Rabu, 28 Julai 2010

DEKLARASI KUALA PILAH 1982

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

PERISYTIHARAN AS-SUNNAH

DEKLARASI

WUJUDNYA KELUARGA AS SUNNAH MALAYSIA

26 hb Disember,1982

DIDEKLARASIKAN

DI MA’HAD ‘IS SUNNAH KUALA PILAH, NEGERI SEMBILAN.

(MALAYSIA)

KELUARGA AS SUNNAH MALAYSIA

ISHTILAH:

A. Manakala disebut “KELUARGA AS SUNNAH” beartilah bahawa ia sesuatu gulungan Ummat yang terdiri daripada mereka yang menganut perpegangan agama Islam yang berdasarkan Kitab Al Quran dan Hadits Rasulullah s.a.w yang Sahih, Ijmak para Sahabat dan Qias dalam jurusan keduniaan.

B. Keluarga As Sunnah ini terdiri dari gulungan yang sejak dahulu dikenal sebagai:-

Kaum Muda,

Kaum Wahaby,

Kaum Salafiyyin,

Anshaarus Sunnah,

Ittibaa Sunnah,

Muhammadiyah,

Al Ishlah,

Syah Waliyullah Dahlewi,

Al Maududy dan sebagainya.

C. Keluarga As Sunnah yang disebut juga AHLIS SUNNAH WAL JAMA’AH adalah gulungan muslimin yang tidak bertaqlid kepada salah satu Mazhab, samada masyur atau tidak masyur, tetapi ia boleh melakukan ITTIBAA’, iaitu menerima dan mengikut satu-satu pendapat yang mu’tabar, setelah diketahui keterangannya dengan jelas dari Kitab Al Qur’an dan Hadits. dan tidak tersekat untuk melakukan IJTIHAD jika mempunyai syarat dan kemampuan.

D. Faham Keluarga As Sunnah dan pengambilan dasarnya adalah di batasi atau terlingkung dalam soal-soal ‘Aqidah (Tuahid); Ibadah, dan urusan Mu’amalah keduniaan, tidak akan keluar dari garisan tersebut pada bila-bila masapun.

PERTUMBUHANNYA:

A. Keluarga As Sunnah dan Faham As Sunnah bukan merupakan sesuatu pendatang baru dalam sejarah Islam, tetapi adalah selaras dengan kelahiran Nabi Besar Muhammad Rasulullah s.a.w dan segala pengikut yang mematuhi syari’atnya. Faham Sunnah mulai kabur setelah lahirnya zaman Muqallidin pada abad ke-tujuh h.(656.h) setelah dikatakan pintu Ijtihat ditutup.

B. Zaman kemurnian As Sunnah ialah dimulai zaman kehidupan Raasulullah s.a.w, zaman kedua ialah zaman Khulafaa’ir Rasyidin, zaman ketiga ialah Sahabat Kecil dan Tabi’ien, zaman keempat ialah zaman para Mujtahidien yang berakhir pada abad ke empat (350 h), dan abad ke lima dan ke enam adalah abad pentarjihan yang akhirnya tibalah zaman kemalapan bagi seluruh penganut Islam dunia.

C. Dalam abad ke tujuh (mulai 656h) mulalah zaman muqallidin iaitu zaman ummat Islam membekukan otak dan fikirannya yng menyebabkan ummat Islam tidak bergerak lagi, dan zaman ini timbulnya fitnah hingga sekarang. Tetapi Allah tidak akan memadamkan nurNya, maka tumbuhlah:-

1. Ibnu Taimiyah -661-728 H.
dan muridnya Ibnul Qaiyyim -691-751 H. Abad Ke-8.

2. Muhammad Abdul Wahhab dan anak anaknya di Hijaz. -1115-1206 H. Syah Waliyullah Dahlewi di Hindustan. -1114-1176h. (Abad ke 12)

3. S.Jamaluddin Al Afghaany – 1839-1897 m

S.Muhammad Abduh – 1849-1905 m

S.Mohd Rashid Ridha – 1855-1935 m 19-20 m. (Abad ke 13)

D. Fikiran “Urwatul Wutsqa” 913 March,1884-Oktober,1884) dan timbul pula Majalah Al Manar, yang kemudian lahir fikiran Urmatulwutsqa dan Al Manar keseluruhan dunia Islam sebagai hasil dari fikiran Muhammad Abduh-Rashid Ridha. Fikiran itu segera mengalir ke alam Melayu yang disambut pula oleh Syiekh Mohd Tahir Jalaluddin dengan Majalah al Imam yang pertama 1906 di Singapura yang tersebar luas di Semenanjung Tanah Melayu dan beberapa kota di Indonesia, dan timbullah Majalah Saudara dan Ikhwan di Pulau Pinang, dan lahirlah Kiyai Ahmad Dahlan diIndonesia dengan Muhammadiyahnya serta bersemaraklah fikiran Muhammad Abduh diNusantara sekalipun menempuh ranjau sepanjang zaman.

E. Tidak akan dilupai sepanjang perjalanan Keluarga As Sunnah dinusantara ini nama-nama mujahidnya, antaranya:

DIMALAYSIA:

Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin

Pendeta Zainal Abidin b.Ahmad (Za’ba)

Sayed Syeikh Ahmad Al Hady

Syeikh Abu Bakar al ‘Aqiby

Al Hustaz Haji Ahmad Amin

Al Hustaz Haji Saidin b Kamaruddin

Datuk Haji Muhammad Said Kelantan

Maulana Muhammad Ma’adah b Layang

Hji Nik Saleh b W.Musa

Syeikh Sidi Latif

Haji Abdul Malik Hussain

Al Hfidz Haji Rijal Abdullah

DIINDONESIA:

Syeikh Ahmad Khatib

Haji Abdullah Ahmad,Padang

Haji Abdul Karim Arullah

Syeikh Muhammad Jamil Jambe’

Abdul Mu’iz

Kiyai Haji Ahmad Dahlan

Syeikh Ahmad Soorkati

H.O.S. Chokroaminoto

A.Hassan Ahmad (Hassan Bandung)

T.M. Hasby As Shiddiqy

Buya Hamka.

F. Mata-rantai Muhammad Abduh-Rasyid Ridha juga ada beribu-ribu banyaknya di seluruh dunia Islam yang di anggap sebagai gulungan Salafiyyien yang tidak mementingkan satu mazhab sahaja dengan tekad menyatukan semula semua mazhab di bawah lindungan Kitab Al Quran-Hadits, dan pada tahun 1938 lahirlah hasrat murni ini suatu kumpulan Ulama’ Islam sebagai gulungan “AL ISHLAH” di Mesir dibawah pimpinan Musthafa al Maraghy, kalangan ini terus bergerak sampai sekarang.

G. Keluarga As Sunnah Malaysia adalah jalinan dari semua yang dinyatakan ini mempunyai keluarga berpuluh ribu orabg hingga sekarang ini yang ingin memebentuk suatau keperibadian,suatu masyarakat kecil atau besar yang bercorak As Sunnah,yang bersumberkan Kitab Al Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

PENGISYTIHRAN KELUARGA AS SUNNAH MALAYSIA

PADA 11 HB RABIE’UL AWWAL,1403 (26.12.1982)

1. BAHAWA MEMERHATIKAN:

A. Bahawa gerakan As Sunnah di Semenanjung Malaysia khasnya dan di Nusantara pada umumnya menjadi nadi dan roh bagi kesedaran dan kebangkitan bangsa Melayu dan umat Islam untuk membebaskan diri dari belenggu penjajahan hingga tercapai kemerdekaan tanahair.

B. Bahawa gerakan As Sunnah Malaysia sentiasa mendapat penentangan dari rintangan dari segenap penganut mazhab, terutama dari kaum syifi’eiyyah. dan sentiasa menerima kecaman dan tindasan, serta sentiasa ditimpakan gelaran dan julokan yang merendahkan dari kalangan yang menggap dirinya selaku pemimpin islam.

C. Bagaimanapun perlu dan wajibnya menegak dan meperjuangkan ketinggian Islam yang berdasarkan Al Quran dan As Sunnah Rasulullah s.a.w. dan betapa bertanggungjawab gerakan menghapuskan syirik, bid’ah, khurafat, tahyul dan segala kesesatan dan kemaksiatan.

D. Betapa jauh perbezaan dalam ‘Aqidah dan ibadah di antara faham keluarga As Sunnah dengan kaum muqallidien.

2. BAHAWA MENGINGAT:

A. Firman-firman Allah s.w.t. di dalam Al Quran:-

Surah Al Maaidah Ayat 3

Surah Al Israa’ Ayat 36

Surah An Nissa’ A:115

Surah Al Anfaal A:20

Surah Al an’aam A:153

Surah Muhammad A:33

Surah An Nisaa’ A:A:32

Surah Al Azhab A:21

Surah An Nur A:54

Surah Al Hasyr A:7

Surah Al Anfaal A:1

Surah Al Muntahinaat A: 1

Surah Al Mujadalah A:13

Surah An Nisaa’ A: 65

Surah Al Anfaal A:46

Surah Al An’am A:159

Surah Al Maa-idah A:92

Surah Al Qashash A:68

Dan Lain-lainnya.

B. Dalil dan keterangan dari hadis-hadis yang sahih dari Rasulullah s.a.w. bahawa umat muhammad hendaklah berpegang teguh pada kitab Allah dan sunnah Rasulnya.

C. Rasulullah s.a.w dengan sekeras-kerasnya melarang umatnya melakukan rekaan dan bid’ah dalam agama.

D. Amaran dan ramalan Muhammad Rasulullah s.a.w bahawa ummatnya akan berpecah belah sehingga 73 puak (ummat Yahudi 71 dan Nashara 72 puak), hanya satu puak sahaja akan memasuki syurga dan selainnya dineraka.

E. Para sahabat Rasulullah s.a.w. mahupun besar atau kecil, tidak membenarkan ummat islam bertaqlid kepada sesiapapun dalam bidang agama.

F. Ittifaq dan kesepakatan para Imam Mazhab yang empat bahawa manakala benarlah hadis itu datang dari Rasulullah s.a.w. maka itulah mazhab mereka, dengan tidak berhaq seseorang mengqias dan menghujjah, dan tidak seorang pun antara para imam itu mengisyaratkan supaya ummat Muhammad bertaqlid dan menganut mazhabnya masing-masing.

3. DAN JUGA MENGINGAT.

A. Termeterainya hak-hak asasi manusia didalam Piagam Bangsa-bangsa Bersatu dan perlembagaan negara Malaysia dalam mengeluarkan pendapat dan menganuti kepercayaan dan fahaman beragama.

B. Kerana menginsafi sebab musababnya kejatuhan dan kemunduran ummat Islam, dan mengingat betapa murni dan indahnya kesedaran dan perjuangan para mujtahidin, mujahidin, mujaddidin dan mushlihin Islam seperti:
Syeikhul Islam Ahmad Taqiyuddin Ibnu Taimiyyah,

Al ‘Allaammah Muhammad Ibnu Qaiyyim al Jauziyah,

Syeikh al imam muhammad bin Abdul wahhab,

Mujahid Saiyid Jamaluddin al Afghaany,

Al ustazul Imam Muhammad ‘Abduh,

Syeikh Seiyid Muhammmad Rasyid Ridha,

dan segala gulungan tajdid dan ishlah.

dan para reformis Islam Semenanjung:

Alm Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin al Falaky,

Al imam Syeikh Abu Bakar al Asy’ary Azhary,

Alm Haji Ibrahim ‘Aqiby Pulau Pinang,

Alm Maulana Muhammad Maadah b. Layang K. Pilah

Alm Ustaz Haji Ahmad Amin, Jasin, Melaka,

dan beratus orang jalinan matarantainya.

4. MAKA INILAH KELUARGA AS SUNNAH SELURUH MALAYSIA MEMUTUSKAN DAN MENGISYTIHARKAN:-

A. Bahawa Keluarga As Sunnah adalah suatu ummat yang berpegang teguh kepada kitab Al Quran dan Al hadis nabi yang sahih, mematuhi ijmak para sahabat, dan menggunakan qiyas dalam urusan ghairil mahdhah sahaja.

B. Bahawa dalam Keluarga As Sunnah adalah memohon kepada pemerintah yang mendukung kerajaan Malaysia pada hari ini, akan hak kemerdekaan dan kebebasan ber’aqidah, beribadah dan bermu’aamalah menurut kepercayaan dan amalan ahli sunnah yang berdasar kepada kitab Al Quran dan Hadis yang sahih dan dengan yang demikian memberikan hak-hak kebebasan kepada keluarga Keluarga As Sunnah seluruh Malaysia melaksanakan urusan ad-Dienul Islam menurut apa yang kami yakini.

C. Bahawa keluarga as sunnah malaysia adlah bersedia akan berdiri teguh di belakang kerajaan malaysia bagi menegakkan amar-makruf dan nahi-mungkar, dan membanteras serta menghapuskan syirik, bid’ah, khurafat, tahyul dan segala rupa ajaran sesat dan berlawanan dengan ajaran kitab A l-Quran dan Hadis Rasulullah s.a.w.

5. Sesuai dengan Piagam Bangsa-bangsa Bersatu tentang hak-hak asasi manusia dan perlembagaan negara Malaysia dalam hal kebebasan mengeluarkan pendapat dan menganuti kepercayaan dan fahaman beragama, maka keluarga as sunnah seluruh malaysia meminta hak-hak kami itu dihormati dan di lindungi oleh kerajaan Malaysia.

WABILLAHIT TAUFIQI WALHIDAYAH.

Di Ma’had Ittibaa ‘ Is sunnah

Kuala Pilah,Negeri Sembilan,

M A L A Y S I A.

Hashim A. Ghani

Ketua Keluarga

As Sunnah Malaysia

Bertarikh : 26 Disember 1982
(Deklarasi ini telah dihantar kepada DYMM Yang Di Pertuan Agong, DYMM Raja dan Sultan Negeri-negeri, Yang Di Pertua Negeri, Ketua-ketua Menteri, Menteri-menteri Besar dan Mufti-mufti Kerajaan Negeri-negeri )

Abu Abdillah Syed Hasan bin Nurhasan al-Khurasani (1875-1944) dan penglibatannya dalam pembaharuan Islam di Kelantan

Abu Abdillah Syed Hasan bin Nurhasan al-Khurasani (1875-1944) dan penglibatannya dalam pembaharuan Islam di Kelantan

15.1 PEMBAHARUAN ISLAM DI KELANTAN

Kelantan, dari segi perkembangan Islam, merupakan negeri dalam Malaysia yang mempunyai kedudukan dan sifatnya yang tersendiri. Ramai orang menyebutnya "Serambi Makkah", sebagai gelaran kehormatan sebab Islam yang nampak kukuh dan ilmunya yang berkembang baik di negeri itu.

Kelantan, dulunya mempunyai berbagai-bagai pondok yang tersebar di seluruh negeri itu, menjadi tumpuan para pelajar Islam yang datang dari berbagai-bagai negeri di Malaysia, juga dari negara tetangga seperti Thailand, Singapura dan Indonesia. Kota Bharu, sebagai ibu negeri, merupakan pusat penyebaran ilmu Islam dalam negeri itu. Tok guru-tok guru pada umumnya memperoleh ilmunya, terutama dari al-Azhar, Mesir, al-Masjidil-Haram, Makkah, Darul-Ulum, Deoband, dan Baitul-Hikmah, India.

Arus pembaharuan Islam yang pada mulanya bersumber dari Timur Tengah juga mengalir ke Kelantan. Idea ini dibawa oleh pelajar yang belajar terutama di Mesir, melalui majalah dan kitab, sama ada yang langsung dari pusat sumber di Timur Tengah atau melalui pantai barat Semenanjung. Demikianlah misalnya tokoh-tokoh ulama Kelantan tidak terasing daripada majalah al-Urwatul-Wuthqa (Paris, 1884), al-Manar (Kahirah, 1898), Al-Imam (Singapura, 1906), al-Ikhwan (Pulau Pinang, 1926), dan Saudara (Pulau Pinang, 1928).

Meskipun majalah ini tidak dibaca oleh orang awam, namun amat besar pengaruhnya kepada kelompok ulama Islam pada masa itu. Pandangan yang dikemukakan ialah pembaharuan mengikut ajaran Islam dalam berbagai-bagai segi kehidupan kaum muslimin.

Dengan yang demikian, pengaruh pemikiran tokoh-tokoh tajdid di Timur Tengah terutama tiga seuntai, Syed Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, dan Syed Rasyid Ridha mengalir ke dalam pemikiran ulama tempatan seperti Tok Kenali, Haji Wan Musa, Haji Mohd. Said, dan Datuk Haji Muhammad bin Haji Mohd. Said (Datuk Laksamana) untuk kemudian menyebar ke tengah-tengah masyarakat. Maka dilakukanlah peninjauan semula kepada beberapa aspek hukum fikah dan ilmu tauhid. Pada umumnya, tokoh-tokoh pembaharuan hendak kembali kepada al-Quran dan al-Sunnah dan tidak mahu terikat kepada taklid, lebih-lebih lagi taklid buta. Maka lahirlah perbezaan pendapat di dalam beberapa masalah seperti masalah usalli, talkin, sifat Dua Puluh, dan lain-lain, persoalan yang tidak didapati dalilnya sama ada di dalam al-Quran mahupun di dalam al-Sunnah.

Di tengah-tengah pertumbuhan ilmu agama yang diterajui oleh ulama anak Kelantan sendiri muncul pula nama Abu Abdillah Syed Hasan bin Nurhasan al-Khurasani (1875-1944). Beliau ini bukan putera Kelantan. Beliau berasal dari Khurasan. Beliau menitikberatkan ajarannya kepada ilmu Hadis dan banyak menekankan dalil sunnah.

Menurut Datuk Yusuf Zaki (Wawancara: 1 Februari 1990) beliau ialah ulama yang mula-mula mengajarkan Hadis secara ilmiah; beliau seorang ahli Hadis dan tidak menganut mazhab Hanafi (beberapa orang mendakwa bahawa beliau menganut mazhab Hanafi-peny.). Beliau berpegang kepada sunnah.

Menurut Datuk Yusuf Zaki, Datuk Haji Muhammad Said (1920-an) ialah Menteri Besar Kelantan yang membawa fahaman pembaharuan, dan menulis perkara itu di dalam majalah; beliau belajar di Mesir (nama ini disebut di dalam Deklarasi Kuala Pilah (1982) sebagai salah seorang nama mujahid fahaman Sunnah). Namun, agaknya beliau tidak mengembangkannya secara sistematik, sehingga tidak berlaku seperti di Perlis.

Ketika ditanyakan apakah ada hubungan di antara kelompok Perlis dengan Kelantan, Datuk Yusuf Zaki menceritakan bahawa Abu Bakar al-Asyaari memang ada datang ke Kelantan untuk mengembangkan fahamannya di sini. Namun, agaknya kurang berkesan. Kisah yang sama juga kami dapati daripada Ustaz Hasan Idris (Wawancara: 29 Januari 1990).

Datuk Yusuf Zaki juga menceritakan kedatangan seorang ulama bernama Syeikh Azhari Sudan yang kemudian kembali ke Makkah.

Apabila ditanyakan pendapat beliau mengapa di Kelantan dewasa ini ada penentangan yang kuat menuduh Nik Abdul Aziz sebagai Kaum Muda, walhal dari sejak dahulu Ustaz tersebut sudah dikenali sebagai tokoh pembaharuan; beliau menjawab bahawa itu adalah sebab politik. Bahkan sejak ayahnya lagi, Haji Nik Mat telah menjadi pengikut Tok Khurasan.

Datuk Yusuf Zaki menerangkan bahawa termasuk aliran pembaharuan yang kuat di negeri ini ialah aliran Syah Waliyullah al-Dahlawi. Bukunya Hujatullah al-Balighah banyak dibaca dan diajarkan. Dalam buku ini tidak ada gambaran tarikat.

Memang kami jumpai di dalam perpustakaan, orang menyebut ajarannya sebagai "Tariq Syah Waliyullah", maksudnya: Cara Syah Waliyullah. Agaknya perkataan "tariq" di situ tidak ada kena mengena dengan sesuatu ajaran tarikat.

Datuk Yusuf Zaki juga menyebut nama Haji Abdullah Nuh (meninggal 1947). Beliau ialah salah seorang pengembang ajaran Syah Waliyullah. Beliau seorang ulama lepasan India dan Pakistan. Antara muridnya termasuklah Datuk Haji Muhammad Nasir, bekas Menteri Besar Kelantan.

Menurut Datuk Yusuf, murid Tok Khurasan dan murid Haji Wan Musa ialah orang yang menyebarkan pemikiran pembaharuan kepada masyarakat Islam di sini. Datuk Yusuf Zaki yang mengkagumi perkembangan fahaman Ahlus-Sunnah di Perlis, mengemukakan pertanyaan: Berapa lama lagikah Majlis Agama negeri ini tidak terikat lagi kepada mazhab Syafii?

Ustaz Abdullah Qari, seorang guru di Ma'ahad Muhammadi, yang dikenal sebagai seorang tokoh pembaharuan, (Wawancara: 28 Januari 1990) menerangkan bahawa al-Sunnah di Kelantan telah ditegakkan oleh beberapa orang ulama. Namun, tidak diketahui bila mulanya. Salah seorang penegaknya ialah Ustaz Nik Mat, bapa kepada Ustaz Nik Abdul Aziz, Ketua Dewan Ulama PAS (sekarang Menteri Besar Kelantan). Beliau adalah murid Tok Kenali. Beliau telah menunjukkan keberanian di dalam menegakkan al-Sunnah. Tokoh lain ialah allahyarham Datuk Mufti Haji Noor. Beliau berpengaruh dalam penyebaran al-Sunnah. Demikianlah misalnya beliau berpendapat bahawa al-Sunnah melarang menyebut "Sayyidina" dalam salat, salat hajat mestilah disertai oleh tuan rumah dan beliau tidak melakukan jabat tangan selepas salat. Menurut Ustaz Abdullah Qari, allahyarham Haji Noor mengatakan bahawa buku-buku karangan Ustaz Qari sesuai dengan pendapat beliau. Menurut Ustaz Abdullah, Ustaz Nik Abdul Aziz juga ialah seorang penegak al-Sunnah.

Menurut Ustaz Abdullah Qari, kitab al-Umm pernah diterjemahkan pada zaman Tok Kenali, tetapi tidak lengkap. Sekarang tidak tahu lagi urusan ini. Allahyarham Tok Kenali tidak menyebut apa-apa tentangnya. Ustaz Abdullah Qari selanjutnya menerangkan bahawa allahyarham Mufti Haji Ismail juga seorang penganut al-Sunnah. Sekarang ini buku-buku Wahabi, Ibn Taimiyah, dan sebagainya telah banyak diguna. Timbalan Mufti Haji Hasbullah juga mengajarkan akidah salafiyah di masjid. Perkembangan al-Sunnah di Kelantan dan Petani banyak dipengaruhi oleh pelajar dari Saudi. Sekolah Madinatul 'Ilmi, kepunyaan PAS di Kampung Kandis Bacok (dekat Pondok Moden) akan mendidikkan al-Sunnah dan hendak bergerak ke arah al-Sunnah.

Saya sendiri, kata Abdullah Qari, banyak membaca buku-buku Indonesia. Itulah yang mendorong saya menyokong al-Sunnah. Sebelum Tok Khurasan belum lagi ada orang yang mengajarkan Hadis. Tok Kenali sendiri juga menggalakkan belajar Hadis kepada Tok Khurasan. Kemudiannya, Tok Kenali juga mengajarkan al-Bukhari tanpa tafsiran.

Tuan Haji Hasan bin Haji Yaakub, pemilik penerbitan dan percetakan Aman Press, sebuah syarikat yang telah banyak menerbitkan buku-buku agama, menerangkan bahawa ramai orang yang mengamalkan al-Sunnah, namun tidak berjuang untuk menjayakannya. Dewasa ini orang semakin banyak mengikuti fahaman pembaharuan tanpa menyedari bahawa ia telah melangkah keluar daripada mazhab Syafii.

Pendapat seperti ini juga telah dikeluarkan oleh Ustaz Hasan Idris, seorang tokoh pendidikan agama yang terkemuka di negeri Kelantan (Wawancara: 29 Januari 1990). Beliau sendiri katanya, adalah pendukung idea pembaharuan. Beliau mengamalkan al-Sunnah tetapi tidak berdaya memperjuangkannya. Pada waktu mudanya dahulu, beliau bersemangat hendak membasmi perkara yang terkeluar daripada al-Sunnah, namun semangatnya itu terpendam sebab sikap masyarakat yang masih mempertahankan amalan dan pemikiran tradisional. Demikian juga tokoh-tokoh agama yang berasal dari Indonesia atau Makkah. Mereka pada mulanya penuh semangat hendak menegakkan al-Sunnah. Namun reaksi yang negatif sama ada daripada pihak yang berkuasa dan rakyat biasa, menyebabkan semangat itu menjadi padam dan luntur. Akhirnya tinggal beramal untuk diri sendiri sahaja. Setiap penyebaran perkara yang dipandang baru, tokoh penyebarnya akan dipanggil oleh pihak berkuasa dan dinasihati agar jangan membuat masyarakat menjadi gempar. Hal ini melemahkan semangat dan menghilangkan keberanian.

Tentang Ustaz Nik Abdul Aziz, beliau memandangnya sebagai orang yang berani. Beliau menentang pemikiran tradisional. Salah seorang penentang beliau ialah Tok-Guru Abdurrahman dari pondok Sungai Durian. Tok guru ini masih kuat mengikuti fahaman tradisional. Menurut Ustaz Hasan Idris, penentangan terhadap Nik Abdul Aziz bukan dilatari oleh politik. Penentang beliau sentiasa ada sejak dahulu lagi.

Menurut beliau, al-Barzanji bukanlah suatu kesalahan besar. Orang lambat-laun akan melupakannya. Bagi Ustaz Hasan Idris, orang Malaysia yang pergi ke Makkah boleh melakukan talfik. (Beralih mazhab dalam beberapa perkara.)
Tentang susunan pentadbiran agama Islam negeri, Datuk Nik Sulaiman, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kelantan (Wawancara: 28 Januari 1990) menerangkan bahawa pentadbiran agama Islam dijalankan oleh tiga badan, iaitu: (1) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, (2) Jabatan Agama, dan (3) Yayasan Islam Kelantan. Tentang kewangan pentadbiran agama Islam ini diperoleh daripada sumber Kerajaan, Zakat dan Baitul Mal, Wakaf, dan Sedekah. Berbagai-bagai rancangan untuk kemajuan Islam telah dibuat dan dilaksanakan. Fatwa dikeluarkan oleh Jawatankuasa Ulama, dengan dipengerusikan oleh Datuk Mufti. Di samping itu, ada Dewan Syura yang dianggotai oleh para ulama dan cendekiawan, yang membincangkan masalah yang berkaitan keagamaan. Untuk meningkatkan ilmu pengetahuan Islam telah diadakan siri "Muzakarah Ilmiah" di masjid Muhammadi. Kewujudan Muzakarah Ilmiah ini adalah sebagai memenuhi suatu resolusi yang dicapai menerusi persidangan Dewan Syura yang pertama pada 10 November 1987. Muzakarah Ilmiah akan dihadiri oleh para ulama yang berwibawa.

Ketika ditanyakan tentang aliran keagamaan yang hidup di Kelantan, Ustaz Uthman Muhammadi, salah seorang anggota Majlis Agama (Wawancara: 28 Januari 1990) mengatakan bahawa fatwa dilakukan dalam mazhab Syafii; aliran yang tidak bermazhab belum mendapat tempat di Kelantan. Fatwa yang lain daripada mazhab Syafii tidak laku di negeri ini. Tentang fahaman Syiah, menurut beliau "sangat kecil". Kumpulan pengikut Syah Waliyullah memang ada.

Darihal pemurnian mazhab Syafii dengan berpegang kepada pendapat Imam Muhammad ibn Idris sendiri, tidak kepada mujtahid bawahan beliau, menurut Ustaz 'Uthman Muhammadi, pada dasarnya dapat diterima, dan hendaklah kita kembalikan kepada suatu mesyuarat oleh mereka yang arif.

Ketika ditanyakan berkenaan dengan pemilihan masalah khilafiah di dalam mazhab Syafii, seperti azan Jumaat apakah sekali atau dua kali, Timbalan Mufti, Datuk Haji Hasbullah (Wawancara: 28 Januari 1990) menjawab: "Itu bukan suatu kesalahan". Ketika dilanjutkan pertanyaan dengan: Bagaimana kalau ada masjid yang melakukan azan satu kali sahaja?, Timbalan Mufti mengatakan: "Kita akan nasihati". Nampaknya jika nasihat itu tidak berkesan orang yang melakukan azan satu kali tidak akan diapa-apakan oleh pihak penguasa agama. Jika betul demikian, itu adalah suatu sikap yang benar.

Mufti negeri Kelantan, Sahibul Al-Samahah Datuk Muhammad Cik Wook (Wawancara: 29 Januari 1990), (meninggal 1990) menerangkan, bahawa Perlis di satu pihak dan orang lain di satu pihak yang lain, memang berlainan pemikiran dan sikap. Perlis lebih cepat dalam pembaharuan. Mereka tidak terikat kepada sebarang mazhab. Di pihak lain, sifat keterikatan kepada mazhab Syafii itu masih tebal. Sebab itu untuk menyamakan mazhab Syafii dengan mazhab yang lain bukan suatu perkara yang mudah. Pemurnian mazhab Syafii sebaiknya dimulai dari pengajian tinggi. Memang kita rasakan bahawa fikah yang ada sekarang ini sudah berusia seribu tahun, banyak yang tidak sesuai lagi dengan cara hidup kita sekarang ini. Perlu ada tinjauan dan pemikiran baru.

Tentang kes penentangan terhadap Ustaz Nik Abdul Aziz, beliau mengemukakan tiga faktor:
1. Perkembangan politik yang berlaku sekarang.
2. Sejak akhir-akhir ini, Ustaz Nik Abdul Aziz lebih berani mengeluarkan pendapat dengan suara yang lebih lantang.
3. Faktor pertentangan di dalam parti pun ada juga, pengikut kaum tua tidak menyukai Ustaz Nik Abdul Aziz sebab mereka mengecap sebagai Kaum Muda. Sebenarnya, Ustaz Nik Abdul Aziz telah sejak dulu dikenali sebagai golongan tajdid.

Tentang dakwaan bahawa allahyarham Haji Noor, bekas mufti Kelantan, termasuk penganut fahaman tajdid, Datuk Mufti mengatakan bahawa daripada beliau ini banyak perkara yang tidak dapat difahami. Walau bagaimanapun, beliau menolak talkin dan sebab itu ketika penguburan Almarhum Sultan Yahya Petra (Yang di-Pertuan Agong Malaysia) talkin tidak dibacakan. Memang di Kelantan, talkin sudah hapus atau hampir hapus. Menurut Datuk Mufti, sekarang ini sedang dipersiapkan peraturan istiadat kemangkatan raja, yang di dalamnya akan dimasukkan "tidak bertalkin".

Menurut Datuk Muhammad Cik Wook selanjutnya, Allahyarham Haji Noor, dalam mengemukakan sesuatu pendapat selalu memberi alasan Hadis, tidak mengagungkan mazhab dan tidak mengajarkan Sifat Dua Puluh. Fahaman ini juga didokong oleh allahyarham Haji Ismail, Timbalan Mufti pada masa itu. Datuk Mufti mengingatkan bahawa tidak semua yang kita pegang sekarang ini betul, kita mesti kembali kepada Sunnah.

Seperti dengan Timbalannya, Datuk Mufti juga menegaskan bahawa orang yang melakukan azan satu kali pada hari Jumaat tidak akan diambil tindakan. Sikap ini berlawanan dengan sikap negeri Perlis yang akan bertindak dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan azan dua kali.

Menurut Ustaz Nik Abdul Aziz, Ketua Dewan Ulama PAS Pusat dan seorang ulama terkemuka di Kelantan yang menjadi Menteri Besar sekarang ini, (Wawancara: 1 Februari 1990) mengatakan penglibatannya dengan aliran pembaharuan sudah lama, bahkan sejak ayahnya lagi. Bapa beliau pernah belajar pada Syeikh Azhari, orang Sudan. Orang Islam pada masa itu masih kuat berpegang pada usalli dan membayangkan semua pekerjaan salat pada waktu takbiratulihram. Ayah beliau adalah pihak penentang cara lama ini. Kedatangan Tok Khurasan, memperkuatkan aliran pembaharuan. Antara yang belajar kepada Tok Khurasan ini termasuklah Allahyarham Haji Ahmad Mahir (Mufti). Nik Abdul Aziz sendiri bersimpati dengan bahasannya. Menurut beliau: "Saya sendiri memanglah orang yang menyokong pembaharuan".

Sejak akhir-akhir ini, orang mendakwa saya makan tupai, Ustaz Nik Abdul Aziz menerangkan selanjutnya. Masalahnya ialah: Tupai itu binatang bersih, makan barang bersih; tunjukkan sebab mengapa tupai diharamkan! Kalau tupai tidak haram bukan bererti kita makan haiwan itu. Demikian juga Sifat Dua Puluh; saya minta masyarakat supaya kembali kepada tauhid al-Quran. Heboh masyarakat mengatakan bahawa orang yang makan tupai itu menolak Sifat Dua Puluh. Tadinya saya mengajarkan Fiqhus-Sunnah. Tetapi untuk tidak merosakkan imej PAS saya tukar kepada al-Qardawi.

Ustaz Nik Abdul Aziz meneruskan, bahawa dasar di dalam menyebarkan ajaran al-Sunnah, jangan sebut perkataan "bidaah". Beri keterangan kepada masyarakat apa yang tentu kita buat, jangan yang tidak tentu. Tentang kenduri kematian, saya katakan, bahawa mungkin termakan harta anak yatim. Saya minta hilangkan persandingan. Walau bagaimanapun, saya tidak mempunyai hubungan sama sekali dengan Perlis.
Menurut Ustaz Nik Abdul Aziz, fahaman pembaharuan akan terus berkembang dan maju dengan pesat. Mahu tak mahu pihak Majlis Agama mesti tunduk kepada kenyataan kebangunan aliran ini. Di sini semasa khutbah Jumaat, pegang tongkat, membaca selawat dan sebagainya sudah banyak hilang sebab kesedaran. Walau bagaimana-pun, satu kali azan pada salat Jumaat belum pernah berlaku. Bagi saya pembaharuan perlu dikembangkan, tetapi bukan dengan cara kekerasan, namun dengan cara ilmu. Dalam pengajian jangan ditekankan kepada masalah khilafiah. Gunakan bahasa yang lunak.

Berbahagialah masyarakat Islam Kelantan sebab memperoleh pemimpin Islam, sama ada yang rasmi atau yang tak rasmi, yang mempunyai pemikiran terbuka dan penuh kematangan di dalam menegakkan ajaran al-Sunnah.

15.2 KES KESAN-KESAN ANJING
Sepulangnya Haji Nik Abdullah bin Haji Wan Musa (1900-1935) dari Makkah, beliau telah dipanggil oleh Tengku Ibrahim ibn Sultan Muhammad ke-IV, Raja1 Kelantan. Mereka bercakap-cakap tentang beberapa masalah keagamaan. Raja Kelantan yang ketika itu memelihara beberapa ekor anjing bertanya kepada Haji Nik Abdullah, apakah anjing boleh dipelihara atau tidak, dan bagaimana pula sekiranya tubuh kita terkena air ludah anjing. Haji Nik Abdullah mengatakan bahawa andainya binatang itu difikirkan sangat perlu untuk mengawal keselamatan rumahtangga, maka tiada salahnya memelihara haiwan itu. Berkenaan dengan kesan jilatan anjing, menurut beliau, mengikut pendapat Imam Syafii anggota tubuh manusia yang terkena jilatan anjing itu wajib disamak. Namun, mengikut pendapat Imam Malik, (jika lain daripada jilatan-peny.) tidak mesti disamak. Dalam perbezaan pendapat kedua-dua ulama mujtahid ini, menurut pendapat Nik Abdullah setiap peribadi boleh memilih pendapat yang mana yang hendak diamalkannya. Mengikut pendapat Haji Nik Abdullah semua pendapat imam mujtahid boleh diamalkan oleh kaum muslimin. Juga boleh dengan cara talfik, iaitu dicampurbaurkan antara satu dengan yang lain. (Lihat tentang talfik pada bab lain.)

Beliau berpendapat bahawa perbezaan pendapat di antara para ulama mujtahid disebabkan oleh daya ijtihad masing-masing mujtahid dengan panduan al-Quran dan al-Sunnah. Lagipun para imam mujtahid berkenaan tidak menyalahkan antara satu dengan lain.

Pandangan Haji Nik Abdullah seperti itu ditentang oleh ulama Syafiiyah yang dipaparkan di dalam kumpulan pengajian masing-masing. Ulama tradisional yang menentang pendapat ini antara lain termasuklah: Haji Ibrahim bin Haji Yusuf, Mufti pada masa itu (1928-1941); Haji Ahmad Mahir bin Haji Ismail, Haji Abdullah Tahir bin Haji Ahmad, dan Haji Ahmad Manan. Kesan daripada penentangan ini, maka masalah jilatan anjing menjadi persoalan yang dibincangkan oleh masyarakat.

Penentangan para ulama tradisional terhadap pendapat Haji Nik Abdullah ini berpanjangan dan berterusan, meskipun selepas kematian Haji Nik Abdullah. Haji Wan Musa yakin akan kebenaran pendapat anaknya, Haji Nik Abdullah. Beliau mempertahankan pendapat itu di dalam jemaah pengajiannya. Isu ini kemudian mendapat perhatian daripada Sultan Kelantan, Sultan Ismail ibn Sultan Muhammad ke-IV.

Untuk menyelesaikan masalah ini agar suasana tegang tidak terus-menerus menguasai masyarakat Islam Kelantan, maka Sultan memanggil semua ulama yang terlibat ke istana kediaman baginda (1936). Walau bagaimanapun, percubaan ini tidak membawa sebarang hasil. Bahkan pertengkaran dalam masyarakat semakin meluas.

Perkembangan berikutnya ialah semakin ketaranya sikap Raja Kelantan yang menyokong pendapat Haji Nik Abdullah. Raja Kelantan yang juga memegang jawatan sebagai Yang Dipertua Majlis Agama, menganjurkan suatu perbahasan terbuka (1937) di istananya Seri Cemerlang. Juga turut diundang Sahibul Al-Samahah Haji Abbas Taha, Kadi Besar Singapura dan Dr. Burhanuddin al-Hilmi Setiausaha Majlis Ulama Singapura. Kedua-dua tokoh ini adalah daripada kalangan Kaum Muda yang akan menjadi penyokong kepada pendapat Haji Wan Musa. Daripada kalangan masyarakat Kelantan nampaknya dapat menerima kelangsungan perbahasan ini, tidak ada yang menentang, meskipun dua orang tokoh Kaum Muda dihadirkan ke Kota Bharu. Perbahasan ini dikunjungi oleh ramai orang, sama ada daripada kalangan kerabat diraja, pegawai Kerajaan, dan orang ramai. Juga hadir di dalam majlis itu, Sultan dan Raja. Meskipun di dalam perbahasan berlaku kecam mengecam antara dua pihak, namun suasana hadirin tenang sahaja. Nampaknya mereka mampu mengawal perasaan.

Walau bagaimanapun, tidak ada suatu keputusan yang dapat diambil daripada perbahasan itu. Sultan Ismail sebagai hakim juga tidak menentukan yang mana satu daripada kedua-dua pendapat itu yang akan diamalkan oleh masyarakat Islam. Baginda menyerahkan kepada orang ramai sama ada hendak mengamalkan pendapat Haji Wan Musa ataupun pendapat lainnya.

Sebagai kelanjutan daripada perbahasan ini, Haji Abbas Taha telah menyusun sebuah kitab yang bertajuk "Risalah Penting" yang isinya menguatkan pendapatnya berkenaan dengan masalah itu. Haji Wan Musa pula menulis sebuah risalah tulisan tangan, yang memuatkan kedua-dua pendapat yang bertentangan dan juga pendapat mufti besar Mesir pada ketika itu. Menurut risalah itu, Mufti Mesir mempunyai pendapat yang sama dengan pendapat Haji Nik Abdullah. Raja Kelantan pula dalam kedudukannya sebagai Yang Dipertua Majlis Agama menghantar tiga pertanyaan kepada Syed Muhammad Mustafa al-Maraghi, Syeikh Universiti al-Azhar pada masa itu. Jawapan Syeikh al-Azhar yang diterima dalam bulan April 1937 bersamaan dengan pendapat Haji Nik Abdullah juga. Baginda bertambah yakin akan kebenaran pendapat Haji Nik Abdullah itu.
Demikian isu itu telah berlalu. Ramai orang yang membenarkan pendapat Haji Nik Abdullah dan Haji Wan Musa. Namun, tidak ramai orang yang mengamalkannya. Kebanyakan kaum muslimin masih tetap menyamak anggota tubuhnya yang terkena sentuhan anjing. Di Kelantan sampai dewasa ini pun hampir-hampir tiada orang Islam memelihara anjing untuk mengawal rumahnya. Agaknya mereka masih waswas mengikuti pendapat yang "baru". Mereka telah terbiasa dengan cara lama. Mungkin pula sebahagiannya meskipun membenarkan pendapat "baru", namun untuk ihtiyat adalah lebih selamat jika diikut pendapat yang sedia ada. Sebab mengikutinya bukanlah suatu kesalahan dari segi pendapat yang mana pun juga.

Memang masalah ini adalah masalah yang kecil terutama jika dilihat dari segi perkembangan berfikir umat Islam pada masa kini. Namun kisah ini kita ulang kembali di sini, adalah untuk menunjukkan bahawa umat Islam Kelantan sejak tahun 1937 telah didedahkan secara terbuka dan rasmi akan ketidakmutlakan mazhab Syafii. Dan bahawa nilai mazhab Syafii dari segi kesahihannya sama saja dengan mazhab fikah yang lainnya, seperti Hanafi, Maliki, dan Hanbali. Dan bahawa tidak ada sesuatu tali yang mengikat kita hingga tidak dapat lepas daripada mazhab Syafii. Dan bahawa setiap fatwa dan pendapat ulama mestilah berdasar kepada dalil dan petunjuk al-Quran dan al-Sunnah.

15.3 PENDEDAHAN PEMBAHARUAN ISLAM KEPADA

MASYARAKAT KELANTAN
Meskipun ramai orang Kelantan yang menentang fahaman Kaum Muda, namun negeri ini tidak pernah mengalami pertembungan fizikal antara dua golongan umat Islam itu seperti yang berlaku di Melaka misalnya. Dan bahkan jika diberi alasan dengan cara yang baik tanpa memancing emosi, mereka boleh terima dan bersedia mengamalkannya. Demikianlah misalnya acara talkin pada penguburan dan acara bersanding dengan merenjis tepung-tawar sudah hampir hilang daripada masyarakat. Demikian juga, memuliakan kuburan atau tempat yang dipandang keramat, membakar kemenyan pada malam Jumaat, melambat-lambatkan penguburan mayat dan perkara karut yang lain sudah lenyap ditelan zaman. Kita bersetuju dengan pendapat Ustaz Nik Abdul Aziz, bahawa dasar dalam menyebarkan ajaran al-Sunnah jangan disebut perkataan bidaah; beri mereka keterangan yang betul yang boleh diterima oleh pemikiran mereka. Allahyarham Ustaz Mohd. Daud Bukit Marak, seorang pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, di dalam suatu majlis pengajian di suatu masjid, ditanya orang tentang hukum mentalkinkan orang mati, beliau menjawab: "Andai kata orang mati di dalam kubur boleh kita ajar Islam, saya akan pergi ke jerat orang Cina dan mentalkinkan mereka semua". Agaknya keterangan seperti itu lebih mudah diterima rakyat awam.

Hal ini tidak bererti bahawa di Kelantan segala yang karut, yang khurafat, dan bidaah telah lenyap semuanya. Saki-bakinya masih ada. Perbuatan yang berdasar kepada kepercayaan dinamisme-animisme masih ada terutama di pedalaman. Mentera yang bersifat pemujaan kepada alam ghaib di sana sini masih ada. Namun, proses pembersihan akan berjalan terus. Kelantan mempunyai ramai orang alim, keluaran pondok, keluaran al-Azhar Mesir, keluaran pengajian tinggi Saudi Arabia, Iraq dan Indonesia. Berdirinya Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, yang sekarang telah diserap ke dalam Universiti Malaya mengumpulkan ramai lulusan pengajian tinggi Islam di luar negeri. Mereka ini seluruhnya menganut aliran dan fahaman pembaharuan Islam meskipun dengan erti yang agak berbeza dengan yang difahamkan di Perlis. Di samping mengajar di yayasan tersebut mereka juga menjadi mubaligh dan guru agama di merata tempat di Kelantan. Mereka ini juga adalah pembina umat Islam yang sebenarnya, Islam yang berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah. Pemindahan pusat Akademi Islam Universiti Malaya dari Nilam Puri ke Kuala Lumpur, sedikit sebanyak merugikan kaum muslimin Kelantan. Sekarang ini yang tinggal di Nilam Puri hanyalah kelas prakuliah sahaja.

Memang dulunya ketika Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan diambil alih oleh Universiti Malaya dan diberi nama Akademi Islam Universiti Malaya, dirancangkan bahawa pemindahan ke Kuala Lumpur itu hanya untuk sementara. Kemudiannya akan dibangunkan sebuah kampus di Bacok, Kelantan dan di sanalah akan didirikan kampus yang tetap untuk Akademi Islam itu. Tanah telah pun disediakan dan pemagaran juga telah dilakukan. Namun, sampai sekarang pembangunan belum juga dimulai. Kita tidak tahu apa sebabnya. Kononnya tidak ada wang untuk membangunkannya. Mungkin alasan itu benar. Namun, keterangan yang pasti belum pernah didedahkan kepada masyarakat Kelantan.

15.4 MA'AHAD MUHAMMADI

Salah satu "kilang" melahirkan cerdik pandai Islam di Kelantan ialah Ma'ahad Muhammadi. Ma'ahad ini ialah sebuah sekolah menengah yang diasuh oleh Yayasan Islam Kelantan. Ia didirikan pada tahun 1937 dengan nama Al-Madrasah al-Arabiyah al-Muhammadiyah Majlis Agama Islam Kelantan. Pada masa itu, ia dibiayai oleh Majlis Agama Islam. Pada masa itu, ia belajar di sudut belakang bangunan Majlis Agama Islam Kelantan, dekat dengan Masjid Muhammadi, masjid besar Kota Bharu. Pada tahun 1942, ia berpindah ke Jalan Merbau, dan namanya pun ditukar kepada al-Madrasah al-Arabiyah Jami' Merbau al-Ismalili. Dalam tahun 1956 sekali lagi berpindah, dan namanya pun turut diubah kepada Al-Ma'ahad al-Muhammadi. Dalam tahun 1982, ia dipecah kepada dua bahagian, iaitu bahagian lelaki dan bahagian perempuan. Pada tahun 1984, Ma'ahad Muhammadi bahagian lelaki berpindah ke Jalan Pangkalan Cepa. Dalam tahun 1985, Ma'ahad Muhammadi lelaki ditempatkan di bangunan lama al-Madrasah al-Falahiyah, Pasir Pekan. Pada tahun 1988, bangunan tambahan Ma'ahad Muhammadi lelaki di Jalan Pangkalan Cepa dibina untuk menampung pelajar dari kelas peralihan hingga ke tingkatan 6 atas, yang mula diguna pada awal tahun 1989.

Dalam wawancara dengan Pengetua Ma'ahad, Haji Nik Abd. Qadir Nik Mat (1 Februari 1990), dikatakan bahawa sukatan pelajaran di sekolah ini terdiri daripada dua bahagian, iaitu agama dan akademik. Pemegang Sijil Tinggi Ugama (STU, iaitu sebuah sijil yang dikeluarkan oleh negeri Kelantan) boleh menyambung pelajaran ke al-Azhar, Madinah, dan lain-lain. Sukatan akademik adalah mengikuti Kementerian Pendidikan. Ada STP Syariah dan ada STP Usuluddin. Dua tiga tahun yang lalu dibuat penyemakan untuk penyelarasan dengan sijil Kementerian Pendidikan. Di dalam semua pelajaran dialirkan unsur-unsur Islam.

Ustaz Nik Abd. Qadir seterusnya menerangkan bahawa hasil peperiksaan kerajaan amat memuaskan. Kelulusan SPM dan STP biasanya melebihi 80 peratus. Sekarang ini pelajaran bahasa Arab dan Agama berkurang jika dibandingkan dengan masa yang sudah-sudah untuk memberi jalan kepada penambahan pelajaran akademik. Memanglah suatu kelemahan yang patut diakui bahawa guru-guru agama dan bahasa Arab kurang terlatih. Juga minat pelajar untuk menghafaz sangat kurang. Buku-buku teks dipinjamkan pelajar, dan setelah selesai mestilah dikembalikan. Dengan yang demikian, mereka tidak mempunyai buku. Ini sungguh disayangkan. Juga disayangkan bahawa pelajaran agama tidak seluruhnya diajar dalam bahasa Arab. Tentang jumlah pelajar dikatakan, bahawa bahagian "banin" berjumlah 1 840 orang; sebahagian besar anak Kelantan. Dan untuk "banat" mempunyai murid lebih kurang 1 900 orang. Walau bagaimanapun pelajar yang berasal dari luar Kelantan juga diterima, meskipun tidak mengguna kuota tertentu. Sebahagian pelajar menyambung pelajaran ke luar negara, dan sebelum itu mereka menjalani kursus bahasa Arab dahulu di pusat bahasa Arab, Nilam Puri. Kelemahan di dalam bahasa Arab amat terasa dalam bahasa perhubungan. Juga disayangkan bahawa para pelajar kurang menguasai kitab lama, sedangkan kitab-kitab lama itu lebih dalam dan lebih kemas. Sebaiknya kepada pelajar diperkenalkan kitab lama itu.

Darihal guru pula dikatakan, bahawa selain guru yang digaji oleh Yayasan Islam Kelantan, ada 20 orang guru yang dihantar oleh Kementerian Pendidikan; seorang dari Rabitah Alam Islami.

Ustaz itu mengatakan pula bahawa penuntut dari Pondok Moden (Pusat Pendidikan Pondok) di Bacok jika hendak melanjutkan pelajaran ke dunia Arab hendaklah mengambil sijil STU terlebih dahulu. Hal ini adalah untuk memudahkan penilaian kualiti ilmunya oleh pusat pengajian tinggi Islam di Timur Tengah.

Demikian keterangan yang diberi oleh Pengetua Ma'ahad untuk "banin", Ustaz Nik Abd. Qadir Nik Mat.

Walau bagaimanapun, realiti menunjukkan bahawa Ma'ahad telah banyak melahirkan cerdik pandai Islam di Kelantan dan di luarnya. Umumnya, sekolah inilah yang menjadi jenjang anak-anak Kelantan untuk melanjutkan pelajaran ke pengajian tinggi Islam di luar negara, sama ada ke dunia Arab, Indonesia, dan lain-lainnya. Juga ke pusat pengajian tinggi di dalam negeri, seperti Universiti Kebangsaan Malaysia, Akademi Islam Universiti Malaya, dan lain-lainnya.


15.5 YAYASAN PENGAJIAN TINGGI ISLAM KELANTAN (YPTIK)

Suatu keberanian yang dibuat oleh negeri Kelantan dalam bidang pendidikan ialah mendirikan sebuah pusat pengajian tinggi, yang kemudian dikenali sebagai Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan, dan lebih dikenali lagi dengan nama Nilam Puri. Nilam Puri adalah nama sebuah kampung lebih kurang 12 km ke selatan Kota Bharu. Nama kampung itu berasal daripada nama sebuah istana rehat Sultan Kelantan yang bernama Istana Nilam Puri. Pada awalnya Pusat Pengajian Tinggi Islam Kelantan ditempatkan di istana ini.

Kita katakan suatu keberanian, sebab dewasa itu tidak ada sebuah kerajaan negeri yang terfikir atau berusaha mendirikan sebuah pengajian tinggi, lepas daripada penguasaan Kerajaan Persekutuan. Apa yang kami dengar tentang asal usul pusat pengajian ini ialah sebagai penampungan keinginan masyarakat Islam di negara ini untuk mempunyai sebuah Universiti Islam. Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri ini diasuh oleh sebuah Yayasan yang disebut sebagai Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK), iaitu sebuah Yayasan yang disahkan melalui enakmen negeri Kelantan. Jadinya, ia merupakan sebuah badan berkanun negeri. Pusat Pengajian Tinggi Islam ini didirikan pada tahun 1965 semasa negeri Kelantan dipimpin oleh Menteri Besar Datuk Haji Muhammad Asri bin Haji Muda.

Di dalam pidato perlantikan Datuk Asri sebagai Doktor Kehormat daripada Universitas Islam Sumatera Utara (UISU) di Medan, Indonesia, promotor antara lain mengemukakan bahawa salah satu usaha penting promovendus ialah pembentukan Pusat Pengajian Tinggi Islam Nilam Puri.

Dengan dampingan dan bantuan teman-teman sealiran dan seperjuangannya, dengan kuasa yang ada padanya sebagai ketua eksekutif negeri Kelantan, beliau tanpa ragu-ragu, ikhlas dan dengan semangat perjuangan mencapai cita-cita telah mendirikan Pusat Pengajian Tinggi Islam ini yang kemudian diperkukuhkan melalui Enakmen Negeri Kelantan No. 9 tahun 1968, bertarikh 10 Oktober 1968, hingga dengan yang demikian ia mempunyai kekuatan hukum untuk berdiri sebagai sebuah pengajian tinggi di bawah asuhan sebuah Yayasan yang diletakkan di bawah naungan kerajaan negeri Kelantan. Yayasan itu untuk beberapa lamanya diketuai oleh promovendus hinggalah pemerintahan negeri kelantan diambil alih oleh kerajaan Barisan Nasional tanpa PAS. Sejak itu, YPTIK diketuai oleh Menteri Besar yang baru, Datuk Muhammad Yaakub. Sampailah pula kemudiannya ia dibubarkan dalam tahun 1983, sebab tugasnya diambil alih oleh Universiti Malaya.

Di dalam pidato promosi itu disebutkan juga bahawa tujuan yayasan ini, mengandungi empat tujuan utama, iaitu:

(a) Menyediakan peluang dan pelanjutan kepada lepasan sekolah menengah agama Islam di Malaysia khususnya dan rantau Asia Tenggara pada amnya untuk dapat melanjutkan pelajaran sampai ke tingkatan pengajian tinggi. Pelajar sekolah menengah agama ini berjumlah tidak kurang daripada 50 000 orang banyaknya di Malaysia ini, yang selama ini terpaksa menyambung pelajaran tinggi mereka ke luar negeri, seperti Mesir, Saudi Arabia, Iraq, India, Pakistan, Indonesia, dan negara-negara lain yang semua ini menelan belanja yang besar.

(b) Mempersiapkan angkatan terpelajar Islam yang berdisiplin keislaman yang mempunyai pengetahuan tinggi dalam berbagai-bagai bidang ilmu, seperti undang-undang, ekonomi, kemasyara-katan, dan lain-lainnya, yang membolehkan mereka kelak menyebar-kan Islam dan ajarannya kepada umum.

(c) Menyediakan pegawai pentadbiran, guru, dan ahli profesional yang berdisiplin Islam supaya mereka mampu memberi sumbangan kepada masyarakat dengan tanggungjawab dan dedikasi yang penuh.

(d) Mempersiapkan tokoh-tokoh yang mampu menghadapi cabaran zaman dengan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Rasul s.a.w., sebagai perlembagaan hidup dalam rangka mewujudkan masyarakat Islam yang bermutu tinggi.

Pengajian Tinggi ini pada mulanya hanya mempunyai beberapa orang siswa-siswi; tetapi menjelang pembubarannya ia telah mempunyai siswa-siswi lebih kurang 700 orang; yang bukan hanya terdiri daripada warganegara Malaysia, tetapi juga rakyat Negeri Thai, Kemboja, Singapura, Brunei, Indonesia, Jerman Barat, dan Uganda.

Ketika promosi Datuk Asri dilakukan, ijazah YPTIK dan bahkan tingkatan demi tingkatan telah diiktiraf oleh Universiti al-Azhar, Kahirah dan beberapa universiti lainnya di Timur Tengah sebagai setanding dan setaraf dengannya. Negeri Kelantan pun telah mengiktiraf ijazah yang dikeluarkannya untuk bekerja di pejabat yang memerlukannya. Kerajaan Persekutuan juga telah mengakui ijazahnya, meskipun tidak setaraf dengan sarjana muda universiti Kerajaan.

Fakulti Syariah dan Undang-undang adalah fakultinya yang pertama. Fakulti Usuluddin dan Kemasyarakatan adalah fakultinya yang kedua. Di samping itu, ia mengeluarkan diploma pendidikan.

Keistimewaannya bukan terletak pada gedungnya yang tinggi menjulang atau perlengkapannya yang mewah. Gedung dan alat perlengkapannya adalah amat sederhana. Lebih terasa lagi kesederha-naannya jika dibandingkan dengan universiti yang ada di Malaysia, atau dengan universiti di Eropah atau Amerika.

Keistimewaannya terletak pada keberanian, keikhlasan, dan kesetiaan kepada cita-cita yang diperjuangkan dan semangat berbakti yang besar yang dimiliki oleh penggerak dan pendokong utama pengajian tinggi ini.

Sejak berdirinya, sampai saat ia diambil alih oleh Universiti Malaya, negeri Kelantan adalah satu-satunya negeri yang mengasuh sebuah pengajian tinggi. Bahkan pada waktu mula-mula idea hendak membangunkan pengajian tinggi ini dilontarkan di tengah-tengah masyarakat, ramai orang tidak percaya dan sebahagiannya ragu-ragu; ragu-ragu tentang kemampuan menyediakan perlengkapan, belanja operasi dan tenaga pengajar; ragu-ragu apakah sebuah negeri yang sumber kewangannya sederhana sanggup mengasuh sebuah pengajian tinggi; ragu-ragu untuk membuat sesuatu yang baru yang belum pernah dibuat orang.

Namun, ia telah pun menjadi kenyataan. Pengajian tinggi yang diasuh oleh YPTIK telah pun menyebarkan hasilnya di seluruh Malaysia, bahkan ke Negeri Thai, Singapura, dan juga Indonesia.

Wujudnya telah menjadi kenyataan dalam sejarah penyebaran ilmu Islam di Asia Tenggara. Kepercayaan yang besar telah diberikan kepadanya oleh seluruh Malaysia dari sebelah Timur dan Baratnya. Beberapa negeri mengirim mahasiswanya ke pengajian tinggi ini dengan biasiswa daripada pemerintah negeri yang berkenaan. Ada juga negeri lain yang memberi sumbangan langsung berupa wang. Ada juga yang berupa bangunan. Ia semakin lama semakin kukuh. Pengaruhnya terasa semakin kuat. Ia menabur baktinya kepada masyarakat sesuai dengan tujuan pembentukannya.

Seperkara lagi yang perlu dicatatkan di sini, bahawa yang paling merasakan faedahnya, sesudah kaum muslimin Malaysia ialah kaum muslimin Thai Selatan. Jumlah mahasiswa Thai Selatan yang belajar di sini adalah nombor dua banyaknya sesudah warga Malaysia sendiri. Dengan yang demikian, salah satu kesulitan yang dihadapi oleh rakyat Thai Selatan, iaitu satu kelompok muslimin yang meskipun jumlahnya besar, namun menjadi minoriti di dalam negara yang majoritinya penganut agama Budha, yang berupa penyaluran para siswa lulusan sekolah menengah Islamnya, sebahagian telah tertolong. Dengan yang demikian pula, kesan kemanfaatan antarabangsanya sungguh nyata.

Sekarang ini ia telah diambil alih oleh Universiti Malaya dengan nama Akademi Islam Universiti Malaya. Alasan penyerahannya, kononnya, negeri Kelantan tidak mampu membiayai selanjutnya. Untuk pembesarannya diperlukan wang yang banyak. Dan gaji pensyarahnya juga hendak diselaraskan dengan gaji pensyarah universiti. Ia memerlukan promosi. Dan promosi memerlukan wang.

Dulu dijanjikan ia akan ditempatkan di Kelantan. Hanya untuk sementara kelas-kelas kuliah dipindahkan di Kuala Lumpur di dalam kampus Universiti Malaya. Apa pun yang dijadikan alasan, namun nyatanya sampai sekarang kampus Nilam Puri hanya mengasuh kelas persiapan sahaja.

Mungkin ada sebab-sebab lain yang disembunyikan. Wallahualam bissawab. Kami tidak mahu menduga-duga tanpa data dan fakta.

Ada kerinduan untuk mendirikan Neo-Nilam Puri di Kelantan. Seorang sarjana putera Kelantan, Dr. Abdul Halim Haji Mat Diah, seorang pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya di dalam kertas kerjanya yang bertajuk Pendidikan Islam di Kelantan menjelang tahun 2000, di dalam Seminar Pendidikan Islam Kelantan 1988 (29-31 Julai 1988) antara lain menyebutkan:

Sejak tahun 1965 dengan terbinanya Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan di Nilam Puri, masalah pendidikan tinggi Islam di Kelantan boleh dikatakan dapat diatasi. Tetapi apabila Yayasan itu diserapkan ke dalam Universiti Malaya pada 1 April 1981, maka kehausan terhadap pendidikan tinggi Islam adalah ketara. Walaupun Akademi Islam Universiti Malaya dan Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia telah berjalan dengan baiknya, namun kedua-duanya tidak dapat menampung para pelajar agama yang jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa. Oleh hal yang demikian, sebagai persiapan untuk menyambut kedatangan tahun 2000 adalah difikirkan perlu suatu pemikiran dan perencanaan yang serius ke arah mendirikan sebuah institusi pengajian tinggi Islam yang dapat menggantikan peranan Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan yang telah bertukar nama itu. Dengan yang demikian, maka cita-cita untuk memberi peluang kepada rakyat mengecap demokrasi pendidikan pada peringkat tinggi sesuai dengan ajaran Islam dapat dipenuhi.

Di dalam seminar tersebut, O. K. Rahmat menanyakan Dr. Abdul Halim, apakah tidak lebih tepat jika kita mendesak Kerajaan agar segera mengembalikan Akademi Islam Universiti Malaya ke Kelantan seperti yang dijanjikan pada mulanya dahulu daripada membuat yang baru. Dr. Abdul Halim mengatakan bahawa itu tidak cukup. Beliau betul-betul merasakan perlunya dibangunkan semula YPTIK yang baru. Mungkin YPTIK mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Dahulu ketika YPTIK sedang jayanya tidak ada orang yang mempersoalkan siapa orang yang mula-mula melontarkan idea mendirikan YPTIK. Namun, setelah ia menjadi sejarah, ramai orang yang mengaku bahawa YPTIK itu ideanya. Ketika perkara ini kami tanyakan kepada Datuk Mohd. Asri (Wawancara: 12 Oktober 1989), beliau mengatakan bahawa pada waktu itu cita-cita hendak mendirikan suatu universiti Islam memang merebak dalam kalangan umat Islam. Idea ini kemudian dirumuskan di dalam suatu mesyuarat di Kota Bharu. Dari rumusan itulah lahirnya YPTIK Nilam Puri. Ketika ditanyakan apakah berdirinya YPTIK ini ada hubungan dengan kelahiran sebuah universiti Islam di Medan, Indonesia atau Universitas Islam Sumatera Utara (UISU) yang dididirikan oleh beberapa orang pemuda dalam tahun 1952, beliau menjawab: Memang ada hubungan idea.

Dewasa ini, kita mendapati lepasan Nilam Puri bertebaran di sana sini di tanah air Malaysia. Mereka berkhidmat dan bekerja sebagai guru agama, kadi, dan pegawai agama, mahupun di perusahaan swasta. Kebanyakannya telah mencelup ijazahnya dengan celupan al-Azhar atau universiti luar negeri lainnya yang diiktiraf penuh oleh Kerajaan. Beberapa orang yang bekerja di syarikat perniagaan swasta memberitahu O. K. Rahmat, bahawa mereka boleh bekerja di syarikat berkenaan adalah sebab pengetahuan mereka yang banyak berkenaan dengan undang-undang sivil dan perniagaan yang mereka perolehi di Nilam Puri.

Pada umumnya, mereka ini adalah agen pembaharuan Islam yang berpegang kepada al-Quran dan al-Sunnah. Meskipun kebanyakan mereka ini berpegang kepada mazhab Syafii, namun mereka adalah orang-orang terpelajar agama yang lebih mengetahui perkara bidaah dan khurafat. Di gelanggang perjuangan Islam, mereka tidak lagi berdiri satu saf dengan tok guru pondok yang masih berpegang kepada fahaman tradisional.

15.6 KEDEWASAAN

Dalam wawancara kami dengan tokoh Islam di Kelantan, tidak diperkatakan tentang umur yang membenarkan seseorang memilih agamanya sendiri tanpa campur tangan ibu bapa atau penjaga. Mungkin di Kelantan masalah ini tidak pernah menonjol ke depan. Sejak dahulu, biasanya jika ada seorang anak di bawah umur 18 tahun memeluk Islam, diperlindungi oleh tokoh-tokoh yang berkuasa. Dengan yang demikian, pihak ibu bapa atau penjaga berasa segan hendak melaporkannya kepada polis atau mengambil tindakan mahkamah. Dengan yang demikian, apa yang berlaku berjalan dengan senyap sahaja. Kelantan adalah negeri yang majoriti penduduknya orang Melayu. Menimbulkan perkara sensitif boleh menimbulkan kegoncangan masyarakat. Kegoncangan demikian tidak dikehendaki oleh ibu bapa atau penjaga. Sebab itu mereka berdiam diri sahaja.
Walau bagaimanapun, di dalam akhbar Berita Harian, 5 Mac 1990, dimuatkan berita yang berisi keterangan yang diberikan oleh Setiausaha Majlis Agama Islam Kelantan, Che Dir Ibrahim. Keterangan beliau itu adalah sebagai berikut:

Kelantan mungkin menentukan had umur bagi seseorang budak bukan Islam memilih agamanya sendiri apabila Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) meminda undang-undangnya tidak lama lagi.

Setiausaha MAIK, Che Dir Ibrahim, berkata kajian pindaan itu sedang dibuat oleh Jawatankuasa Pindaan Undang-undang Majlis yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuanya, Datuk Haji Nik Sulaiman Haji Nik Daud.

Menurutnya, pindaan undang-undang itu perlu bagi membolehkan pentadbiran undang-undang syarak diselaraskan dengan undang-undang sivil di negara ini.

"Undang-undang No. 1/66 MAIK yang diguna di negeri ini sekarang hanya menyebut seseorang budak bukan Islam yang cukup umur (datang haid bagi perempuan dan bermimpi bagi lelaki) boleh memilih agamanya sendiri", katanya.

Undang-undang itu juga tidak menyebut had umur yang dimaksudkan dengan takrif cukup umur itu, tetapi difahamkan dalam lingkungan "umur 10 tahun" bagi perempuan dan 15 tahun bagi lelaki.

Walau bagaimanapun, takrif cukup umur mengikut undang-undang sivil ialah 18 tahun.

"Bagi mengelakkan kekeliruan itulah, MAIK memikirkan undang-undang itu perlu dikemaskinikan dan dipinda sesuai dengan keadaan semasa", kata Che Dir lagi.

Sehubungan itu beliau menafikan pindaan itu ada kaitan dengan langkah Mahkamah Agung Khamis lalu yang memutuskan seorang budak bukan Islam yang berusia bawah 18 tahun, tidak berhak memilih agamanya sendiri mengikut undang-undang sivil.

"Hal ini sebab kajian undang -undang itu sudah lama dibuat, bahkan sebelum isu pindaan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam negeri Selangor 1989 itu timbul baru-baru ini", katanya.

Menurut Che Dir, kajian itu meliputi beberapa aspek lain, yang mencakup dari segi penggunaan dan akta yang berkaitan supaya tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Beliau tidak menafikan undang-undang tentang tanggungjawab memilih agama bagi seseorang bukan Islam yang dilaksanakan di negeri ini sekarang terlalu longgar dan boleh dicabar, termasuk di mahkamah.

Demikian salinan daripada Berita Harian.

Isnin, 12 Julai 2010

Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Penglibatan Orang Islam Dalam Aktiviti Candlelight Vigil. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Islam melarang umatnya daripada terlibat dalam apa jua amalan yang bersifat ritual atau upacara agama bukan Islam.

Umat Islam dilarang menyertai aktiviti Candlelight Vigil kerana ia mengandungi unsur-unsur tasyabbuh dengan agama bukan Islam yang akan menjejaskan akidah umat Islam.

Keterangan/Hujah:

Di dalam Islam, cahaya atau api yang dihasilkan oleh lilin dan selainnya tidak memberi apa-apa pengertian berkaitan aqidah dan kepercayaan. Cahaya atau api hanya merupakan satu alat yang dikurniakan oleh Allah SWT bagi memudahkan urusan kehidupan manusia. Bagaimanapun, api atau cahaya menjadi satu perkara yang amat signifikan bagi agama-agama bukan Islam terutamanya bagi agama majoriti di negara ini iaitu Kristian, Hindu dan Buddha. Amalan Candlelight Vigil khasnya atau kuasa cahaya atau api amnya mempunyai perkaitan langsung dengan ketiga-tiga agama tersebut.

Upacara berhimpun di suatu tempat dengan membakar lilin sebagai tanda protes adalah menyerupai amalan agama orang bukan Islam. Hukum Islam jelas melarang umatnya meniru atau menyerupai budaya dan cara hidup orang bukan Islam. Ini berdasarkan sebuah hadith Rasulullah S.A.W. dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis ke-18, m.s. 1343 yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. telah bersabda: Barangsiapa yang mengamalkan perkara yang bukan dari pada amalan kami maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)

Rasulullah S.A.W turut melarang umatnya daripada melakukan sesuatu perkara yang bukan datangnya dari urusan agama, sepertimana disebutkan di dalam Mausu’ah al-Sunnah, al-Kutub al-Sittah Sahih Muslim: Kitab Al-Aqdiyyah, Hadis ke-17, m.s. 1343 yang bermaksud:

“Telah diberitakan kepada kami oleh Abu Ja’far Muhammad bin al-Subhi dan Abdullah bin Aun al-Hilali kesemua daripada Ibrahim bin Sa’ad telah berkata Ibn al-Subhi, diceritakan kepada Ibrahim bin Sa’ad bin Ibrahim bin Abd al-Rahman bin Auf, diberitakan kepada kami oleh ayahku daripada al-Qasim bin Muhammad daripda Aisyah berkata; Rasulullah S.A.W telah bersabda “Sesiapa yang mengada-adakan (mereka-reka) perkara yang baru dalam urusan kami dan perkara tersebut bukan tergolong di dalamnya maka ia adalah tertolak”. (Riwayat Muslim)

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-penglibatan-orang-islam-dalam-aktiviti-candlelight-vigil