Abstract
This article briefly
discusses the historical background of the concept Islamization of Knowledge
and its necessity for the current Ummah as well as the definition of the
concept given by its proponents. It will also examines the argument given by the
critics of the concept that the knowledge is neutral therefore there is no need
for Islamization.
Pendahuluan
Istilah dan konsep islamisasi ilmu mula
menjadi perhatian serta hangat diperbicangkan oleh cendiakawan Islam sejak
tahun 1970-an. Jika ditelusuri asal-usul istilah berkenaan, ia berasal daripada
lontaran idea Prof. Syed Naquib Al-Attas di dalam karya beliau bertajuk ‘Preliminary
Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay –Indoneisan
Archipelago’ yang diterbitkan dalam tahun 1969[1].
Pada tahun 1977, satu persidangan yang dikenali dengan Persidangan Antarabangsa
Pertama Berkenaan Pendidikan Muslim telah diadakan di Mekkah membincangkan
tentang islamisasi ilmu dengan lebih lanjut.
Antara tokoh pemikir Islam yang turut menyumbangkan idea berhubung
konsep islamisasi ilmu ialah Dr.Ismail Raji Al-Faruqi, yang mengemukakan 12
langkah perancangan kerja islamisasi ilmu di dalam bukunya bertajuk ‘Islamization
of Knowledge: General Principles and Work Plan’ yang diterbitkan pada tahun
1982 dan Syed Hossein Nasr melalui karyanya ‘Knowledge and the Sacred’ diterbitkan
pada tahun 1981. Idea Dr.Ismail Raji Al-Faruqi
kemudiannya mengalami pengubahsuaian oleh Abdul Hamid AbuSulayman di
dalam ‘Crisis in the Muslim Mind’ yang diterbitkan pada tahun 1993
dan Abu Taha Jabir Al-Alwani dengan idea
‘6 wacana’ beliau yang disampaikan di dalam artikel beliau bertajuk ‘Islamization
of knowledge: Yesterday and Today’ diterbitkan dalam tahun 1995.
Walaupun idea Islamisasi Ilmu ini mendapat
sambutan baik daripada kalangan ramai cendiakawan Islam namun terdapat
segelintir yang mempertikaikan idea tersebut seperti Pervez Hoodbhoy dan Abdul
Salam. Mereka berpendapat bahawa setiap ilmu bersifat universal dan tidak ada
yang dikenali sebagai ilmu sains Islamik sebagaimana tiada ilmu sains Hindu,
ilmu sains Yahudi, ilmu sains Konfusian
dan ilmu sains Kristian. Kritikan ini juga diperkukuhkan lagi oleh cendiakawan
terkenal, Fazlur Rahman di dalam artikel beliau bertajuk ‘Islamization of
Knowledge: A Response’.[2]
Dalam erti kata lain, mereka mengatakan bahawa setiap ilmu adalah neutral dan
tidak mempunyai unsur tafsiran akali manusia. Benarkah dakwaan ini?
Istilah dan Beberapa Definasi Islamisasi Ilmu
Walaupun istilah Islamisasi ilmu amat popular digunakan,
tetapi hakikatnya cendiakiawan awal yang membicarakan tentang konsep tersebut
banyak menggunakan istilah yang lebih spesifik apabila merujuk kepada konsep
berkenaan. Al-Attas kebiasaannya menggunakan istilah ‘Islamisasi ilmu
kontemporari’ (Islamization of contemporary knowledge) atau ‘Islamisasi
ilmu hari ini’ (Islamization of present-day knowledge) manakala
Al-Faruqi menggunakan istilah ‘Islamisasi ilmu moden’ (Islamization of
modern knowledge). Penggunaan istilah yang lebih spesifik ini untuk
menggelakkan daripada tanggapan bahawa ilmu yang perlu di islamisasi ialah
semua jenis ilmu termasuklah ilmu tradisional Islam berasaskan Al-Quran dan
As-Sunnah yang telah diasaskan oleh ulama’ terdahulu. Sebenarnya ilmu ini tidak
perlu diislamisasi kerana ia tidak pernah diasingkan daripada tuhan sebagai
sumber kebenaran hakiki dan ilmu. Malahan ia telah mengalami proses islamisasi
yang dilakukan oleh ulama’ Islam terdahulu.[3]
Dari segi definasi, Al-Attas mendefinasikan Islamisasi
ilmu sebagai ‘mengeluarkan ilmu daripada tafsiran berasaskan ideologi
sekular; dan daripada makna serta ekspresi sekular’. Kemudian beliau
menambah ‘....selepas pengasingan tersebut, ilmu bebas daripada elemen dan
konsep utama (Kebaratan) dan kemudiannya digabungkan dengan elemen dan konsep
utama (Keislaman) yang mana- melihat kepada asas sifatnya sebagai menjelaskan
fitrah- ia menyemai ilmu dengan kualiti fungsi dan matlamatnya-nya yang
semulajadi dan dengan itu menjadikan ia ilmu yang hakiki’.[4]
Al-Faruqi pula mendefinasikan islamisasi ilmu sebagai mengintegrasi
ilmu baru ke dalam ruang lingkup tradisi Islam dengan menghapus, mengubah,
mentafsir semula dan mengadaptasi komponen-komponennya sebagai pandangan alam
Islam dan penentu nilai-nilai.[5]
Walau apa pun definasi yang diberikan berkenaan islamisasi
ilmu namun setiap definasi tersebut menjurus kepada pennyahbaratan ilmu. Barat
yang dirujuk di sini sebagaimana kata Al-Attas tidak merujuk kepada geografi
sebaliknya merujuk kepada peradaban yang berkembang daripada percampuran
pelbagai kebudayaan, falsafah, nilai dan aspirasi Yunani dan Rom Kuno,
penyatuannya dengan ajaran dan keagamaan Yahudi dan Kristian dan dikembang dan
dibentuk oleh orang Latin, Germanik, Celtik dan Nordik.[6]
Asal-usul Islamisasi Ilmu
Proses Islamisasi ilmu bukanlah satu bid’ah atau sesuatu
yang baru. Malahan jika diteliti secara mendalam, proses islamisasi ilmu telah
bermula sejak wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w iaitu Surah
Al-Alaq di mana Allah berfirman:
Berdasarkan ayat tersebut umat Islam digesa agar membaca
dua jenis ayaat (tanda-tanda) iaitu ayat di dalam bentuk Al-Quran dan ayat yang
dalam bentuk ciptaan-Nya iaitu alam ini. Pembacaan kedua-dua ayat tersebut
tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain malah perlu diintegrasikan.
Justeru setiap pembacaan perlu dimulai dengan nama tuhan yang Maha Esa. Bermula
daripada ayat ini, Rasulullah telah melakukan banyak perubahan kepada pandangan
alam masyarakat Jahilliyyah pada zaman tersebut serta diteruskan oleh
khalifah-khalifah terkemudian sehingga lahir tamadun Islam yang dicatat di
dalam lembaran sejarah dunia. Proses islamisasi ilmu yang dimulakan sekarang
adalah kesinambungan daripada usaha yang telah dilakukan oleh generasi awal
dalam sejarah Islam sebelum kejatuhan tamadun Islam.
Keperluan Islamisasi Ilmu
Persoalan yang mungkin timbul adalah kenapa perlu kepada
islamisasi ilmu. Sejak kemunduran tamadun Islam dan akhirnya kejatuhan sistem
khilafah Uthmaniah terakhir di Turki, kebanyakan negara dan umat Islam telah
‘dijajah’ secara fizikal, mental dan spiritual. Kesan penjajahan ini melahirkan
perasaan ‘inferiority’ dan kekaguman melampau umat Islam kepada Barat
sehingga melahirkan golongan umat Islam yang melihat segala-galanya yang ada di
Barat perlu dicontohi. Bagi golongan ini, untuk umat Islam bangkit semula
daripada kejatuhan maka Barat adalah model ikutan. Tambahan pula, perkembangan
sejarah yang berlaku di Barat telah membawa kepada kelahiran kepada pelbagai
ideologi yang asing buat Islam seperti sekularisma. Pensekularan atau
sekularusasi inilah yang membimbangkan pemikir-pemikir Islam semasa sehingga
mereka memikirkan keperluan kepada satu proses iaitu islamisasi ilmu bagi
menggelakkan umat islam daripada dijangkiti penyakit tersebut. Penyebaran
sekularisma ini amat kuat akhir-akhir ini sehingga dari situ jugalah
terhasilnya faham-faham lain seperti pluralisma, humanisma dan seumpamanya.
Ilmu adalah neutral?
Akhir sekali perlu kita fahami kepalsuan dakwaan bahawa
ilmu adalah neutral. Sebagai contoh untuk menjelaskan perkara ini kita
bandingkan antara seseorang yang mempunyai pandangan alam Islami dan seseorang
yang pandangan alamnya dipengaruhi oleh Kebaratan. Kedua-dua individu tersebut
apabila melihat kepada satu tumbuhan, maklumat yang sampai kepada akal mereka
mungkin sama tetapi proses pemikiran mereka yang mencerna maklumat tersebut
kemungkinan melahirkan kepada ilmu dan tindakan yang berbeza berdasarkan
pengaruh yang mempengaruhi pemikiran mereka. Seseorang Muslim pada pemikirannya
pasti menafsirkan tumbuhan sebagai makhluk ciptaan Allah yang perlu dihargai
oleh manusia sebagai khalifah di muka bumi sebaliknya seseorang yang
dipengaruhi idea materialisma melihat tumbuhan tersebut sebagai sumber
pendapatan yang boleh digunakan untuk manfaat dirinya tanpa menghiraukan kesan
yang mungkin timbul akibat tindakannya. Inilah contoh ringkas menunjukkan
bahawa ilmu pada hakikatnya merupakan hasil interpretasi atau tafsiran akali
manusia yang pasti tidak terlepas daripada unsur-unsur yang mempengaruhi
pandangan alam manusia itu sendiri.
Penutup.
Justeru usaha cendiakawan Islam yang mempelopori
islamisasi ilmu bukanlah sesuatu yang direka-reka tanpa ada asasnya. Walau
bagaimanapun perbincangan bagaimana proses islamisasi ini boleh dilaksanakan
masih berterusan. Kelahiran institusi seperti International Institute of
Islamic Thought (IIIT) dan pusat pendidikan seperti International Institute of
Islamic Thought and Civilization (ISTAC) adalah antara usaha ke arah islamisasi
ilmu yang perlu diteruskan.
[1] Sa’idu Sulaiman, Islamization of Knowledge, Background, Models
and the Way Forward (Nigeria: The International Institute of Islamic
Thought, Nigeria Office, 2000), 28.
[2] Rosnani Hashim & Imron Rossidy, A Comparative Analysis of
the Conceptions of al-Attas and al-Faruqi di dalam Islamization of Human
Science (Malaysia: International Islamic University Malaysia, 2006),
101-102.
[3] Ibid, hlm 102-104.
[4] Ibid, hlm 110.
[5] Ibid, hlm 111.
[6] Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam and Secularism, (Kuala
Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization, 1993),
134.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan