Mesir masih lagi bergolak dan tidak pernah aman sejak kejatuhan Hosni Mubarak. Kini tiba pula Presiden Mohamed Morsi yang dipilih melalui proses demokrasi selepas kejatuhan Mubarak dijatuhkan pula oleh pihak tentera Mesir kononnya atas aspirasi rakyat yang telah berdemonstrasi lebih daripada seminggu di Dataran Tahrir. Memang tidak dinafikan pihak tentera Mesir mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Ikhwan Muslimin yang merupakan gerakan diwakili Morsi.
Semasa demonstrasi rakyat ke atas Mubarak di Dataran Tahrir sehinggalah Mubarak terpaksa meletak jawatan akibat tekanan demonstrasi tersebut dan juga negara-negara lain (bukan melalui rampasan kuasa tentera), ramai yang memberikan sokongan kepada demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan. Malah apabila Mubarak meninggalkan Mesir, Syeikh Yusuf Qardawi antara yang datang dan menyampaikan ucapan di Dataran Tahrir serta memberikan khutbah di Masjid Al-Azhar. Ketika itu, ramai menganggap seolah-olah bahawa kebenaran telah mengatasi kebatilan atau akhirnya Islam telah menang di Mesir. Jika dibaratkan sebagai wayang, itulah penamat ceritanya di mana kebaikan mengatasi kejahatan. Tetapi realiti adalah berbeza dengan wayang. Selagi dunia belum kiamat kehidupan umpama roda yang sekejap di atas dan sekejap di bawah.
Saya adalah antara mereka yang bersikap berhati-hati atau mungkin pesimis melihat perkembangan di Asia Barat. Bukan kerana tidak menyokong gerakan Islam tetapi bimbang dengan cara bagaimana gerakan Islam atau rakyat yang menyokong gerakan Islam di negara-negara Timur Tengah naik ke puncak kuasa. Walaupun cara yang digunakan berjaya menjatuhkan pemerintah yang tidak disukai, zalim, kuku besi, autokrat dan sebagainya tetapi cara yang sama juga boleh digunakan oleh pihak penyokong lawan sebagaimana yang telah berlaku terhadap Presiden Morsi. Lebih-lebih lagi pemimpin yang didakwa masih seorang Muslim. Mungkin itulah antara sebab ulama'-ulama' silam ada yang menasihatkan agar pemerintah Islam tidak dijatuhkan walaupun mereka zalim. Namun rakyat di Mesir lebih mengetahui kebenaran dan hakikat yang berlaku di Mesir.
Al-Sisi mengumumkan kudeta dengan dihadiri pemimpin tentera dan agama termasuk Syeikh Al-Azhar |
Dalam keadaan yang berlaku di Asia Barat juga kita melihat ulama' yang berbeza pendapat dan memainkan peranan yang bertentangan. Tuan guru Nik Abdul Aziz ada memberikan komen di dalam facebook beliau berkenaan Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Taiyib yang turut berada bersama ketika Ketua Tentera Mesir, General Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan kudeta terhadap pemerintahan Morsi, seolah-olah menggambarkan pendirian Al-Azhar yang menyokong tindakan tentera tersebut. Tetapi semasa demonstrasi ke atas Mubarak dahulu pun Al-Azhar dilihat cuba menenangkan rakyat daripada menentang kerajaan semasa itu. Begitu juga kita melihat Syeikh Said Ramadhan Al-Bhouti rahimahullah yang turut menyokong kerajaan semasa pemberontakan 'Free Syrian Army'. Walaupun pelbagai berita dan spekulasi yang disebarkan termasuk di kalangan ustaz-ustaz di Malaysia tentang tindakan Syeikh al-Bhouti tersebut tetapi yang jelas adalah sebaliknya (terdapat keterangan daripada anak Al-Bhouti di youtube selepas insiden tersebut). Begitu juga pandangan daripada tokoh-tokoh tertentu yang berbeza berkenaan isu di Syria seperti dakwaan bahawa ia melibatkan campurtangan asing seperti US dan sebagainya. Dr.Chandra Muzaffar dalam rancangan di TV Al-Hijrah berpendapat bahawa pihak barat cuba melaga-lagakan antara fahaman Syiah dan Sunnah di Syria untuk kepentingan politik serantau mereka.
Wallahu a'lam biSawab. Saya lebih suka memilih sikap tawaqquf dalam banyak perkembangan berlaku di Asia Barat kecuali isu Palestin. Sementara itu saya menyokong sebarang usaha untuk membantu rakyat-rakyat di negara terlibat daripada kesan konflik yang berlaku. Sokongan saya adalah tetap kepada Islam dan keamanan serta perdamaian. Dalam apa-apa situasi, peperangan dan pertumpahan darah harus sedaya-upaya dielakkan.Sebagai saudara seagama dan kemanusiaan saya berdoa agar negara Mesir serta negara-negara Asia Barat lain dapat keluar daripada kemelut yang dihadapi dengan Islam masih dijunjung tinggi kerana Islam membawa erti keamanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan