Shahizad Bin Sulaiman
Hadith
dari segi bahasa memberi dua makna iaitu sesuatu yang baru ( الجديد ) atau perkhabaran ( الخبر ).[1] Maksud kedua tersebut adalah hampir dengan
maksud istilah yang digunakan oleh Muhaddithin kerana dari segi istilah, Hadith
ialah apa yang disandarkan kepada Nabi Muhammad SAW dari segi ucapan,
perbuatan, taqrir, sifat fizikal, akhlak sama ada sebelum baginda diutuskan
sebagai nabi atau selepasnya[2]. Walaupun Hadith merupakan suatu warisan
daripada Nabi SAW, namun kerelevanannya sentiasa terpelihara sehingga zaman
kini kerana usaha Ulama’ yang sentiasa ‘menggali’ pengajaran baru daripada
Hadith agar ia dapat diaplikasi untuk zaman semasa. Justeru, dalam konteks ini,
maksud Hadith dari segi bahasa sebagai sesuatu yang baru adalah tepat kerana
pengajaran yang baru sentiasa diistinbat oleh ulama’ daripada hadith sesuai
dengan peredaran zaman.
Ulama’ hadith
telah membahagikan hadith kepada beberapa kategori berdasarkan kepada analisis
kritikan sanad dan matan hadith yang mereka jalankan. Secara asasnya hadith
terbahagi kepada hadith sahih, hassan dan dhaif. Terma hadith hassan terdapat
dalam hadith mursal yang diriwayatkan oleh Imam Ibn Abdil Barr (m. 463H)
melalui Muhammad Bin Al-Munkadir (m. 130H) di mana diriwayatkan bahawa
Rasulullah SAW bersabda:
مَا أَفَادَ
الْمُسْلِمُ أَخَاهُ فَائِدَةً أَحْسَنَ مِنْ حَدِيثٍ حَسَنٍ بَلَغَهُ
فَبَلَّغَهُ
Terjemahan: Tiada
seorang Muslim memberikan manfaaat yang lebih baik kepada saudaranya
daripada hadith hassan (kata-kata yang baik) yang
disampaikannya, maka sampaikanlah ia.[3]
Ulama’ yang
paling awal menggunakan istilah hadith hassan secara meluas di dalam karyanya
adalah Imam at-Tirmizi (m. 292H) di dalam kitab Jami’ beliau[4].
Dalam hal ini, Ibn al-Salah (m. 643H) berpandangan bahawa Kitab Abu Isa
at-Tirmizi merupakan asal pengetahuan Hadith Hassan dan dialah yang
mempopularkan istilah berkenaan melalui kitab tersebut. Imam Ibn Taimiyyah pula
berpandangan bahawa Imam at-Tirmizi adalah orang yang pertama mempopularkan
pembahagian hadith kepada tiga kategori iaitu sahih, hassan dan dhaif di mana
sebelum beliau hadith cuma dibahagikan kepada sahih dan dhaif sahaja.[5] Walau
bagaimanapun, terma hadith hassan telah digunakan oleh ulama’ lain yang
terlebih awal daripada Imam At-Tirmizi (m. 292H). Ini boleh didapati daripada
Kitab Jami’ At-Tirmizi sendiri di mana Imam At-Tirmizi (m. 292H)
merekodkan ulasan guru beliau, Imam al-Bukhari (m. 256H), mengenai hadith
berikut:
عَنْ الصَّلْتِ
بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ نَوْفَلٍ، قَالَ: رَأَيْتُ ابْنَ عَبَّاسٍ يَتَخَتَّمُ
فِي يَمِينِهِ وَلَا إِخَالُهُ إِلَّا قَالَ: }رَأَيْتُ
رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَتَخَتَّمُ فِي يَمِينِهِ{ قَالَ مُحَمَّدُ
بْنُ إِسْمَاعِيلَ: حَدِيثُ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَاقَ، عَنِ الصَّلْتِ بْنِ
عَبْدِ اللَّهِ بْنِ نَوْفَلٍ حَدِيثٌ حَسَنٌ
Daripada
As-Salt bin Abdillah Bin Nawfal, beliau berkata: Aku telah melihat Ibn Abbas
memakai cincin pada tangan kanannya dan tidak menaggalkannya melainkan dia
berkata: {Aku telah melihat Rasulullah SAW memakai cincin pada tangan kanannya}
Berkata Muhammad Bin Ismail: Hadith Muhammad Bin Ishaq, daripada as-Salt Bin
Abdillah Bin Nawfal adalah Hadis Hassan.
Berdasarkan
bukti tersebut, terma hadith hassan jelas telah digunakan oleh guru-guru Imam
at-Tirmizi (m. 292H) serta tabaqah sebelumnya seperti Imam al-Bukhari (m.
256H), Imam Ahmad Bin Hanbal (m. 241H), Imam as-Syafie (m. 204H), Ibrahim
an-Nakhaie (m. 96H) dari kalangan Mutaqaddimin.[6] Apakah
maksud hadith hassan yang terdapat pada ungkapan sarjana hadith terdahulu
tersebut? Adakah hassan yang dimaksudkan sarjana hadith terdahulu sama dengan
konsep hadith hassan di sisi sarjana hadith semasa? Kajian ini akan cuba
menanggapi persoalan-persoalan berkenaan.
Sarjana
Hadith Terdahulu dan Semasa
Kajian
ini akan meneliti pandangan sarjana hadith terdahulu dan semasa berkaitan
konsep hadith hassan. Sarjana hadith terdahulu yang dimaksudkan di sini adalah
mereka yang hidup pada kurun ke-13 dan sebelumnya. Mereka ini terdiri daripada
Mutaqaddimin dan Mutaakkhirin di kalangan ulama’ hadith.
Pembahagian
sarjana hadith kepada istilah Mutaqaddimin dan Mutaakhirin adalah sesuatu yang
terdapat secara meluas dalam karya-karya ulama’ hadith semisal Ibn al-Salah (m.
643H), Ibn Hajar al-‘Asqalani (m. 852H), As-Sakhawi (m. 902H), As-Sayuti (m.
911H) dan Anwar Syah Kashmiri (m. 1352H). Dr. Hamzah al-Malibari di dalam karya
beliau al-Muwazanah Baina al-Mutaqqadimin wa al-Mutaakhirin
fi Tashih al-Hadith wa Ta’liluha membawakan 42 petikan ungkapan
daripada tokoh sarjana hadith bagi menunjukkan bahawa pembahagian tersebut
sesuatu yang telah diterima ulama’ sejak dari dahulu lagi.[7] Antara
contoh yang dikemukakan oleh beliau ialah kalam As-Sakhawi (m. 902H) seperti
berikut:
وَلِذَا كَانَ الْحُكْمُ بِهِ مِنَ
الْمُتَأَخِّرِينَ عَسِيرًا جِدًّا، وَلِلنَّظَرِ فِيهِ مَجَالٌ، بِخِلَافِ
الْأَئِمَّةِ الْمُتَقَدِّمِينَ الَّذِينَ مَنَحَهُمُ اللَّهُ التَّبَحُّرَ فِي
عِلْمِ الْحَدِيثِ وَالتَّوَسُّعَ فِي حِفْظِهِ
Maksud: Oleh
itu, untuk memberikan hukum dengannya di kalangan Mutaakhirin adalah
sesuatu yang amat sukar, terdapat ruang untuk dikritik. Berbeza dengan
Imam-Imam al-Mutaqaddimin yang dikurniakan Allah kedalaman ilmu
Hadith dan keluasan dari segi hafalannya.[8]
Pembahagian
ini adalah cerminan daripada perjalanan Sunnah Nabi daripada Marhalah Riwayah
yang bermula daripada zaman Sahabat sehingga kurun ke-5H kepada Marhalah
selepas Riwayah yang bermula daripada kurun ke-6H.[9] Setiap marhalah tersebut mewakili
manhaj yang berbeza dalam penilaian hadith. Menurut Dr. Hamzah, Imam al-Baihaqi
(m. 458H) adalah tokoh terakhir bagi era manhaj Mutaqaddimin.[10] Memandangkan sarjana hadith
terdahulu adalah ramai serta limitasi masa, maka kajian ini akan cuba meneliti
konsep hadith hassan yang dikemukakan oleh Imam at-Tirmizi, Abu Sulayman
al-Khattabi, Abu Faraj Ibn Jauzi, Imam Ibn al-Salah dan Ibn Hajar al-Asqalani
dan al-Kafaji.
Manakala
sarjana hadith semasa adalah di kalangan sarjana hadith yang hidup pada kurun
ke-14 hijrah samada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Antara sarjana
hadith semasa yang akan diteliti pandangan mereka berkaitan konsep hadith
hassan ialah at-Tahanawi, Nasiruddin al-Albani (m. 1420H), Dr. Mahmud Thahhan
(m. 1444H), Dr. Mustafa Said al-Khan (m. 1428H) dan Dr. Badi’ al-Sayyid
al-Lahham serta Abdullah Bin Yusuf al-Jadi’.
Konsep pula
merujuk kepada pengetahuan am atau idea yang mendasari sesuatu.[11] Bagi
menelusuri konsep hadith hassan, pengkaji akan meneliti ta’rifan hadith hasaan
yang telah dikemukakan oleh beberapa sarjana hadith terdahulu dan semasa serta
menganalisis persamaan dan perbezaan antara konsepsi kedua-dua golongan
berkenaan.
Hassan
dari sudut bahasa
Hassan
dari sudut bahasa bermaksud baik dan lawannya adalah buruk (سَيِّئ). Di dalam Al-Quran, Allah SWT berfirman:
{مَّن ذَا الَّذِي
يُقْرِضُ اللَّهَ قَرْضاً حَسَناً فَيُضَاعِفَهُ لَهُ أَضْعَافاً كَثِيرَةً
وَاللَّهُ يَقْبِضُ وَيَبْسُطُ وَإِلَيْهِ تُرْجَعُونَ}
Maksud: Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman
kepada Allah sebagai pinjaman yang baik supaya Allah
melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah),
Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan
kepada-Nyalah kamu semua dikembalikan – Surah al-Baqarah, Ayat 245.
Melalui firman
Allah swt tersebut, terma hassan dipakai dari segi makna bahasa yang membawa
maksud sesuatu yang baik. Ini juga makna yang di bawa di dalam syair Arab
seperti berikut:
كُلُّ امرِىءٍ
سوفَ يُجْزى قرضَهُ حَسَناً # أوْ سَيِّئاً أَوْ مَدِينا مثلَ ما دانا
Setiap orang akan
dibalas pinjamannya, samada baik #
Atau buruk, atau orang yang berhutang
dibalas sesuai dengan hutangya.[12]
Pengertian
Hassan Menurut Sarjana Hadith Terdahulu
Walaupun
perkataan hassan telah dipakai oleh sarjana hadith sebelum Imam at-Tirmizi,
setakat penelitian pengkaji tidak terdapat definisi khusus yang dikemukakan
kecuali yang dibawakan oleh Imam at-Tirmizi dalam Kitab I’lal beliau. Imam
at-Tirmizi memberikan definisi berikut kepada Hadith Hassan:
وما ذكرنا في هذا الكتاب: (حديثٌ حسنٌ)، فإنَّما
أردنا به حُسْنَ إسناده عندنا: كلُّ حديثٍ يُروَى لا يكون في إسناده متَّهمٌ
بالكذب، ولا يكون الحديث شاذًّا، ويُروى من غير وجهٍ نحوُ ذلك؛ فهو عندنا حديثٌ حسنٌ
Maksud: Apa
yang kami nyatakan dalam kitab ini (Hadith Hassan), sesungguhnya yang kami
kehendaki adalah sanadnya baik di sisi kami iaitu setiap hadith yang
diriwayatkan tidak terdapat pada sanadnya orang yang dituduh penipu, hadith
tersebut tidak syaz dan diriwayatkan bukan melalui riwayat tersebut sahaja.
Maka itulah di sisi kami hadith hassan.[13]
Berdasarkan
kepada definisi yang dikemukakan oleh Imam at-Tirmizi tersebut, hadith hassan
mempunyai tiga ciri seperti berikut:
1.
Tiada perawi dituduh berdusta
2.
Tidak syaz
3.
Terdapat syawahid atau mutabaat yang menyokong
riwayat tersebut
Di kalangan
sarjana hadith ada yang melihat defnisi Imam at-Tirmizi mempunyai konflik
dengan pengkelasan hadith di dalam Kitab Jami’ beliau kerana terdapat hadith
yang beliau hukum sebagai Hassan Gharib. Justeru sekiranya hadith
tersebut adalah hassan bermakna terdapat riwayat lain sepertinya atau
seumpamanya yang menyokong riwayat tersebut sebagaimana ciri al-hassan Imam
at-Tirmizi, sedangkan dalam masa yang sama hadith tersebut dihukum sebagai
gharib iaitu tiada saluran lain yang meriwayatkannya.[14]
Ulama’ daripada Busti, Al-Khattabi (m. 388H) pula
memberikan ta’rifan hadith hassan sebagai:
ما عرف مخرجه واشتهر رجاله وعليه مدار أكثر
الحديث وهو الذي يقبله أكثر العلماء ويستعمله عامة الفقهاء
Terjemahan: Apa
yang diketahui tempat keluarnya dan periwayatnya masyhur dan ia adalah paksi
banyak hadith. Hadith tersebut diterima oleh ramai ulama’ dan digunakan ia oleh
fuqaha secara umumnya.[15]
Konsep Hassan
di sisi al-Khattabi (m. 388H) pula lebih umum dengan menjadikan syarat
hadith tersebut diterima oleh ulama’ dan fuqaha’ serta periwayatnya hendaklah
mashyur dan menjadi paksi kepada banyak hadith lain.
Sarjana hadith
berasal dari Baghdad, Abu al-Faraj Ibn Jauzi (m. 597H) melalui Kitab
al-Maudua’at membahagikan hadith kepada enam bahagian di mana bahagian
keempatnya beliau meletakkan hadith hassan dan memberikan definisi berikut:
مَا فِيهِ ضعف
قريب مُحْتَمل وَهَذَا هُوَ الْحسن وَيصْلح الْبناء عَلَيْهِ وَالْعَمَل بِهِ
Terjemahan: Apa
yang terdapat kebarangkalian kelemahan yang ringan padanya, itulah al-Hassan,
dan boleh membina (hukum) dan beramal dengannya.[16]
Definisi Ibn
al-Jauzi ini mempunyai persamaan dengan konsep yang dikemukakan oleh
al-Khattabi dari segi menetapkan bahawa hadith hassan adalah diterima dan
diamalkan oleh ulama’. Namun, jika di teliti ketiga-tiga definisi yang
dikemukakan sebelum ini, terdapat perbezaan apa yang dimaksudkan dengan hadith
hassan pada pandangan mereka. Kemusykilan ini dizahirkan oleh Ibn al-Salah (m.
643H) apabila beliau menyatakan bahawa:
كُلُّ هَذَا مُسْتَبْهَمٌ لَا يَشْفِي الْغَلِيلَ،
وَلَيْسَ فِيمَا ذَكَرَهُ التِّرْمِذِيُّ وَالْخَطَّابِيُّ مَا يَفْصِلُ الْحَسَنَ
مِنَ الصَّحِيحِ
Terjemahan: Setiap
(ta’rifan) tersebut terdapat kesamaran yang tidak dapat diselesaikan. Apa yang
disebut oleh at-Tirmizi dan al-Khattabi tidak membezakan antara al-hassan
daripada as-Sahih.[17]
Justeru Ibn
al-Salah telah mengambil pendekatan dengan mengemukakan dua definisi bagi
menjustifikasi definisi hassan yang dikemukakan oleh kedua sarjana hadith dari
kalangan Mutaqaddimin tersebut. Beliau menyatakan bahawa:
إنَّ الحسن
قسمان:أحدهما: ما لا
يخلو سندُه من مستورٍ لم تتحقَّق أهليتُه، لكنَّه غيرُ مغفَّلٍ ولا خطَّاءٍ ولا
متَّهم، ويكون المتنُ مع ذلك عُرِف مثلُه أو نحوُه من وجهٍ آخر اعتضد به. وثانيهما: أن
يكون راوِيْهِ مشهورًا بالصِّدق والأمانة، لكنَّه لم يبلغ درجة رجال الصَّحيح؛
لقصوره عنهم في الحفظ والإتقان، وهو مع ذلك يرتفع عن حال من يُعَدُّ تفرُّده
منكرًا، مع عدم الشُّذوذ والعلَّة
Terjemahan: Sesungguhnya
al-Hassan ada dua kategori: salah satu dari keduanya: Sesuatu (hadith) yang
tidak sunyi sanadnya daripada yang mastur (tersembunyi) yang tidak dapat
dipastikan keahliannya, tetapi dia bukan tidak diketahui, selalu melakukan
kesilapan dalam periwayatan dan dituduh berdusta. Manakala teksnya pula
ada sepertinya atau seumpamanya daripada jalan lain yang menyokong riwayat
tersebut. Kedua: terdapat perawinya masyhur dengan bercakap benar dan jujur,
tetapi dia tidak sampai ke tingkatan periwayat yang sahih kerana kekurangan
dari segi hafalan dan ketekunan. Dalam masa yang sama dia terangkat daripada
keadaan periwayatan tafarrud yang munkar serta tidak terdapat syaz dan ‘illah.
Bagi Ibn
al-Salah, definisi pertama yang dikemukakan beliau tersebut adalah maksud
hadith hassan yang menepati definisi Imam at-Tirmizi. Secara asasnya ciri
hadith hassan pertama yang dibawakan oleh Ibn al-Salah ini ialah:
1.
Terdapat perawi yang tidak dipastikan status
tetapi bukan perawi munkar atau dhaif.
2.
Ada riwayat sokongan atau mutaba’at.
Manakala
kategori kedua ini pula merupakan maksud hadith hassan yang
dikemukakan oleh Al-Khattabi, menurut Ibn al-Salah.[18] Ciri
hadith kategori ini ialah:
1.
Perawi yang adil tetapi kurang dhabit.
2.
Riwayat tafarrud dan tidak bercanggah dengan
riwayat lain yang lebih kuat.
3.
Tidak syaz dan tiada illah.
Walaupun Ibn
al-Salah membahagikan hadith hassan kepada dua kategori tersebut, namun beliau
tidak menafikan kemungkinan penggunaan hassan oleh ulama’ sebelum beliau adalah
dari segi bahasa dan bukannya dari segi istilah sebagaimana yang diterangkan
oleh beliau tersebut.[19] Dalam
mengulas ta’rifan Imam At-Tirmizi terhadap hadith hassan, Ibn Hajar (m. 852H)
menyatakan bahawa:
واقتَصَرَ على تعريف ما يقولُ فيه في كتابه: حَسَنٌ
فقط إمّا لِغُموضِه، وإمّا لأنه اصطلاحٌ جديد، ولذلك قيَّدَهُ بقوله:
"عندَنا" ولم يَنْسِبْه إلى أهل الحديث كما فَعَلَ الخَطَّابيُّ
Terjemahan: Beliau
(Imam at-Tirmizi) menghadkan ta’rif apa yang beliau nyatakan dalam kitabnya
iaitu Hassan sahaja samada kerana kekaburannya atau kerana itu istilah baru.
Disebabkan itu dia mengikat ta’rifan tersebut dengan katanya ‘di sisi kami’ dan
tidak menyandarkannya kepada ahli hadith seperti yang dilakukan oleh
al-Khattabi.[20]
Di dalam
Nukhbat al-Fikr, Ibn Hajar (m. 852H) memberikan takrifan hadith sahih
sebagai hadith Ahad yang dinukilkan oleh perawi yang adil, dhabit yang
sempurna, bersambung sanad, tidak syaz dan tiada ‘Ilal. Kemudian beliau memberi
definisi hadith hassan lizatihi sebagai:
فإنْ
خَفَّ الضبطُ والمراد مع بقية الشروط المتقدمة في حدِّ الصحيح = فهو الحسنُ
لذاته
Terjemahan: Sekiranya
kurang dhabit (ingatan) beserta baki-baki syarat yang terdahulu daripada had
al-Sahih maka ia adalah al-Hassan lizatihi.[21]
Muhyiddin
Al-Kafiji (m. 879H) berpandangan bahawa semua hadith hassan seperti hadith
sahih dari segi penghujahan dengannya dan tidak sama dengan hadith sahih dari
segi kekuatan kerana syarat hadith sahih sabit kesempurnaan keadilan, hafalan
dan ketelitian dalam periwayatan dengan jalan yang masyhur di kalangan perawi
samada dengan nukilan yang sahih berbeza dengan hassan.[22]
Pengertian
Hassan Menurut Sarjana Hadith Semasa
Di
kalangan sarjana hadith semasa di India, Maulana Zafar Ahmad al-Usmani
al-Tahanwi (m. 1394H), membahagikan hadith hassan kepada lizatihi dan
lighairihi. Bagi beliau hadith hassan lizatihi ialah hadith yang diriwayatkan
oleh perawi yang kurang dhabt (hafalan) dan sifat-sifat yang lain. Sifat-sifat
lain adalah merujuk kepada ciri-ciri hadith sahih iaitu perawi adil, bersambung
sanad, tiada ‘illah dan tidak syaz. Manakala hadith hassan lighairihi adalah
khabar yang tunggal yang diriwayatkan oleh perawi yang buruk hafalannya,
sekiranya berlaku ikhtilat (percampuran/kekeliruan) tidak
dapat dibezakan yang mana diriwayatkan sebelum ikhtilat, atau mastur
(tersembunyi), atau hadithnya mursal, atau terdapat mudallis dalam
periwayatannya yang tidak diketahui siapa yang dihilangkan, dan terdapat
mutaba’ah daripada perawi yang seumpamanya atau lebih tinggi darjat
daripadanya.[23]
Syeikh
Nasiruddin al-Albani (m. 1420H) membahagikan hadith hassan kepada
lizatihi dan lighairi serta mengemukakan definisi berikut:
هو ما دون
الصحيح مما فيه ضعف قريب محتمل عن راو لا ينتهي الى درجة الثقة الضابط ولا ينحط
الى درجة العدل السيء الحفظ
Terjemahan: (Hadith
Hassan lizatihi) ialah apa yang di bawah as-Sahih terdapat padanya
kebarangkalian kelemahan yang ringan daripada perawi yang tidak sampai kepada
darjat tsiqah dhabit dan tidak jatuh kepada darjat perawi adil yang buruk
hafalan.[24]
حسن لغيره وهو
الذي تقوي بالطرق ولكن لم تكثر طرقه ويكفي فيه طريقان لم يشتد ضعفهما
Terjemahan: Hassan
lighairihi ialah (hadith) yang diperkuatkan dengan beberapa jalan lain
tetapi tidak banyak jalan-jalan tersebut, mencukupi dua jalan sahaja dan
kedua-duanya tidak terlalu lemah.[25]
Dr.
Mahmud al-Thahhan (m. 1444H) ketika membicarakan tentang definisi hadith hassan
menyatakan persetujuan beliau kepada definisi yang telah diberikan oleh Ibn
Hajar (m. 852H) dan berpandangan bahawa definisi al-Khattabi terlalu
banyak kritikan manakala Imam at-Tirmizi pula tersilap memberi definisi hadith
hassan lighairihi sedangkan beliau ingin mendefinisi hadith hassan lizatihi.
Dr. Mahmud (m. 1444H) menyimpulkan definisi hadith hassan berdasarkan apa
yang telah dikemukakan oleh Ibn Hajar (m. 852H) sebagai:
هو ما اتصل
سنده بنقل العدل الذي خف ضبطه عن مثله الى منتهاه من غير شذوذ ولا علة
Terjemahan: Iaitu
sesuatu (hadith) yang bersambung sanadnya dengan perawi adil yang kurang
dhabt-nya (hafalanya) daripada awal sehingga akhir, tanpa syaz dan tiada
‘illah.[26]
Dr. Mahmud (m. 1444H) juga membahagikan hadith
hassan kepada hassan lighairihi dan definisi yang beliau berikan ialah:
هو الضعيف اذا
تعددت طرقه ولم يكن سبب ضعفه فسق الراوي او كذبه
Terjemahan: Ia
adalah (hadith) dhaif yan terdapat beberapa jalan lain dan sebab kedhaifannya
bukan kerana perawinya fasik atau penipu.[27]
Manakala
dua sarjana hadith semasa dari Syria, Dr. Mustafa Said al-Khan (m. 1428H) dan
Dr. Badi’ al-Sayyid al-Lahham, setelah menilai dan mengkritik definisi hadith
hassan yang diberikan oleh sarjana hadith terdahulu sebagai tidak jami’
(merangkumi semua) dan mani’ (menghalang yang tidak sesuai), mereka memberikan
definisi hadith hassan yang mu’tamad di sisi Mutaakhirin sebagai berikut:
الحديث الذي
اتصل سنده بنقل العدل الضابط الذي خف ضبطه من
غير ان يكون شاذا ولا معللا
Terjemahan: Hadith
yang bersambung sanadnya dengan periwayatan seorang yang adil, dhabit yang
kurang kedhabitannya, tanpa berlaku syaz dan tidak muallal.[28]
Dr. Mustafa
Said al-Khan (m. 1428H) dan Dr. Badi’ al-Sayyid al-Lahham merujuk kepada
definisi Ibn al-Salah terhadap hadith hassan lighairihi dan memberikan
penjelasan seperti berikut:
هو الحديث الذي
يكون ضعيفا باصله لضعف راويه وسبب ضعف الراوي فيه ناشئ عن سوء حفظه او الجهل
بحاله وهذا معنى قوله تتحقَّق
أهليتُه فاذا اعتضد
حديث مثل هذا الراوي بمجيئه من طريق سند اخر مثله او اقوى منه وهذا معنى قوله
اعتضد بمتابعة من تابع او اعتضد بمجيئ
حديث اخر بمعناه وهذا معنى الشاهد
Terjemahan: Ia
adalah hadith yang dhaif asalnya disebabkan perawinya serta sebab kelemahan
perawi tersebut terjadi kerana teruk hafalannya atau tidak diketahui halnya
itulah makna kata (ibn al-Salah) تتحقَّق أهليتُه , maka bila ia disokong oleh hadith sama seperti perawi
tersebut daripada jalan lain yang seumpamanya atau lebih kuat, itulah yang
dimaksudkan dengan اعتضد بمتابعة من تابع atau disokong dengan hadith lain yang serupa
dengannya itulah makna الشاهد
Abdullah
Bin Yusuf al-Jadi’ turut membahagikan al-Hassan kepada dua kategori seperti
berikut:
الأول: الحسن
بتعريفه الذي صدرت به، وهو ما عاد الفارق بينه وبين (الصحيح) إلى قدر الإتقان فيمن
ترجح حفظه ولم يتفرد بأصل.
وهذا هو (الحسن
لذاته). والثاني:
المروي من وجه لين أو ضعيف لم يبلغ السقوط، جاء معناه من وجه آخر صالح للاعتبار
به، فتقوى به.وهذا هو (الحسن
لغيره)، وهو رواية الضعيف المنجبرة
Terjemahan: Pertama:
Al-Hasan menurut takrifan yang dikeluarkannya, iaitu apa yang membezakannya
dengan (Sahih) pada tahap penguasaan pada tahap orang yang lebih cenderung
menghafalnya dan tidak bersendirian. Ini adalah (Hassan lizatihi). Keduanya:
al-Marwi daripada saluran yang layyin (lembut) atau dhaif tidak sampai pada
tahap gugur. Datang daripada saluran yang lain makna (hassan lighairihi) yang
solih untuk Iktibar dengannya maka dia menjadi kuat disebabkannya. Itulah
hadith Hassan ligairihi. Ia adlaah riwayat yang lemah yang boleh ditambahbaik.
Kesimpulan
analisis pandangan sarjana hadith
Jadual
1: Ringkasan perbandingan definisi hadith hassan
|
Definisi
hadith hassan |
Kelainan |
At-Tirmizi (m. 292H) |
Hadith yang
tiada perawinya dituduh berdusta, tidak syaz dan terdapat mutaba’at yang
menyokong riwayat tersebut. |
Zaman awal
terma hadith hassan Penjelasan maksud hadith hassan berbeza-beza
dan tidak jelas antara hassan dan sahih. Hassan banyak dipakai dari sudut
bahasa yang membawa makna sahih juga. |
Al-Khattabi (m. 388H) |
Hadith yang
diterima oleh ulama’ dan fuqaha’ serta periwayatnya hendaklah mashyur dan
menjadi paksi kepada banyak hadith lain. |
|
Ibn Jauzi (m. 597H) |
Hadith yang
terdapat kebarangkalian kelemahan yang ringan padanya dan boleh membina
(hukum) dan beramal dengannya. |
|
Ibn
al-Salah (m.
643H) |
Bahagi kepada
dua kategori: 1. Hadith
yang terdapat perawi yang tidak dipastikan status tetapi bukan perawi munkar
atau dhaif dan ada riwayat sokongan atau mutaba’at. 2. Hadith
yang terdapat perawi yang adil tetapi kurang dhabit, riwayat tafarrud tetapi
tidak bercanggah dengan riwayat lain yang lebih kuat serta tidak syaz dan
tiada illah. |
Zaman transisi
terma hadith hassan Ibn al-Salah
mula membahagikan hadith hassan kepada dua kategori untuk memisahkan
antara sahih dan hassan. Ia diikuti oleh orang selepasnya. Al-Hassan
dipakai satu istilah khusus dalam hadith. |
Ibn Hajar (m. 852H) |
Memberikan
definisi hadith hassan lizatihi sebagai hadith Ahad yang
dinukilkan oleh perawi yang adil, kurang dhabit, bersambung sanad, tidak syaz
dan tiada ‘Ilal. |
|
Zafar
al-Tahanwi (m. 1394H) |
Membahagikan
hadith hassan kepada 2 kategori iaitu:. 1. Hadith
hassan lizatihi ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang adil, kurang,
bersambung sanad, tiada ‘illah dan tidak syaz. 2. Hadith
hassan lighairihi adalah khabar yang tunggal yang diriwayatkan oleh perawi
yang buruk hafalannya, sekiranya berlaku ikhtilat (percampuran/kekeliruan)
tidak dapat dibezakan yang mana diriwayatkan sebelum ikhtilat, atau
mastur (tersembunyi), atau hadithnya mursal, atau terdapat mudallis dalam
periwayatannya yang tidak diketahui siapa yang dihilangkan, dan terdapat
mutaba’ah daripada perawi yang seumpamanya atau lebih tinggi darjat
daripadanya. |
Zaman
pengukuhan terma hadith hassan Pembahagian
hassan lizatihi dan lighairihi menjadi popular dan diterima umum. Sarjana hadith
semasa memperjelas dan menyeragamkan makna hadith hassan. |
Al-albani (m. 1420H) |
Membahagikan
hadith hassan kepada 2 kategori iaitu: 1. Hadith
hassan lizatihi iaitu terdapat kebarangkalian kelemahan yang ringan daripada
perawi yang tidak sampai kepada darjat tsiqah dhabit dan tidak jatuh kepada
darjat perawi adil yang buruk hafalan. 2. Hassan
lighairihi ialah (hadith) yang diperkuatkan dengan beberapa jalan lain
tetapi tidak banyak jalan-jalan tersebut, mencukupi dua jalan sahaja dan
kedua-duanya tidak terlalu lemah |
|
Mahmud
al-Thahhan (m. 1444H) |
Membahagikan
hadith hassan kepada 2 kategori iaitu 1. Hadith
yang bersambung sanadnya dengan perawi adil yang kurang dhabt-nya
(hafalannya) daripada awal sehingga akhir, tanpa syaz dan tiada ‘illah. 2. Hadith
hassan lighairihi ialah hadith dhaif yang terdapat beberapa jalan lain dan
sebab kedhaifannya bukan kerana perawinya fasik atau penipu. |
|
Dr. Mustafa
Said al-Khan (m. 1428H) dan Dr. Badi’ al-Sayyid al-Lahham |
Membahagikan
hadith hassan kepada 2 kategori iaitu: 1. Hadith
hassan lizatihi ialah hadith yang bersambung sanadnya dengan periwayatan
seorang yang adil, dhabit yang kurang kedhabitannya, tanpa berlaku syaz dan
tidak muallal. 2. Hadith
hassan lighairihi ialah hadith dhaif disebabkan perawinya teruk hafalannya
atau tidak diketahui halnya dan disokong oleh hadith sama yang sebagai
mutaba’at atau syawahid. |
|
Abdullah Bin
Yusuf al-Jadi’ |
Membahagikan
hadith hassan kepada 2 kategori iaitu: 1. Hadith
hassan lizatihi ialah hadith berbeza daripada Sahih pada tahap penguasaan
pada tahap orang yang lebih cenderung menghafalnya dan tidak bersendirian.
Ini adalah (Hassan lizatihi). 2. Hadith
hassan lighairihi ialah riwayat daripada saluran yang tidak kuat atau dhaif
tidak sampai pada tahap dan terdapat jalan periwayatan yang lain yang solih
untuk iktibar dengannya maka dia menjadi kuat disebabkannya. |
Penanda
Sarjana hadith terdahulu (Mutaqaddimun)
Sarjana
hadith terdahulu (Mutaakhirun)
Sarjana
hadith semasa
·
Perkembangan Ilmu hadith dalam klasifikasi hadith
Jelas
daripada pembentangan definisi yang diberikan oleh beberapa sarjana hadith
terdahulu dan semasa didapati bahawa terdapat perbezaan pemahaman klasifikasi
hadith hassan antara satu generasi kepada generasi yang lain. Ini menunjukkan
bahawa terdapat perkembangan ilmu hadith daripada bentuk yang tidak ketat dan
lebih kepada makna bahasa ke arah bentuk yang lebih sistematik dan kompleks.
Ini mungkin selari dengan perkembangan kehidupan manusia dan juga ilmu-ilmu
lain yang berkembang menjadi lebih berstruktur. Namun kefahaman berkenaan
perkembangan ilmu hadith ini mungkin dilupai atau tidak disedari oleh banyak
pihak sehinggalah terdapat usaha daripada Ihya’ Turath al-Muhaddithin.
·
Mutaqaddimin menggunakan terma hassan dari sudut
bahasa
Sarjana
hadith terdahulu boleh dibahagikan kepada dua kelompok iaitu Mutaqaddimin dan
Mutaakhirin. Terma hassan yang digunakan oleh Mutaqaddimin seperti al-Bukhari,
at-Tirmizi, al-Khattabi, Ibn al-Jauzi dengan makna bahasa menyebabkan definisi
yang diberikan mereka terhadap hadith hassan berbeza-beza kerana mereka
memahami hassan sebagai hadith yang baik dan membawa kemungkinan sahih juga.
Imam at-tirmizi adalah yang terawal dalam memberikan definisi spesifik kepada
makna hadith hassan kerana beliau memulakan penggunaan istilah hadith hassan
secara meluas di dalam kitab Jami’nya. Walau bagaimanapun, Imam at-tirmizi
mengehadkan definisi tersebut kepada kitab beliau sahaja.
·
Definisi hadith hassan sukar kerana ia adalah
pertengahan antara dua kategori yang jelas
Hadith
hassan sukar untuk didefinisikan berbanding hadith sahih dan dhaif yang jelas
pembahagiannya sejak daripada era Mutaqaddimin lagi kerana kedudukannya antara
kedua-dua kategori tersebut. Ulama’ Mutaqaddimin tidak mengemukakan definisi
yang spesifik tetapi lebih kepada penilaian mereka terhadap hadith tertentu
kerana kehampiran mereka dengan zaman periwayat hadith sehinggakan mereka
mengenali mereka seperti mengenali anak-anak mereka sendiri tanpa perlu
bergantung semata-mata kepada kitab rijal. Kebergantungan mutaakhirun kepada
kitab rijal dalam menentukan status sesuatu hadith menyebabkan mereka perlu
kepada definisi yang jelas bagi maksud hassan.
Ibn al-Salah
adalah yang terawal membahagikan hadith hassan kepada lizatihi dan lighairihi
untuk menjustifikasikan perbezaan definisi yang diberikan oleh Mutaqaddimun.
Penutup
Perbandingan
antara konsep hadith hassan pada sudut pandang sarjana hadith terdahulu dan
semasa menunjukkan terdapat perbezaan. Secara asasnya hadith hassan adalah
hadith yang diterima atau baik sesuai dengan makna bahasa. Ia termasuk
dalam hadith sahih. Namun usaha mendefinisikan hadith hassan agar berbeza
dengan sahih menjadikan ia satu kategori asing selepas daripada kurun ke- 5
hijrah.
Bibliografi
Abu Umar Yusuf Bin Abdil Barr. (1994). Jami’ Bayan al-Ilm wa fadlihi.
Saudi: Dar Ibn Jauzi.
Abu ‘Isa Muhammad Bin ‘Isa at-Tirmizi. (2001). Sunan at-Tirmizi.
(Syifaul Ghilal fi Syarh Kitab al-I’lal). Beirut: Dar al-Fikr..
Abu al-Fida’ Ismail Bin Katsir al-Qurasyi al-Dimasyqi. (2013). Ikhtisar
Ulum Al-Hadith. Riyadh: Dar al-Maiman.
Ahmad Bin Ali Bin Ahmad Ibn Hajar al-A’sqalani. (2021). Nuzhat An-Nazar
fi Taudih Nukhbat al-Fikr. Al-Muhaqqiq.
Al-Akhfasy. (1990). Ma’ani al-Quran. Kaherah: Maktabah al-Khanji.
Jilid 1.
Al-Fairuz Aabadi. (2005). Al-Qamus al-Muhit. Beirut: Muassasah
ar-Risalah. Cetakan ke-8.
Al-Khattabi, Abu Sulaiman Hamad Bin Muhammad Bin Ibrahim Bin al-Khitab.
(1932). Ma’alim as-Sunan. Halab: Al-Matba’ah al-Ilmiyyah.
Hamzah Abdullah al-Malibari. (2001). al-Muwazanah Baina
al-Mutaqqadimin wa al-Mutaakhirin fi Tashih al-Hadith wa Ta’liluha.Beirut:
Dar Ibn Hazm.
Syamsuddin Abu al-Khayr Muhammad Bin Abd Rahman As-Sakhawi. (2003). Fath
al-Mughits bi syarh Alfiyah al-Hadith. Mesir: Maktabah as-Sunnah.
Hamzah Abdullah al-Malibari. (2003). Nazharat Jadidah fi Ilm al-Hadith:
Dirasah Naqdiyyah wa Muqaranah Baina al-Janib al-Tatbiqi ladai al-Mutaqaddimin
wa al-Janib An-Nazari ladai al-Mutaakhirin. Beirut: Dar Ibn Hazm.
Ibn al-Jauzi, Jamaluddin Abdul Rahman Bin Ali Bin Muhammad al-Jauzi.
(1966). Al-Maudu’at. Madinah: al-Maktabah al-Salafiyyah.
Ibn al-Salah, ‘Usman Bin Abd Rahman. (1986). Ma’rifah Ulum al-Hadith.
Beirut: Dar al-Fikr.
Mahmud Tahhan. (2010). Taisir Mustolah al-Hadith. Maktabah
al-Ma’arif.
Mustafa Said al-Khan dan Badi’ As-Sayyid al-Lahham. (2004). Al-Iidah fi
Ulum al-Hadith wa al-Istilah. Beirut: Dar al-Kalam al-Tayyib.
Muhyiddin Muhammad Bin Sulaiman al-Kafiji. (1407H). al-Mukhtasar fi ilm
al-Atsar. Riyadh: Maktabah al-Rusyd.
Nasiruddin Al-Albani. (2003). Ulum al-Hadith. Beirut: Dar Ibn Hazm.
Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pusataka.
https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=konsep
Ridwan Jami’ Ridwan. (2011). Jami’ Syuruh Muqaddimah Ibn as-Solah wa
yashtamil ‘ala syuruh al-a’immah al-a’a’lam. Kaherah: Dar al-Ghad al-Jadid.
Zafar Ahmad al-Usmani al-Tahanwi. (1984). Qawai’d fi Ulum al-Hadith. Riyadh: Maktab Matbu’aat
al-Islamiyyah.
[1] Al-Fairuz
Aabadi. (2005). Al-Qamus al-Muhit. Beirut: Muassasah ar-Risalah. Cetakan ke-8. Hlm.
167.
[2] Muhammad Abu Laits al-Khair Abadi. (2011). Ulum
al-Hadith Asiluha wa mua’siruha. Malaysia: Dar As-Syakir. Cetakan ke-7. Hlm. 9.
[3] Abu
Umar Yusuf Bin Abdil Barr. (1994). Jami’ Bayan al-Ilm wa fadlihi. Saudi: Dar
Ibn Jauzi. Jilid 1. Hlm 190. No. Hadith:
202.
[4] Nama sebenar Kitab Sunan at-Tirmizi ialah al-Jami’
al-Mukhtasar min as-Sunan an Rasul Allah SAW wa Ma’rifat as-Sahih wa al-Ma’lul wama
‘alaihi al-Amal. Dr. Syarif Hatim bin A’rif al-Auni. (1419H ). Al-U’nwan
as-Sahih Lil Kitab. Mekah: Dar Ilm al-Fawaid. Hlm. 54.
[5] Ahmad
Bin Taymiyyah (2004). Majmu’ al-Fatawa. Al-Madinah: Majma’ al-Malik Fahad. Jilid
18. Hlm. 23.
[6] Ridwan Jami’ Ridwan. (2011). Jami’ Syuruh Muqaddimah
Ibn as-Solah wa yashtamil ‘ala syuruh al-a’immah al-a’a’lam. Kaherah: Dar
al-Ghad al-Jadid. Hlm. 183
[7] Dr.
Hamzah Abdullah al-Malibari. (2001). al-Muwazanah Baina al-Mutaqqadimin wa al-Mutaakhirin fi Tashih al-Hadith wa
Ta’liluha.Beirut: Dar Ibn Hazm. Cetakan ke-2. Hlm. 47 – 58.
[8] Syamsuddin
Abu al-Khayr Muhammad Bin Abd Rahman As-Sakhawi. (2003). Fath al-Mughits bi
syarh Alfiyah al-Hadith. Mesir: Maktabah as-Sunnah. Jilid 1. Hlm 313.
[9] Dr.
Hamzah Abdullah al-Malibari. (2003). Nazharat Jadidah fi Ilm al-Hadith:
Dirasah Naqdiyyah wa Muqaranah Baina al-Janib al-Tatbiqi ladai al-Mutaqaddimin
wa al-Janib An-Nazari ladai al-Mutaakhirin. Beirut: Dar Ibn Hazm. Cetakan
ke-2. Hlm. 13.
[10] Dr.
Hamzah Abdullah al-Malibari. (2001). al-Muwazanah Baina al-Mutaqqadimin wa al-Mutaakhirin fi Tashih al-Hadith wa
Ta’liluha. Hlm. 57.
[11] Pusat
Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pusataka. https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=konsep
[12]
Al-Akhfasy. (1990). Ma’ani al-Quran. Kaherah: Maktabah al-Khanji. Jilid
1. Hlm. 193.
[13] Abu ‘Isa Muhammad Bin ‘Isa at-Tirmizi. (2001). Sunan
at-Tirmizi. (Syifaul Ghilal fi Syarh Kitab al-I’lal). Beirut: Dar al-Fikr.
Hlm.76.
[14] Abu
al-Fida’ Ismail Bin Katsir al-Qurasyi al-Dimasyqi. (2013). Ikhtisar Ulum
Al-Hadith. Riyadh: Dar al-Maiman. Hlm. 114.
[15] Al-Khattabi,
Abu Sulaiman Hamad Bin Muhammad Bin Ibrahim Bin al-Khitab. (1932). Halab:
Al-Matba’ah al-Ilmiyyah. Jilid 1. Hlm. 6.
[16] Ibn
al-Jauzi, Jamaluddin Abdul Rahman Bin Ali Bin
Muhammad al-Jauzi. (1966). Madinah: al-Maktabah al-Salafiyyah. Jilid 1. Hlm.
35.
[17] Ibn
al-Salah, ‘Usman Bin Abd Rahman. (1986). Ma’rifah
Ulum al-Hadith. Beirut: Dar al-Fikr. Hlm 31.
[18] Ibid. Hlm 32.
[19] Ibid. Hlm. 39.
[20] Ahmad Bin Ali Bin Ahmad Ibn Hajar al-A’sqalani. (2021).
Nuzhat An-Nazar fi Taudih Nukhbat al-Fikr. Al-Muhaqqiq. Cetakan ke-3. Hlm. 91 -
92.
[21] Ahmad Bin Ali al-‘Asqalani. (1997). Nukhbat al-Fikr fi Mustalah ahl
al-Atsar . Kaherah:Dar al-Hadith. Cetakan ke-5. Jilid 4. Hlm. 722.
[22]
Muhyiddin Muhammad Bin Sulaiman al-Kafiji. (1407H). al-Mukhtasar fi ilm
al-Atsar. Riyadh: Maktabah al-Rusyd. Hlm. 170.
[23] Zafar Ahmad al-Usmani al-Tahanwi. (1984). Qawai’d fi Ulum al-Hadith. Riyadh: Maktab Matbu’aat
al-Islamiyyah. Cetakan ke – 5. Hlm. 34.
[24] Nasiruddin Al-Albani. (2003). Ulum al-Hadith. Beirut:
Dar Ibn Hazm. Hlm. 23 -24.
[25] Ibid. Hlm. 24.
[26] Dr. Mahmud al-Tahhan. (2010). Taisir Mustolah
al-Hadith. Maktabah al-Ma’arif. Cetakan ke- 11. Hlm. 58.
[27] Ibid.
Hlm
[28] Dr.
Mustafa Said al-Khan dan Dr. Badi’ As-Sayyid al-Lahham. (2004). Al-Iidah fi
Ulum al-Hadith wa al-Istilah. Beirut: Dar al-Kalam al-Tayyib. Hlm. 78.