Ahad, 28 Julai 2013

CATATAN 17 RAMADHAN 1434

Di Malaysia, 17 Ramadhan diraikan sebagai ulangtahun permulaan penurunan Al-Quran ke dunia untuk menjadi panduan kepada umat manusia. Sesetengah negeri menjadikan hari ini cuti umum termasuklah Selangor. Seperti kebiasaan, bandaraya Kuala Lumpur akan menjadi sesak kerana warga Selangor yang bercuti pada hari ini akan berpusu-pusu ke kompleks membeli-belah untuk 'shopping' hari raya yang bakal menjelang tak berapa lama lagi. 

Setelah 17 hari dalam Ramadhan, banyak peristiwa dan isu yang timbul dan menjadi perbualan ramai orang di Malaysia. Dari isu murid-murid makan dalam tandas, blogger alvivi yang menghina agama, pemwartaan haram Syiah di Kedah, penjagaan anak antara ibubapa yang Muslim dan belum Islam serta peguatkuasaan fatwa larangan orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik. Banyak pandangan diberikan ada yang liberal dan ada yang bersifat perkauman. Kadang-kadang membaca pandangan-pandangan tersebut walaupun datang daripada kalangan yang kononya 'cerdik' tetapi amat melucukan. Antara yang lucu bagi saya adalah nasihat yang diberikan kepada ulama' agar membuka pemikiran dan melihat pertandingan ratu cantik sebagai satu pertandingan menghargai kecantikan wanita yang dianugerah oleh Allah.  Pandangan seperti ini menunjukkan betapa pemikiran sebahagian kita yang telah dipengaruhi oleh sekular dan liberal.
 
Bulan Ramadhan sewajarnya bulan untuk lebih sabar dan menjadi pemaaaf tetapi banyak isu yang dibangkitkan sebenarnya lebih kepada rasa perkauman. Isu blogger yang menghina logo halal JAKIM dan tidak sensitif kepada perasaan orang Islam di Malaysia dan isu murid-murid makan dalam tandas adalah antara yang saya rasa sengaja dihangatkan kerana tujuan tertentu. Jika diteliti isu-isu tersebut sebenarnya tidak perlu menjadi bahan jualan media daripada awal lagi. Saya tidak berminat dan berniat untuk mengulas perkara-perkara tersebut lagi.
 
Sebaiknya dalam saki-baki Ramadhan yang masih tinggal ini, kita sibukkan diri untuk mencari keredhaan Allah dan kelebihan yang diberikan antaranya malam al-Qadr. Sementara itu saya tidak berapa bersetuju dengan ungkapan yang mengatakan bahawa sembahyang terawih hanya di bulan Ramadhan dan selepas ini tiada lagi terawih. Jika yang dimaksudkan dengan tiadanya terawih tersebut ialah pahala yang diberikan berganda tiada di bulan lain atau tidak disyariatkan sembahyang sunat malam secara berjemaah di masjid pada malam selain bulan Ramadhan, itu adalah tepat. Hakikatnya sembahyang malam samada dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan masih disyariatkan sebagaimana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a seperti berikut:
 
ما كان يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة
"Tidak Rasulullah sembahyang melebihi 11 rakaat samada dalam bulan Ramadhan atau selainnya"
- Hadith Bukhari
 
Sembahyang malam pada bulan Ramadhan dinamakan Terawih (bukan oleh Rasulullah) adalah disebabkan keadaan solat tersebut yang panjang sehinggakan setelah habis antara dua rakaat solat, maka Rasulullah berhenti rehat sementara melepaskan penat sebelum menyambung dua rakaat seterusnya. Tetapi sembahyang malam atau menghuidupkan malam (qiamulllail) adalah disyariatkan sepanjang tahun. Cumanya Ramadhan adalah madrasah tarbiyah di mana ganjarannya bergandan dan dilakukan secara berjemaah untuk latihan agar selepas Ramadhan dapat diteruskan secara solat bersendirian pula. Semoga kita memperolehi rahmat daripada Allah sehingga dikurnia-Nya kelebihan Malam al-Qadr.
 
Wallahu 'alam
 

Tiada ulasan: