Selasa, 5 Oktober 2010

Derma Wang Judi

Isu derma dari wang judi di Pulau Pinang baru-baru ini menjadi hangat. Ramai di kalangan ustaz-ustaz yang memberi pandangan berhubung isu tersebut. Samada pandangan yang diberikan adalah dari sudut ilmiah/hukum Islam atau pun dari sudut politik. Masing-masing mengemukakan hujah masing-masing. Perbezaan pendapat dalam hal ini memang dialu-alukan tetapi perbezaan pendapat tersebut biarlah di atas dasar ilmiah serta dibaluti dengan perasaan hormat-menghormati antara satu sama lain. Antara pendapat yang menarik minat saya adalah pendapat yang dilontarkan oleh Ustaz Zaharuddin di websitenya (http://www.zaharuddin.net/senarai-lengkap-artikel/3/963-memulangkan-wang-sumbangan-kerana-ia-hasil-judi-.html#) dan juga pendapat bekas mufti Perlis, Dr.Asri Zainal Abidin di websitenya (http://drmaza.com/home/?p=1238).

Penjelasan Ustaz Zaharuddin amat panjang dan sememangnya bernas. Tetapi saya berbeza pendapat dengan beliau berhubung penerimaan wang derma secara langsung dari syarikat-syarikat yang menjalankan aktiviti yang haram dari perspektif syariah. Beliau berpendapat bahawa wang tersebut adalah halal untuk faqir miskin menerimanya berdasarkan kepada dalil serta pendapat ulama' yang mengatakan bahawa wang dari hasil yang haram boleh diterima oleh faqir miskin. Perbezaan pendapat ini dari segi penerimaan secara langsung dari syarikat berkenaan dan bukannya melalui pemberian kerajaan. Berikut adalah pendapat saya berhubung perkara tersebut:
Sememangnya harta yang disedekahkan oleh individu atau kerajaan kepada fakir miskin walaupun dari sumber yang haram tidak menjadi haram ke atas fakir miskin dan mereka tidak dibebankan dengan dosa kerana dosanya atas pembuat harta tersebut. Inilah pendapat majoriti ulama' dan segi hukum. Tetapi hukum islam harus juga dilihat kepada konteks suasana semasa (waqi') di negara-negara yang berkenaan.

Dalam konteks hari ini, kebanyakan syarikat judi atau syarikat yang menjalankan perniagaan haram memberikan derma untuk tujuan publisiti dan dalam masas yang sama potongan diberikan untuk pembayaran cukai. Oleh itu banyak syarikat yang lebih suka memberikan derma atau sumbangan berbanding membayar cukai kerana dalam masa yang sama mereka dapat meng'komersial'kan syarikat mereka dan menunjukkan seolah-olah mereka mementingkan 'social responsibility'.  Secara tidak langsung ini mungkin merapatkan lagi hubungan antara pemerintah dengan syarikat berkenaan. Jika melihat dari perspektif ini, kemungkinan ramai orang Islam yang merasakan ragu-ragu jika penerimaan mereka terhadap wang sumbangan yang diberikan secara langsung oleh syarikat berkenaan dianggap sebagai musyarakah mereka untuk menjayakan matlamat tersebut. Oleh itu wang tersebut boleh menjadi syubhat. Bagi saya adalah lebih selamat untuk menjauhi harta tersebut jika tidak berada di dalam keadaan darurah. Dan sebagaimana hadis rasulullah yang direkodkan juga oleh imam nawawi di dalam hadis 40 beliau bahawa orang yang melindungi diri daripada syubhat maka dia menjhaga agamanya dan kehormatannya. Tetapi itu sekadar pandangan sebagaimana ungkapan 'Hasanatul Abrar Sayyiatul Muqarrabin' bermaksud sesuatu yang dipandang baik di sisi orang yang baik tetapi dipandang buruk di sisi orang yang hampir dengan Allah'. Wallahu a'lam.

Tiada ulasan: