةِ نَسَبًا وَلَقَدْ عَلِمَتِ الْجِنَّةُ إِنَّهُمْ لَمُحْضَرُونَ (١٥٨)
Terjemahan Asad: And some people have invented a kinship between Him and all manner of invinsible forces- although (even) these invinsible forces know well that, verily, they (who thus blaspheme against God) shall indeed be arraigned (before Him on Judgement Day)

Asad menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan pentafsir-pentafsir klasik yang mentafsirkan Jinnah pada ayat tersebut sebagai malaikat[24] kerana bagi beliau makhluk seumpama itu tidak dapat dicapai oleh deria manusia sebaliknya Asad berpendapat Jinnah sesuai ditafsirkan sebagai ‘intangible forces of nature’ iaitu kuasa alam semulajadi yang tidak dapat dilihat atau dipegang. Justeru Asad memahami ayat ini menyatakan bahawa terdapat golongan tertentu yang menyamakan fenomena alam semulajadi dengan tuhan sebagaimana terdapat di kalangan orang yang tidak percayakan tuhan menyamakan kuasa semulajadi dengan kuasa yang kreatif dan mempunyai tujuan seperti konsep elan vital yang diperkenalkan oleh ahli falsafah Perancis, Henri Bergson.

  1. Jin yang merujuk kepada organisma yang diberikan akal, ia sama ada merujuk kepada simbol kewujudan hubungan manusia dengan kuasa kesyaitanan seperti ayat 112 Surah Al-An’am[25] atau seseorang yang melakukan amalan yang dilarang seperti sihir, menenung nasib dan memuja simati sebagaimana ayat 128 Surah Al-An’am.[26]

  1. Jin dengan maksud seseorang yang pada masa tersebut tidak dapat dilihat kerana tersembunyi seperti dalam ayat 1 Surah Al-Jinn.[27] Dalam ayat ini Asad menganggap jin yang mendengar bacaan Al-Quran Rasulullah adalah sebenarnya orang-orang Yahudi yang mendengar secara bersembunyi. Walau bagaimanapun Asad mennyatakan di akhir tafsiran tersebut bahawa penerangan beliau ini adalah bukan secara pasti atau mempunyai bukti.

  1. Perkataan Jin yang digunakan untuk mengceritakan kembali legenda-legenda pada zaman dahulu yang sentiasa dalam ingatan orang yang mana ayat Al-Quran tersebut pada asalnya ditujukan kepada mereka seperti dalam ayat 12 Surah As-Saba’.[28] Matlamat ayat berkenaan bukanlah untuk merujuk kepada legenda tersebut tetapi illustrasi kepada kebenaran moral dan kerohanian.

Berdasarkan kepada lima tafsiran Jin yang dikemukakan oleh Asad tersebut, memperlihatkan bahawa Asad seboleh mungkin cuba merasionalkan perbincangan berkenaan Jin sesuai dengan zaman moden. Walau bagaimanapun beliau tidaklah menolak sepenuhnya tentang kewujudan makhluk Jin sebaliknya beliau cuba agar tidak mengaitkan Jin dengan unsur mistik yang difahami beliau berasal daripada cerita-cerita dongeng orang Arab. Berdasarkan tafsiran pertama terhadap Jin, Asad percaya bahawa Jin wujud dalam bentuk kuasa atau kewujudan kerohanian dan bukan secara fizikal. Ini berbeza dengan tafsiran-tafsiran ulama’ terdahulu dan banyak hadith Nabi yang secara jelas menceritakan tentang asal-usul ciptaan, makanan, tempat tinggal, dan azab api neraka yang akan dikenakan terhadap Jin sehingga berlaku perbincangan bagaimana Jin yang diciptakan dari api boleh diazab dengan api neraka.[29]

Kesimpulan dan Penutup

Jelas daripada perbincangan dua isu di atas berdasarkan kepada tafsir The Message of The Quran mendapati bahawa asas perbezaan tafsir Asad berbanding tafsir-tafsir lain adalah bertitik tolak kepada Ayat 7 Surah Ali Imran. Asad menggunakan ayat tersebut sebagai asas untuk memperluaskan pengkategorian ayat-ayat yang berkaitan dengan perkara-perkara ghaibiyyat sebagai ayat mutasyabihaat dan seterusnya mentakwilkan maksud ayat-ayat tersebut daripada maksud asal kepada maksud yang selari dengan akal. Ini dapat dilihat dalam tafsiran beliau dalam kisah Ashabul Kahfi dan ayat-ayat berkenaan Jin sebagaimana yang telah dibincangkan. Selain itu, konsep seperti syurga dan neraka di dalam Al-Quran turut disentuh oleh Asad secara metafora. Namun pendekatan Asad ialah beliau akan menerangkan juga pendapat-pendapat yang dikemukakan oleh pentafsir-pentafsir klasik sebelum beliau mengemukakan tafsiran beliau sendiri. Malah dalam tafsir kisah Ashabul Kahfi, Asad turut menyatakan bahawa pendapat beliau adalah bukan secara pasti dan mempunyai bukti yang jelas.

Walaupun Asad mempunyai tujuan yang baik mengemukakan tafsiran berkenaan tetapi tafsiran beliau menampakkan ciri modenisme iaitu menyempitkan skop ghaibiyyaat serta memberi tafsiran yang berbeza dengan tafsiran-tafsiran yang dikemukakan oleh pentafsir salaf. Kajian lanjut berkenaan tafsiran Asad terhadap konsep syurga dan neraka serta dialog Adam dan Iblis di dalam syurga boleh diteliti lanjut untuk melihat pengaruh modenisme dalam tafsir Asad. Tafsir Asad banyak dipengaruhi oleh Muhammad Abduh sebagaimana perakuan beliau dalam prakata The Message of the Quran bahawa beliau banyak memanfaatkan Tafsir Al-Manar.

Walau bagaimanapun ini tidaklah bermakna tafsir Muhammad Asad tidak boleh diterima pakai sebaliknya Asad telah melakukan tugas dan sumbangan yang besar kepada umat Islam dengan menghasilkan tafsir ini. Adalah menjadi tanggungjawab pengkaji Muslim yang selanjutnya meneruskan usaha meneliti tafsir beliau bagi memastikan hanya kefahaman berdasarkan Ahl Sunnah Wal Jamaah diambil manfaat daripada The Message of The Quran.
 





[1] Tafsir Bil Ma’tsur adalah tafsir yang bersandar kepada manqul (nukilan) yang sahih dengan susunan tafsir al-quran dengan al-quran, tafsir al-quran dengan as-sunnah kerana as-sunnah adalah penjelas kepada al-quran, atau riwayat sahabat kerana mereka adalah orang yang paling tahu tentang kitab Allah atau riwayat Kibar Tabi’in kerana kebiasaannya mereka menerima riwayat daripada sahabat. Lihat Manna’ Qattan (1990), Mabahis fi Ulum al-Quran, Beirut: Muassasah al-Risalah, c.22, h 347.  
[2] Tafsir Bil Ra’yi ialah tafsir Al-Quran secara Ijtihad dengan bersandar kepada (ilmu) alat-alat yang diperlukan oleh mufassir (untuk menafsir). Lihat Dr.Nuruddin ‘Itr (1993), Ulum Al-Quran Al-Karim, Damsyik: Matba’ah As-Sobah, c.1, h.85.  
[3] Dr.Nuruddin ‘Itr mengemukakan hujah-hujah golongan yang tidak membenarkan tafsir dengan ra’yi dan golongan yang membenarkannya dalam kitab beliau Ulum Al-Quran Al-Karim. Ibid, h. 75 – 78.
[4] Muhammad Asad (1996), The Road To Mecca, Kuala Lumpur: Islamic Book Trust, h. 55 – 56.
[5] Mimpi dalam Islam terbahagi kepada tiga jenis dan mimpi yang baik adalah daripada Allah sebagaimana hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh  Imam Bukhari, Rasulullah bersabda (الرؤيا الصادقة من الله والحلم من الشيطان) bermaksud mimpi yang benar daripada Allah dan mimpi buruk daripada syaitan, hadith no.6583. Ibn Saud memberikan tafsiran berikut berkenaan mimpi Asad:
·         orang ramai yang berada dalam keadaan kebingungan adalah menjelaskan kepada keadaan orang-orang yang sesat dalam surah Al-Fatihah.
·         Unta dan lelaki yang menungangnya adalah hidayah yang banyak diceritakan dalam Al-Quran manakala lelaki berpakaian abaya tersebut adalah Rasulullah sendiri kerana di dalam hadith diceritakan bahawa Rasulullah gemar berpakaian jubah yang berlengan pendek.
·         Bandar yang paling jauh dari Barat adalah gambaran kepada keadaan Asad mencapai Islam dengan meninggalkan kehidupan barat sehinggalah kehidupan Barat berkenaan bukan lagi menjadi kehidupannya.
Ibid, h.171 – 170.
[6] Ibid, h.64 – 66.
[7] Muhammad Asad (1982), Islam at the Crossroads, Kuala Lumpur: The Other Press, h. viii
[8] Muhammad Asad (1982), ibid, h. vii – ix.
[9] Secara literal terjemahannya: “Hasil kerja yang saya persembahkan kepada masyarakat umum ini adalah berdasarkan kepada pembelajaran seumur hidup dan tempoh masa yang lama dihabiskan di negara Arab. Ia adalah satu usaha- kemungkinan percubaan pertama- penjelasan kepada perumpamaan-perumpamaan yang terdapat dalam mesej Al-Quran kepada bahasa Eropah.” Lihat Muhammad Asad (1980), The Message of The Qur’an, Gibraltar: Dar Al-Andalus, h.v.
[10] Asad menerangkan seperti berikut:
If, on occasion, I have found myself constrained to differ from the interpretations offered by later, let the reader remember that the very uniqueness of the Quran consists in the fact that the more our worldly knowledge and historical experience increase, the more meanings, hitherto unsuspected, reveal themselves in its pages. Ibid, h. vii.
[11] Edt. Hajah Noresah Bt. Baharom (2010), Kamus Dewan, edisi keempat,Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, c.3 h.1039
[12] Ibid, h.590
[13] Prof. Naquib Al-Attas membezakan antara sekularisem dengan pensekularan di mana sekularisme mengadungi ciri ‘dienchantment of nature’ dan ‘desacralization of poitics’ manakala pensekularan turut mengandungi ciri ketiga iaitu ‘deconsecration of values’. Lihat Syed Muhammad Naquib Al-Attas (1993), Islam and Secularism, Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization, h.18-19.
[14] Ibid, h.1039
[15] Kamus Oxford memberikan definasi berikut kepada modernism:
     modern character or quality of thought, expression, or technique:
·         a style or movement in the arts that aims to depart significantly from classical and traditional forms:by the post-war period, modernism had become part of art history
·         a movement towards modifying traditional beliefs in accordance with modern ideas, especially in the Roman Catholic Church in the late 19th and early 20th centuries.
Lihat laman sesawang http://oxforddictionaries.com/definition/english/modernism, dilayari pada 27 Disember 2012. Lihat juga Edt. Lesley Brown (1993), The New Shorter Oxford English Dictionary, Thumb Index Edition, Oxford: Clarendon Press, j.1, h. 1804.
[16] Edt. Richard C.Martin (2004), Encyclopedia of Islam and the Muslim World,  USA: Macmillan Reference, j.1, h. 456.
[17] Charles C. Adam (1968), Islam and Modernism in Egypt: A Study of The Modern Reform Inaugurated by Muhammad Abduh, New York: Russell & Russell, h.1
[18] Ibrahim Abu Bakar (1992), Islamic Modernism in Malaya as Reflected in Hadi’s Thought, tesis peringkat Phd di Universiti McGill, Kanada.
[19] Muslih adalah orang yang mengerakkan usaha islah atau dalam hadith nabi digunakan juga istilah Mujaddid iaitu orang yang menggerakkan usaha tajdid dalam agama
[20] Syeikh Salman Fahd al-Audah (1409), Fi Hiwar Haadiun ma’a Muhammad al-Ghazali, Arab Saudi: Ar-Riasah Al-A’mah li Idarat al-Buhuth al-Ilmiyyah wal Ifta’ wal Da’wah wal Irsyad, c.1, h.10. Lihat juga kertas kerja Dr.Habeeb Rahman Md. Ibramsa bertajuk ‘Muslim Modernist and New Hermeneutics Approach to the Prophetic Tradition: Special Reference to the Injunction of Sariqah and Hirabah’ yang dibentangkan di AMSS 34th Annual Conference, United States antara 30 September – 2 Oktober 2005.
[22] Muhammad Asad (1980), The Message of the Quran, ibid, h. 439.
[23] Muhammad Asad (1980), The Message of the Quran, ibid, h. 386.
[24] Antara yang membawa tafsiran Jinnah sebagai malaikat adalah At-Tabari dalam tafsir beliau mengemukakan beberapa riwayat daripada salaf yang menyatakan bahawa orang-orang kafir mendakwa bahawa malaikat adalah anak-anak perempuan Allah. Lihat http://www.altafsir.com/Tafasir.asp?tMadhNo=1&tTafsirNo=1&tSoraNo=37&tAyahNo=158&tDisplay=yes&UserProfile=0&LanguageId=1 , dilayari pada 1 Januari 2013.
[25] Terjemahan Asad terhadap ayat 112 Surah Al-An’am: And thus it is that against every prophet We have set up as enemies the evil forces from among humans as well as from among invisible beings that whisper unto one another glittering half-truths meant to delude the mind.....Lihat Muhammad Asad (1980), ibid, h.189.
[26] Terjemahan Asad terhadap ayat 128 Surah Al-An’am: And on the day when He shall gather them (all) together, (He will say:) “O you who have lived in close communion with (evil) invisible beings! A great many (other) human beings have you ensnared!........ibid, h.192.
[27] Terjemahan Asad terhadap ayat 1 Surah Al-Jinn: Say: “It has been revealed to me that some of the unseen beings gave ear (to this divine writ), and thereupon said (unto their fellow-beings): “Verily, we have heard a wondrous discourse.” Ibid, h. 899.
[28] Terjemahan Asad terhadap ayat 12 Surah Saba’: And unto Solomon (we made subservient) the wind: its morning course (covered the distance of) a month’s journey, and its evening course, a month’s journey. And We caused a fountain of molten copper to flow at his behest; and (even) among the invisible beings there were some that had (been constrained) to labour for him by his Sustainer’s leave-and which ever of them deviated from Our command, him would We let taste suffering through a blazing flame. Ibid, h 656-657.
[29] Lihat Wahid Abdul Salam Bali (t.t), Wiqayat Al-Insan Min Al-Jin Wa As-Syaitan, Kaherah: Darul Basyir.