Selasa, 18 Jun 2013

Kitab-Kitab Tafsir berdasarkan Bahasa


Pendahuluan
Tafsir bahasa dari segi istilah bermaksud penjelasan makna-makna Al-Quran berdasarkan ilmu-ilmu yang terdapat di dalam bahasa arab.[1] Antara jenis kitab tafsir bahasa ialah kitab Ma’ani Al-Quran, I’rab Al-Quran, Iijazul Quran, Bayan Al-Quran dan Gharib Al-Quran. Berikut perbincangan ringkas 10 kitab tafsir yang dikategorikan sebagai kitab tafsir bahasa.

  1. Ma’ani Al- Quran oleh Al-Kisa’i (w.189)
Biografi penulis[2]
Nama sebenar Al-Kisai’ ialah Abu Hassan Ali Bin Hamzah Bin Abdullah Bin Uthman Bin Fairuz Al-Asadi. Terdapat beberapa riwayat berhubung gelaran A-Kisa’i diberikan kepada beliau antaranya kerana beliau memakai selendang ketika menghadiri majlis ilmu Muaz Al-Hira’. Beliau merupakan Imam bagi penduduk Kufah di dalam bidang nahu dan bahasa dan merupakan pengasas bagi aliran nahu Kufah. Beliau juga salah seorang daripada Ahli Qiraat tujuh yang mahsyur. Dilahirkan di Bahamsya, Iraq. Al-Kisai’ mengajar sastera kepada Khalifah Al-Rasyid, Al-Amin dan Al-Ma’mum. Beliau pernah berdebat dengan Sibawaih. Beliau meninggal di Ranbuwai, sebuah perkampungan di Rayy. Beliau meninggal dalam tahun 189H/805M pada hari yang sama Abu Hassan As-Syaibani meninggal. Setelah mengebumikan kedua tokoh tersebut, Khalifah Ar-Rasyid  berkata ‘Aku telah mengebumikan fiqh dan nahu pada hari yang sama.  Selain Ma’ani Al-Quran beliau turut mengarang kitab Al-Mutasyabih fi Al-Quran.

Pengenalan Kitab.
Kitab ini dicetak dalam satu jilid dan mengandungi 302 helai muka surat. Naskah asal Ma’ani Al-Quran Al-Kisa’i tidak pernah dijumpai walaupun dicatatkan di dalam kitab-kitab tarikh dan tabaqat sebagai tajuk kitab karangan Al-Kisa’i. Kitab yang diterbitkan ini adalah merupakan hasil pengumpulan Dr.Isa Shahatah terhadap nas-nas daripada Al-Kisa’i yang terdapat di dalam kitab-kitab Al-Kisa’i yang lain, kitab-kitab anak murid Al-Kisai, kitab orang lain yang sezaman dengannya, kitab khusus berkaitan bahasa, kitab tafsir Al-Quran, kitab Qiraat, Kitab Nahu Al-Quran dan ilmunya serta kitab nahu dan bahasa yang lain. Pengumpulan ini dilakukan oleh Dr.Isa semasa beliau menyiapkan tesis Phd beliau bertajuk Ad-Dirasah Al-Lughawiyyah lilQuran Al-Karim fi Awaili Qorni As-Salis Al-Hijri pada tahun 1993. Kitab ini tidak mengumpulkan keseluruhan tafsiran surah Al-Quran. Daripada 114 surah, tafsiran Al-Kisa’i tidak menyentuh 19 surah iaitu Surah As-Sajdah, Al-Hadiid, Al-Mumtahanah, Ash-Shaff, Ath-Thalaaq, Al-Mulk, Al-Qalam, An-Naazi’aat, ‘Abasa, Asy-Syams, Asy-Syarh, At-Tiin, Al-Qaari’ah, Al-‘Asr, Al-Humazah, Al-Kautsar, Al-Kaafiruun, Al-Falaq dan An-Naas.

Metodologi
Al-Kisa’i menetapkan persamaan antara ayat Al-Quran dan percakapan orang arab dari segi i’rab, ma’ani dan gharib. Di dalam menafsirkan ayat 47 Surah Al-Anfal (وَلَا تَكُونُواْ كَٱلَّذِينَ خَرَجُواْ مِن دِيَـٰرِهِم بَطَرً۬ا ),  Al-Kasa’i berkata (Ia diambil daripada percakapan Arab - telah keluar darahnya secara bathara iaitu bathil).[3]

Di dalam menafsirkan makna, mengi’rab atau menentukan qiraat ayat tertentu, Al-Kisa’i menaqalkan apa yang beliau dengar daripada orang arab contohnya dalam membincangkan ayat 6 Surah Al-A’diyat (إِنَّ ٱلۡإِنسَـٰنَ لِرَبِّهِۦ لَكَنُودٌ ) , beliau menyatakan (Aku mendengar orang arab membaca (لِرَبّه لَكَنُود) secara jazam الهاء dan aku mendengar yang lain membaca (لِرَبِّهِ لَكَنُود ) dengan pendek (Ikhtilas Harakah), berkata Al-Kisa’i : Al-Isyba’, Al-Ikhtilas dan As-Sukun pada الهاء, ketiga-tiga bahasa adalah benar dan yang terpilih ialah Al-Isyba’.)[4]

Al-Kisa’i juga melakukan penelitian dari segi jumlah ayat yang dimulai atau diakhiri dengan huruf tertentu di dalam Al-Quran. Contohnya di dalam tafsiran beliau terhadap ayat 185 Surah Al-Baqarah, beliau mengemukakan huruf yang bermula dan diakhiri dengan ش , 4  ayat bermula dengan huruf tersebut iaitu ayat185 Surah Al-Baqarah شَہۡرُ رَمَضَانَ  , ayat 18 Surah Ali Imran      شَهِدَ ٱللَّهُ, Ayat 121 Surah An-Nahl  شَاڪِرً۬ا لِّأَنۡعُمِه dan ayat 13 Surah As-Syura شَرَعَ لَكُم مِّنَ ٱلدِّينِ. Manakala terdapat 2 ayat diakhiri dengan ش   iaitu ayat 5 Surah Al-Qar’iah ڪَٱلۡعِهۡنِ ٱلۡمَنفُوشِ dan ayat 1 Surah Al-Quraish لِإِيلَـٰفِ قُرَيۡشٍ. [5].

Bersambung....

--------------------------------------------------------------------------------------------

[1] Dr.Musaid Bin Sulaiman Bin Nasir Al-Tayyar (1422H), cet. 1, Al-Tafsir Al-Lughawi lilQuran Al-Karim, Riyadh: Dar Ibnu Jauzi, hlm. 38. Takrifan dalam bahasa arab:                                                                                                               
[2] Abu Hassan Ali Bin Hamzah Al-Kisa’i, t. Dr.Isa Shahatah Isa (1998M), Ma’ani Al-Quran, Kaherah: Dar Al-Qoba’, hlm 8-10. Al-Hafiz Syamsuddin Bin Ali Bin Ahmad Ad-Dawudi (1983M), Thabaqat Al-Mufassirin, jil. 1,  Beirut: Dar Al-Kutub Al-Ilmiyyah, hlm 399-405.
[3] Al-Kisa’i, op.cit., hlm. 153
[4] Ibid, hlm 258.
[5] Ibid, hlm 84.


Tiada ulasan: