Ahad, 28 Julai 2013

CATATAN 17 RAMADHAN 1434

Di Malaysia, 17 Ramadhan diraikan sebagai ulangtahun permulaan penurunan Al-Quran ke dunia untuk menjadi panduan kepada umat manusia. Sesetengah negeri menjadikan hari ini cuti umum termasuklah Selangor. Seperti kebiasaan, bandaraya Kuala Lumpur akan menjadi sesak kerana warga Selangor yang bercuti pada hari ini akan berpusu-pusu ke kompleks membeli-belah untuk 'shopping' hari raya yang bakal menjelang tak berapa lama lagi. 

Setelah 17 hari dalam Ramadhan, banyak peristiwa dan isu yang timbul dan menjadi perbualan ramai orang di Malaysia. Dari isu murid-murid makan dalam tandas, blogger alvivi yang menghina agama, pemwartaan haram Syiah di Kedah, penjagaan anak antara ibubapa yang Muslim dan belum Islam serta peguatkuasaan fatwa larangan orang Islam menyertai pertandingan ratu cantik. Banyak pandangan diberikan ada yang liberal dan ada yang bersifat perkauman. Kadang-kadang membaca pandangan-pandangan tersebut walaupun datang daripada kalangan yang kononya 'cerdik' tetapi amat melucukan. Antara yang lucu bagi saya adalah nasihat yang diberikan kepada ulama' agar membuka pemikiran dan melihat pertandingan ratu cantik sebagai satu pertandingan menghargai kecantikan wanita yang dianugerah oleh Allah.  Pandangan seperti ini menunjukkan betapa pemikiran sebahagian kita yang telah dipengaruhi oleh sekular dan liberal.
 
Bulan Ramadhan sewajarnya bulan untuk lebih sabar dan menjadi pemaaaf tetapi banyak isu yang dibangkitkan sebenarnya lebih kepada rasa perkauman. Isu blogger yang menghina logo halal JAKIM dan tidak sensitif kepada perasaan orang Islam di Malaysia dan isu murid-murid makan dalam tandas adalah antara yang saya rasa sengaja dihangatkan kerana tujuan tertentu. Jika diteliti isu-isu tersebut sebenarnya tidak perlu menjadi bahan jualan media daripada awal lagi. Saya tidak berminat dan berniat untuk mengulas perkara-perkara tersebut lagi.
 
Sebaiknya dalam saki-baki Ramadhan yang masih tinggal ini, kita sibukkan diri untuk mencari keredhaan Allah dan kelebihan yang diberikan antaranya malam al-Qadr. Sementara itu saya tidak berapa bersetuju dengan ungkapan yang mengatakan bahawa sembahyang terawih hanya di bulan Ramadhan dan selepas ini tiada lagi terawih. Jika yang dimaksudkan dengan tiadanya terawih tersebut ialah pahala yang diberikan berganda tiada di bulan lain atau tidak disyariatkan sembahyang sunat malam secara berjemaah di masjid pada malam selain bulan Ramadhan, itu adalah tepat. Hakikatnya sembahyang malam samada dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan masih disyariatkan sebagaimana sabda Rasulullah yang diriwayatkan oleh Aisyah r.a seperti berikut:
 
ما كان يزيد في رمضان ولا في غيره على إحدى عشرة ركعة
"Tidak Rasulullah sembahyang melebihi 11 rakaat samada dalam bulan Ramadhan atau selainnya"
- Hadith Bukhari
 
Sembahyang malam pada bulan Ramadhan dinamakan Terawih (bukan oleh Rasulullah) adalah disebabkan keadaan solat tersebut yang panjang sehinggakan setelah habis antara dua rakaat solat, maka Rasulullah berhenti rehat sementara melepaskan penat sebelum menyambung dua rakaat seterusnya. Tetapi sembahyang malam atau menghuidupkan malam (qiamulllail) adalah disyariatkan sepanjang tahun. Cumanya Ramadhan adalah madrasah tarbiyah di mana ganjarannya bergandan dan dilakukan secara berjemaah untuk latihan agar selepas Ramadhan dapat diteruskan secara solat bersendirian pula. Semoga kita memperolehi rahmat daripada Allah sehingga dikurnia-Nya kelebihan Malam al-Qadr.
 
Wallahu 'alam
 

Jumaat, 19 Julai 2013

CATATAN 8 RAMADHAN 1434

Pada bulan Ramadhan sudah menjadi kebiasaan pelbagai kain rentang digantung di merata-rata tempat dengan pelbagai ucapan bertujuan meraikan bulan tersebut. Baru-baru ini ada seorang sahabat hubungi dan bertanya tentang status kononnya hadith yang bermaksud sabar itu separuh daripada iman. Tujuannya adalah untuk ditulis perkataan berkenaan di kain rentang. Usaha sahabat saya tersebut yang memeriksa terlebih dahulu sebelum menyandarkan perkataan tersebut kepada Rasulullah amat terpuji. 

Memang kata-kata tersebut amat masyhur di kalangan orang ramai. Ada yang menyandarkan kata-kata tersebut kepada nabi sallalahu alaihi wasallam dan ada yang cuma menyebutkan kata-kata tersebut apabila menasihatkan orang yang sedang marah atau merungut tentang sesuatu. Benarkah ia sabda Nabi atau benarkah fakta yang disampaikan? Dalam kita menyandarkan apa-apa perkataan kepada Rasulullah sallalahu alaihi wasallam hendaklah kita ingat kepada peringatan baginda:

إن كذبا علي ليس ككذب على أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
   "Penipuan atasku tidak sama seperti penipuan atas seseorang (dari kalangan kamu). Sesiapa yang menipu atasku secara sengaja maka tempahlah tempat duduknya daripada api neraka."- Riwayat Bukhari

Banyak hadith-hadith yang disampaikan berkenaan bulan Ramadhan oleh para ustaz tidak diteliti kesahihannya terlebih dahulu. Saya ada mendengar satu ceramah Ramadhan yang disampaikan oleh seorang ustaz baru-baru ini, pelbagai ucapan yang sebenarnya bukan daripada Rasulullah disandarkan kepada Rasulullah. Antaranya seperti sebahagian daripada bait syair Imam Syafie ra:

فكم من صحيح مات من غير علة *** وكم من سقيم عاش حينا من الدهر.

“Berapa ramai yang sihat tetapi mati tanpa sebab#
                            Dan berapa ramai yang sakit tetapi hidup lama kemudiannya.”

Alangkah baiknya kalaulah kita tidak tahu bahawa sesuatu itu hadith atau bukan, kita hanya menyebutkan ia sebagai kata-kata hukama'. Itu adalah lebih selamat pada pandangan saya.

Berbalik kepada ucapan sabar separuh daripada iman, setelah dilakukan pencarian serba sedikit saya menjumpai bahawa perkataan tersebut sebenarnya adalah daripada Abdullah Bin Mas'ud. Atsar tersebut ada diriwayatkan antaranya oleh Al-Hakim dalam Mustadraknya seperti berikut:
أخبرنا أبو زكريا العنبري ، ثنا محمد بن عبد السلام ، ثنا إسحاق ، أنبأ جرير ، عن الأعمش ، عن أبي ظبيان قال : كنا نعرض المصاحف عند علقمة فقرأ هذه الآية : " إن في ذلك لآيات للموقنين " فقال : قال عبد الله : اليقين الإيمان كله وقرأ هذه الآية : " إن في ذلك لآيات لكل صبار شكور " قال : فقال عبد الله : " الصبر نصف الإيمان " . " هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه

Diriwayatkan kepada kami oleh Abu Zakaria Al-Anbari, daripada Muhammad Bin Abdul Salam, daripada Ishak, daripada Jarir, daripada A'mash, daripada Abi Zibyan katanya: Kami membentangkan mashaf-mashaf di sisi Alqamah maka dia membaca ayat ini: (Sesungguhnya di dalam perkara itu terdapat tanda-tanda untuk orang yang yakin) perawi kemudian berkata: Abdullah berkata: Yakin adalah Iman keseluruhannya dan dia membaca ayat ini (Sesungguhnya dalam perkara tersebut terdapat tanda-tanda untuk setiap orang yang sabar dan bersyukur), perawi berkata: Maka Abdullah berkata: "Sabar itu adalah separuh daripada Iman". Kata al-Hakim hadith ini sahih isnad dan tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim.

Jadi saya telah menasihatkan sahabat saya tersebut agar menyandarkan perkataan tersebut kepada Abdullah Bin Mas'ud. Walau bagaimanapun saya kemudiannya mendapati bahawa Imam Al-Ghazzali pula di dalam kitab Ihya' beliau  ketika membicarakan tentang puasa dan mengatakan bahawa puasa adalah 1/4 daripada Iman membawakan satu hadith bahawa Rasulullah bersabda:
الصوم نصف الصبر
"Puasa adalah separuh daripada sabar"
- diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibn Majah. Tirmizi mengatakan hadith ini hassa.
Kemudian beliau membawakan hadith bahawa Rasulullah bersabda :
الصبر نصف الإيمان
                                      “Sabar separuh daripada Iman”

Al-Iraqi mentakhrijkan hadith tersebut diriwayatkan oleh Abu Nuaim di dalam Hilyah dan Khatib Al-Baghdadi dalam Kitab Tarikh daripada hadith Ibn Mas'ud dan beliau mengatakan sanadnya Hassan. tetapi status hadith tersebut dipertikaikan antaranya oleh Al-Albani. Imam Al-Bukhari pula membawakan secara ta'liq di dalam sahih beliau perkataan Abdullah Ibn Mas'ud yang hampir sama dengan ucapan tersebut iaituالصبر شطر الإيمان واليقين الإيمان كله. 

Setelah diteliti semua ini, yang pasti perkataan tersebut sekurang-kurangnya adalah hassan jika tidak sampai sahih daripada Abdullah Bin Mas'ud. Malah para salaf sentiasa mengungkapkan  bahawa Sabar adalah separuh daripada Iman. Walau apa pun,  maksud ucapan tersebut adalah yang lebih penting untuk kita hayati. Sabar senang diungkap melalui perkataan tetapi sukar diamalkan kecuali mereka yang telah diuji sendiri. Saya pada 5 Ramadhan lalu diuji Allah dengan demam yang sedikit tetapi terasa amat pedih sekali, lebih-lebih lagi ketika itu berpuasa. Akibat demam sudah tidak mampu solat berjemaah dan solat Terawaih. Tetapi saudara-saudara kita di Mesir, Bangladesh dan Syria diuji dengan ujian yang lagi besar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Moga-moga Allah memberikan kesabaran kepada kita semua dalam menghadapi mehnah kehidupan dunia ini.  


Jumaat, 12 Julai 2013

CATATAN 3 RAMADHAN 1434




Hari ini telah masuk hari ke-3 Ramadhan bagi tahun 1434. Masa akan tetap berlalu sebagaimana biasa tetapi yang membezakan antara hari-hari yang berlalu adalah pengisian yang kita lakukan. Imam Ibn Qayyim Rahimahullah memetik kata-kata Imam Syafie Rahimahullah berkenaan waktu di dalam Kitab beliau Ad-Da' wa Dawa' seperti berikut:

قال الشافعي : رضي الله عنه : صحبت الصوفية ، فلم أستفد منهم
سوى حرفين  أحدهما قولهم : الوقت سيف، فإن قطعته ، وإلا
 قطعك  . وذكر الكلمة الأخرى 
Berkata As-Shafie Radiyallahuanhu: Aku bersahabat dengan golongan sufi, akan tetapi aku tidak mendapat sebarang faedah daripada mereka kecuali 2 mutiara kata sahaja, salah satunya kata mereka: Waktu itu adalah pedang, maka samada kamu memotongnya dan jika tidak dia memotong kamu. Kemudian beliau menyebut kata-kata yang satu lagi.#

Dalam menjelaskan lanjut maksud waktu tersebut Imam Ibn Qayyim menyatakan bahawa waktu itu adalah sebenarnya umur manusia dan waktu itu bergerak lebih pantas daripada bergeraknya awan ( يمر أسرع من مر السحاب). Sesiapa yang waktunya habis untuk Allah dan dengan Allah maka itulah hidupnya dan umurnya. Dan selain daripada itu tidak dikira sebagai hidupnya, jika dia hidup dalam kehidupan sebegitu (iaitu bukan kerana dan bersama Allah) maka kehidupannya adalah kehidupan haiwan. (Ad-Da' wa Dawa', m.s 358-359, Darul 'Alim lil Fawaid)

Masya Allah kata-kata yang hebat daripada dua orang Imam yang wajar kita renungi dan ambil istifadah. Ramadhan 1434 akan berlalu juga tetapi jadikanlah Ramadhan kali ini adalah yang terbaik dalam hidup kita agar kita tidak menyesal setelah perginya Ramadhan ini. Ramadhan yang datang belum tentu lagi untuk kita. Ya Allah, berikanlah kami kekuatan dan istiqamah untuk beribadat kepada-Mu di bulan Ramadhan 1434 ini sehingga ke penghujungnya. Amin ya Rab A'lamin.

#satu lagi kata-kata yang dipelajari Imam Syafie daripada golongan sufi ialah (ونفسك إن لم تشغلها
بالحق وإلأ شغلتك بالباطل) bermaksud Jika kamu tidak menyibukkan diri dengan kebenaran  maka ia(diri) akan menyibukkan kamu dengan kebatilan. Dinukil oleh Ibn Qayyim di dalam kitab beliau Madarijul Salikin.

Rabu, 10 Julai 2013

CATATAN 1 RAMADHAN 1434


Alhamdulillah, akhirnya sampai juga ke Ramadhan 1434. Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa dan dinanti-nati oleh semua umat Islam yang beriman dan bertadayyun bidinil Islam haqiqatan. Keistimewaan bulan ini amat jelas sekali dilihat kepada banyaknya galakan Rasulullah Sallalahualaihi wa Salam kepada umatnya agar mengambil kesempatan daripada bulan Ramadhan, tambahan pula nama Ramadhan sendiri disebut di dalam Al-Quran. Syukurlah kepada Allah yang telah memberi kita peluang untuk hidup sebagai perantau di bumi ini dan bertemu dengan Ramadhan untuk ke sekian kali. Rasa syahdu juga seusai solat maghrib semalam mengenangkan telah sampai lagi Ramadhan.


'Ya, Allah berikanlah aku peluang untuk mempertingkatkan ibadat kepada mu di bulan yang mulia ini, janganlah engkau cabut nyawaku sebelum engkau ampunkan segala dosa-dosaku dan sebelum aku berjaya merebut peluang Ramadhan kali ini. Ya, Allah bantulah Muslimin di Mesir, Suriyya, Palestin, Myanmar dan di seluruh dunia dimana sahaja mereka berada. Ya Rahman, Ya Rahim, Ya Zal Jalali wal Ikram, gunakanlah aku untuk agama-Mu Ya Allah.'

Itu adalah antara doa yang saya minta di awal Ramadhan. Sudah tentu kita semua sebagai hamba Allah beharap Ramadhan kali ini adalah lebih baik daripada yang sebelumnya. Semoga kita semua bisa menghabiskan Ramadhan ini dengan sepenuh kudrat beribadat kepada-Nya. Jangan juga lupa kita kepada saudara-saudara kita di tempat lain, sekurang-kurangnya iringi dengan doa jika tiada kemampuan lain.

Marhaban Ya Ramadhan.

Wallahu a'lam.  

Jumaat, 5 Julai 2013

Mesir Yang Bergolak

Mesir masih lagi bergolak dan tidak pernah aman sejak kejatuhan Hosni Mubarak. Kini tiba pula Presiden Mohamed Morsi yang dipilih melalui proses demokrasi selepas kejatuhan Mubarak dijatuhkan pula oleh pihak tentera Mesir kononnya atas aspirasi rakyat yang telah berdemonstrasi lebih daripada seminggu di Dataran Tahrir. Memang tidak dinafikan pihak tentera Mesir mempunyai hubungan yang tidak baik dengan Ikhwan Muslimin yang merupakan gerakan diwakili Morsi. 

Semasa demonstrasi rakyat ke atas Mubarak di Dataran Tahrir sehinggalah Mubarak terpaksa meletak jawatan akibat tekanan demonstrasi tersebut dan juga negara-negara lain (bukan melalui rampasan kuasa tentera), ramai yang memberikan sokongan kepada demonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan. Malah apabila Mubarak meninggalkan Mesir, Syeikh Yusuf Qardawi antara yang datang dan menyampaikan ucapan di Dataran Tahrir serta memberikan khutbah di Masjid Al-Azhar. Ketika itu, ramai  menganggap seolah-olah bahawa kebenaran telah mengatasi kebatilan atau akhirnya Islam telah menang di Mesir. Jika dibaratkan sebagai wayang, itulah penamat ceritanya di mana kebaikan mengatasi kejahatan. Tetapi realiti adalah berbeza dengan wayang. Selagi dunia belum kiamat kehidupan umpama roda yang sekejap di atas dan sekejap di bawah.

Saya adalah antara mereka yang bersikap berhati-hati atau mungkin pesimis melihat perkembangan di Asia Barat. Bukan kerana tidak menyokong gerakan Islam tetapi bimbang dengan cara bagaimana gerakan Islam atau rakyat yang menyokong gerakan Islam di negara-negara Timur Tengah naik ke puncak kuasa. Walaupun cara yang digunakan berjaya menjatuhkan pemerintah yang tidak disukai, zalim, kuku besi, autokrat dan sebagainya tetapi cara yang sama juga boleh digunakan oleh pihak penyokong lawan sebagaimana yang telah berlaku terhadap Presiden Morsi. Lebih-lebih lagi pemimpin yang didakwa masih seorang Muslim. Mungkin itulah antara sebab ulama'-ulama' silam ada yang menasihatkan agar pemerintah Islam tidak dijatuhkan walaupun mereka zalim. Namun rakyat di Mesir lebih mengetahui kebenaran dan hakikat yang berlaku di Mesir.
Al-Sisi mengumumkan kudeta dengan dihadiri pemimpin tentera dan agama
termasuk Syeikh Al-Azhar 

Dalam keadaan yang berlaku di Asia Barat juga kita melihat ulama' yang berbeza pendapat dan memainkan peranan yang bertentangan. Tuan guru Nik Abdul Aziz ada memberikan komen di dalam facebook beliau berkenaan Syeikh Al-Azhar, Dr.Ahmad Taiyib yang turut berada bersama ketika Ketua Tentera Mesir, General Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan kudeta terhadap pemerintahan Morsi, seolah-olah menggambarkan pendirian Al-Azhar yang menyokong tindakan tentera tersebut. Tetapi semasa demonstrasi ke atas Mubarak dahulu pun Al-Azhar dilihat cuba menenangkan rakyat daripada menentang kerajaan semasa itu. Begitu juga kita melihat Syeikh Said Ramadhan Al-Bhouti rahimahullah yang turut menyokong kerajaan semasa pemberontakan 'Free Syrian Army'. Walaupun pelbagai berita dan spekulasi yang disebarkan termasuk di kalangan ustaz-ustaz di Malaysia tentang tindakan Syeikh al-Bhouti tersebut tetapi yang jelas adalah sebaliknya (terdapat keterangan daripada anak Al-Bhouti di youtube selepas insiden tersebut). Begitu juga pandangan daripada tokoh-tokoh tertentu yang berbeza berkenaan isu di Syria seperti dakwaan bahawa ia melibatkan campurtangan asing seperti US dan sebagainya. Dr.Chandra Muzaffar dalam rancangan di TV Al-Hijrah berpendapat bahawa pihak barat cuba melaga-lagakan antara fahaman Syiah dan Sunnah di Syria untuk kepentingan politik serantau mereka. 

Wallahu a'lam biSawab. Saya lebih suka memilih sikap tawaqquf dalam banyak perkembangan berlaku di Asia Barat kecuali isu Palestin. Sementara itu saya menyokong sebarang usaha untuk membantu rakyat-rakyat di negara terlibat daripada kesan konflik yang berlaku. Sokongan saya adalah tetap kepada Islam dan keamanan serta perdamaian. Dalam apa-apa situasi, peperangan dan pertumpahan darah harus sedaya-upaya dielakkan.Sebagai saudara seagama dan kemanusiaan saya berdoa agar negara Mesir serta negara-negara Asia Barat lain dapat keluar daripada kemelut yang dihadapi dengan Islam masih dijunjung tinggi kerana Islam membawa erti keamanan.