Pada bulan Ramadhan
sudah menjadi kebiasaan pelbagai kain rentang digantung di merata-rata tempat
dengan pelbagai ucapan bertujuan meraikan bulan tersebut. Baru-baru ini ada
seorang sahabat hubungi dan bertanya tentang status kononnya hadith yang
bermaksud sabar itu separuh daripada iman. Tujuannya adalah untuk ditulis
perkataan berkenaan di kain rentang. Usaha sahabat saya tersebut yang memeriksa
terlebih dahulu sebelum menyandarkan perkataan tersebut kepada Rasulullah amat
terpuji.
Memang kata-kata
tersebut amat masyhur di kalangan orang ramai. Ada yang menyandarkan kata-kata
tersebut kepada nabi sallalahu alaihi wasallam dan ada yang cuma menyebutkan
kata-kata tersebut apabila menasihatkan orang yang sedang marah atau merungut
tentang sesuatu. Benarkah ia sabda Nabi atau benarkah fakta yang disampaikan?
Dalam kita menyandarkan apa-apa perkataan kepada Rasulullah sallalahu alaihi
wasallam hendaklah kita ingat kepada peringatan baginda:
إن كذبا علي
ليس ككذب على أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
"Penipuan
atasku tidak sama seperti penipuan atas seseorang (dari kalangan kamu). Sesiapa
yang menipu atasku secara sengaja maka tempahlah tempat duduknya daripada api
neraka."- Riwayat Bukhari
Banyak
hadith-hadith yang disampaikan berkenaan bulan Ramadhan oleh para ustaz tidak
diteliti kesahihannya terlebih dahulu. Saya ada mendengar satu ceramah Ramadhan
yang disampaikan oleh seorang ustaz baru-baru ini, pelbagai ucapan yang
sebenarnya bukan daripada Rasulullah disandarkan kepada Rasulullah. Antaranya
seperti sebahagian daripada bait syair Imam Syafie ra:
فكم من صحيح مات من غير علة ***
وكم من سقيم عاش حينا من الدهر.
“Berapa ramai yang sihat tetapi mati tanpa sebab#
Dan
berapa ramai yang sakit tetapi hidup lama kemudiannya.”
Alangkah
baiknya kalaulah kita tidak tahu bahawa sesuatu itu hadith atau bukan, kita
hanya menyebutkan ia sebagai kata-kata hukama'. Itu adalah lebih selamat pada
pandangan saya.
Berbalik kepada
ucapan sabar separuh daripada iman, setelah dilakukan pencarian serba sedikit
saya menjumpai bahawa perkataan tersebut sebenarnya adalah daripada Abdullah
Bin Mas'ud. Atsar tersebut ada diriwayatkan antaranya oleh Al-Hakim dalam
Mustadraknya seperti berikut:
أخبرنا أبو زكريا العنبري ، ثنا محمد بن عبد السلام ، ثنا إسحاق ، أنبأ جرير ، عن الأعمش ، عن أبي ظبيان قال : كنا نعرض المصاحف عند علقمة فقرأ هذه الآية : " إن في ذلك لآيات للموقنين
" فقال : قال عبد الله : اليقين الإيمان كله وقرأ هذه الآية : " إن في ذلك لآيات لكل صبار شكور " قال : فقال عبد الله :
" الصبر نصف الإيمان "
. " هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه
Diriwayatkan kepada kami oleh Abu Zakaria
Al-Anbari, daripada Muhammad Bin Abdul Salam, daripada Ishak, daripada Jarir,
daripada A'mash, daripada Abi Zibyan katanya: Kami membentangkan mashaf-mashaf
di sisi Alqamah maka dia membaca ayat ini: (Sesungguhnya di dalam perkara itu
terdapat tanda-tanda untuk orang yang yakin) perawi kemudian berkata: Abdullah
berkata: Yakin adalah Iman keseluruhannya dan dia membaca ayat ini
(Sesungguhnya dalam perkara tersebut terdapat tanda-tanda untuk setiap orang
yang sabar dan bersyukur), perawi berkata: Maka Abdullah berkata: "Sabar
itu adalah separuh daripada Iman". Kata al-Hakim hadith ini sahih isnad
dan tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim.
Jadi saya telah menasihatkan sahabat saya tersebut agar
menyandarkan perkataan tersebut kepada Abdullah Bin Mas'ud. Walau bagaimanapun
saya kemudiannya mendapati bahawa Imam Al-Ghazzali pula di dalam kitab Ihya'
beliau ketika membicarakan tentang puasa dan mengatakan bahawa puasa
adalah 1/4 daripada Iman membawakan satu hadith bahawa Rasulullah bersabda:
الصوم نصف
الصبر
"Puasa adalah separuh daripada sabar"
- diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibn Majah. Tirmizi mengatakan
hadith ini hassa.
Kemudian beliau
membawakan hadith bahawa Rasulullah bersabda :
الصبر
نصف الإيمان
“Sabar separuh
daripada Iman”
Al-Iraqi mentakhrijkan hadith tersebut diriwayatkan oleh Abu Nuaim
di dalam Hilyah dan Khatib Al-Baghdadi dalam Kitab Tarikh daripada hadith Ibn
Mas'ud dan beliau mengatakan sanadnya Hassan. tetapi status hadith tersebut
dipertikaikan antaranya oleh Al-Albani. Imam Al-Bukhari pula membawakan secara
ta'liq di dalam sahih beliau perkataan Abdullah Ibn Mas'ud yang hampir sama dengan ucapan tersebut iaitu: الصبر شطر الإيمان
واليقين الإيمان كله.
Setelah
diteliti semua ini, yang pasti perkataan tersebut sekurang-kurangnya adalah
hassan jika tidak sampai sahih daripada Abdullah Bin Mas'ud. Malah para salaf
sentiasa mengungkapkan bahawa Sabar adalah separuh daripada Iman. Walau
apa pun, maksud ucapan tersebut adalah yang lebih penting untuk kita
hayati. Sabar senang diungkap melalui perkataan tetapi sukar diamalkan kecuali
mereka yang telah diuji sendiri. Saya pada 5 Ramadhan lalu diuji Allah dengan
demam yang sedikit tetapi terasa amat pedih sekali, lebih-lebih lagi ketika itu
berpuasa. Akibat demam sudah tidak mampu solat berjemaah dan solat Terawaih.
Tetapi saudara-saudara kita di Mesir, Bangladesh dan Syria diuji dengan ujian
yang lagi besar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Moga-moga Allah memberikan
kesabaran kepada kita semua dalam menghadapi mehnah kehidupan dunia ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan