Isnin, 24 Jun 2013

ISLAMISASI ILMU: PERBINCANGAN RINGKAS BERKENAAN LATARBELAKANG DAN KEPERLUANNYA



Abstract

This article briefly discusses the historical background of the concept Islamization of Knowledge and its necessity for the current Ummah as well as the definition of the concept given by its proponents. It will also examines the argument given by the critics of the concept that the knowledge is neutral therefore there is no need for Islamization.

Pendahuluan
Istilah dan konsep islamisasi ilmu mula menjadi perhatian serta hangat diperbicangkan oleh cendiakawan Islam sejak tahun 1970-an. Jika ditelusuri asal-usul istilah berkenaan, ia berasal daripada lontaran idea Prof. Syed Naquib Al-Attas di dalam karya beliau bertajuk ‘Preliminary Statement on a General Theory of the Islamization of the Malay –Indoneisan Archipelago’ yang diterbitkan dalam tahun 1969[1]. Pada tahun 1977, satu persidangan yang dikenali dengan Persidangan Antarabangsa Pertama Berkenaan Pendidikan Muslim telah diadakan di Mekkah membincangkan tentang islamisasi ilmu dengan lebih lanjut.  Antara tokoh pemikir Islam yang turut menyumbangkan idea berhubung konsep islamisasi ilmu ialah Dr.Ismail Raji Al-Faruqi, yang mengemukakan 12 langkah perancangan kerja islamisasi ilmu di dalam bukunya bertajuk ‘Islamization of Knowledge: General Principles and Work Plan’ yang diterbitkan pada tahun 1982 dan Syed Hossein Nasr melalui karyanya ‘Knowledge and the Sacred’ diterbitkan pada tahun 1981. Idea Dr.Ismail Raji Al-Faruqi  kemudiannya mengalami pengubahsuaian oleh Abdul Hamid AbuSulayman di dalam ‘Crisis in the Muslim Mind’ yang diterbitkan pada tahun 1993 dan  Abu Taha Jabir Al-Alwani dengan idea ‘6 wacana’ beliau yang disampaikan di dalam artikel beliau bertajuk ‘Islamization of knowledge: Yesterday and Today’ diterbitkan dalam tahun 1995.

Walaupun idea Islamisasi Ilmu ini mendapat sambutan baik daripada kalangan ramai cendiakawan Islam namun terdapat segelintir yang mempertikaikan idea tersebut seperti Pervez Hoodbhoy dan Abdul Salam. Mereka berpendapat bahawa setiap ilmu bersifat universal dan tidak ada yang dikenali sebagai ilmu sains Islamik sebagaimana tiada ilmu sains Hindu, ilmu sains Yahudi, ilmu sains  Konfusian dan ilmu sains Kristian. Kritikan ini juga diperkukuhkan lagi oleh cendiakawan terkenal, Fazlur Rahman di dalam artikel beliau bertajuk ‘Islamization of Knowledge: A Response’.[2] Dalam erti kata lain, mereka mengatakan bahawa setiap ilmu adalah neutral dan tidak mempunyai unsur tafsiran akali manusia. Benarkah dakwaan ini?

Istilah dan Beberapa Definasi Islamisasi Ilmu
Walaupun istilah Islamisasi ilmu amat popular digunakan, tetapi hakikatnya cendiakiawan awal yang membicarakan tentang konsep tersebut banyak menggunakan istilah yang lebih spesifik apabila merujuk kepada konsep berkenaan. Al-Attas kebiasaannya menggunakan istilah ‘Islamisasi ilmu kontemporari’ (Islamization of contemporary knowledge) atau ‘Islamisasi ilmu hari ini’ (Islamization of present-day knowledge) manakala Al-Faruqi menggunakan istilah ‘Islamisasi ilmu moden’ (Islamization of modern knowledge). Penggunaan istilah yang lebih spesifik ini untuk menggelakkan daripada tanggapan bahawa ilmu yang perlu di islamisasi ialah semua jenis ilmu termasuklah ilmu tradisional Islam berasaskan Al-Quran dan As-Sunnah yang telah diasaskan oleh ulama’ terdahulu. Sebenarnya ilmu ini tidak perlu diislamisasi kerana ia tidak pernah diasingkan daripada tuhan sebagai sumber kebenaran  hakiki dan ilmu.  Malahan ia telah mengalami proses islamisasi yang dilakukan oleh ulama’ Islam terdahulu.[3]

Dari segi definasi, Al-Attas mendefinasikan Islamisasi ilmu sebagai ‘mengeluarkan ilmu daripada tafsiran berasaskan ideologi sekular; dan daripada makna serta ekspresi sekular’. Kemudian beliau menambah ‘....selepas pengasingan tersebut, ilmu bebas daripada elemen dan konsep utama (Kebaratan) dan kemudiannya digabungkan dengan elemen dan konsep utama (Keislaman) yang mana- melihat kepada asas sifatnya sebagai menjelaskan fitrah- ia menyemai ilmu dengan kualiti fungsi dan matlamatnya-nya yang semulajadi dan dengan itu menjadikan ia ilmu yang hakiki’.[4]

Al-Faruqi pula mendefinasikan islamisasi ilmu sebagai mengintegrasi ilmu baru ke dalam ruang lingkup tradisi Islam dengan menghapus, mengubah, mentafsir semula dan mengadaptasi komponen-komponennya sebagai pandangan alam Islam dan penentu nilai-nilai.[5]

Walau apa pun definasi yang diberikan berkenaan islamisasi ilmu namun setiap definasi tersebut menjurus kepada pennyahbaratan ilmu. Barat yang dirujuk di sini sebagaimana kata Al-Attas tidak merujuk kepada geografi sebaliknya merujuk kepada peradaban yang berkembang daripada percampuran pelbagai kebudayaan, falsafah, nilai dan aspirasi Yunani dan Rom Kuno, penyatuannya dengan ajaran dan keagamaan Yahudi dan Kristian dan dikembang dan dibentuk oleh orang Latin, Germanik, Celtik dan Nordik.[6]

Asal-usul Islamisasi Ilmu
Proses Islamisasi ilmu bukanlah satu bid’ah atau sesuatu yang baru. Malahan jika diteliti secara mendalam, proses islamisasi ilmu telah bermula sejak wahyu pertama diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w iaitu Surah Al-Alaq di mana Allah berfirman:
“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk)[2] Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku[3] Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah[4] Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan[5] Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya”

Berdasarkan ayat tersebut umat Islam digesa agar membaca dua jenis ayaat (tanda-tanda) iaitu ayat di dalam bentuk Al-Quran dan ayat yang dalam bentuk ciptaan-Nya iaitu alam ini. Pembacaan kedua-dua ayat tersebut tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain malah perlu diintegrasikan. Justeru setiap pembacaan perlu dimulai dengan nama tuhan yang Maha Esa. Bermula daripada ayat ini, Rasulullah telah melakukan banyak perubahan kepada pandangan alam masyarakat Jahilliyyah pada zaman tersebut serta diteruskan oleh khalifah-khalifah terkemudian sehingga lahir tamadun Islam yang dicatat di dalam lembaran sejarah dunia. Proses islamisasi ilmu yang dimulakan sekarang adalah kesinambungan daripada usaha yang telah dilakukan oleh generasi awal dalam sejarah Islam sebelum kejatuhan tamadun Islam.

Keperluan Islamisasi Ilmu
Persoalan yang mungkin timbul adalah kenapa perlu kepada islamisasi ilmu. Sejak kemunduran tamadun Islam dan akhirnya kejatuhan sistem khilafah Uthmaniah terakhir di Turki, kebanyakan negara dan umat Islam telah ‘dijajah’ secara fizikal, mental dan spiritual. Kesan penjajahan ini melahirkan perasaan ‘inferiority’ dan kekaguman melampau umat Islam kepada Barat sehingga melahirkan golongan umat Islam yang melihat segala-galanya yang ada di Barat perlu dicontohi. Bagi golongan ini, untuk umat Islam bangkit semula daripada kejatuhan maka Barat adalah model ikutan. Tambahan pula, perkembangan sejarah yang berlaku di Barat telah membawa kepada kelahiran kepada pelbagai ideologi yang asing buat Islam seperti sekularisma. Pensekularan atau sekularusasi inilah yang membimbangkan pemikir-pemikir Islam semasa sehingga mereka memikirkan keperluan kepada satu proses iaitu islamisasi ilmu bagi menggelakkan umat islam daripada dijangkiti penyakit tersebut. Penyebaran sekularisma ini amat kuat akhir-akhir ini sehingga dari situ jugalah terhasilnya faham-faham lain seperti pluralisma, humanisma dan seumpamanya.

Ilmu adalah neutral?
Akhir sekali perlu kita fahami kepalsuan dakwaan bahawa ilmu adalah neutral. Sebagai contoh untuk menjelaskan perkara ini kita bandingkan antara seseorang yang mempunyai pandangan alam Islami dan seseorang yang pandangan alamnya dipengaruhi oleh Kebaratan. Kedua-dua individu tersebut apabila melihat kepada satu tumbuhan, maklumat yang sampai kepada akal mereka mungkin sama tetapi proses pemikiran mereka yang mencerna maklumat tersebut kemungkinan melahirkan kepada ilmu dan tindakan yang berbeza berdasarkan pengaruh yang mempengaruhi pemikiran mereka. Seseorang Muslim pada pemikirannya pasti menafsirkan tumbuhan sebagai makhluk ciptaan Allah yang perlu dihargai oleh manusia sebagai khalifah di muka bumi sebaliknya seseorang yang dipengaruhi idea materialisma melihat tumbuhan tersebut sebagai sumber pendapatan yang boleh digunakan untuk manfaat dirinya tanpa menghiraukan kesan yang mungkin timbul akibat tindakannya. Inilah contoh ringkas menunjukkan bahawa ilmu pada hakikatnya merupakan hasil interpretasi atau tafsiran akali manusia yang pasti tidak terlepas daripada unsur-unsur yang mempengaruhi pandangan alam manusia itu sendiri.

Penutup.
Justeru usaha cendiakawan Islam yang mempelopori islamisasi ilmu bukanlah sesuatu yang direka-reka tanpa ada asasnya. Walau bagaimanapun perbincangan bagaimana proses islamisasi ini boleh dilaksanakan masih berterusan. Kelahiran institusi seperti International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan pusat pendidikan seperti International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) adalah antara usaha ke arah islamisasi ilmu yang perlu diteruskan. 



[1] Sa’idu Sulaiman, Islamization of Knowledge, Background, Models and the Way Forward (Nigeria: The International Institute of Islamic Thought, Nigeria Office, 2000), 28.
[2] Rosnani Hashim & Imron Rossidy, A Comparative Analysis of the Conceptions of al-Attas and al-Faruqi di dalam Islamization of Human Science (Malaysia: International Islamic University Malaysia, 2006), 101-102.
[3] Ibid, hlm 102-104.
[4] Ibid, hlm 110.
[5] Ibid, hlm 111.
[6] Syed Muhammad Naquib Al-Attas, Islam and Secularism, (Kuala Lumpur: International Institute of Islamic Thought and Civilization, 1993), 134.

Tiada ulasan: