Selasa, 25 Jun 2013

MANHAJ AN-NAQD IND’ AL-MUHADDITHIN, NASY’ATUHU WA TARIKHUHU OLEH DR.MUHAMMAD MUSTAFA AL-A’ZAMI



PENGENALAN

Kitab Manhaj An-Naqd ind’ Al-Muhaddithin, Nasy’atuhu wa tarikhuhu (Metodologi Kritikan di sisi al-Muhaddithin, Perkembangannya dan Sejarahnya) merupakan sebuah kitab kontemporari karangan seorang pakar hadith, Dr. Muhammad Mustafa Al-A’zami. Buku tersebut diterbitkan oleh penerbit Maktabah Al-Kautsar dan dicetak bersama-sama dengan Kitab at-Tamyiz karangan Imam Abu Hussain Muslim Bin Al-Hajjaj Al-Qusyairi An-Naisaburi r.a. Cetakan pertama kitab ini adalah pada tahun 1975M/1395H diikuti cetakan kedua pada tahun 1982M/1402H dan cetakan ketiga pada tahun 1990M/1410H.  Kitab ini setebal 149 muka surat dan disambung dengan Kitab at-Tamyiz daripada mukasurat 150 sehingga mukasurat 234.  

Muhammad Mustafa Al-A’zami merupakan salah seorang ulama’ semasa di dalam bidang hadith yang dilahirkan di Mau, Uttar Pradesh, India pada awak 1930-an. Beliau menerima pendidikan sarjana muda dari Dar-Uloom Deoband, India. Kemudian beliau menyambung pengajian peringkat ijazah tinggi di Universiti Al-Azhar, Kaherah pada tahun 1955 dan diikuti doktor falsafah dari Universiti Cambridge pada tahun 1966. Beliau dianugerahkan gelaran Professor Emiratus oleh Universiti Raja Saud, Riyadh di mana beliau adalah ketua Jabatan Pengajian Islam di universiti tersebut. Beliau turut menjadi pensyarah pelawat dan fellow pelawat di beberapa universiti di Barat antaranya Universiti Oxford, Universiti Colorado dan Universiti Michigan. Selain menulis buku dalam bahasa arab, beliau turut menulis di dalam bahasa Inggeris. Antara buku yang beliau tulis dan telah diterbitkan ialah Studies in Early Hadith Literature, Hadith Methodology and Literature, On Schacht’s Origin of Muhammadan Jurisprudence, Dirasat fi al-Hadith An-Nabawi, Kuttab an-Nabi dan al-Muhaddithun min al-Yamamah. Antara buku yang ditahqiq oleh beliau ialah al-‘ilal oleh Ibn al-Madini, Kitab at-Tamyiz oleh Imam Muslim, Sahih Ibn Khuzaimah dan Sunan ibn Majah. Pada tahun 1980 beliau menerima Anugerah Antarabangsa Raja Faisal kerana sumbangan beliau dalam pengajian Islam.[1] Sebahagian kitab karangan beliau turut diterjemah di dalam pelbagai bahasa antaranya bahasa Indonesia.   

Di dalam muqaddimah cetakan pertama kitab ini, Dr.Mustafa menyatakan bahawa buku Manhaj An-Naqd ind’ Al-Muhaddithin ini sebenarnya merupakan muqaddimah beliau kepada kitab at-Tamyiz karangan Imam Muslim yang ditahqiq oleh beliau. Isi kitab ini adalah pada asalnya merupakan syarahan yang beliau sampaikan kepada pelajar master Kuliyyah Syariah di Mekkah selain penambahan kandungan daripada buku beliau dalam bahasa Inggeris bertajuk Studies in Early Hadith Literature.


KEPENTINGAN KITAB

Antara kepentingan kitab karangan Dr.Mustafa yang menyebabkan ia sewajarnya dibaca dan ditelaah ialah:

Ia memberikan kefahaman kepada pembaca berkenaaan latarbelakang perkembangan serta sejarah manhaj kritikan dalam ilmu hadith. Dengan itu, pembaca sekurang-kurangnya dapat memahami bagaimana sesuatu hadith ditentukan statusnya serta menghargai usaha yang telah dilakukan oleh muhaddithin untuk memelihara kesuciaan hadith.   

Melalui kitab ini, penulis menegaskan dan berhujah bahawa manhaj kritikan hadith yang diaplikasi oleh muhaddithun adalah merupakan manhaj berdasarkan kajian ilmiah terhadap sanad dan matan. Pembaca dikemukakan dengan hujah-hujah yang menyokong keterangan penulis tersebut.   

Ia mengenalpasti serta menjawap kritikan golongan tertentu di kalangan umat Islam dan Orientalis yang mendakwa bahawa manhaj kritikan hadith yang dipakai oleh muhaddithun mengandungi kelemahan sekaligus mencabar keautoritiaan hadith sebagai sumber pensyariatan. Melalui kitab ini, penulis menjawap setiap tuduhan yang boleh mengelirukan umat Islam tersebut secara ilmiah dan tuntas.

Kitab ini turut melakukan perbandingan metodologi kritikan yang terdapat dalam bidang hadith dan sejarah sekaligus membuktikan bahawa manhaj kritikan hadith adalah merupakan batu asas dalam bidang kritikan teks dan mempunyai kaedah yang lebih mantap berbanding manhaj kritikan di dalam bidang-bidang ilmu lain.

Kitab ini sedikit sebanyak membantu pembaca memberikan kefahaman latarbelakang ilmu kritikan hadith sebelum pembaca membaca kitab karangan Imam Muslim bertajuk at-Tamyiz yang dicetak bersama selepas daripada kitab ini.


KANDUNGAN KITAB

Kitab ini dibahagikan kepada 7 bab dan dimulakan dengan muqaddimah kitab.

Di dalam muqadimah kitab, penulis mengkritik dua buah kitab iaitu yang pertama kitab ditulis oleh Dr.Usman Mawafi bertajuk ‘Manhaj an-Naqd at-Tarikhi ‘Ind al-Muslimin wa Manhaj al-Uruba’ dan kitab karangan Dr. Nuruddin ‘Itr bertajuk ‘Manhaj an-Naqd fi Ulum al-Hadith’. Penulis kemudian membahagikan perkembangan manhaj kritikan hadith kepada tiga peringkat iaitu peringkat pertama khas dengan sahabat, peringkat kedua bermula dengan tabi’in sehingga pertengahan kurun ke-4 dan peringkat ketiga bermula daripada pertengahan kurun ke-4. Antara ciri utama peringkat awal ialah semua sahabat diterima sebagai adil dan diterima semua hadith mereka walaupun secara mursal tanpa ada bantahan di kalangan ulama’. Ciri utama peringkat kedua ialah pengasingan yang ketat antara al-‘Adalah dan al-Dabt serta al-Itqan para perawi. Ciri utama peringkat ketiga ialah at-Tasahul (kelonggaran) di dalam penyampaian ilmu, penggunaan istilah dalam ilmu hadith serta syarat-syarat penerimaan perawi. Kemudian penulis menerangkan secara ringkas perbahasan bagi setiap bab.

Dalam Bab 1, penulis membicarakan tentang perkembangan, sejarah dan peringkat-peringkat perkembangan kritikan di sisi Muhadithin. Penulis memulakan dengan membawakan dalil-dalil kedudukan sunnah sebagai sumber pensyariatan serta kewajipan menyebarkannya. Kemudian penulis menyatakan keperluan kritikan hadith kerana antara fitrah manusia adalah tersilap atau tersalah. Justeru kepentingan kritikan bukan sekadar untuk tujuan ilmiah sebaliknya untuk memlihara sunnah kerana kejayaan umat Islam adalah berdasarkan kepada pengamalan kepada sunnah yang sahih. Realitinya sifat berhati-hati atau penelitian kepada hadith telah bermula sejak zaman Rasulullah lagi. Penulis membawakan 6 contoh kejadian di zaman Rasullah di mana para sahabat mengesahkan kebenaran sesuatu berita yang diterima daripada sahabat yang lain dengan merujuk kepada nabi sebelum menerima berita tersebut sebagai benar. Sikap tersebut bukan menandakan sahabat menyangka sahabat lain berbohong sebaliknya untuk memberi ketenangan pada jiwa sebagaimana tindakan Nabi Ibrahim a.s yang meminta Allah s..w.t menunjukkan bukti kekuasaan menghidupkan burung yang telah mati. Penulis kemudiannya membawakan senarai pengkritik-pengkritik hadith daripada zaman sahabat yang dimulai dengan Abu Bakr r.a dan diikuti dengan zaman tabi’in yang terdiri saripada Madrasah Madinah dan Iraq serta kemudiannya tersebar meluas. Di akhir bab ini penulis membawakan 3 pandangan atau tanggapan berkenaan ilmu kritikan hadith yang hanya dimiliki oleh muhaddithin iaitu:
  1. Golongan pertama menganggap ilmu ini sesuatu yang mustahil dan orang yang menghukum sesuatu hadith itu sahih atau sebaliknya hanya berdasarkan kepada tekaan semata-mata dan mereka mendakwa memiliki ilmu ghaib yang tidak mungkin mereka ketahui.
  2. Golongan kedua menganggap ilmu kritikan hadith adalah ilmu yang diilhamkan oleh Allah dan tidak berasaskan manhaj ilmiah.
  3. Golongan ketiga beranggapan ilmu ini tidak berasaskan manhaj ilmiah dan bukan ilham daripada Allah.tetapi ia adalah ilmu secara praktikal.

Penulis menegaskan bahawa Kitab Tamyiz menjawab dan menolak ketiga-tiga pandangan ini sebaliknya ilmu kritikan hadith adalah berdasarkan kepada kajian menggunakan manhaj ilmiah meliputi kajian perawi-perawi dan matan hadith.   

Dalam bab 2, penulis membicarakan tentang topik al-‘Adalah dan kefahaman serta jalan untuk mengenalinya. Penulis membawakan makna al’Adalah dari segi bahasa serta pemahaman muhaddithin antaranya ashab mustalah al-hadith yang memberikan makna al-‘adl sebagai seseorang muslim yang baligh, selamat daripada kefasikan dan perkara-perkara yang merosakkan muru’ah. Selamat daripada kefasikan adalah ciri utama al-’Adalah dan penulis kemudian membawakan perbahasan berkenaan kefasikan dari segi bahasa serta istilah. Penulis membahagikan jenis kefasikan kepada dua iaitu kefasikan dengan bid’ah dan kefasikan dengan ma’siat. Penulis berpendapat bahawa kefasikan yang mencacatkan al-‘Adalah iaitu kefasikan dengan ma’siat. Penulis membawakan contoh-contoh kata-kata pengkritik hadith di mana mereka menerima riwayat daripada ahli bid’ah di kalangan syiah, mu’tazilah, khawarij, qadariah dan lain-lain lagi. Manakala syarat penerimaan hadith daripada ahli bida’ah pula ialah perawi tersebut bukanlah pendakwah kepada bida’ah yang dilakukannya dan hadith yang diriwayatkan bukanlah menyokong bida’ahnya. Manakala jalan untuk mengetahu al-‘adalah perawi adalah melalui kata-kata ulama’ (al-Jarh wa al-Ta’dil) terhadap perawi tersebut.

Dalam bab 3, penulis berbicara tentang ad-Dabt dan al-Itqan serta jalan untuk mengetahui kedua-duanya. Penulis menjelaskan kaedah al-Mua’radah riwayat-riwayat (perbandingan riwayat) sebagai kaedah untuk menentukan ad-Dabt dan al-Itqan perawi. Abu Bakar r.a adalah orang yang pertama menggunakan kaedah ini berdasarkan dalil yang dibawa oleh penulis di mana Abu Bakar meminta penyaksian daripada sahabat lain apabila seorang nenek datang menuntut hak harta pusakanya sebanyak 1/6. Kemudian penulis membincangkan perkembangan kaedah al-Mu’aradah tersebut di zaman Tabi’in dan seterusnya. Penulis turut menolak dakwaan bahawa sahabat antaranya Umar r.a. menolak hadith ahad berdasarkan hadith yang menunjukkah sahabat meminta saksi bagi hadith yang diriwayatkan oleh seorang perawi (kaedah mua’radah). Penulis turut menjelaskan 6 jenis al-Mua’radah iaitu perbandingan riwayat beberapa sahabat Rasulullah antara satu sama lain, perbandingan riwayat seorang muhaddith pada zaman yang berbeza, perbandingan riwayat-riwayat beberapa pelajar bagi seorang guru, perbandingan riwayat seorang muhaddith dengan riwayat kawannya semasa belajar, perbandingan kitab dengan ingatan serta kitab dengan kitab, perbandingan riwayat dengan Al-Quran.

Dalam bab 4, penulis membincangkan tentang kritikan akli pada pandangan muhaddithin. Penulis menyimpulkan bahawa para muhaddith turut menggunakan akal dalam keadaan tertentu apabila menentukan kesahihan sesuatu hadith walaupun penggunaan akal amatlah sedikit kerana kebanyakan riwayat adalah berkenaan sesuatu yang mungkin bagi akal seperti riwayat yang menyatakan Rasulullah makan dengan tangan kanan, minum dalam tiga nafas dan doa tertentu sebelum dan selepas bangun dari tidur. Oleh itu untuk menentukan kesahihan hadith seperti ini adalah melalui kajian sanad. Muhaddithin memelihara akal dalam 4 peringkat iaitu ketika as-Sima’ (pendengaran hadith), ketika at-Tahdis (periwayatan hadith), ketika menghukum perawi-perawi dan ketika menghukum ke atas hadith-hadith. Penulis turut menyenaraikan 10 syarat yang dikenalpasti oleh Ibn Qayyim untuk mengetahui sesuatu hadith sahih atau maudu’ tanpa melihat kepada sanad.

Dalam bab 5, penulis berbicara tentang perbandingan antara metodologi kritikan dalam ilmu hadith dan ilmu sejarah. Kedua-dua bidang ilmu tersebut mempunyai persamaan dari segi kedua-duanya mengkaji dokumen atau bahan pada masa lalu. Kritikan dalam ilmu sejarah baru sahaja berkembang. Antara kaedah kritikan dalam ilmu sejarah ialah kritikan al-Batini al-Iijaabi dan al-Batini al-Salbi. Penulis membandingkan setiap langkah (4 langkah yang dibincangkan) dalam metodologi kritikan ilmu sejarah dengan kritikan dalam ilmu hadith. Akhirnya penulis menyimpulkan bahawa kaedah kritikan dalam ilmu hadith adalah lebih mantap dalam kritikan teks berbanding ilmu sejarah.

Dalam bab 6, penulis membicarakan tentang tohmahan terhadap manhaj kritikan muhaddithin yang dilemparkan oleh beberapa golongan orang Islam seperti Taha Hussein, Ahmad Amin dan Abu Rayyah serta golongan Orientalis. Antara kritikan yang utama adalah berkenaan penerimaan semua sahabat adalah bersifat dengan al-A’dalah. Penulis mengenalpasti 4 hujah yang digunakan untuk menolak keadilan sahabat iaitu pendapat yang mengatakan sahabat bersifat dengan al-a’dalah bukan mazhab al-Muhaqqiqin; terdapat sebahagian sahabat yang dikategorikan sebagai munafiq, penipu dan pelaku dosa besar menolak keadilan mereka secara keseluruhan;  terdapat sahabat mengkafirkan antara satu saman lain dan menuduh satu sama lain berbohong; dan penerimaan kesemua sahabat adalah adil bertentangan dengan tabiat kemanusian. Penulis mengemukakan hujah menolak setiap dakwaan tersebut.

Dalam bab ke-7 dan terakhir penulis membicarakan tentang Orintalis dan manhaj kritikan al-Muhaddithin. Penulis memulakan bab ini dengan menerangkan penolakan golongan Orientalis terhadap manhaj kritikan Muhaddithin kerana bagi mereka Muhaddithin lebih mementingkan sanad berbanding matan menyebabkan manhaj kritikan tersebut lemah. Oleh itu penulis membawakan 3 contoh kritikan hadith yang dilakukan oleh 3 Orientalis iaitu Ignaz Goldziher, Aran Jan Wansack dan Joseph Schacht. Penulis membincangkan setiap kritikan yang dibawakan oleh orientalis tersebut dan mengemukakan hujah balas yang menjawap setiap kritikan.


METODOLOGI PENGARANG

Berdasarkan kepada pemerhatian terhadap kitab ini, berikut adalah beberapa metodologi Dr.Muhammad Mustafa al-A’zami di dalam penulisan kitab ini:
  1. Penulis beristidlal dengan hadith-hadith nabi, ayat Al-Quran dan kata-kata salaf dan muhaddithun untuk mengukuhkan hujah yang dibawa oleh beliau. Contohnya penulis membawakan ayat surah Tahaa ayat 115 sebagai dalil bahawa antara fitrah manusia adalah tersilap atau tersalah, oleh itu perlu kepada manhaj kritikan hadith untuk membezakan hadith yang terpelihara daripada kesalahan dan kesilapan tersebut.
  2. Setiap hadith dan petikan kata-kata akan dinyatakan sumber rujukan di dalam nota kaki menggunakan simbol contohnya ت merujuk kepada Sunan Tirmizi جه merujuk kepada Sunan Ibn Majah. Penulis membawakan penerangan kepada simbol yang digunakan tersebut dihujung kitab at-Tamyiz.
  3. Penulis turut menggunakan hujah logik akal atau kajian saintifik yang dilakukan  dalam bidang tertentu untuk memperkukuhkan hujah menyokong manhaj kritikan muhaddithin atau untuk menolak dakwaan-dakwaan Orientalis. Contohnya beliau mengemukakan pandangan Dr.Malik Badri, seorang pakar psikologi berkenaan ‘selective preception’ oleh golongan yang taksub kepada sesuatu mazhab atau pemikiran. Oleh itu, manhaj muhaddithin yang menetapkan syarat hanya menerima riwayat ahli bida’ah yang tidak menyeru kepada bida’ahnya adalah tepat dengan kajian psikologi menurut pendapat penulis.
  4. Contoh-contoh dalam bentuk hadith nabi, atsar sahabat dan kisah tabi’in banyak dibawakan untuk menjelaskan sesuatu makna. Contohnya untuk menjelaskan setiap 6 jenis mu’aradah riwayat, penulis membawakan untuk setiap jenis tersebut amsilah/contoh-contoh masing-masing.


KEISTIMEWAAN KITAB

Keistimewaan kitab karangan Dr.Muhammad Mustafa al-A’zami ini amatlah banyak berdasarkan kepada manfaat yang diberikan oleh kitab ini kepada pembaca terutama dalam memberikan pemahaman terhadap manhaj kritikan hadith. Walau bagaimanapun untuk tujuan tugasan ini, dibawakan beberapa keistimewaan yang saya sempat kenalpasti, iaitu:

  1. Susunan topik kitab ini yang dimulai dengan menceritakan latarabelakang sejarah kritikan dalam hadith dan diikuti dengan perbahasan ringkas metodologi kritikan berdasarkan kritikan sanad dan matan dan diakhiri dengan sanggahan penulis terhadap tohmahan beberapa orang Islam dan Orientalis terhadap metodologi kritikan muhaddithin, menunjukkan ketersusunan perbahasan yang dikemukakan. Sekaligus membantu memberi pemahaman kepada pembaca dan menggelakkan kekeliruan.
  2. Contoh-contoh dalam bentuk hadith, atsar sahabat dan kata-kata ulama’ hadith yang banyak dibawakan oleh penulis untuk menjelaskan makna sesuatu topik perbahasan membantu pembaca memahami mesej yang ingin disampaikan.
  3. Perbahasan kitab ini adalah secara ringkas tetapi cukup untuk memberikan kefahaman berhubung manhaj kritikan hadith di sisi Muhaddithin dan sebagai muqaddimah kepada kitab Tamyiz.
  4. Penggunaan bahasa yang tidak terlalu susah difahami dan struktur ayat yang ringkas memudahkan pembaca untuk memahami perbahasan yang dibawakan.



KELEMAHAN KITAB

Kelemahan yang dikenalpasti terdapat di dalam kitab  ini – jika boleh ditafsirkan sebagai kelemahan - adalah secara relatif bergantung kepada golongan pembaca. Antara kelemahan tersebut ialah:

  1. Penulis tidak menyatakan status hadith dan riwayat-riwayat  yang dibawakan. Penulis hanya menyatakan daripada kitab sunan mana hadith atau riwayat-riwayat tersebut dipetik. Bagi pembaca awam, walaupun dinyatakan sumber hadith atau riwayat-riwayat tersebut daripada kitab-kitab sunan, mereka tidak mempunyai kemampuan untuk menentukan sendiri status hadith berkenaan. Berdasarkan kepada pembacaan saya juga tidak didapati bahawa penulis beriltizam untuk membawakan hadith atau riwayat-riwayat yang sahih sahaja. Mungkin penulis sewajarnya menyertakan sekali status hadith atau riwayat yang dibawakan di dalam nota kaki atau menyatakan di dalam muqaddimah kitab bahawa setiap hadith dan riwayat yang dibawakan adalah sahih. Ini dapat menggelakkan keraguan pembaca berhubung status hadith dan riwayat tersebut.
  2. Bahagian nota kaki yang menunjukkan sumber rujukan sesuatu hadith, atsar, kata-kata ulama’ tidak disertakan dengan maklumat lengkap berhubung cetakan kitab yang dirujuk tersebut. Penulis hanya menyatakan nama kitab dan halaman mukasurat di mana maklumat tersebut diambil. Ini mungkin boleh menyebabkan kesukaran kepada mana-mana pengkaji yang ingin meneliti kesahihan rujukan penulis atau ingin mendapatkan maklumat lebih lanjut berhubung rujukan tersebut kerana mungkin perbezaan cetakan atau penerbit menyebabkan perbezaan naskah kitab.


PENUTUP

Dr. M.M al-A’zami telah memberikan sumbangan besar dalam mempertahankan kedudukan manhaj kritikan hadith daripada tohmahan golongan umat Islam yang tidak faham atau Orientalis yang ingin menimbulkan keraguan kepada umat Islam melalui kitab yang nipis ini. Walaupun perbahasan yang dikemukakan adalah ringkas namun cukup untuk umat Islam sedar dan menghargai jasa para Muhaddithin yang telah berusaha memelihara kesucian as-Sunnah melalui manhaj kritikan hadith. Kesungguhan ulama’ salaf dalam memelihara hadith sewajarnya diteruskan melalui usaha penyebaran hadith yang sahih serta membanteras penyebaran hadith maudu’ atau menanam sikap kebertanggungjawaban umat Islam di dalam penyebaran hadith Rasulullah s.a.w. Yahya Bin Said al-Qattan, sebagaimana dipetik oleh Dr.M.M al-A’zami di dalam kitab ini, berpesan kepada Abu Bakar Bin Khallad yang menziarahinya ketika beliau sakit:  

“Hafallah daripadaku,sesungguhnya aku lebih menyukai permusuhanku di akhirat dengan lelaki daripada manusia di bumi daripada permusuhanku di akhirat dengan Nabi sallalahualaihi wasallam.”





 الله اعلم
17 Rejab 1433H
7 Jun 2012


[1] M.M. Al-Azami, The History of The Quranic Text: From Revelation to Compilation, A Comparative Study with the Old and New Testatements. (Terbitan bersama Azami Publishing House, Islamic Book Trust & Al-Qalam Publishing, 2011), vii.

Tiada ulasan: