Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia
Pendahuluan
Era moden menyaksikan agama tampil menjadi fokus utama masyarakat dunia apabila agama dikaitkan dengan kegiatan radikal, ganas dan militan di satu pihak, manakala di pihak yang lain pula dengan kejumudan, ketaksuban dan kemunduran umat. Aliran Islam liberal muncul sebagai antitesis kepada fenomena terorisme dan fundamentalisme tersebut dengan cara mempromosikan Islam secara rasional dan up-to-date, bagi mengubah citra Islam supaya sesuai dengan arus perubahan zaman yang akhirnya memungkinkan pembentukan masyarakat liberal Islam moden ala Barat. Walaupun dari satu sudut, gagasan Islam liberal didakwa berpotensi untuk memberi imej Islam yang rasional kepada dunia, tetapi ia juga didakwa tersasar dari landasan Islam sebenar yang juga sangat serius terhadap isu-isu fundamental. Justeru itu, kertas ini meneliti suatu aspek penting yang digagaskan oleh aliran liberal Islam tentang akidah iaitu isu pluralisme agama serta percangahan dengan akidah dan Syariat Islam.
Susur Galur Idea Pluralisme Agama
Bertolak dari penjelasan yang lebih umum dan ringkas, idea pluralisme agama tidak boleh tidak sering kali dikaitkan dengan kemunculan aliran liberal. Dalam erti kata lain, dalam aliran liberal akan ada agenda pluralisme agama dan pendukung pluralisme agama selalunya terdiri dari pendukung aliran liberal. Isu ini berlaku dan muncul lebih awal di dunia Barat khususnya sekitar abad ke-18 dan 19 seperti yang berlaku dalam gerakan liberal Kristian “Liberal Protestanism” yang diketuai oleh Friedrich Schleiermacher di akhir abad ke-18 dan juga gerakan liberal Judaism yang dipelopori oleh Mosses Mindon Isshon (1729-1786) sekitar abad ke-19. Antara agenda yang wujud dalam perjuangan ini secara mudahnya boleh dikategorikan kepada beberapa agenda khusus iaitu agenda politik dengan tuntutan demokrasi dan kebebasan berekspresi, agenda sosial dengan tuntutan dan gerakan pembebasan wanita (feminism) dan agenda akidah dengan tuntutan pluralisme agama atau perjuangan kesamaan agama-agama.
Perkembangan idea pluralisme agama ini semakin kelihatan rancak dan tersebar luas ekoran dari penyataan dan perbincangan secara besar-besaran idea Pluralisme Agama ini dalam persidangan agama-agama iaitu World Parliament of Religious yang berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 1893. Antara isu utama yang dibincangkan dalam persidangan ini ialah pluralisme agama sebagai menentang cara hidup tidak beragama dan melakukan kebajikan demi kebaikan manusia sejagat. Antara tokoh-tokoh utama di Barat yang mendukung fahaman pluralisme agama ini ialah seperti Rene Guenon melalui idea Perennial Philosophy, Frithjof Schuon dan Willfred Cantwell Smith yang memperkenalkan slogan The Transcendent Unity of Religions, Hans Kung dengan teori Global Ethics, John Hick dengan idea Universal Theology of Religion dan sebagainya.
Dalam konteks Islam, kemunculan aliran liberal Islam turut berlaku dan didakwa dilihat dari idea-idea pemikiran yang muncul sekitar abad ke-18 dan 19 di sekitar negara-negara Islam seperti di Mesir melalui Rifaah Rafi al-Tahtawiy, Qasim Amin, Nasr Hamid Abu Zayd Ali Abd Al-Raziq, Hassan Hanafi dan yang seangkatan mereka, di India melalui Sayid Ahmad Khan dan Sayid Amir Ali, di Pakistan dengan tokohnya Fazlur Rahman, di Perancis dengan Mohamed Arkoun dan seumpamanya. Agenda yang sama turut diperjuangkan malah ditambah lagi dengan agenda penggubalan undang-undang dengan tuntutan untuk mentafsir semula hukum-hukum syariah dan memperjuangkan kebebasan untuk berijtihad. Berasaskan kronologi sejarah yang dijelaskan ini menunjukkan wujudnya agenda pluralisme agama merupakan satu stereotaip dengan kemunculan aliran liberal.
Di Indonesia, fahaman liberal Islam telah diumumkan dengan rasmi melalui penubuhan Jaringan Islam Liberal (JIL) pada 8 Mac 2001. JIL ini dipelopori oleh satu angkatan intelektual muda seperti Ulil Abshar Abdalla, Luthfi As Syaukani, Hamid Basyaib, Mukhti Ali, Nong Darul Mahmada, Ahmad Sahal dan rakan-rakan yang lain dengan mendapat cetusan idea dari tokoh neo modenisme Indonesia yang lebih awal seperti Nurcholish Madjid.
Dalam konteks pluralisme agama, isu ini pada mulanya kurang dipersoalkan dalam dunia Islam. Ini kerana, secara hakikatnya pluralisme agama dapat ditanggapi mempunyai unsur toleransi beragama dan hal ini semangnya dituntut oleh agama Islam sebagai satu cara menghormati agama-agama lain. Namun berdasarkan kepada definisi, konsep dan idea pluralisme agama dari beberapa tokoh pemikir yang didakwa sebagai tokoh liberal di dunia Islam pada abad moden ini, akhirnya menyebabkan fahaman pluralisme agama mula memicu kontroversi dan masalah dari sudut pandang agama Islam. Hal ini bermula sekitar tahun 1932, fahaman pluralisme agama mula menimbulkan pelbagai reaksi dan kontroversi di dalam dunia pemikiran Islam. Ketika itu, Perancis mengutuskan delegasinya untuk berunding dengan tokoh-tokoh ulama al-Azhar, Kaherah, dalam rangka membahas idea penyatuan tiga agama: Islam, Kristian dan Yahudi. Kegiatan ini kemudian diteruskan dalam Persidangan Paris tahun 1933 yang mana persidangan ini dihadiri oleh para orientalis dan misionaris dari pelbagai universiti yang ada di Britain, Switzerland, Amerika, Itali, Poland, Sepanyol, Turki dan lain-lain. Pada 1936, berlangsung lagi sebuah Persidangan Agama-agama Sedunia dan ia merupakan persidangan agama terakhir sebelum Perang Dunia II. Namun, ramai sarjana mengatakan bahawa pemikiran Pluralisme Agama dalam dunia Islam ini dikatakan lebih jelas muncul selepas Perang Dunia Kedua yang mana pada masa ini ramai generasi muda Muslim mula mendapatkan pendidikan di Barat. Fahaman pluralisme agama ini juga semakin banyak dilihat dalam dunia Islam khususnya muncul dari karya-karya pemikir Mistik Barat-Muslim yang sangat banyak memperkatakan mengenai Pluralisme Agama seperti Rene Guenon (Abdul Wahid Yahya) Frithjof Schuon (Isa Nuruddin Ahmad), Titus Burckhardt, Martin Ling, Seyyed Hossein Nasr (Anis Malik Toha 2005:23) dan lain-lain lagi.
Di Indonesia, kebangkitan fahaman Pluralisme Agama dalam perjuangan JIL antara lainnya disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya seperti yang telah ditegaskan JIL:
“Kekhawatiran akan bangkitnya “ekstremisme” dan “fundamentalisme” agama yang sempat membuat banyak orang khawatir akhir-akhir ini. Gejala yang menunjukkan perkembangan seperti itu memang cukup banyak. Munculnya sejumlah kelompok militan Islam, tindakan perusakan gereja (juga tempat ibadah yang lain), berkembangnya sejumlah media yang menyuarakan aspirasi “Islam Militan”, penggunaan istilah “Jihad” sebagai alat pengesah serangan terhadap kelompok agama lain dan semacamnya, adalah beberapa perkembangan yang menandai bangkitnya aspirasi keagamaan yang ekstrem tersebut”
Berhubung dengan penegesan yang dilakukan oleh JIL ini dan dari hasil penilitian yang dibuat terhadap beberapa karya JIL mendapati bahawa pendukung JIL merumuskan jawapan bagi kemunculan golongan radikal Islam disebabkan oleh ketaksuban dan pemikiran yang dipenjara oleh ilmu Fiqh klasik yang sering menyebabkan hubungan Muslim dan non Muslim menjadi tegang, mendiskriminasi golongan non Muslim malah skop penilitian fiqh ini pula lebih berorientasikan ijtihad dalam isu ibadat dan kekeluargaan sahaja tidak meliputi permasalahan sosial, ekonomi, politik ummah semasa. Justeru itu, bagi membangun kehidupan beragama yang harmoni, aman dan bebas dari segala bentuk ancaman fundamentalisme, radikalisme, ekstremisme dan militan fiqh klasik perlu ditulis semula kerana berbagai perkembangan baru akibat perubahan sosial yang dahsyat telah menyebabkan rumusan fiqh klasik tidak mampu lagi menampung perkembangan keperluan manusia moden termasuk soal dimensi hubungan agama-agama (Muni’m, A. Sirry 2005: ix). Selaras dengan penegasan ini agenda JIL mula mencanangkan pelaksanaan teologi pluralisme melalui pelancaran fahaman Pluralisme Agama yang memandang semua agama benar, menuju kepada satu tujuan yang sama iaitu Allah dan keselamatan di akhirat sekalipun melalui jalan dan pendekatan yang berbeza-beza. Lanjutan dari itu, satu tim penulis terkenal JIL telah menghasilkan sebuah karya khusus tentang fiqh pluralisme agama yang diberi judul Fikih Lintas Agama dan disunting oleh Muni’m Sirry. Antara penulis-penulis yang terlibat adalah Nurcholish Madjid, Kausar Azhari Noer, Komaruddin Hidayat, Masdar F Mas’udi, Zainun Kamal dan Buddhy Munawar Rachman. Buku ini mengupas isu-isu keagamaan dalam konteks hubungan antara agama yang meliputi bidang-bidang akidah, ibadat dan muamalat dan memuatkan 4 bahagian utama iaitu pijakan keimanan bagi fiqh lintas agama, fiqh yang peka keragama ritual, fiqh menerima agama lain membangun sinargi agama-agama dan merentas kerjasama lintas agama.
Faham Pluralisme Agama.
Melalui pengkajian yang telah dilakukan didapati bahawa terdapat beberapa sebab yang mendorong kemunculan idea ini terutamanya apabila wujudnya perasaan ingin tahu di kalangan penganut sesuatu agama tentang kedudukan agama yang dianuti berbanding dengan agama-agama lain yang pelbagai di muka bumi ini. Di samping itu, wujud juga kecenderungan untuk berhadapan dan memberi reaksi terhadap kelompok ekstrem dalam agama iaitu kelompok yang mendakwa bahawa agamanya sahaja yang benar dan yang lain salah sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang melibatkan pertembungan umat beragama seperti yang berlaku di Ambun, Acheh dan seumpamanya yang dianggap akan menjejaskan keselamatan manusia secara global.
Justeru sebagai reaksi dari beberapa permasalahan di atas, fahaman Pluralisme Agama dibentuk dan telah ditanggapi dengan definisi yang berbeza. Secara umumnya, Pluralisme Agama dari sudut etimologinya berasal dari dua perkataan iaitu pluralisme dan agama. Plural ialah jama’ atau gambaran yang menunjukkan perkara lebih daripada satu dan “isme” menunjukkan satu aliran atau fahaman. Maka pluralisme bermaksud satu fahaman atau aliran yang mempercayai kepelbagaian atau perkara yang lebih dari satu. Menurut catatan Lorens (1996: 853-855), terdapat pelbagai ciri atau definisi yang menjelaskan pluralisme. Namun dalam penulisan ini, antara ciri utama yang mudah difahami ialah pluralisme merupakan satu realiti fundamental yang bersifat jama’: berbeza dengan dualisme (fahaman yang menyatakan bahawa realiti fundamental ada dua) dan monoteisme (fahaman yang menyatakan bahawa realiti fundamental hanyalah satu). Pluralisme juga dijelaskan sebagai:
“ .. berusaha membenarkan falsafah keberagaman dengan menegaskan bahawa semua kebenaran bersifat relatif dan menganggap semua keyakinan ahli falsafah dan agama dalam pengertian relativisme murni, sebagai pendapat-pendapat peribadi yang semuanya mempunyai nilai yang sama..”.
Berdasarkan kronologi persejarahan, idea Pluralisme Agama ini terbukti mempunyai pengaruh yang luas sama ada di Barat atau Timur termasuk di dunia Islam. Sebagai contoh di Barat, tokoh utama yang sinonim dengan Pluralisme Agama ini ialah John Hick. Dalam hal ini John Hick[1] telah menjelaskan bahawa :
“Pluralism is the view that the great world faiths embody different perceptions and conceptions of and correspondingly different responses to the Real or the Ultimate from within the major variant cultural ways of being human, and that within each of them the tranformation of human existence from self-centredness to Reality centredness is manifest may taking place and taking place, so far as human observation can tell, to much the same extent” (John Hick t.th: 36 )
Berdasarkan penjelasan di atas, secara umumnya Hick menegaskan bahawa secara hakikatnya semua agama adalah merupakan “manifestasi-manifestasi” dari realiti yang satu iaitu The Real. Dalam erti kata lain, menurut Hick cara yang lebih arif untuk memahami kebenaran agama lain adalah dengan menerima bahawa kita (semua agama) mempersembahkan banyak jalan menuju kepada satu realiti tunggal (Tuhan) yang membawa kebenaran dan keselamatan. Tidak ada satu jalan (agama) pun yang boleh mendakwa lebih benar daripada yang lain kerana kita (semua agama) sama dekat dan sama jauh menuju realiti tunggal tersebut. Realiti tunggal itu adalah realiti yang mana semua agama mencari-Nya.
Selain Hick, idea ini juga disentuh oleh Wilfred Cantwell Smith (professor dalam Perbandingan Agama), dalam hal ini Smith banyak mengetengahkan idea Pluralisme Agamanya dengan slogan Global Theology. Di dalam idea Smith ini, perkara utama yang disarankan ialah mengulang kaji atau menyelidiki semula terminologi agama dan arah pemusatan agama. Ini kerana, cabaran besar yang harus dihadapi pada zaman ini ialah membina atau mewujudkan masyarakat dunia yang baru tumbuh dan beragam ini menjadi sebuah kelompok atau komuniti masyarakat dunia secara bersatu padu. Justeru itu, Smith menegaskan bahawa terminologi agama itu perlu disemak semula dan hasilnya barulah persahabatan yang universal “the universal friendship” dapat diwujudkan.
Paul Knitter juga mengulas hal ini dengan menegaskan bahawa “tidak dapat mengatakan bahawa (agama) yang satu lebih baik dari yang lain. Ia juga tidak bermaksud: “all religions are relative – that is limited, partial, incomplete, one way of looking at thing. To hold that any religion is intrinsically better than another is felt to be somehow wrong, offensive, narrowminded. Ia juga bermaksud “deep down, all religions are the same-different paths leading to the same goal”
Hal ini turut mendapat perhatian dari pemikir Islam. Sebagai contoh, menerusi pemikiran Fazlur Rahman (1919) (1986: 162) telah menegaskan bahawa sikap eksklusivisme (lawan kepada pluralisme) khususnya dalam agama adalah bertentangan dengan spirit atau ajaran dari al-Quran itu sendiri, dan beliau turut menganggap bahawa ekslusivisme itu termasuk di antara salah satu dari polytheism. Ini kerana, beliau berpendapat bahawa Wahyu atau petunjuk dari Allah adalah urusan Tuhan dan ia berkait rapat dengan ketidakterbatasan rahmat Tuhan. Pengurniaan Rahmat ini ke atas makhluk ciptaanNya adalah dalam kekuasaanNya dan menafikan rahmat Tuhan ke atas sesuatu kaum sama seperti membataskan rahmat Tuhan dan secara tidak langsung cuba menafikan ketidakterbatasan kuasa. Maka penafian seperti ini dianggap menyekutukan Tuhan (Polytheism). Jadi mereka yang sering memperjuangkan dakwaan Truth Claim ini umpama tidak mengakui rahmat Tuhan yang tidak terbatas.
Dalam konteks aliran Liberal Islam khususnya di Indonesia, pemahaman atau pendefinisian Pluralisme agama dapat dilihat dalam pelbagai sudut pandangan. Seperti yang diungkapkan oleh tokoh-tokoh utama mereka seperti Nurcholish Madjid (Cak Nur) iaitu seorang tokoh neo-modernisme Indonesia dan turut didakwa menjadi pengasas kepada lahirnya aliran liberal Islam (Jaringan Islam Liberal) di Indonesia. Penjelasan beliau mengenai idea Pluralisme Agama disampaikan melalui perumpamaan roda yang memiliki jejari yang banyak, dan setiap jejari bertemu di titik tengah bulatannya yang dikira sebagai titik ‘transcendent‘. Dalam hal ini beliau mencatatkan bahawa (Anon 1999:xix):
“sebagai sebuah pandangan keagamaan, pada dasarnya Islam bersifat inklusif dan menuju tafsirannya ke arah yang semakin pluralis. Sebagai contoh, filsafat perenial yang akhir-akhir banyak dibicarakan dalam dialog antara agama di Indonesia menjelaskan pandangan pluralis dengan mengatakan bahawa setiap agama sebenarnya merupakan ekspresi keimanan terhadap Tuhan yang sama. Ibarat roda, pusat roda itu adalah Tuhan, dan jari-jari itu adalah jalan dari berbagai agama” Beliau juga mencatatkan bahawa “Jadi Pluralisme sesungguhnya adalah sebuah aturan Tuhan (Sunnah Allah) yang tidak akan berubah sehingga juga tidak mungkin dilawan dan diingkari” (Nurcholish Madjid 1995: lxxvii).
Hal yang sama turut diulas oleh Jalaluddin Rakhmat (2006: 62-63) dengan menyatakan bahawa:
“Apabila ditanyakan mengenai adakah orang Hindu, Budha, Kristian akan diterima di sisi Allah?. Jawapannya bergantung kepada ideologi anda anuti. Sebagai Eksklusivis, anda hanya akan mengatakan bahawa Islam sahaja yang akan diterima Allah, manakala jika anda sebagai pluralis maka anda akan mengatakan bahawa agama adalah jalan menuju Tuhan seperti yang dikatakan oleh para sufi iaitu jalan menuju Tuhan sebanyak nafas manusia. Jadi mengapa kita perlu menyempitkan kasih sayang Tuhan ini. Bagi Orang Masehi, Budha, Hindu Muslim atau siapa saja yang mempunyai spiritual intelligent maka akan berkata saya mencintai dan menghormati tradisi saya tetapi saya mencintainya kerana ia dalah salah satu di antara banyak bentuk untuk mengungkapkan kehendak rohani spiritual kita. Tetapi dalam masa yang sama masih boleh menghormati dan memahami tradisi dan bentuk-bentuk keberagaman yang lain”.
Sebagai contoh yang paling terkini, khususnya yang dibincangkan dalam web Jaringan Islam Liberal sendiri terdapat pelbagai pendapat yang membicarkan hal ini. Antaranya seperti yang dijelaskan dalam penulisan Trisno S. Susanto (Direktur eksekutif Masyarakat Dialog Antar Agama (MADIA, Jakarta) yang mencatatkan bahawa: “Pluralisme adalah sikap penghargaan terhadap keragaman yang memungkinkan sang liyan (the other) dapat diterima sebagaimana adanya. Ia menerima dan menghargai keragaman, malah mau merayakan dan merawat keragaman yang merupakan buah-buah kehidupan”. Namun Trisno turut menegaskan bahawa “.. ia tidak pernah berupaya menyamaratakan semuanya (agama)” ( http://islamlib.com/id/artikel/memaknai-ulang-pluralisme/).
Hal yang sama turut diulas oleh Ahmad Fuad Fanani dengan menjelaskan bahawa “.. pada dasarnya, Pluralisme Agama adalah sebuah pengakuan akan hukum Tuhan yang menciptakan manusia tidak hanya terdiri dari satu kelompok, suku, warna kulit, dan agama sahaja….agar mereka bisa saling belajar, bergaul dan membantu antara satu dan lainnya. Pluralisme mengakui perbedaan itu sebagai sebuah realitas. Justru akan tergali pelbagai komitmen besama untuk memperjuangkan sesuatu yang melampaui kepentingan kelompok dan agamanya. Maka dalam hal yang sama, pedefinisian Pluralisme sebagai sebuah relativisme adalah sebuah kesalahan yang fatal. Sebab, Pluralisme sendiri mengakui adanya tradisi iman dan keberagaman yang berbeda antara satu agama dan agama yang lain. Konsepesi fundamental tentang Pluralisme Agama adalah kesatuan umat dibawah satu Tuhan, kekhususan agama-agama yang dibawa oleh nabi dan peranan wahyu dalam mendamaikan perbedaan diantara berbagai umat beragama. (http://islamlib.com/id/artikel/islam-pluralisme-dan-kemerdekaan-beragama/)
Hal ini dijelaskan lagi oleh Budhy Munawar Rachman dengan mengatakan bahawa “Ide toleransi dan pluralisme antara gama sebenarnya akan membawa kita kepada paham kesetaraan kaum beriman dihadapan Allah. Walaupun kita berbeda agama, tetapi iman di hadapan Allah sama. Kerana Iman menyangkut penghayatan kita kepada Allah yang jauh lebih mendalam dari segi formal agama. Apa yang perlu difahami dalam pahaman Pluralisme antara agama ini adalah bahawa sesiapapun yang beriman tanpa melihat agamanya adalah sama di hadapan Allah kerana Tuhan kita adalah Tuhan yang satu. Ukuran darjat seseorang itu adalah dengan takwa bukan formalisme agama yang di anut (Budhy: 16-20&27). Dari pandangan ini, Budy menawarkan bahawa Pluralisme bukan sekadar satu fahaman kemajmukan agama yang perlu kepada toleransi malah ia turut membawa kepada penerimaan kesetaraan penyataraan atau penyamaan iman manusia. Katanya:
“Kerana yang diperlukan dalam penghayatan masalah Pluralisme Agama ini adalah pandangan bahawa siapa pun yang beriman tanpa harus melihat apakah agamanya adalah sama di hadapan Allah kerana Tuhan kita adalah Tuhan yang satu”.
Malah Ulil Abshar Abdalla (koordinator Jaringan Islam Liberal, Indonesia) dalam artikelnya “Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam” yang telah disiarkan di harian Kompas pada 18 November 2002 yang berbunyi (Adian Husaini 2005: 16-18):“ Dengan tanpa segan silu, saya mengatakan bahawa semua agama adalah tepat berada pada jalan panjang menuju Yang Maha Benar. Semua Agama berada dalam keluarga besar yang sama iaitu: keluarga pencinta jalan kebenaran yang tiada hujungnya, Semua agama sama”.
Dari rangkuman definisi tokoh-tokoh ini, fahaman pluralisme agama dijelaskan sebagai satu fahaman yang melihat semua agama itu sama-sama benar dengan merangkumi istilah sama-sama menawarkan jalan keselamatan kepada umat manusia dan sama-sama sempurna dan diiktiraf benar di hadapan Tuhan. Konsep pluralisme ini didakwa akan mengurangkan atau malah boleh menghapuskan perselisihan, ekstremisme dan salah fahaman antara umat beragama.
Di dalam aliran pluralisme agama, tema utama mereka ialah menentang atau menolak adanya Truth Claim, iatu dakwaan bahawa hanya ada satu agama sahaja yang benar, sedangkan agama-agama lain adalah salah. Bagi mereka, semua agama adalah jalan-jalan yang benar dan sama-sama sah dan mencapai kebenaran yang sama. Konsep utama Pluralisme agama juga boleh dilihat dari beberapa sudut. Terdapat sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa konsep pluralisme agama bertitik tolak dari premis kebenaran adalah milik bersama setiap agama (Ali Rabani Gulpaigani 2004 :61-62). Perbezaan agama hanyalah terjadi dalam sudut perbezaan pentafsiran bukan dari sudut esensi (zat) agama tersebut. Oleh sebab itu, kebenaran hakiki bukanlah hanya milik satu golongan. Dalam konsep ini, setiap orang memahami hakikat agama yang sesuai dengan tahap intelektual dan latar belakang kehidupan masing-masing. Maka tidak ada yang berhak mengatakan pemahaman peribadinya adalah yang benar. Ini bermaksud, agama dianggap semata-mata pentafsiran akal manusia. Setiap orang memiliki akal maka mereka berhak mentafsirkan hakikat keagamaan berdasarkan akal masing-masing. Justeru, kebenaran itu boleh dicapai melalui pelbagai pentafsiran (Ali Rabbani Gulpaigani 2005 :15).
Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengukuhkan fahaman pluralisme agama dengan menggunakan konsep setiap agama adalah sebahagian dari kebenaran mutlak. Dalam pandangan ini, agama tidak dapat difahami sebagai sebuah keyakinan yang komprehensif. Setiap agama memiliki sebahagian sahaja dari hakikat kebenaran tunggal yang terpisah-pisah. Maka tidak ada satu agama yang paling sempurna. Justeru itu setiap agama perlu mengumpulkan semua hakikat kebenaran masing-masing dan berkumpul bersama membentuk satu agama bersama yang mempunyai kebenaran yang sempurna.
Ekoran dari tuntutan dan usaha rombakan konsep pemikiran keagamaan yang dilakukan oleh masyarakat beragama pada alaf baru ini, menunjukkan bahawa pendekatan atau fahaman Pluralisme Agama lebih banyak diungkapkan dan dijadikan sebagai satu metod penyelesaian masalah keagamaan abad ini. Ia dianggap sebagai satu agenda penting yang menjadi perbincangan, perdebatan dan perjuangan sehingga menghasilkan pelbagai kesan dan perubahan dalam tanggapan dan perlaksanaan hal-hal keagamaan.
Percanggahan dengan Akidah dan Syari‘ah Islamiyyah
Menurut pendukung aliran liberal Islam, agama Islam telah dibatasi dengan definisi secara bahasa semata-mata iaitu difahami sebagai kata perbuatan (kata sifat) pasrah, taat dan menyerah diri (submission) kepada Tuhan (The Real). Dalam erti kata lain apa sahaja agama yang mengandungi perbuatan Islam (seperti yang dijelaskan di atas) layak dipanggil agama Islam. Maka secara tidak langsung penganut agamanya juga adalah dipanggil Muslim. Maka agama Islam ialah agama penyerahan diri. Semua agama yang mempunyai konsep penyerahan diri kepada Tuhan layak dipanggil agama Islam dan semuanya diiktiraf oleh Allah ekoran dari firman Allah seperti yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam” (Al-Quran, Al-Imran 3: 1). Tanggapan Islam dengan konotasi umum seperti di atas secara tidak langsung membawa kepada penyamaan semua agama.
Hal yang sama juga berlaku dalam penggunaan istilah “mukmin” (orang beriman). Menurut Budhy Munawar Rahman, istilah mukmin ini boleh dijelaskan khusus merujuk kepada orang yang beriman yang disinonimkan beriman tersebut sebagai orang yang percaya kepada Tuhan. Perkataan ini secara umumnya merangkumi semua orang yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan dan kehendak Tuhan tanpa mengira apakah agama rasmi mereka. (Budhy Munawar Rahman 2004:51). Dari penjelasan ini Budhy ingin menekankan pemahaman bahawa:
i. Berdasarkan ayat Quran membuktikan dan menegaskan bahawa semua mukmin itu bersaudara.
ii. Orang mukmin itu bermaksud orang-orang yang beriman, mempercayai dan menyerahkan diri kepada kehendak Tuhan .
iii. Maka semua orang yang beragama, tidak kira apa agama sekalipun selagi mereka mempercayai, beriman dan menyerahkan diri kepada Tuhan dan kehendak Tuhan maka ia semuanya dikira mukmin dan sekali gus membuktikan bahawa mereka juga bersaudara.
Namun, di dalam Islam khususnya yang telah ditekankan dengan jelas melalui al-Quran iaitu “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam” (Al-Quran. Al-Imran 3:1). Dalam konteks ini, jelas menyatakan bahawa agama Islam merupakan agama yang diredhai dan diterima di sisi Allah. Islam yang dimaksudkan di sini merupakan satu kata nama khusus bagi agama yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kepada semua nabi-nabi dan akhinya disempurnakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Menurut pendapat al-Attas (1995:41):
“Hanya ada satu agama wahyu yang asli dan namanya diberikan (Allah) adalah Islam dan orang-orang yang mengikuti agama ini dipuji oleh Allah sebagai yang terbaik di antara manusia. Islam kerananya bukan semata-mata sebuah kata kerja (submission) namun ia juga nama sebuah agama yang menjelaskan cara kepasrahan yang benar sekali gus menjelaskan definisi agama secara umum iaitu kepasrahan terhadap Tuhan”.
Maka, sekiranya Islam didakwa sebagai bukan nama khusus bagi agama yang dibawa oleh Muhammad, dakwaan ini tidak boleh diterima kerana sekiranya begitu adalah lebih baik jika agama Islam diistilahkan sebagai agama Muhammadan. Namun Rasulullah tidak pernah mengistilahkan sedemikian. Ini kerana, perlu diingat semua agama yang diturunkan Allah adalah agama Islam (dalam konteks yang dijelaskan di atas), lalu Allah menurunkan Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir dan ajaran yang dibawanya (agama Islam yang diturunkan kepada Muhammad) adalah penyempurna kepada ajaran-ajaran Islam yang diturunkan kepada nabi-nabi (sama ada yang diketahui atau tidak) sebelum ini (Quran, Al-Maidah 5:3). Di dalam ajaran Islam mengandungi tiga perkara utama iaitu akidah, syariah dan akhlak. Kompenen akidah merupakan satu komponen yang bersifat tetap dan tidak akan berubah ajarannya mengikut zaman. Namun dalm konteks syariah, ia beruabah mengikut zaman malah Allah juga menegaskan bahawa syariah dalam agama Islam sebelum ini adalah terbatas waktu itu sahaja dan barang siapa yang ingin menjadi Muslim yang sebenar harus meninggalkan ajaran semua kitab mereka (Quran, Al-Nisā’ 4:47) dan mengikuti ajaran syariah terakhir yang telah disempurnakan oleh Nabi Muhammad (s.a.w). Maka agama Islam yang diiktiraf pada masa ini adalah agama Islam (ajaran dan cara kepasrahan (submission) yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.). Maka barang siapa yang mengikuti ajarannya (ajaran dan cara kepasrahan yang disampaikan oleh nabi Muhammad) ia termasuk sebagai Muslim dan begitulah sebaliknya (iaitu jika hanya tunduk kepada Tuhan tetapi tidak menerima pelaksanaan syariah yang disampai dan disempurnakan oleh nabi Muhammad maka ia tidak layak dipanggil sebagai Muslim. (Quran, Ali-cImrān 3:85,19).
Dalam erti kata lain, dakwaan pendukung Pluralisme Agama yang sering menegaskan konsep bahawa semua agama menuju tujuan yang satu iaitu Allah sekalipun melalui pendekatan dan cara peribadatan yang berbeza mengikut agama masing-masing ini dianggap bertentangan dengan definisi Islam yang menegaskan bahawa cara peribadatan (syariah) yang sebenar dalam ajaran Islam pada masa ini hendaklah berasaskan cara peribadatan (syariah) yang telah diajarkan dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad).
Pentafsiran perkara akidah yang asas ini mempengaruhi pelaksanaan hal-hal syariah yang lain seperti perkahwinan lintas agama, wasiat lintas agama dan seumpamanya. Sebagai contoh, dalam permasalahan perkahwinan lintas agama seperti yang dijelaskan oleh Ulil Abshar Abdalla (2002) dalam artikelnya di Kompas yang berjudul ”Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam” dengan mengatakan bahawa: ”Larangan kahwin beza agama, dalam hal ini antara perempuan Islam dengan lelaki bukan Islam sudah tidak relevan lagi”. Selaras dengan kenyataan ini, perkahwinan antara agama yang berbeza ini semakin jelas kelihatan tambahan turut dilakukan oleh tokoh–tokoh aliran liberal Islam itu sendiri seperti Nurcholish Madjid yang telah mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki Yahudi di Amerika tanpa mengubah agama dan menggunakan akad universal iaitu antara anak manusia dengan anak manusia. Kautsar Azhari Noer telah juga menikahkan Ahmad Nurcholish (pengurus Youth Islamic Study Club) dengan seorang wanita Konfusius dan beberapa kes lain yang berkaitan. Dalam konteks liberal Islam, mereka menjelaskan bahawa Quran telah menjelaskan bahawa bangsa Yahudi dan Nasrani dan beberapa kelompok lain seperti kaum Majusi dan Sābi’in sebagai ahli Kitab (Quran, Al-Hajj 22:17). Malah menurut mereka, ahli Kitab sebenarnya turut merangkumi penganut Buddha, Hindu, Konfusius dan sebagainya Malah ekoran dari pendefinisian Islam seperti yang dijelaskan oleh pendukung liberal Islam, menunjukkan bahawa tiada perbezaan antara ahli Kitab dan Muslim kerana dengan sandaran Islam sebagai kata perbuatan maka semua agama yang melaksanakan Islam dengan Tuhan layak dipanggil Muslim.
Namun, menurut tafsiran tafsir al-Tabari, penggunaan ahli kitab hanya dikhususkan kepada penganut Yahudi dan Nasrani. Hal ini boleh dilihat dalam tafsirannya terhadap ayat-ayat Quran yang menjelaskan mengenai ahli Kitab seperti tafsiran terhadap firman Allah (Ali-cImrān 3:64). Ibn Jarir telah mentafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa: “Katakanlah wahai Muhammad kepada ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), marilah menuju kalimah sawā’ antara kita dan kamu (Al-tabari t.th. Jamic al-Bayān 3:301-303). Manakala dalam firman Allah (Quran, Al-Hajj 22:17), pula menunjukkan kekuasaan Allah dan peringatan bahawa sesungguhnya semua manusia (merangkumi orang beriman, Yahudi, Nasrani, Majusi, Sābi’in dan orang-orang musyrik) ini akan dinilai perbuatan mereka dan akan diberikan balasan di akhirat (Tafsir Pimpinan al-Rahman). Namun ini tidak bermaksud semua kaum diiktiraf sebagai ahli Kitab. Malah ahli Kitab tidak juga boleh dikatakan sebagai Muslim selagi ia tidak mengikuti ajaran Islam yang sebenar (ajaran dan cara kepasrahan dari Nabi Muhammad s.a.w). Buktinya, turut terdapat banyak firman Allah yang menegaskan supaya Nabi Muhammad S.A.W menyeru dan berdakwah khususnya kepada ahli kitab agar menerima Islam kerana itulah syarat sebenar untuk mereka menjadi Muslim (Quran, Ali- cImrān 3:64), dan (Quran, Al-Maidah 5: 15-16,19). Justeru itu bagi mengahwini penganut agama lain, syarat menganuti Islam terlebih dahulu mesti dilakukan.
Berdasarkan isu-isu di atas jelas menunjukkan wujudnya pentafsiran yang berbezan dari golongan JIL dalam beberapa perkara yang telah disepakati oleh majoriti umat Islam. Pelaksanaan pentafsiran seperti ini sememangnya telah ditegaskan lagi dengan saranan dari Ulil Abshar Abdalla (pendukung fahaman liberal Islam) yang menjelaskan bahawa dalam mencapai pembaharuan, perkara utama yang perlu dilihat ialah kaedah pentafsiran. Selaras dengan ini, Ulil Abshar Abdalla (2005a:9-12) menjelaskan bahawa method tafsiran agama yang benar dan sesuai pada abad ini ialah:
i. Pentafsiran yang tidak literal dan kontekstual selaras dengan peradaban dan perkembangan tamadun Islam. Di dalam pentafsiran ini harus juga dibuat penelitian yang teliti dan mendalam khususnya bagi membezakan aspek atau pengaruh budaya dengan aspek dan asas ajaran Islam.
ii. Pentafsiran semula terhadap kedudukan umat Islam. Mereka sebenarnya bukanlah umat yang terpisah dari umat-umat lain. Justeru itu, larangan perkahwinan di antara agama yang berbeza adalah tidak wajar. Quran sendiri tidak pernah menegaskan mengenai larangan ini kerana Quran sendiri mengiktiraf kesamaan darjat manusia tanpa membuat perbezaan agama, darjat dan sebagainya.
iii. Pentafsiran semula mengenai kedudukan agama. Bagi membentuk kemajuan Islam abad ini, kita memerlukan pentadbiran sosial yang tidak mencampurkan antara agama dan politik. Pada abad ini, agama itu merupakan urusan peribadi seseorang individu. Nilai-nilai di dalam agama adalah universal tetapi doktrin dan praktikal sesuatu amalan atau ibadat dalam agama adalah bergantung kepada urusan sesuatu agama tersebut.
iv. Pentafsiran yang sederhana terhadap amalan-amalan Rasulullah S.A.W. Perlu diingat bahawa amalan Rasulullah tidaklah harus diikuti secara harfiah kerana apa yang dilakukan olehnya adalah sesuatu yang bersesuaian dengan zaman nya waktu itu. Apa yang harus dilakukan ialah mengambil nilai-nilai ajaran Rasulullah secara umum dan kemudiannya disesuaikan mengikut zaman–zaman seterusnya. Penyesuaian ini bukan sahaja harus ditelusuri dengan kebergantungan kepada Quran dan Sunah secara harfiah semata-mata tetapi ia memerlukan kepada pembaharuan dengan jalan ijtihad atau akal manusia.
v. Pentafsiran agama ini tidak sepatutnya dikhususkan kepada golongan tertentu atau khusus sahaja kerana sesuatu kebenaran itu tidaklah bersifat mutlak dari golongan tertentu ia mestilah mengambil kiranya kesediaan semua pihak dalam menerima kebenaran sama ada dari Islam atau dari luar Islam.
Kesimpulan
Pluralisme agama antara lain merupakan salah satu produk tafsiran rasional dan kontekstual puak liberal Islam terhadap isu-isu akidah dalam Islam. Menurut dakwaan aliran ini, tafsiran semula terhadap beberapa aspek Islam termasuk aspek politik, demokrasi, isu kebebasan berfikir, isu emasipasi wanita dan golongan minoriti dan isu akidah adalah sangat penting dan mendesak bagi mewujudkan suasana keamanan dan keselamatan sebenar di kalangan penganut pelbagai agama seperti di Malaysia dan Indonesia, disamping menjadi antetesis kepada fenomena fundamentalisme dan terorisme yang dicetuskan atas nama agama. Lantas tafsiran liberal dan kontekstual didakwa sudah tentu akan dapat mempromosikan Islam sebagai sebuah agama rasional, moden serta selaras dengan arus perubahan zaman yang memungkinkan pembentukan masyarakat liberal Islam moden ala Barat. Walau bagaimanapun, tafsiran liberal juga sering tersasar dari landasan Islam sebenar yang menyebabkan berlakunya kontroversi di kalangan umat Islam sendiri, sekalipun mungkin diterima dengan baik oleh masyarakat Barat.
Pluralisme antara lain memberi konotasi bahawa semua agama adalah benar dan baik belaka. Kepelbagaian agama adalah ibarat kepelbagaian jalan yang kesemuanya dapat memandu manusia kepada satu puncak kebenaran yang sama iaitu Tuhan. Semua pengikut agama baik Islam, Kristian, Yahudi, Budha, Hindu, Majusi, Zoroster dan lain-lain adalah orang-orang yang beriman dan akan masuk syurga belaka. Dakwaan bahawa agama Islam, Kristian, Yahudi ataupun Hindu sahaja agama yang benar adalah salah dan bertentangan dengan fahaman Pluralisme agama. Justeru itu, seseorang boleh sahaja menukar agama dari Kristian menjadi Hindu ataupun sebaliknya, dan tindakan ini tidak boleh dilabel sebagai murtad. Penganut pelbagai agama juga boleh berkahwin lintas agama seperti orang Islam bebas berkahwin dengan bukan Islam dan sebagainya. Malah kebebasan beragama megikut skema Jaringan Islam Libral (Siti Musdah Mulia 2007:228-230) adalah meliputi, kebebasan memilih dan menganut agama, kebebasan untuk tidak beragama, kebebasan bertukar agama, kebebasan menyebarkan agama, kebebasan untuk melaksanakan agama, kebebasan melakukan ibadat, kebebasan untuk berkahwin berbeza agama dan sebagainya.
Rujukan
Adnan Aslan.1994. Religious Pluralism in Christian and Islamic Philosophy:The Thought of John Hick and Seyyed Hossein Nasr. Japan Society Publications: Curzon.
Ahmad Fuad Fanani.2005. Islam, Pluralisme dan Kemerdekaan Beragama. http://islamlib.com/id/artikel/islam-pluralisme-dan-kemerdekaan-beragama/ (22/10/08)
Ali Rabbani Gulpaigani. 2005. Kebenaran Itu Banyak? Menggugat Pluralisme Agama. Terj. Muhamad Musa. Jakarta:Penerbit Al-Huda.
Anis Malik Thoha. 2005. Tren PluralismeAgama Satu Tinjauan Kritis. Jakarta: Gema Insani
Budhy Munawar Rahman.2004. Islam Pluralis Wacana Kesetaraan Kaum Beriman.Jakarta: PT RajaGrafindo Persada.
Fajar Kurnianto. 2005. Sebuah kearifan untu Paham Pluralisme. http://islamlib.com/id/artikel/sebuah-kearifan-untuk-paham-pluralisme/). (22/10/08)
Fazlur Rahman. 1986. Islam and Political Actions, Niegel Bieger (editor) Cities of God. New York: Greenwood Press
Jalaludin Rakhmat.2006.Islam dan Pluralisme Akhlak Al-Quran Menyikapi Perbedaan.Jakarta:PT Serambi Ilmu Semesta
John Hick. 2005. Religious Pluralisme and Islam.(10 Mac 2008)
Nurcholish Madjid. 1995. Islam Doktrin dan Peradaban. Jakarta: Paramadina.
Nurcholish Madjid, Kautsar Azhari Noer, Komarudin Hidayat, Masdar F. Mas’udi, Zainun Kamal, Zuhairi Misrawi, Budhy Munawar Rachman, Ahmaf Gaus AF, Mun’im A. Sirry (penyt). 2004. Fiqih Lintas Agama Membangun Masyarakat Inklusif-Pluralis. Jakarta: Yayasan Wakaf Paramadina & The Asia Foundation.
Schuon, Frithjof. 1975. The transcendent unity of religion. Terj. Peter Townsend. New York: Harper & Row.
Siti Musdah Mulia. 2007. Menuju kebebasan beragama di Indonesia. Dalam Abd Hakim dan Yudi Latif (penyuting). Bayang-Bayang Fanatisisme. Jakarta: Pusat Studi Islam dan Kenegaraan (PSIK) Universitas Paramadina.
Trisno S.Susanto. 2005. Melawan Budaya Kekerasan :Memaknai ulang Pluralisme (http://islamlib.com/id/artikel/memaknai-ulang-pluralisme/) (22/10/08)
--------------------------------------------------------------------------------
[1] John Hick merupakan seorang tokoh terkenal khususnya dalam bidang perbandingan agama dan sosiologi agama. Beliau merupakan seorang pemikir Barat yang banyak membincangkan isu-isu keagamaan terutamanya dalam isu pluralisme agama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan