Jumaat, 17 Disember 2010

Faham Pluralisme Agama dan Percanggahannya Dengan Akidah dan Syari ‘ah Islamiyah


Nur Farhana Abd Rahman, Prof. Dr. Mohd Nasir Omar & Prof. Dr. Idris Zakaria.
Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia





Pendahuluan

Era moden menyaksikan agama tampil menjadi fokus utama masyarakat dunia apabila agama dikaitkan dengan kegiatan radikal, ganas dan militan di satu pihak, manakala di pihak yang lain pula dengan kejumudan, ketaksuban dan kemunduran umat. Aliran Islam liberal muncul sebagai antitesis kepada fenomena terorisme dan fundamentalisme tersebut dengan cara mempromosikan Islam secara rasional dan up-to-date, bagi mengubah citra Islam supaya sesuai dengan arus perubahan zaman yang akhirnya memungkinkan pembentukan masyarakat liberal Islam moden ala Barat. Walaupun dari satu sudut, gagasan Islam liberal didakwa berpotensi untuk memberi imej Islam yang rasional kepada dunia, tetapi ia juga didakwa tersasar dari landasan Islam sebenar yang juga sangat serius terhadap isu-isu fundamental. Justeru itu, kertas ini meneliti suatu aspek penting yang digagaskan oleh aliran liberal Islam tentang akidah iaitu isu pluralisme agama serta percangahan dengan akidah dan Syariat Islam.

Susur Galur Idea Pluralisme Agama

Bertolak dari penjelasan yang lebih umum dan ringkas, idea pluralisme agama tidak boleh tidak sering kali dikaitkan dengan kemunculan aliran liberal. Dalam erti kata lain, dalam aliran liberal akan ada agenda pluralisme agama dan pendukung pluralisme agama selalunya terdiri dari pendukung aliran liberal. Isu ini berlaku dan muncul lebih awal di dunia Barat khususnya sekitar abad ke-18 dan 19 seperti yang berlaku dalam gerakan liberal Kristian “Liberal Protestanism” yang diketuai oleh Friedrich Schleiermacher di akhir abad ke-18 dan juga gerakan liberal Judaism yang dipelopori oleh Mosses Mindon Isshon (1729-1786) sekitar abad ke-19. Antara agenda yang wujud dalam perjuangan ini secara mudahnya boleh dikategorikan kepada beberapa agenda khusus iaitu agenda politik dengan tuntutan demokrasi dan kebebasan berekspresi, agenda sosial dengan tuntutan dan gerakan pembebasan wanita (feminism) dan agenda akidah dengan tuntutan pluralisme agama atau perjuangan kesamaan agama-agama.

Perkembangan idea pluralisme agama ini semakin kelihatan rancak dan tersebar luas ekoran dari penyataan dan perbincangan secara besar-besaran idea Pluralisme Agama ini dalam persidangan agama-agama iaitu World Parliament of Religious yang berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat pada tahun 1893. Antara isu utama yang dibincangkan dalam persidangan ini ialah pluralisme agama sebagai menentang cara hidup tidak beragama dan melakukan kebajikan demi kebaikan manusia sejagat. Antara tokoh-tokoh utama di Barat yang mendukung fahaman pluralisme agama ini ialah seperti Rene Guenon melalui idea Perennial Philosophy, Frithjof Schuon dan Willfred Cantwell Smith yang memperkenalkan slogan The Transcendent Unity of Religions, Hans Kung dengan teori Global Ethics, John Hick dengan idea Universal Theology of Religion dan sebagainya.

Dalam konteks Islam, kemunculan aliran liberal Islam turut berlaku dan didakwa dilihat dari idea-idea pemikiran yang muncul sekitar abad ke-18 dan 19 di sekitar negara-negara Islam seperti di Mesir melalui Rifaah Rafi al-Tahtawiy, Qasim Amin, Nasr Hamid Abu Zayd Ali Abd Al-Raziq, Hassan Hanafi dan yang seangkatan mereka, di India melalui Sayid Ahmad Khan dan Sayid Amir Ali, di Pakistan dengan tokohnya Fazlur Rahman, di Perancis dengan Mohamed Arkoun dan seumpamanya. Agenda yang sama turut diperjuangkan malah ditambah lagi dengan agenda penggubalan undang-undang dengan tuntutan untuk mentafsir semula hukum-hukum syariah dan memperjuangkan kebebasan untuk berijtihad. Berasaskan kronologi sejarah yang dijelaskan ini menunjukkan wujudnya agenda pluralisme agama merupakan satu stereotaip dengan kemunculan aliran liberal.

Di Indonesia, fahaman liberal Islam telah diumumkan dengan rasmi melalui penubuhan Jaringan Islam Liberal (JIL) pada 8 Mac 2001. JIL ini dipelopori oleh satu angkatan intelektual muda seperti Ulil Abshar Abdalla, Luthfi As Syaukani, Hamid Basyaib, Mukhti Ali, Nong Darul Mahmada, Ahmad Sahal dan rakan-rakan yang lain dengan mendapat cetusan idea dari tokoh neo modenisme Indonesia yang lebih awal seperti Nurcholish Madjid.

Dalam konteks pluralisme agama, isu ini pada mulanya kurang dipersoalkan dalam dunia Islam. Ini kerana, secara hakikatnya pluralisme agama dapat ditanggapi mempunyai unsur toleransi beragama dan hal ini semangnya dituntut oleh agama Islam sebagai satu cara menghormati agama-agama lain. Namun berdasarkan kepada definisi, konsep dan idea pluralisme agama dari beberapa tokoh pemikir yang didakwa sebagai tokoh liberal di dunia Islam pada abad moden ini, akhirnya menyebabkan fahaman pluralisme agama mula memicu kontroversi dan masalah dari sudut pandang agama Islam. Hal ini bermula sekitar tahun 1932, fahaman pluralisme agama mula menimbulkan pelbagai reaksi dan kontroversi di dalam dunia pemikiran Islam. Ketika itu, Perancis mengutuskan delegasinya untuk berunding dengan tokoh-tokoh ulama al-Azhar, Kaherah, dalam rangka membahas idea penyatuan tiga agama: Islam, Kristian dan Yahudi. Kegiatan ini kemudian diteruskan dalam Persidangan Paris tahun 1933 yang mana persidangan ini dihadiri oleh para orientalis dan misionaris dari pelbagai universiti yang ada di Britain, Switzerland, Amerika, Itali, Poland, Sepanyol, Turki dan lain-lain. Pada 1936, berlangsung lagi sebuah Persidangan Agama-agama Sedunia dan ia merupakan persidangan agama terakhir sebelum Perang Dunia II. Namun, ramai sarjana mengatakan bahawa pemikiran Pluralisme Agama dalam dunia Islam ini dikatakan lebih jelas muncul selepas Perang Dunia Kedua yang mana pada masa ini ramai generasi muda Muslim mula mendapatkan pendidikan di Barat. Fahaman pluralisme agama ini juga semakin banyak dilihat dalam dunia Islam khususnya muncul dari karya-karya pemikir Mistik Barat-Muslim yang sangat banyak memperkatakan mengenai Pluralisme Agama seperti Rene Guenon (Abdul Wahid Yahya) Frithjof Schuon (Isa Nuruddin Ahmad), Titus Burckhardt, Martin Ling, Seyyed Hossein Nasr (Anis Malik Toha 2005:23) dan lain-lain lagi.

Di Indonesia, kebangkitan fahaman Pluralisme Agama dalam perjuangan JIL antara lainnya disebabkan oleh beberapa faktor terutamanya seperti yang telah ditegaskan JIL:

“Kekhawatiran akan bangkitnya “ekstremisme” dan “fundamentalisme” agama yang sempat membuat banyak orang khawatir akhir-akhir ini. Gejala yang menunjukkan perkembangan seperti itu memang cukup banyak. Munculnya sejumlah kelompok militan Islam, tindakan perusakan gereja (juga tempat ibadah yang lain), berkembangnya sejumlah media yang menyuarakan aspirasi “Islam Militan”, penggunaan istilah “Jihad” sebagai alat pengesah serangan terhadap kelompok agama lain dan semacamnya, adalah beberapa perkembangan yang menandai bangkitnya aspirasi keagamaan yang ekstrem tersebut”

Berhubung dengan penegesan yang dilakukan oleh JIL ini dan dari hasil penilitian yang dibuat terhadap beberapa karya JIL mendapati bahawa pendukung JIL merumuskan jawapan bagi kemunculan golongan radikal Islam disebabkan oleh ketaksuban dan pemikiran yang dipenjara oleh ilmu Fiqh klasik yang sering menyebabkan hubungan Muslim dan non Muslim menjadi tegang, mendiskriminasi golongan non Muslim malah skop penilitian fiqh ini pula lebih berorientasikan ijtihad dalam isu ibadat dan kekeluargaan sahaja tidak meliputi permasalahan sosial, ekonomi, politik ummah semasa. Justeru itu, bagi membangun kehidupan beragama yang harmoni, aman dan bebas dari segala bentuk ancaman fundamentalisme, radikalisme, ekstremisme dan militan fiqh klasik perlu ditulis semula kerana berbagai perkembangan baru akibat perubahan sosial yang dahsyat telah menyebabkan rumusan fiqh klasik tidak mampu lagi menampung perkembangan keperluan manusia moden termasuk soal dimensi hubungan agama-agama (Muni’m, A. Sirry 2005: ix). Selaras dengan penegasan ini agenda JIL mula mencanangkan pelaksanaan teologi pluralisme melalui pelancaran fahaman Pluralisme Agama yang memandang semua agama benar, menuju kepada satu tujuan yang sama iaitu Allah dan keselamatan di akhirat sekalipun melalui jalan dan pendekatan yang berbeza-beza. Lanjutan dari itu, satu tim penulis terkenal JIL telah menghasilkan sebuah karya khusus tentang fiqh pluralisme agama yang diberi judul Fikih Lintas Agama dan disunting oleh Muni’m Sirry. Antara penulis-penulis yang terlibat adalah Nurcholish Madjid, Kausar Azhari Noer, Komaruddin Hidayat, Masdar F Mas’udi, Zainun Kamal dan Buddhy Munawar Rachman. Buku ini mengupas isu-isu keagamaan dalam konteks hubungan antara agama yang meliputi bidang-bidang akidah, ibadat dan muamalat dan memuatkan 4 bahagian utama iaitu pijakan keimanan bagi fiqh lintas agama, fiqh yang peka keragama ritual, fiqh menerima agama lain membangun sinargi agama-agama dan merentas kerjasama lintas agama.

Faham Pluralisme Agama.

Melalui pengkajian yang telah dilakukan didapati bahawa terdapat beberapa sebab yang mendorong kemunculan idea ini terutamanya apabila wujudnya perasaan ingin tahu di kalangan penganut sesuatu agama tentang kedudukan agama yang dianuti berbanding dengan agama-agama lain yang pelbagai di muka bumi ini. Di samping itu, wujud juga kecenderungan untuk berhadapan dan memberi reaksi terhadap kelompok ekstrem dalam agama iaitu kelompok yang mendakwa bahawa agamanya sahaja yang benar dan yang lain salah sehingga menyebabkan berlakunya pertumpahan darah yang melibatkan pertembungan umat beragama seperti yang berlaku di Ambun, Acheh dan seumpamanya yang dianggap akan menjejaskan keselamatan manusia secara global.

Justeru sebagai reaksi dari beberapa permasalahan di atas, fahaman Pluralisme Agama dibentuk dan telah ditanggapi dengan definisi yang berbeza. Secara umumnya, Pluralisme Agama dari sudut etimologinya berasal dari dua perkataan iaitu pluralisme dan agama. Plural ialah jama’ atau gambaran yang menunjukkan perkara lebih daripada satu dan “isme” menunjukkan satu aliran atau fahaman. Maka pluralisme bermaksud satu fahaman atau aliran yang mempercayai kepelbagaian atau perkara yang lebih dari satu. Menurut catatan Lorens (1996: 853-855), terdapat pelbagai ciri atau definisi yang menjelaskan pluralisme. Namun dalam penulisan ini, antara ciri utama yang mudah difahami ialah pluralisme merupakan satu realiti fundamental yang bersifat jama’: berbeza dengan dualisme (fahaman yang menyatakan bahawa realiti fundamental ada dua) dan monoteisme (fahaman yang menyatakan bahawa realiti fundamental hanyalah satu). Pluralisme juga dijelaskan sebagai:

“ .. berusaha membenarkan falsafah keberagaman dengan menegaskan bahawa semua kebenaran bersifat relatif dan menganggap semua keyakinan ahli falsafah dan agama dalam pengertian relativisme murni, sebagai pendapat-pendapat peribadi yang semuanya mempunyai nilai yang sama..”.

Berdasarkan kronologi persejarahan, idea Pluralisme Agama ini terbukti mempunyai pengaruh yang luas sama ada di Barat atau Timur termasuk di dunia Islam. Sebagai contoh di Barat, tokoh utama yang sinonim dengan Pluralisme Agama ini ialah John Hick. Dalam hal ini John Hick[1] telah menjelaskan bahawa :

“Pluralism is the view that the great world faiths embody different perceptions and conceptions of and correspondingly different responses to the Real or the Ultimate from within the major variant cultural ways of being human, and that within each of them the tranformation of human existence from self-centredness to Reality centredness is manifest may taking place and taking place, so far as human observation can tell, to much the same extent” (John Hick t.th: 36 )

Berdasarkan penjelasan di atas, secara umumnya Hick menegaskan bahawa secara hakikatnya semua agama adalah merupakan “manifestasi-manifestasi” dari realiti yang satu iaitu The Real. Dalam erti kata lain, menurut Hick cara yang lebih arif untuk memahami kebenaran agama lain adalah dengan menerima bahawa kita (semua agama) mempersembahkan banyak jalan menuju kepada satu realiti tunggal (Tuhan) yang membawa kebenaran dan keselamatan. Tidak ada satu jalan (agama) pun yang boleh mendakwa lebih benar daripada yang lain kerana kita (semua agama) sama dekat dan sama jauh menuju realiti tunggal tersebut. Realiti tunggal itu adalah realiti yang mana semua agama mencari-Nya.

Selain Hick, idea ini juga disentuh oleh Wilfred Cantwell Smith (professor dalam Perbandingan Agama), dalam hal ini Smith banyak mengetengahkan idea Pluralisme Agamanya dengan slogan Global Theology. Di dalam idea Smith ini, perkara utama yang disarankan ialah mengulang kaji atau menyelidiki semula terminologi agama dan arah pemusatan agama. Ini kerana, cabaran besar yang harus dihadapi pada zaman ini ialah membina atau mewujudkan masyarakat dunia yang baru tumbuh dan beragam ini menjadi sebuah kelompok atau komuniti masyarakat dunia secara bersatu padu. Justeru itu, Smith menegaskan bahawa terminologi agama itu perlu disemak semula dan hasilnya barulah persahabatan yang universal “the universal friendship” dapat diwujudkan.

Paul Knitter juga mengulas hal ini dengan menegaskan bahawa “tidak dapat mengatakan bahawa (agama) yang satu lebih baik dari yang lain. Ia juga tidak bermaksud: “all religions are relative – that is limited, partial, incomplete, one way of looking at thing. To hold that any religion is intrinsically better than another is felt to be somehow wrong, offensive, narrowminded. Ia juga bermaksud “deep down, all religions are the same-different paths leading to the same goal”

Hal ini turut mendapat perhatian dari pemikir Islam. Sebagai contoh, menerusi pemikiran Fazlur Rahman (1919) (1986: 162) telah menegaskan bahawa sikap eksklusivisme (lawan kepada pluralisme) khususnya dalam agama adalah bertentangan dengan spirit atau ajaran dari al-Quran itu sendiri, dan beliau turut menganggap bahawa ekslusivisme itu termasuk di antara salah satu dari polytheism. Ini kerana, beliau berpendapat bahawa Wahyu atau petunjuk dari Allah adalah urusan Tuhan dan ia berkait rapat dengan ketidakterbatasan rahmat Tuhan. Pengurniaan Rahmat ini ke atas makhluk ciptaanNya adalah dalam kekuasaanNya dan menafikan rahmat Tuhan ke atas sesuatu kaum sama seperti membataskan rahmat Tuhan dan secara tidak langsung cuba menafikan ketidakterbatasan kuasa. Maka penafian seperti ini dianggap menyekutukan Tuhan (Polytheism). Jadi mereka yang sering memperjuangkan dakwaan Truth Claim ini umpama tidak mengakui rahmat Tuhan yang tidak terbatas.

Dalam konteks aliran Liberal Islam khususnya di Indonesia, pemahaman atau pendefinisian Pluralisme agama dapat dilihat dalam pelbagai sudut pandangan. Seperti yang diungkapkan oleh tokoh-tokoh utama mereka seperti Nurcholish Madjid (Cak Nur) iaitu seorang tokoh neo-modernisme Indonesia dan turut didakwa menjadi pengasas kepada lahirnya aliran liberal Islam (Jaringan Islam Liberal) di Indonesia. Penjelasan beliau mengenai idea Pluralisme Agama disampaikan melalui perumpamaan roda yang memiliki jejari yang banyak, dan setiap jejari bertemu di titik tengah bulatannya yang dikira sebagai titik ‘transcendent‘. Dalam hal ini beliau mencatatkan bahawa (Anon 1999:xix):

“sebagai sebuah pandangan keagamaan, pada dasarnya Islam bersifat inklusif dan menuju tafsirannya ke arah yang semakin pluralis. Sebagai contoh, filsafat perenial yang akhir-akhir banyak dibicarakan dalam dialog antara agama di Indonesia menjelaskan pandangan pluralis dengan mengatakan bahawa setiap agama sebenarnya merupakan ekspresi keimanan terhadap Tuhan yang sama. Ibarat roda, pusat roda itu adalah Tuhan, dan jari-jari itu adalah jalan dari berbagai agama” Beliau juga mencatatkan bahawa “Jadi Pluralisme sesungguhnya adalah sebuah aturan Tuhan (Sunnah Allah) yang tidak akan berubah sehingga juga tidak mungkin dilawan dan diingkari” (Nurcholish Madjid 1995: lxxvii).

Hal yang sama turut diulas oleh Jalaluddin Rakhmat (2006: 62-63) dengan menyatakan bahawa:

“Apabila ditanyakan mengenai adakah orang Hindu, Budha, Kristian akan diterima di sisi Allah?. Jawapannya bergantung kepada ideologi anda anuti. Sebagai Eksklusivis, anda hanya akan mengatakan bahawa Islam sahaja yang akan diterima Allah, manakala jika anda sebagai pluralis maka anda akan mengatakan bahawa agama adalah jalan menuju Tuhan seperti yang dikatakan oleh para sufi iaitu jalan menuju Tuhan sebanyak nafas manusia. Jadi mengapa kita perlu menyempitkan kasih sayang Tuhan ini. Bagi Orang Masehi, Budha, Hindu Muslim atau siapa saja yang mempunyai spiritual intelligent maka akan berkata saya mencintai dan menghormati tradisi saya tetapi saya mencintainya kerana ia dalah salah satu di antara banyak bentuk untuk mengungkapkan kehendak rohani spiritual kita. Tetapi dalam masa yang sama masih boleh menghormati dan memahami tradisi dan bentuk-bentuk keberagaman yang lain”.

Sebagai contoh yang paling terkini, khususnya yang dibincangkan dalam web Jaringan Islam Liberal sendiri terdapat pelbagai pendapat yang membicarkan hal ini. Antaranya seperti yang dijelaskan dalam penulisan Trisno S. Susanto (Direktur eksekutif Masyarakat Dialog Antar Agama (MADIA, Jakarta) yang mencatatkan bahawa: “Pluralisme adalah sikap penghargaan terhadap keragaman yang memungkinkan sang liyan (the other) dapat diterima sebagaimana adanya. Ia menerima dan menghargai keragaman, malah mau merayakan dan merawat keragaman yang merupakan buah-buah kehidupan”. Namun Trisno turut menegaskan bahawa “.. ia tidak pernah berupaya menyamaratakan semuanya (agama)” ( http://islamlib.com/id/artikel/memaknai-ulang-pluralisme/).

Hal yang sama turut diulas oleh Ahmad Fuad Fanani dengan menjelaskan bahawa “.. pada dasarnya, Pluralisme Agama adalah sebuah pengakuan akan hukum Tuhan yang menciptakan manusia tidak hanya terdiri dari satu kelompok, suku, warna kulit, dan agama sahaja….agar mereka bisa saling belajar, bergaul dan membantu antara satu dan lainnya. Pluralisme mengakui perbedaan itu sebagai sebuah realitas. Justru akan tergali pelbagai komitmen besama untuk memperjuangkan sesuatu yang melampaui kepentingan kelompok dan agamanya. Maka dalam hal yang sama, pedefinisian Pluralisme sebagai sebuah relativisme adalah sebuah kesalahan yang fatal. Sebab, Pluralisme sendiri mengakui adanya tradisi iman dan keberagaman yang berbeda antara satu agama dan agama yang lain. Konsepesi fundamental tentang Pluralisme Agama adalah kesatuan umat dibawah satu Tuhan, kekhususan agama-agama yang dibawa oleh nabi dan peranan wahyu dalam mendamaikan perbedaan diantara berbagai umat beragama. (http://islamlib.com/id/artikel/islam-pluralisme-dan-kemerdekaan-beragama/)

Hal ini dijelaskan lagi oleh Budhy Munawar Rachman dengan mengatakan bahawa “Ide toleransi dan pluralisme antara gama sebenarnya akan membawa kita kepada paham kesetaraan kaum beriman dihadapan Allah. Walaupun kita berbeda agama, tetapi iman di hadapan Allah sama. Kerana Iman menyangkut penghayatan kita kepada Allah yang jauh lebih mendalam dari segi formal agama. Apa yang perlu difahami dalam pahaman Pluralisme antara agama ini adalah bahawa sesiapapun yang beriman tanpa melihat agamanya adalah sama di hadapan Allah kerana Tuhan kita adalah Tuhan yang satu. Ukuran darjat seseorang itu adalah dengan takwa bukan formalisme agama yang di anut (Budhy: 16-20&27). Dari pandangan ini, Budy menawarkan bahawa Pluralisme bukan sekadar satu fahaman kemajmukan agama yang perlu kepada toleransi malah ia turut membawa kepada penerimaan kesetaraan penyataraan atau penyamaan iman manusia. Katanya:

“Kerana yang diperlukan dalam penghayatan masalah Pluralisme Agama ini adalah pandangan bahawa siapa pun yang beriman tanpa harus melihat apakah agamanya adalah sama di hadapan Allah kerana Tuhan kita adalah Tuhan yang satu”.

Malah Ulil Abshar Abdalla (koordinator Jaringan Islam Liberal, Indonesia) dalam artikelnya “Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam” yang telah disiarkan di harian Kompas pada 18 November 2002 yang berbunyi (Adian Husaini 2005: 16-18):“ Dengan tanpa segan silu, saya mengatakan bahawa semua agama adalah tepat berada pada jalan panjang menuju Yang Maha Benar. Semua Agama berada dalam keluarga besar yang sama iaitu: keluarga pencinta jalan kebenaran yang tiada hujungnya, Semua agama sama”.

Dari rangkuman definisi tokoh-tokoh ini, fahaman pluralisme agama dijelaskan sebagai satu fahaman yang melihat semua agama itu sama-sama benar dengan merangkumi istilah sama-sama menawarkan jalan keselamatan kepada umat manusia dan sama-sama sempurna dan diiktiraf benar di hadapan Tuhan. Konsep pluralisme ini didakwa akan mengurangkan atau malah boleh menghapuskan perselisihan, ekstremisme dan salah fahaman antara umat beragama.

Di dalam aliran pluralisme agama, tema utama mereka ialah menentang atau menolak adanya Truth Claim, iatu dakwaan bahawa hanya ada satu agama sahaja yang benar, sedangkan agama-agama lain adalah salah. Bagi mereka, semua agama adalah jalan-jalan yang benar dan sama-sama sah dan mencapai kebenaran yang sama. Konsep utama Pluralisme agama juga boleh dilihat dari beberapa sudut. Terdapat sebahagian yang lain pula berpandangan bahawa konsep pluralisme agama bertitik tolak dari premis kebenaran adalah milik bersama setiap agama (Ali Rabani Gulpaigani 2004 :61-62). Perbezaan agama hanyalah terjadi dalam sudut perbezaan pentafsiran bukan dari sudut esensi (zat) agama tersebut. Oleh sebab itu, kebenaran hakiki bukanlah hanya milik satu golongan. Dalam konsep ini, setiap orang memahami hakikat agama yang sesuai dengan tahap intelektual dan latar belakang kehidupan masing-masing. Maka tidak ada yang berhak mengatakan pemahaman peribadinya adalah yang benar. Ini bermaksud, agama dianggap semata-mata pentafsiran akal manusia. Setiap orang memiliki akal maka mereka berhak mentafsirkan hakikat keagamaan berdasarkan akal masing-masing. Justeru, kebenaran itu boleh dicapai melalui pelbagai pentafsiran (Ali Rabbani Gulpaigani 2005 :15).

Selain itu, terdapat juga pendapat yang mengukuhkan fahaman pluralisme agama dengan menggunakan konsep setiap agama adalah sebahagian dari kebenaran mutlak. Dalam pandangan ini, agama tidak dapat difahami sebagai sebuah keyakinan yang komprehensif. Setiap agama memiliki sebahagian sahaja dari hakikat kebenaran tunggal yang terpisah-pisah. Maka tidak ada satu agama yang paling sempurna. Justeru itu setiap agama perlu mengumpulkan semua hakikat kebenaran masing-masing dan berkumpul bersama membentuk satu agama bersama yang mempunyai kebenaran yang sempurna.

Ekoran dari tuntutan dan usaha rombakan konsep pemikiran keagamaan yang dilakukan oleh masyarakat beragama pada alaf baru ini, menunjukkan bahawa pendekatan atau fahaman Pluralisme Agama lebih banyak diungkapkan dan dijadikan sebagai satu metod penyelesaian masalah keagamaan abad ini. Ia dianggap sebagai satu agenda penting yang menjadi perbincangan, perdebatan dan perjuangan sehingga menghasilkan pelbagai kesan dan perubahan dalam tanggapan dan perlaksanaan hal-hal keagamaan.

Percanggahan dengan Akidah dan Syari‘ah Islamiyyah

Menurut pendukung aliran liberal Islam, agama Islam telah dibatasi dengan definisi secara bahasa semata-mata iaitu difahami sebagai kata perbuatan (kata sifat) pasrah, taat dan menyerah diri (submission) kepada Tuhan (The Real). Dalam erti kata lain apa sahaja agama yang mengandungi perbuatan Islam (seperti yang dijelaskan di atas) layak dipanggil agama Islam. Maka secara tidak langsung penganut agamanya juga adalah dipanggil Muslim. Maka agama Islam ialah agama penyerahan diri. Semua agama yang mempunyai konsep penyerahan diri kepada Tuhan layak dipanggil agama Islam dan semuanya diiktiraf oleh Allah ekoran dari firman Allah seperti yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam” (Al-Quran, Al-Imran 3: 1). Tanggapan Islam dengan konotasi umum seperti di atas secara tidak langsung membawa kepada penyamaan semua agama.

Hal yang sama juga berlaku dalam penggunaan istilah “mukmin” (orang beriman). Menurut Budhy Munawar Rahman, istilah mukmin ini boleh dijelaskan khusus merujuk kepada orang yang beriman yang disinonimkan beriman tersebut sebagai orang yang percaya kepada Tuhan. Perkataan ini secara umumnya merangkumi semua orang yang mempunyai kepercayaan kepada Tuhan dan kehendak Tuhan tanpa mengira apakah agama rasmi mereka. (Budhy Munawar Rahman 2004:51). Dari penjelasan ini Budhy ingin menekankan pemahaman bahawa:

i. Berdasarkan ayat Quran membuktikan dan menegaskan bahawa semua mukmin itu bersaudara.

ii. Orang mukmin itu bermaksud orang-orang yang beriman, mempercayai dan menyerahkan diri kepada kehendak Tuhan .

iii. Maka semua orang yang beragama, tidak kira apa agama sekalipun selagi mereka mempercayai, beriman dan menyerahkan diri kepada Tuhan dan kehendak Tuhan maka ia semuanya dikira mukmin dan sekali gus membuktikan bahawa mereka juga bersaudara.

Namun, di dalam Islam khususnya yang telah ditekankan dengan jelas melalui al-Quran iaitu “Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah adalah Islam” (Al-Quran. Al-Imran 3:1). Dalam konteks ini, jelas menyatakan bahawa agama Islam merupakan agama yang diredhai dan diterima di sisi Allah. Islam yang dimaksudkan di sini merupakan satu kata nama khusus bagi agama yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t kepada semua nabi-nabi dan akhinya disempurnakan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Menurut pendapat al-Attas (1995:41):

“Hanya ada satu agama wahyu yang asli dan namanya diberikan (Allah) adalah Islam dan orang-orang yang mengikuti agama ini dipuji oleh Allah sebagai yang terbaik di antara manusia. Islam kerananya bukan semata-mata sebuah kata kerja (submission) namun ia juga nama sebuah agama yang menjelaskan cara kepasrahan yang benar sekali gus menjelaskan definisi agama secara umum iaitu kepasrahan terhadap Tuhan”.

Maka, sekiranya Islam didakwa sebagai bukan nama khusus bagi agama yang dibawa oleh Muhammad, dakwaan ini tidak boleh diterima kerana sekiranya begitu adalah lebih baik jika agama Islam diistilahkan sebagai agama Muhammadan. Namun Rasulullah tidak pernah mengistilahkan sedemikian. Ini kerana, perlu diingat semua agama yang diturunkan Allah adalah agama Islam (dalam konteks yang dijelaskan di atas), lalu Allah menurunkan Nabi Muhammad sebagai nabi terakhir dan ajaran yang dibawanya (agama Islam yang diturunkan kepada Muhammad) adalah penyempurna kepada ajaran-ajaran Islam yang diturunkan kepada nabi-nabi (sama ada yang diketahui atau tidak) sebelum ini (Quran, Al-Maidah 5:3). Di dalam ajaran Islam mengandungi tiga perkara utama iaitu akidah, syariah dan akhlak. Kompenen akidah merupakan satu komponen yang bersifat tetap dan tidak akan berubah ajarannya mengikut zaman. Namun dalm konteks syariah, ia beruabah mengikut zaman malah Allah juga menegaskan bahawa syariah dalam agama Islam sebelum ini adalah terbatas waktu itu sahaja dan barang siapa yang ingin menjadi Muslim yang sebenar harus meninggalkan ajaran semua kitab mereka (Quran, Al-Nisā’ 4:47) dan mengikuti ajaran syariah terakhir yang telah disempurnakan oleh Nabi Muhammad (s.a.w). Maka agama Islam yang diiktiraf pada masa ini adalah agama Islam (ajaran dan cara kepasrahan (submission) yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w.). Maka barang siapa yang mengikuti ajarannya (ajaran dan cara kepasrahan yang disampaikan oleh nabi Muhammad) ia termasuk sebagai Muslim dan begitulah sebaliknya (iaitu jika hanya tunduk kepada Tuhan tetapi tidak menerima pelaksanaan syariah yang disampai dan disempurnakan oleh nabi Muhammad maka ia tidak layak dipanggil sebagai Muslim. (Quran, Ali-cImrān 3:85,19).

Dalam erti kata lain, dakwaan pendukung Pluralisme Agama yang sering menegaskan konsep bahawa semua agama menuju tujuan yang satu iaitu Allah sekalipun melalui pendekatan dan cara peribadatan yang berbeza mengikut agama masing-masing ini dianggap bertentangan dengan definisi Islam yang menegaskan bahawa cara peribadatan (syariah) yang sebenar dalam ajaran Islam pada masa ini hendaklah berasaskan cara peribadatan (syariah) yang telah diajarkan dan disempurnakan oleh Nabi Muhammad).

Pentafsiran perkara akidah yang asas ini mempengaruhi pelaksanaan hal-hal syariah yang lain seperti perkahwinan lintas agama, wasiat lintas agama dan seumpamanya. Sebagai contoh, dalam permasalahan perkahwinan lintas agama seperti yang dijelaskan oleh Ulil Abshar Abdalla (2002) dalam artikelnya di Kompas yang berjudul ”Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam” dengan mengatakan bahawa: ”Larangan kahwin beza agama, dalam hal ini antara perempuan Islam dengan lelaki bukan Islam sudah tidak relevan lagi”. Selaras dengan kenyataan ini, perkahwinan antara agama yang berbeza ini semakin jelas kelihatan tambahan turut dilakukan oleh tokoh–tokoh aliran liberal Islam itu sendiri seperti Nurcholish Madjid yang telah mengahwinkan anak perempuannya dengan lelaki Yahudi di Amerika tanpa mengubah agama dan menggunakan akad universal iaitu antara anak manusia dengan anak manusia. Kautsar Azhari Noer telah juga menikahkan Ahmad Nurcholish (pengurus Youth Islamic Study Club) dengan seorang wanita Konfusius dan beberapa kes lain yang berkaitan. Dalam konteks liberal Islam, mereka menjelaskan bahawa Quran telah menjelaskan bahawa bangsa Yahudi dan Nasrani dan beberapa kelompok lain seperti kaum Majusi dan Sābi’in sebagai ahli Kitab (Quran, Al-Hajj 22:17). Malah menurut mereka, ahli Kitab sebenarnya turut merangkumi penganut Buddha, Hindu, Konfusius dan sebagainya Malah ekoran dari pendefinisian Islam seperti yang dijelaskan oleh pendukung liberal Islam, menunjukkan bahawa tiada perbezaan antara ahli Kitab dan Muslim kerana dengan sandaran Islam sebagai kata perbuatan maka semua agama yang melaksanakan Islam dengan Tuhan layak dipanggil Muslim.

Namun, menurut tafsiran tafsir al-Tabari, penggunaan ahli kitab hanya dikhususkan kepada penganut Yahudi dan Nasrani. Hal ini boleh dilihat dalam tafsirannya terhadap ayat-ayat Quran yang menjelaskan mengenai ahli Kitab seperti tafsiran terhadap firman Allah (Ali-cImrān 3:64). Ibn Jarir telah mentafsirkan ayat ini dengan menyatakan bahawa: “Katakanlah wahai Muhammad kepada ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani), marilah menuju kalimah sawā’ antara kita dan kamu (Al-tabari t.th. Jamic al-Bayān 3:301-303). Manakala dalam firman Allah (Quran, Al-Hajj 22:17), pula menunjukkan kekuasaan Allah dan peringatan bahawa sesungguhnya semua manusia (merangkumi orang beriman, Yahudi, Nasrani, Majusi, Sābi’in dan orang-orang musyrik) ini akan dinilai perbuatan mereka dan akan diberikan balasan di akhirat (Tafsir Pimpinan al-Rahman). Namun ini tidak bermaksud semua kaum diiktiraf sebagai ahli Kitab. Malah ahli Kitab tidak juga boleh dikatakan sebagai Muslim selagi ia tidak mengikuti ajaran Islam yang sebenar (ajaran dan cara kepasrahan dari Nabi Muhammad s.a.w). Buktinya, turut terdapat banyak firman Allah yang menegaskan supaya Nabi Muhammad S.A.W menyeru dan berdakwah khususnya kepada ahli kitab agar menerima Islam kerana itulah syarat sebenar untuk mereka menjadi Muslim (Quran, Ali- cImrān 3:64), dan (Quran, Al-Maidah 5: 15-16,19). Justeru itu bagi mengahwini penganut agama lain, syarat menganuti Islam terlebih dahulu mesti dilakukan.

Berdasarkan isu-isu di atas jelas menunjukkan wujudnya pentafsiran yang berbezan dari golongan JIL dalam beberapa perkara yang telah disepakati oleh majoriti umat Islam. Pelaksanaan pentafsiran seperti ini sememangnya telah ditegaskan lagi dengan saranan dari Ulil Abshar Abdalla (pendukung fahaman liberal Islam) yang menjelaskan bahawa dalam mencapai pembaharuan, perkara utama yang perlu dilihat ialah kaedah pentafsiran. Selaras dengan ini, Ulil Abshar Abdalla (2005a:9-12) menjelaskan bahawa method tafsiran agama yang benar dan sesuai pada abad ini ialah:

i. Pentafsiran yang tidak literal dan kontekstual selaras dengan peradaban dan perkembangan tamadun Islam. Di dalam pentafsiran ini harus juga dibuat penelitian yang teliti dan mendalam khususnya bagi membezakan aspek atau pengaruh budaya dengan aspek dan asas ajaran Islam.

ii. Pentafsiran semula terhadap kedudukan umat Islam. Mereka sebenarnya bukanlah umat yang terpisah dari umat-umat lain. Justeru itu, larangan perkahwinan di antara agama yang berbeza adalah tidak wajar. Quran sendiri tidak pernah menegaskan mengenai larangan ini kerana Quran sendiri mengiktiraf kesamaan darjat manusia tanpa membuat perbezaan agama, darjat dan sebagainya.

iii. Pentafsiran semula mengenai kedudukan agama. Bagi membentuk kemajuan Islam abad ini, kita memerlukan pentadbiran sosial yang tidak mencampurkan antara agama dan politik. Pada abad ini, agama itu merupakan urusan peribadi seseorang individu. Nilai-nilai di dalam agama adalah universal tetapi doktrin dan praktikal sesuatu amalan atau ibadat dalam agama adalah bergantung kepada urusan sesuatu agama tersebut.

iv. Pentafsiran yang sederhana terhadap amalan-amalan Rasulullah S.A.W. Perlu diingat bahawa amalan Rasulullah tidaklah harus diikuti secara harfiah kerana apa yang dilakukan olehnya adalah sesuatu yang bersesuaian dengan zaman nya waktu itu. Apa yang harus dilakukan ialah mengambil nilai-nilai ajaran Rasulullah secara umum dan kemudiannya disesuaikan mengikut zaman–zaman seterusnya. Penyesuaian ini bukan sahaja harus ditelusuri dengan kebergantungan kepada Quran dan Sunah secara harfiah semata-mata tetapi ia memerlukan kepada pembaharuan dengan jalan ijtihad atau akal manusia.

v. Pentafsiran agama ini tidak sepatutnya dikhususkan kepada golongan tertentu atau khusus sahaja kerana sesuatu kebenaran itu tidaklah bersifat mutlak dari golongan tertentu ia mestilah mengambil kiranya kesediaan semua pihak dalam menerima kebenaran sama ada dari Islam atau dari luar Islam.

Kesimpulan

Pluralisme agama antara lain merupakan salah satu produk tafsiran rasional dan kontekstual puak liberal Islam terhadap isu-isu akidah dalam Islam. Menurut dakwaan aliran ini, tafsiran semula terhadap beberapa aspek Islam termasuk aspek politik, demokrasi, isu kebebasan berfikir, isu emasipasi wanita dan golongan minoriti dan isu akidah adalah sangat penting dan mendesak bagi mewujudkan suasana keamanan dan keselamatan sebenar di kalangan penganut pelbagai agama seperti di Malaysia dan Indonesia, disamping menjadi antetesis kepada fenomena fundamentalisme dan terorisme yang dicetuskan atas nama agama. Lantas tafsiran liberal dan kontekstual didakwa sudah tentu akan dapat mempromosikan Islam sebagai sebuah agama rasional, moden serta selaras dengan arus perubahan zaman yang memungkinkan pembentukan masyarakat liberal Islam moden ala Barat. Walau bagaimanapun, tafsiran liberal juga sering tersasar dari landasan Islam sebenar yang menyebabkan berlakunya kontroversi di kalangan umat Islam sendiri, sekalipun mungkin diterima dengan baik oleh masyarakat Barat.

Pluralisme antara lain memberi konotasi bahawa semua agama adalah benar dan baik belaka. Kepelbagaian agama adalah ibarat kepelbagaian jalan yang kesemuanya dapat memandu manusia kepada satu puncak kebenaran yang sama iaitu Tuhan. Semua pengikut agama baik Islam, Kristian, Yahudi, Budha, Hindu, Majusi, Zoroster dan lain-lain adalah orang-orang yang beriman dan akan masuk syurga belaka. Dakwaan bahawa agama Islam, Kristian, Yahudi ataupun Hindu sahaja agama yang benar adalah salah dan bertentangan dengan fahaman Pluralisme agama. Justeru itu, seseorang boleh sahaja menukar agama dari Kristian menjadi Hindu ataupun sebaliknya, dan tindakan ini tidak boleh dilabel sebagai murtad. Penganut pelbagai agama juga boleh berkahwin lintas agama seperti orang Islam bebas berkahwin dengan bukan Islam dan sebagainya. Malah kebebasan beragama megikut skema Jaringan Islam Libral (Siti Musdah Mulia 2007:228-230) adalah meliputi, kebebasan memilih dan menganut agama, kebebasan untuk tidak beragama, kebebasan bertukar agama, kebebasan menyebarkan agama, kebebasan untuk melaksanakan agama, kebebasan melakukan ibadat, kebebasan untuk berkahwin berbeza agama dan sebagainya.

Rujukan

Adnan Aslan.1994. Religious Pluralism in Christian and Islamic Philosophy:The Thought of John Hick and Seyyed Hossein Nasr. Japan Society Publications: Curzon.
Ahmad Fuad Fanani.2005. Islam, Pluralisme dan Kemerdekaan Beragama. http://islamlib.com/id/artikel/islam-pluralisme-dan-kemerdekaan-beragama/ (22/10/08)
Ali Rabbani Gulpaigani. 2005. Kebenaran Itu Banyak? Menggugat Pluralisme Agama. Terj. Muhamad Musa. Jakarta:Penerbit Al-Huda.
Anis Malik Thoha. 2005. Tren PluralismeAgama Satu Tinjauan Kritis. Jakarta: Gema Insani
Budhy Munawar Rahman.2004. Islam Pluralis Wacana Kesetaraan Kaum Beriman.Jakarta: PT RajaGrafindo Persada.
Fajar Kurnianto. 2005. Sebuah kearifan untu Paham Pluralisme. http://islamlib.com/id/artikel/sebuah-kearifan-untuk-paham-pluralisme/). (22/10/08)
Fazlur Rahman. 1986. Islam and Political Actions, Niegel Bieger (editor) Cities of God. New York: Greenwood Press
Jalaludin Rakhmat.2006.Islam dan Pluralisme Akhlak Al-Quran Menyikapi Perbedaan.Jakarta:PT Serambi Ilmu Semesta
John Hick. 2005. Religious Pluralisme and Islam.(10 Mac 2008)
Nurcholish Madjid. 1995. Islam Doktrin dan Peradaban. Jakarta: Paramadina.
Nurcholish Madjid, Kautsar Azhari Noer, Komarudin Hidayat, Masdar F. Mas’udi, Zainun Kamal, Zuhairi Misrawi, Budhy Munawar Rachman, Ahmaf Gaus AF, Mun’im A. Sirry (penyt). 2004. Fiqih Lintas Agama Membangun Masyarakat Inklusif-Pluralis. Jakarta: Yayasan Wakaf Paramadina & The Asia Foundation.
Schuon, Frithjof. 1975. The transcendent unity of religion. Terj. Peter Townsend. New York: Harper & Row.
Siti Musdah Mulia. 2007. Menuju kebebasan beragama di Indonesia. Dalam Abd Hakim dan Yudi Latif (penyuting). Bayang-Bayang Fanatisisme. Jakarta: Pusat Studi Islam dan Kenegaraan (PSIK) Universitas Paramadina.
Trisno S.Susanto. 2005. Melawan Budaya Kekerasan :Memaknai ulang Pluralisme (http://islamlib.com/id/artikel/memaknai-ulang-pluralisme/) (22/10/08)

--------------------------------------------------------------------------------

[1] John Hick merupakan seorang tokoh terkenal khususnya dalam bidang perbandingan agama dan sosiologi agama. Beliau merupakan seorang pemikir Barat yang banyak membincangkan isu-isu keagamaan terutamanya dalam isu pluralisme agama.

Pluralisme di Indonesia: Paham dan Amalan


Oleh:

Dr. Syamsuddin Arif

Pada 29hb Julai 2005, Majelis Ulama Indonesia (MUI) Pusat menerbitkan keputusan fatwa (Nombor 7/MUNAS VII/MUI/II/2005) berkenaan pluralisme, liberalisme dan sekularisme. Ditegaskan bahawa haram hukumnya bagi Umat Islam menganut atau mengikuti paham-paham keliru ini. Tanggapan pro dan kontra langsung bermunculan. Walaupun ramai yang akur dengan MUI, golongan yang merasa dirugikan (secara psikologis dan ekonomis) oleh fatwa tersebut segera memprotes. Sebagian mereka menyalahkan dan menyesalkan. Seorang di antaranya bahkan mengatakan MUI itu ‘tolol dan konyol’.[1] Makalah ini akan mengupas maksud pluralisme agama, dari mana asal-muasalnya, serta bagaimana ia dipahami, disiarkan dan diamalkan khususnya di negeri jiran Indonesia.

Maksud dan Asal-usulnya

Istilah ‘pluralisme agama’ terbilang baru. Seratus tahun yang lalu tidak ada seorang pun menyebut atau menulis tentangnya. Yang kita temukan adalah istilah convivencia (bahasa Spanyol untuk co-existence atau hidup bersama dengan rukun damai), toleration atau tolerance (dari bahasa Latin tolero, tolerare yang artinya membawa, memanggul, menanggung, menahan (to carry, bear, endure, sustain; to support, keep up, maintain).[2] Meski tidak jelas siapakah yang pertama kali menelurkan istilah pluralisme agama, paham ini dikembangkan oleh sejumlah pemikir Kristen mutakhir, yaitu Raimundo Panikkar[3] (seorang pastor Katholik kelahiran Sepanyol yang ayahnya beragama Hindu), Wilfred Cantwell Smith[4] (pengasas dan mantan pengarah Institute of Islamic Studies di McGill University Canada), Fritjhof Schuon[5] (mantan Kristen yang pergi mengembara keluar masuk pelbagai macam agama) dan John Hick[6] (profesor teologi di Claremont Graduate School California USA).

Pertama-tama mesti kita terangkan lagi perbedaan antara ‘pluralitas’ dan ‘pluralisme’ agama. Pluralitas agama adalah fakta wujudnya kepelbagaian dan perbedaan agama-agama di dunia ini. Sebagai fakta, pluralitas merupakan ketentuan Tuhan alias Sunnatullah, dan karenanya mustahil dihapuskan. Adapun pluralisme agama adalah pandangan, pikiran, sikap dan pendirian yang dipunyai seseorang terhadap realiti kepelbagaian dan fakta perbedaan tersebut. Ini pengertian umumnya. Secara khusus, pluralisme agama adalah pandangan, pikiran, keyakinan bahawa agama-agama yang bermacam-macam dan berbeda-beda itu mempunyai kesamaan dari segi ontologi, soteriologi, dan epistemologi. Seperti dikemukakan Peter Byrne, profesor di King’s College London UK, pluralisme agama merupakan persenyawaan tiga tesis. Pertama, semua tradisi agama-agama besar dunia adalah sama, semuanya merujuk dan menunjuk sebuah realitas tunggal yang transendent dan suci. Kedua, semuanya sama-sama menawarkan jalan keselamatan. Dan ketiga, semuanya tidak ada yang final. Artinya, setiap agama mesti senantiasa terbuka untuk dikritik dan ditinjau kembali.[7]

Sebagai paham baru, pluralisme agama ditawarkan menjadi alternatif kepada exclusivism dan inclusivism–dua pandangan yang konon tidak sesuai lagi untuk masyarakat modern sekarang ini. Adalah John Hick yang dengan gamblang menerangkan tiga macam paradigma (cara berpikir) dalam memandang dan menyikapi status agama lain.[8] Paradigma eksklusivisme mengajarkan bahawa keselamatan akhirat hanya akan diberikan kepada pengikut agama tertentu saja.[9]Bagi orang Nasrani, Jesus Kristus diyakini sebagai jalan paling absah, unik, normatif dan hakiki bagi keselamatan, atas dalil Yohanes 14:6: “Akulah jalan, kebenaran dan hidup. Tak seorang pun dapat sampai kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku.” Paradigma ini tampak pada sikap Gereja Katholik Roma yang selama berabad-abad menempatkan dirinya sebagai pusat keselamatan dengan semboyan masyhur: extra ecclesiam nulla salus. Walhasil, Gereja Katholik Roma bersikap tertutup dan berpandangan negative terhadap agama-agama lain.[10] Paradigma ini juga terdapat di kalangan Gereja Protestan. Karl Barth dalam bukunya Church Dogmatics menegaskan bahawa hanya ada satu agama yang benar yaitu agama Kristen karena Tuhan menghendakiNya demikian. Penganut agama lain akan binasa di neraka. Sikap inilah yang dikatakan membentuk mentalitas tentara salib dan golongan fundamentalis, sehingga umat Islam dilihat sebagai musuh yang perlu ditaklukkan dengan jalan mengkristenkan mereka.

Paradigma inklusivisme mengatakan bahawa keselamatan Allah berlaku universal dan hadir dalam agama-agama lain dengan tetap mengakui keunikan Jesus Kristus. Bahawa ampunan dan kasih sayang Tuhan merangkul seluruh umat manusia dengan berkat kematian Jesus, terlepas apakah yang bersangkutan memeluk agama Kristen ataupun agama lain.[11] Inklusifisme menolak segala bentuk konfrontasi antar agama lain dengan Kristen. Malah sebaliknya, inklusivisme berusaha memadukan dua pengakuan teologis: adanya keselamatan agama-agama lain dan keunikan anugerah Allah dalam JesusKristus. Paradigma inilah yang dianut oleh Gereja Katholik Romase sudah Konsili Vatikan II yang konon menandai perubahan dan keterbukaan baru terhadap agama-agama lain. Peranan dan sumbangsih Karl Rahner, pakar teologi dari Jerman, dalam hal ini diketahui cukup besar. Dialah yang mencetuskan istilah ‘Kristen tanpa nama’ (anonymous Christian).[12] Tetapi menurut Hick, paradigma ini menimbulkan beberapa implikasi pelik. Apakah ianya berarti doktrin ‘tiada keselamatan di luar gereja’itu telah dibatalkan? Kalau jawabannya ‘tidak’, maka istilah ‘Kristen tanpa nama’ tersebut omong kosong belaka (empty gesture). Sebaliknya, kalau jawabannya adalah ‘ya’, maka program Kristenisasi yang digarap oleh para misionaris itu sia-sia belaka.[13] Ada pula yang mengkritik konsep anonymous Christian itu sebagai penghalang terhadap dialog yang jujur dan seimbang, atau malah justeru membawa kepada jalan buntu bagi semua agama. Konsep ini masih terperangkap dalam imperialisme teologis yang menekankan normativitas Jesus Kristus bagi agama-agama lain dan tetap memandang agama-agama lain lebih rendah dari agama Kristen, sehingga kalaupun ada dialog seperti dianjurkan Gereja Katholik pasca Konsili Vatikan II, maka yang terjadi adalah ‘dialog antara gajah dan tikus’ –meminjam istilah Paul F. Knitter.[14]

Jadi tidak mengherankan apabila John Hick lantas lebih mengedepankan ‘pluralisme’ sebagai alternatif. Paradigma ini merupakan kelanjutan dari paradigma inklusivisme yang dianggap masih plin-plan itu. “Kalau kita berpendapat bahawa keselamatan atau pembebasan itu juga berlaku dalam tradisi agama-agama besar [selain Kristen], bukankah kita semestinya terus terang mengatakan bahawa ada banyak jalan keselamatan bagi manusia dalam hubungannya dengan Tuhan?” Menurut Hick, pluralisme adalah pandangan yang menyatakan bahawa perubahan hidup manusia dari keterpusatan pada diri sendiri menuju keterpusatan pada sang Realitas tunggal (yaitu Tuhan) terjadi di dalam semua agama dalam pelbagai bentuk dan cara.[15] Paradigma ini dianggap jauh lebih baik untuk dijadikan asas dialog antara agama yang digagas oleh Gereja Vatikan. Sudah barang tentu dalam hal ini John Hick tidak sendirian. Selain tokoh-tokoh yang namanya sudah kita sebut di atas, Paul F. Knitter juga aktif menyuarakan paham ini. Menurutnya, pluralisme berangkat dari keinginan melahirkan dialog yang jujur dan terbuka sehingga seluruh pemeluk agama dapat bekerja-sama memperbaiki kehidupan dan menanggulangi penderitaan manusia di muka bumi ini. Dalihnya, terdapat suatu ‘kesamaan yang kasar’ (rough parity) pada semua agama, kata Knitter. Agama-agama selain Kristen mungkin juga sama baik dan pentingnya untuk membawa pengikut masing-masing kepada kebenaran, perdamaian dan kesejahteraan bersamaTuhan.[16]

Paham Pluralisme di Indonesia

Paham pluralisme dibawa ke Indonesia oleh orang-orang Kristen. Pergaulan segelintir cendekiawan Muslim dengan golongan Kristen melalui pelbagai forum dan media di tingkat nasional maupun internasional, telah memuluskan jalan masuk dan tersebarnya paham ini di kalangan Umat Islam. Ada yang pelik dalam reaksi golongan liberal terhadap fatwa MUI tentang pluralisme. Di satu sisi mereka menyoal kepahaman MUI mengenai pluralisme. Dalam fatwa bertarikh 29 Julai 2005 tersebut, MUI mendefinisikan pluralisme sebagai paham yang “mengajarkan bahawa semua agama adalah sama dan karenanya kebenaran setiap agama adalah relatif.” Definisi ini dikatakan keliru, dan MUI dianggap salah paham atau tidak mengerti sama sekali. Kata mereka pluralisme tidak sama dengan relativisme dan bukan pula sinkretisme. Lantas, apa sebenarnya yang mereka maksud dan pahami dari pluralisme tersebut? Mari kita semak petikan-petikan berikut ini:

1. Ulil Abshar Abdalla mengatakan: “Semua agama sama. Semuanya menuju jalan kebenaran. Jadi, Islam bukan yang paling benar”.[17] Ulil juga menulis: “Dengan tanpa rasa sungkan dan kikuk, saya mengatakan, semua agama adalah tepat berada pada jalan seperti itu, jalan panjang menuju Yang Mahabenar. Semua agama, dengan demikian, adalah benar, dengan variasi, tingkat dan kadar kedalaman yang berbeda-beda dalam menghayati jalan religiusitas itu. Semua agama ada dalam satu keluarga besar yang sama: yaitu keluarga pencinta jalan menuju kebenaran yang tak pernah ada ujungnya.”[18]

2. Budhy Munawar-Rahman, pengarang buku Islam Pluralis, menegaskan bahawa “pluralisme agama sebagai paham menyatakan bahawa semua agama mempunyai peluang untuk memperoleh keselamatan pada hari akhirat. Dengan kata lain, pluralisme [agama] memandang bahawa selain agama kita, yaitu pemeluk agama lain, juga berpotensi akan memperoleh keselamatan.”[19] Di tempat lain, Budhy menulis bahawa konsep teologi pluralis akan memberikan legitimasi kepada ‘kebenaran semua agama’, bahawa pemeluk agama manapun layak disebut sebagai ‘orang yang beriman, dengan makna ‘orang yang percaya dan menaruh percaya kepada Tuhan’. Karenanya, Budhy menyimpulkan, “yang diperlukan sekarang ini dalam penghayatan masalah pluralisme antar agama, yakni pandangan bahawa siapa pun yang beriman –tanpa harus melihat agamanya apa– adalah sama di hadapan Allah. Karena, Tuhan kita semua adalah Tuhan Yang Satu.”[20]

3. Abdul Munir Mulkhan, dosen UIN Yogyakarta, menulis: “Jika semua agama memang benar sendiri, penting diyakini bahawa surga Tuhan yang satu itu sendiri terdiri banyak pintu dan kamar. Tiap pintu adalah jalan pemeluk tiap Agama memasuki kamar surganya. Syarat memasuki surga ialah keikhlasan pembebasan manusia dari kelaparan, penderitaan, kekerasan dan ketakutan, tanpa melihat agamanya. Inilah jalan universal surga bagi semua agama. Dari sini kerjasama dan dialog pemeluk berbeda agama jadi mungkin.”[21]

4. Nurcholish Madjid, menyebutkan bahawa ada tiga sikap dialog agama yang dapat diambil, yaitu: pertama, sikap eksklusif dalam melihat Agama lain (Agama-Agama lain adalah jalan yang salah, yang menyesatkan bagi pengikutnya); kedua, sikap inklusif (Agama-Agama lain adalah bentuk implisit agama kita); dan ketiga, sikap pluralis–yang bias terekspresi dalam macam-macam rumusan, misalnya: “Agama-Agama lain adalah jalan yang sama-sama sah untuk mencapai Kebenaran yang Sama”, “Agama-Agama lain berbicara secara berbeda, tetapi merupakan Kebenaran-kebenaran yang sama sah”, atau “Setiap agama mengekspresikan bagian penting sebuah Kebenaran”. Lalu, tambahnya lagi: “Sebagai sebuah pandangan keagamaan, pada dasarnya Islam bersifat inklusif dan merentangkan tafsirannya ke arah yang semakin pluralis. Sebagai contoh, filsafat perenial yang belakangan banyak dibicarakan dalam dialog antar agama di Indonesia merentangkan pandangan pluralis dengan mengatakan bahawa setiap agama sebenarnya merupakan ekspresi keimanan terhadap Tuhan yang sama. Ibarat roda, pusat roda itu adalah Tuhan, dan jari-jari itu adalah jalan dari berbagai Agama. Filsafat perennial juga membagi agama pada level esoterik (batin) dan eksoterik (lahir). Satu Agama berbeda dengan agama lain dalam level eksoterik, tetapi relatif sama dalam level esoteriknya. Oleh karena itu ada istilah ‘Satu Tuhan Banyak Jalan’.”[22] Nurcholish Madjid juga menyatakan: “Jadi, pluralisme sesungguhnya adalah sebuah Aturan Tuhan (Sunnat Allah, ‘Sunnatullah’) yang tidak akan berubah, sehingga juga tidak mungkin dilawan atau diingkari.”[23]

5. Alwi Shihab, lulusan Universiti ‘Ain Syams dan mantan Menteri Luar Negeri, menulis: “Prinsip lain yang digariskan oleh al-Qur’an, adalah pengakuan eksistensi orang-orang yang berbuat baik dalam setiap komunitas beragama dan, dengan begitu, layak memperoleh pahala dari Tuhan. Lagi-lagi, prinsip ini memperkokoh ide mengenai pluralisme keagamaan dan menolak eksklusivisme. Dalam pengartian lain, eksklusivisme keagamaan tidak sesuai dengan semangat al-Qur’an sebab al-Qur’an tidak membeda-bedakan antara satu komunitas agama dari lainnya.”[24]

6. Sukidi, alumnus Fakultas Syariah IAIN Jakarta dan kader Muhammadiyah, menulis di sebuah koran nasional: “Dan, konsekuensinya, ada banyak kebenaran (many truths) dalam tradisi dan agama-agama. Nietzsche menegasikan adanya Kebenaran Tunggal dan justeru bersikap afirmatif terhadap banyak kebenaran. Mahatma Gandhi pun seirama dengan mendeklarasikan bahawa semua agama – entah Hinduisme, Buddhisme, Yahudi, Kristen, Islam, Zoroaster, maupun lainnya- adalah benar. Dan, konsekuensinya, kebenaran ada dan ditemukan pada semua agama. Agama-agama itu diibaratkan, dalam nalar Pluralisme Gandhi, seperti pohon yang memiliki banyak cabang (many), tapi berasal dari satu akar (theOne). Akar yang satu itulah yang menjadi asal dan orientasi agama-agama. Karena itu, mari kita memproklamasikan kembali bahawa pluralisme agama sudah menjadi hukum Tuhan (sunnat-ullâh) yang tidak mungkin berubah. Dan, karena itu, mustahil pula kita melawan dan menghindari. Sebagai muslim, kita tidak punya jalan lain kecuali bersikap positif dan optimistis dalam menerima Pluralisme Agama sebagai hukum Tuhan.”[25]

7. Luthfi Assyaukanie, yang memperoleh gelar masternya dari ISTAC Malaysia dan kini mengajar di Universitas Paramadina, menulis di harian ibukota: “Seorang fideis Muslim, misalnya, bisa merasa dekat kepada Allah tanpa melewati jalur shalat karena ia bisa melakukannya lewat meditasi atau ritus-ritus lain yang biasa dilakukan dalam persemedian spiritual. Dengan demikian, pengalaman keagamaan hampir sepenuhnya independen dari aturan-aturan formal agama. Pada gilirannya, perangkat dan konsep-konsep agama seperti kitab suci, nabi, malaikat, dan lain-lain tak terlalu penting lagi karena yang lebih penting adalah bagaimana seseorang bias menikmati spiritualitas dan mentransendenkan dirinya dalam lompatan iman yang tanpa batas itu.”[26]

8. Abdul Moqsith, tamatan pesantren dan alumnus UIN Jakarta, dalam disertasinya menulis: “Jika diperhatikan dengan seksama, maka jelas bahawa dalam ayat itu [QS 2:62] tidak ada ungkapan agar orang Yahudi, Nashrani, dan orang-orang Shabi’ah beriman kepada Nabi Muhammad. Dengan mengikuti bunyi harafiah ayat tersebut, maka orang-orang beriman yang tetap dalam keimanannya, orang-orang Yahudi, Nashrani, dan Shabi’ah yang beriman kepada Allah dan Hari Akhir serta melakukan amal shaleh–sekalipun tak beriman kepada Nabi Muhammad, maka mereka akan memperoleh balasan dari Allah. Pernyataan agar orang-orang Yahudi, Nashrani, dan Shabi’ah beriman kepada Nabi Muhammad adalah pernyataan para mufasir dan bukan ungkapan al-Quran. Muhammad Rasyid Ridla berkata tak ada persyaratan bagi orang Yahudi, Nashrani, dan Shabi’ah untuk beriman kepada Nabi Muhammad.”[27] Namun, setelah diteliti kembali, ternyata Muhammad Rasyid Ridla dalam Tafsir al-Manar justeru mengatakan bahawa QS al-Baqarah/2:62 dan al-Ma’idah/5:69 itu membicarakan keselamatan Ahlul Kitab yang risalah NabiMuhammad belum atau tidak sampai kepada mereka, sehingga mereka tidak diwajibkan beriman. Adapun Ahlul Kitab yang dakwah Islam telah sampai kepada mereka, menurut Rasyid Ridla, maka sesuai QS 3:199, ada lima syarat jika mereka ingin selamat di akhirat kelak. Yaitu di antaranya: (1) beriman kepada Allah dengan iman yang benar, yakni iman yang tidak bercampur dengan syirik atau kemusyrikan dengan disertai ketundukan yang mendorong untuk melakukan kebaikan, (2) beriman kepada al-Quran yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad. Ini sesuai dengan hadis shahih: “Demi Allah, yang diriku ada dalam genggaman tanganNya, tidaklah mendengar dari hal aku ini seorangpun dari ummat sekarang ini, baik Yahud, maupun Nasrani, kemudian mereka tidak mau beriman kepadaku, melainkan masuklah dia ke dalam neraka” (diriwayatkan oleh Imam Muslim).

9. Azyumardi Azra, direktur Sekolah Pasca-sarjana dan mantan rektor UIN Jakarta, menulis dalam sebuah buku terbitan Fatayat NU dan Ford Foundation bahawa “Islam itu memang pluralis, Islam itu banyak, dan tidak satu. Memang secara teks, Islam adalah satu tetapi ketika akal sudah mulai mencoba memahami itu, belum lagi mengaktualisasikan, maka kemudian pluralitas itu adalah suatu kenyataan dan tidak bias dielakkan.”[28] Di sini terlihat jelas bagaimana Azyumardi gagal memahami perbedaan antara pluralisme dan pluralitas. Confusion yang menggelikan ini juga menghinggapi banyak tokoh lain yang menganggap pluralisme itu suatu keniscayaan yang urat akarnya terdapat dalam al-Qur’an seperti Dawam Rahardjo, A. Syafi’i Maarif, Siti Musdah Mulia, Nur A. Fadhil Lubis, Syafiq A. Mughni.[29]

Kempen dan Amalan Pluralisme di Indonesia

Upaya yang serius dan sistematis telah banyak dan terus-menerus dilakukan untuk menyiarkan paham pluralisme agama di Indonesia. Pelakunya terdiri dari seluruh lembaga-lembaga swadaya masyarakat (LSM) alias NGO maupun tokoh-tokoh yang ‘bermitra’ dengan yayasan-yayasan asing semisal The Asia Foundation, Ford Foundation, Konrad Adenauer Stiftung, dan sebagainya. Mereka yang terlibat bukan hanya menyebarkan paham ini secara asongan, tetapi juga memiliki program terencana untuk mengubah kurikulum pendidikan Islam yang saat ini mereka nilai belum inklusif-pluralis. Contohnya, Jurnal Tashwirul Afkar edisi No 11 tahun 2001, menyajikan laporan utama “Menuju Pendidikan Islam Pluralis”, di mana dinyatakan bahawa “filosofi pendidikan Islam yang hanya membenarkan agamanya sendiri, tanpa mau menerima kebenaran agama lain mesti mendapat kritik untuk selanjutnya dilakukan reorientasi. Konsep iman-kafir, muslim-nonmuslim, dan baik-benar, yang sangat berpengaruh terhadap cara pandang Islam terhadap agama lain, mesti dibongkar agar umat Islam tidak lagi menganggap agama lain sebagai agama yang salah dan tidak ada jalan keselamatan. Jika cara pandangnya bersifat eksklusif dan intoleran, maka teologi yang diterima adalah teologi eksklusif dan intoleran, yang pada gilirannya akan merusak harmonisasi agama-agama, dan sikap tidak menghargai kebenaran agama lain. Kegagalan dalam mengembangkan semangat toleransi dan pluralisme agama dalam pendidikan Islam akan membangkitkan sayap radikal Islam.”[30] Masih dalam jurnal yang sama, Amin Abdullah, rektor UIN Yogyakarta, pun menulis: “Pendidikan agama yang semata-mata menekankan keselamatan individu dan kelompoknya sendiri menjadikan anak didik kurang begitu sensitif atau kurang begitu peka terhadap nasib, penderitaan, kesulitan yang dialami oleh sesama, yang kebetulan memeluk agama lain. Hal demikian bisa saja terjadi oleh karena adanya keyakinan yang tertanam kuat bahawa orang atau kelompok yang tidak seiman atau tidak seagama adalah “lawan” secara aqidah.”[31]

Perkahwinan antara orang berlainan agama

Paham pluralisme yang dikembangkan di Indonesia kemudian telah dan masih terus diterjemahkan menjadi amalan sosial seperti: mengucapkan Selamat Natal (‘Merry Christmas’) kepada orang Kristen; memberi salam (ucapan ‘as-salamu ‘alaykum wa rahmatullah wa barakatuh’); dan perempuan Muslimah menikah dengan lelaki non-Muslim. Pembenaran terhadap malpraktik ini disajikan dalam buku Fiqih Lintas Agama yang digarap oleh tim penulis termasuk Nurcholish Madjid, Kautsar Azhari Noer, Zainun Kamal, Komaruddin Hidayat, Masdar F. Mas‘udi, Budhy Munawar-Rachman, Zuhairi Misrawi, Ahmad Gaus, dan Mun’im Sirry. Dalam buku yang dibiayai oleh The Asia Foundation, yayasan dari Amerika Serikat, ini tertulis bahawa “soal pernikahan laki-laki non-Muslim dengan wanita Muslim merupakan wilayah ijtihadi dan terikat dengan konteks tertentu, di antaranya konteks dakwah Islam pada saat itu, yang mana jumlah umat Islam tidak sebesar saat ini, sehingga pernikahan antar agama merupakan sesuatu yang terlarang. Karena kedudukannya sebagai hukum yang lahir atas proses ijtihad, maka amat dimungkinkan bila dicetuskan pendapat baru, bahawa wanita Muslim boleh menikah dengan laki-laki non-Muslim, atau pernikahan beda agama secara lebih luas amat diperbolehkan, apapun agama dan aliran kepercayaannya… Dan pernikahan beda agama dapat dijadikan salah satu ruang, yang mana antara penganut agama dapat saling berkenalan secara lebih dekat. Kedua, bahawa tujuan dari diberlangsungkannya pernikahan adalah untuk membangun tali kasih (mawaddah) dan tali sayang (rahmah). Di tengah rentannya hubungan antar agama saat ini, pernikahan beda agama justeru dapat dijadikan wahana untuk membangun toleransi dan kesepahaman antara masing-masing pemeluk agama. Bermula dari ikatan tali kasih dan tali sayang, kita rajut kerukunan dan kedamaian.”[32]

Siti Musdah Mulia, dosen di UIN Jakarta yang tidak dapat membedakan antara pluralitas dan pluralisme, juga memberikan alasan lain. Katanya, faktor jumlah umat Islam sebagai konteks harus dijadikan pertimbangan dan penetapan hukum, apakah situasi perang ataukah damai. Ia menulis: “Jika kita memahami konteks waktu turunnya ayat itu (QS 60:10. pen.), larangan ini sangat wajar mengingat kaum kafir Quraisy sangat memusuhi Nabi dan pengikutnya. Waktu itu konteksnya adalah peperangan antara kaum Mukmin dan kaum kafir. Larangan melanggengkan hubungan dimaksudkan agar dapat diidentifikasi secara jelas mana musuh dan mana kawan. Karena itu, ayat ini harus dipahami secara kontekstual. Jika kondisi peperangan itu tidak ada lagi, maka larangan dimaksud tercabut dengan sendirinya.”[33] Pengamalan konkretnya telah ditunjukkan oleh Zainun Kamal, dosen UIN Jakarta, yang diketahui menjadi ‘penghuluswasta’ menikahkan puluhan –bahkan mungkin sekarang sudah ratusan– pasangan beda agama.

Pandangan Islam terhadap Pluralisme

Propaganda paham pluralisme agama yang makin hari makin gencar dilakukan di negera-negara Islam merupakan masalah serius yang perlu ditanggulangi secara serius pula. Adalah penting bagi setiap Muslim untuk mengetahui dari mana dan hendak ke mana pluralisme agama itu sebenarnya. Akan tetapi lebih penting lagi mereka memahami ajaran Islam khususnya yang berkaitan dengan status agama-agama lain.

Pertama, dalam aqidah Islam telah disepakati kaum Muslimin tidak ada di muka bumi ini suatu agama yang benar kecuali agama Islam, yang ajarannya membatalkan ajaran agama-agama sebelumnya. Firman Allah dalam al-Qur’an surah Al‘Imran 85: “Barangsiapa mencari agama lain selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.”

وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَالإِسْلاَمِ دِيْنًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فيِ الآخِرَةِ مِنَالخَاسِرِيْنَ

Kedua, wajib hukumnya meyakini bahawa setiap orang bukan Islam alias non-Muslim, sama ada dia itu Yahudi, Nasrani, dan selain mereka itu kafir dan bakal jadi penghuni neraka, sesuai dengan firman Allah dalam surah al-Bayyinah 1 dan 6: “Orang-orang kafir yakni Ahlul Kitab dan orang-orang musyrik itu tidak akan meninggalkan agamanya sebelum datang kepada mereka bukti yang nyata. …Sedang orang-orang kafir yakni Ahlul Kitab dan orang-orang musyrik (akan masuk) ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruknya mahluk”:

لَمْ يَكُنِ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِوَالْمُشْرِكِيْنَ مُنْفَكِّيْنَ حَتَّى تَأْتِيَهُمُ الْبَيِّنَةُ…

إِنَّ الَّذِيْنَكَفَرُوْا مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ وَالْمُشْرِكِيْنَ فِيْ نَارِ جَهَنَّمَخَالِدِيْنَ فِيْهَا أُوْلَئِكَ هُمْ شَرُّ الْبَرِيَّةِ

Apalagi diriwayatkan pula dalam Shahih Muslim bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Demi Dia yang jiwaku ada di TanganNya, tidak seorangpun dari umat manusia yang mendengar [seruan]ku, Yahudi maupun Nasrani, kemudian mati dan belum/tidak beriman dengan ajaran yang aku bawa melainkan dia menjadi penghuni neraka”:

وَالَّذِيْ نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لاَيِسْمَعُ بِيْ أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الأُمَّةِ يَهُوْدِيٌّ وَلاَ نَصْرَانِيٌّ ثُمَّيمُوْتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِيْ أُرْسِلْتُ بِهِ إِلاَّ كَانَ مِنْ أَصْحَابِالنَّارِ

Ketiga, wajib hukumnya bagi seorang Muslim meyakini bahawa Taurat dan Injil itu telah dimansukhkan oleh al-Quran al-Karim, dan bahawa kedua kitab tersebut telah diubah, diselewengkan, ditambah dan dikurangi, sebagaimana jelas diterangkan di dalam al-Quran surah al-Maidah 13: “Namun karena mereka melanggar janji, Kami kutuk mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka suka memindahkan firman Allah dari tempat-tempatnya, dan mereka juga melupakan sebagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya”:

فَبِمَا نَقْضِهِمْ مِيْثَاقَهُمْلَعَنَّاهُمْ وَجَعَلْنَا قُلُوْبَهُمْ قَاسِيَةً يُحَرِّفُوْنَ الْكَلِمَ عَنْمَوَاضِعِهِ وَنَسُوْا حَظًّا مِمَّا ذُكِّرُوْا بِهِ

Terakhir, berdasarkan prinsip-prinsip ‘Aqidah dan Syari‘at Islam di atas, maka propaganda pluralisme agama, pendekatan agama-agama dan peleburan agama-agama adalah makar halus yang tujuannya mencampur-adukkan yang haq dengan yang batil, merusak sendi-sendi ajaran Islam, dan menyeret pemeluknya kearah pemurtadan. Firman Allah swt dalam surah al-Baqarah 217: “Mereka tidak henti-hentinya memerangi kamu sampai mereka dapat mengembalikan kamu dari agamamu [kepada kekafiran] andaikata mereka mampu” (وَلاَ يَزَالُوْنَ يُقَاتِلُوْنَكُمْ حَتَّى يَرُدُّوْكُمْ عَنْ دِيْنِكُمْ إِنِ اسْتَطَاعُوْا) dan surah an-Nisa’ 89: “Mereka ingin supaya kamu menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, lalu kamu menjadi sama [dengan mereka]: وَدُّوْا لَوْ تَكْفُرُوْنَ كَمَا كَفَرُوْا فَتَكُوْنُوْنَ سَوَآءً .

Akhirnya dapat kita simpulkan bahawa pluralisme agama itu suatu doktrin, ajaran, ideologi, aqidah, keyakinan dan way of life yang mengakui semua agama adalah sama dan setara, sama benar, otentik, valid, dan merupakan jalan keselamatan yang baik.[34] Maka terang sekali bahawa pluralisme ini tidak mungkin diterima oleh orang Muslim kerana ianya bercanggah dengan ajaran Islam yang tertera di dalam kitab suci al-Qur’an dan Sunnah/Hadits Rasulullah saw.


--------------------------------------------------------------------------------

[1] Silang pendapat mengenai fatwa haramnya pluralisme agama ini direkam oleh Budhy Munawar-Rachman, Reorientasi Pembaruan Islam: Sekularisme, Liberalisme dan Pluralisme, Paradigma Baru Islam Indonesia (Jakarta: Lembaga Studi Agama dan Filsafat (LSAF) dan Paramadina, 2010), 554- 567.
[2]Lihat misalnyaJohn Locke, A Letter Concerning Toleration (London, 1689; aslinya dalam bahasa Latin berjudul Epistola de Tolerantia) dan Voltaire, Traité sur la tolerance (Paris, 1763). Menurut kamus Oxford English Dictionary, “tolerance is the ability or willingness to tolerate the existence of opinions or behaviour that one dislikes or disagrees with; the capacity to endure continued subjection to something such as a drug or environmental conditions without adverse reaction.”
[3] Lihat R. Panikkar, The Intra-Religious Dialogue (New York: Paulist Press, 1978) = Dialog Intra Religius (Yogyakarta: Kanisius, 1994).
[4] Lihat W.C. Smith, The Meaning and End of Religion (London: S.P.C.K., 1978) = Memburu Makna Agama (Bandung: Mizan, 2004).
[5]Lihat F. Schuon, The Transcendent Unity of Religions, tr. Peter Townsend (New York: Pantheon, 1953) = Mencari Titik Temu Agama-Agama (Jakarta: Pustaka Firdaus, 2003).
[6] Lihat J. Hick, Problems of Religious Pluralism (New York: St Martin Press, 1985).
[7]Peter Byrne, Prolegomena to Religious Pluralism (London: Macmillan Press, 1995), 191: “The three defining theses of our version of [religious] pluralism are as follows: (1) All major religious traditions are equal in respect of making common reference to a single, transcendent reality. (2) All major [religious] traditions are likewise equal in respect of offering some means or other to human salvation. (3) All major [religious] traditions are to be seen as containing revisable, limited accounts of the nature of this reality: none is certain enough in its dogmatic formulations to provide the norm for interpreting the others.”
[8] Lihat “A Philosophy of Religious Pluralism,” dalam John Hick, Problems of Religious Pluralism (London: Macmillan, 1985), 31-38; asalnya dimuat dalam The World’s Religious Traditions: Essays in Honour of Wilfred Cantwell Smith, ed. Frank Whaling (Edinburgh: T. & T. Clark, 1984).Namun tipologi ini, katanya, pertama kali dilontarkan oleh Alan Race, Christians and Religious Pluralism (London: SCM Press, 1983).
[9]Ibid., 31: “… ‘exclusivism’ relates salvation/liberation exclusively to one particular tradition, so that it is an article of faith that salvation is restricted to this one group, the rest of mankind being either left out of account or explicitly excluded from the sphere of salvation.”
[10]Lihat F.X.E. Armada Riyanto, Dialog Agama dalam pandangan Gereja Katolik (Yogyakarta: Kanisius, 1995), 23.
[11] John Hick, Problems of Religious Pluralism, 32-33 menyebut dua jenis inklusivisme, yaitu ‘juridis’ dan ‘tranformatif’: “… it is the view that God’s forgiveness and acceptance of humanity have been made possible by Christ’s death, but that benefits of this sacrifice are not confined to those who respond to it with an explicit act of faith. The juridical transaction of Christ’s atonement covered all human sins, so that all human beings are now open to God’s mercy, even though they may never have heard of Jesus Christ and why he died on the cross of Calvary. … the other [second] form of Christian inclusivism, which accepts the understanding of salvation as the gradual transformation of human life and sees this as taking place not only within Christian history but also within the context of all the other great world traditions.”
[12]Lihat Karl Rahner, “Christianity and the non-Christian Religions,” dalam Carl E. Braaten dan Robert W. Jenson, A Map of Twentieth Century Theology: Readings from Karl Barth to Radical Pluralism (Minneapolis: Fortress Press, 1995), 231-246.
[13] John Hick, Problems of Religious Pluralism, 33-34: “Both forms of inclusivism do however involve certain inner strains and certain awkward implications. How are they to be combined with the traditional extra ecclesiam [nulla salus] dogma? The best known attempt is that of Karl Rahner, with his concept of the ‘anonymous Christian’. … But the question is whether in this new context the old dogma has not been so emptied of content as no longer to be worth affirming. … is it not a somewhat empty gesture ..? Further, having thus labeled them, why persist in the aim of gathering all humankind into the Christian Church?”
[14] Lihat Paul F. Knitter, No Other Name? A Critical Survey of Christian Attitudes Towards the World Religions (New York: Orbis Book, 1995), 14.
[15] John Hick, Problems of Religious Pluralism, 34: “If we accept that salvation/liberation is taking place within all the great religious traditions, why not frankly acknowledge that there is a plurality of saving human responses to the ultimate divine Reality? Pluralism, the, is the view that the transformation of human existence from self-centredness to Reality-centredness is taking place in different ways within the context of all the great religious traditions.”
[16] Lihat uraian lengkapnya dalam John Hick dan Paul F. Knitter, Mitos Keunikan Agama Kristen (Jakarta: BPK Gunung Mulia, 2001), 42-45.
[17]Wawancara di majalah GATRA, 21 Desember 2002.
[18]Lihat artikelnya berjudul “Menyegarkan Kembali Pemahaman Islam” di harian Kompas, 18/11/2002.
[19] Budhy Munawar-Rachman, Reorientasi Pembaruan Islam: Sekularisme, Liberalisme dan Pluralisme, Paradigma Baru Islam Indonesia (Jakarta: LSAF dan Paramadina, 2010), 553.
[20]Lihat Budhy Munawar-Rahman, “Basis Teologi Persaudaraan Antar-Agama”, dalam buku Wajah Liberal Islam di Indonesia (Jakarta: JIL, 2002), 51-53.
[21]Abdul Munir Mulkhan, Ajaran dan Jalan Kematian Syekh Siti Jenar (Yogyakarta: Kreasi Wacana, 2002), 44. Dalam bukunya yang berjudul Satu Tuhan Beribu Tafsir, (Yogyakarta: Kanisius, 2007), Mulkhan juga menulis: “Mereka bisa masuk surga dan berbuat saleh dengan cara mereka sendiri dan paham keagamaan yang banyak dipengaruhi tingkat sosial dan ekonomi masing-masing. Dari sini mungkin bisa dibayangkan ‘kamar-kamar surga’ yang berbeda-beda, sesuai cara, media dan paham keagamaan setiap orang dan kelas sosialnya.Karena itu, bisa jadi ada ‘kamar surga’ bagi Muhammadiyah yang berbeda dengan ‘kamar surga’ pengikutNU, pengikut Syiah ataupun Ahmadiyah. Bahkan, bisa dibayangkan ‘kamar surga’ bagi pemeluk agama berbeda dan partai politik yang berbeda. Rasionalisasi kesurgaan atau keagamaan di atas, mungkin dipandang ‘main-main’.Namun hal itu penting dan strategis bagi pengembangan tafsir keagamaan di tengah kemungkinan lahirnya ‘agama baru’. Melalui tafsir baru akan terbuka menghindari konflik akibat beda paham keagamaan yang terus melanda negeri ini dan juga berbagai belahan dunia lainnya.” (Ibid.,124-125).
[22]Lihat buku Tiga Agama Satu Tuhan (Bandung: Mizan, 1999), xix. Bandingkan dengan pandangan-pandangannya dalam Fiqih Lintas Agama: Membangun Masyarakat Inklusif-Pluralis, ed. Mun‘im A. Sirry (Jakarta: Paramadina, 2003), 17-61.
[23]Nurcholish Madjid, Islam: Doktrin dan Peradaban (Jakarta: Paramadina, 1995), lxxvii.
[24]Alwi Shihab, Islam Inklusif: Menuju Sikap Terbuka dalam Beragama (Bandung: Mizan, 1997), 108-109.
[25]Lihat artikelnya di koranJawa Pos (11/1/2004).
[26]Lihat artikelnya di harian Kompas, 3/9/2005.
[27]Lihat bukunya, Argumen Pluralisme Agama (Jakarta: Katakita, 2008).
[28]Dalam Nilai-nilai Pluralisme dalam Islam, ed. Sururin (Jakarta: Fatayat NU&Ford Foundation, 2005), 150.
[29]Untuk catatan terperincinya lihat Budhy Munawar-Rachman, Reorientasi Pembaruan Islam: Sekularisme, Liberalisme dan Pluralisme, Paradigma Baru Islam Indonesia (Jakarta: LSAF dan Paramadina, 2010), 555-609.
[30]Khamami Zada, “Membebaskan Pendidikan Islam:Dari Eksklusivisme menuju Inklusivisme dan Pluralisme,” JurnalTashwirul Afkar, edisi No 11 tahun 2001.
[31]M. Amin Abdullah, “Pengajaran Kalam dan Teologi di Era Kemajemukan: Sebuah Tinjauan Materi dan Metode Pendidikan Agama,”Jurnal Tashwirul Afkar, edisi No 11 tahun 2001. Sebagai rektor UIN Yogyakarta,Prof. Amin Abdullah juga tercatat sebagai perintis berdirinya program studi doktor lintas agama (InterreligiousPhD program) hasil kerjasama UIN Yogya, UGM, dan Universitas Kristen Duta Wacana (UKDW).Program studi lintas agama ini dipimpin oleh Prof. Bernard Adeney Risakotta, seorang Kristen asal AmerikaSerikat.Program ini baru dibuka tahun 2007. (Lihat website ICRS:www.icrsyogya.net).
[32]LihatFiqih Lintas Agama, ed. Mun’im Sirry (Jakarta: Paramadina&The Asia Foundation, 2004), 164.
[33]LihatSiti Musdah Mulia, Muslimah Reformis (Bandung: Mizan, 2005), 63.
[34]Lihat Budhy Munawar-Rachman, Reorientasi Pembaruan Islam: Sekularisme, Liberalisme dan Pluralisme, Paradigma Baru Islam Indonesia (Jakarta: LSAF dan Paramadina, 2010), 581, 614, 717.

Beberapa Isu Dalam Pluralisme Agama - Satu Pengamatan Ringkas[*]

بسم الله الرحمن الرحيم

 نحمده ونصلى على رسوله الكريم

Oleh:

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady[**]

Bila berbicara tentang agama dalam erti agama sarwajagat yang dibawa oleh para anbia’ ‘alaihimussalatu wassalam sebagaimana yang ada dalam naratif Qur’an al-Karim, maka ada beberapa perkara awal yang perlu dicamkan. Antaranya ia adalah agama tauhid, agama hanif, yang kebenarannya tidak berubah-ubah, kerana agama itu adalah berdasarkan kepada fitrah, sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Rum; fitrah kejadian manusia juga tidak berubah dengan dimensi-dimensinya yang diisyaratkan oleh peristiwa ta’lim al-asma’, pengajaran ‘segala nama’ oleh Allah terhadap Adam a.s. Syariat-syariat dalam setengah daripada detail-detailnya boleh berubah, yang lain tidak. Antaranya juga ialah bahawa Allah adalah al-Muhaimin, Maha penjaga, maka Ia menjaga agamaNya, dan menjaga Qur’an dan erti-ertinya, dan Qur’an pula, pada pihaknya, diturunkan sebagai ‘muhaimin’ atau pengawal atas erti-erti asasi agama; kerana itu ia mengadakan pembetulan-pembetulan terhadap agama Ahlil-kitab dan lainnya bila agama-agama itu teralih daripada pendirian asalnya tentang tauhid misalnya.

Para mujaddid pula muncul dalam sejarah Islam bagi ‘membaharukan semula’ amalan agama yang menjadi lemah, atau terubah daripada amalan asal. Para ulama adalah golongan yang menjaga agama ini dengan pihak-pihak yang bersama dengan mereka dalam usaha yang mulia ini. Dengan itu ulama sebenarnya adalah pewaris para anbia; dengan itu kedudukan mereka adalah ‘Seperti anbia di kalangan Bani Isra’il’, apa juga status kenyataan yang berkenaan itu dilihat dari segi ilmu hadith. Kebenaran wacana arusperdana umat ini-yang diisyaratkan oleh ayat tentang ‘sabil al-mu’minin’ dan hadith berkenaan dengan ijma’, diingatkan setiap hari dalam al-fatihah, – ini terjamin wujud sehingga ke akhir zaman, dan pihak yang menyalahi pendirian ini tidak mendatangkan mudarat atas agama (la yadurruhum man khalafahum). Maka dalam konteks otoritas ajaran agama para anbia’ yang jelas dalam Qur’an dan Sunnah terjamin kebenarannya.

Dalam konteks fahaman agama dan epistemologi arusperdana demikian ini paling janggal sekali kalau ada individu-individu yang dinisbahkan kepada ilmu Islam dan dakwah menjadi tertarik kepada konsep ‘kebenaran yang pelbagai’ (‘multiple truths’) yang berupa penyakit intelektuil dan rohani yang muncul kebelakangan ini dan ditaja oleh setengah-setengah ahli akademik dan ilmiah dari luar Islam. Bagaimanapun, akhir zaman dengan sifat-sifatnya yang dinyatakan dalam hadith-hadith mempengaruhi setengah orang; dan mungkin ada mereka di kalangan Muslimin yang boleh tertarik hati, selepas beberapa dekad dalam menjalankan kegiatan dakwah dan keilmuan di Dunia Melayu Sunni ini, kepada aliran-aliran baharu yang muncul di Barat, seperti misalnya aliran ‘pluralisme agama’ atau ‘religious pluralism’ dan memandangnya sebagai aliran yang paling absah dari segi intelektuil dan rohaninya; maka kalau perkara yang sedemikian itu berlaku, sudah tentu atas nama rasa kasihan belas terhadap umat – termasuk pihak yang berkenaan – timbul di dada kita rasa sayu yang tidak terkira bila mengingatkan bahawa mereka yang asalnya terlibat dalam dakwah, berfikiran sayangkan bangsa dan watan, terlibat dalam kalangan para penerajunya, terpengaruh dengan gerakan Islam (terkesan dengan pemikiran Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick, walaupun ini tidak dinyatakan dengan terang-terangan, dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhir. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin.

Berlatarbelakangkan ‘serangan intelektuil Barat’ atas umat ini dalam bentuk ‘pluralisme agama’ diperturunkan dalam nota sederhana ini beberapa pengamatan tentang fenomena ini sebagai respon awalan terhadapnya.

Pluralisme yang ditakrifkan sebagai kenyataan pluralisme (‘sheer fact of pluralism’) (seperti dalam laman web projek pluralisme Universiti Harvard, antara lainnya)[1] sebagai keberadaan pelbagai agama dalam sesebuah negara atau masyarakat –dalam erti ini pluralisme diamalkan dalam Islam walaupun di Madinah di zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dan kemudiannya seperti di Andalusia dan kerajaan Othmaniah Turki. Demikian pula pluralisme agama dalam erti adanya ruang awam di mana para penganut pelbagai agama bertemu dan berhubung serta mengadakan interaksi untuk saling memahami antara satu sama lain, itu juga sesuatu yang diterima dalam Islam, kerana kelainan umat manusia dalam kelompok-kelompok dan bangsa wujud untuk saling kenal mengenali antara sesama mereka sebagai bani Adam; ini juga diterima dalam Islam semenjak zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam, dan ia harmonis dengan ajaran Islam.[2] Tetapi pluralisme dalam erti kenisbian dalam kebenaran hakiki dan mutlak , yang mengajarkan tidak ada kebenaran mutlak yang boleh dicapai, dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan dan kebahagian, itu tidak diterima, bahkan ditolak dalam agama Islam.[3] Agama Islam datang dalam pusingan nubuwwah terakhir dalam sejarah umat manusia, yang selepas daripadanya tidak ada lagi nubuwwah dan kerasulan; dan ia datang sebagai saksi atas sekelian ajaran di dunia, dan Nabi Muhammad sallahu ‘alaihi wa sallam datang sebagai saksi atas umat ini.

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hick yang meninggalkan sikap eksklusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak munasabah pada akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat, mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat.

Bila berhadapan dengan persoalan pluralisme agama, maka mungkin orang yang datang dari latar belakang Islam akan tergerak-gerak hatinya untuk mengemukakan bait-bait Jalaluddin al-Rumi untuk membuktikan bahawa beliau (Jalal al-Din Rumi) adalah orangnya yang boleh dikemukakan sebagai peribadi yang memahami dan menerima gagasan sedemikian, antaranya ialah seperti :

Lampu-lampu adalah banyak tetapi Cahaya adalah satu, ia datang dari Seberang Sana. Kalau anda terus menerus melihat kepada lampu anda tersesat; kerana dari situ munculnya rupa lahir bilangan dan kepelbagaian.’

Lalu dari situ dibuat kesimpulan bahawa inilah bait yang mengatasi debat-debat dan pertelingkahan, kerana orang yang mencapai pengalaman ‘mengatasi bentuk rupa’ (beyond forms) seperti Rumi sebenarnya memahami secara sarwajagat konsep-konsep yang am seperti dari mana datangnya insan? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia keluar dari hidup alam benda ini dengan maut? Dan orang sepertinya mengetahui jalan kehidupan secara rohaniah membawa kita kepada pencarian yang bersifat semesta menuntut kebenaran dan keadilan dan keutamaan moral dan etika. Kita bergembira dengan keindahan dalam diri kita dan di sekeliling kita. Kita cintakan ilmu, kedamaian dan keselamatan, tapi kita berada di tengah-tengah pelbagai rahasia dan pelbagai tidak ketentuan dalam alam sekeliling kita.

Dunia kita terpecah-pecah penuh dengan kehodohan, keganasan dan ketidakadilan; dalam ini semua agama memberi kepada kita peluang untuk merealisasi nilai-nilai yang menyatupadukan kita seperti Jalal al-Din Rumi ini. Dengan sangkaan seperti itu kita terperosok ke dalam sangkaan bahawa tokoh ini, yakni Jalal al-Din Rumi, adalah tokoh pluralisme. Tetapi kita terlupa bahawa beliau adalah Ulama Ahli Sunnah, yang berpegang dengan akidah dan Syariah, yang mengkritik penyembah berhala, Yahudi dan agama Kristian. Bahkan bila orang bertanya tentang Tuhan sebagai Jesus dalam Triniti dia menyebut dengan menunjukkan keheranan bagaimanakah orang kurus yang tinggi beberapa meter yang berlari-lari sekeliling negeri kerana dicari orang untuk dibunuh disebut sebagai Tuhan Yang mencipta alam?

Lagi pun kalaulah ada bait-bait lain yang menyebut tentang adanya pengalaman yang memberi fahaman bahawa sebenarnya tidak ada perbezaan pada peringkat tertinggi sekali dalam agama, peringkat hakikat yang mengatasi semua rupa bentuk, itulah yang menyatupadukan kita, lalu difahami ia tokoh yang berbicara bahawa semua agama ada keabsahan, kita tersilap. Ini kerana, yang tokoh demikian maksudkan ialah itu bagi orang yang mencapai kehampiran dengan Tuhan pada tahap yang tertinggi –dalam mushahadah, dalam penyaksian rohaniah (atau spiritual witnessing); ia bukan merujuk kepada peringkat Akal, mental, atau pengalaman biasa duniawi, lagi pula ia bukan akidah. Maka kalau difahamkan bahawa itulah akidah beliau maka itu tersilap, sebab kalau akidah dia demikian mengapa pula ia menyebut kesalahan-kesalahan Yahudi, kesalahan Kristian dan penyembah berhala dengan akidah yang salah? Dan kalau kita teruskan lagi menyebut hal ini: apa ertinya mesej-mesej para nabi dan rasul dalam naratif Quran yang menentang kesyirikan, kekufuran dengan kepelbagaian bentuk dan rupanya, adakah kita menganggap mereka ‘tidak faham kesatuan agama’, medreka tidak sampai lepada ‘kebenaran yang mengtatasi segalarupa rupa bentuk’ (truth beyond forms’) kita sekarang yang memahaminya, mereka tidak, baharu sekarang kita “bertemu” dengan hakikat ini? Subhana’Llah.

Dan mungkin ada orang yang datang dari kalangan Muslimin yang terpesona dengan gagasan pluralisme dalam erti ini teringin untuk menyebut Dante penyaer agung Itali dengan ‘Divine Comedy’nya , sebagai tokoh yang ‘mencapai’ erti pluralisme agama, berpegang kepadanya, mengatasi semua bentuk, yang mengedari ‘semuanya benar’ lalu menyebut baitnya yang bermaksud

“only when the waves of seductive greed are calmed and the human race rests free in the tranquillity of peace.”

[‘Hanya bila gelombang-gelombang sifat rakus diri didamaikan dan umat manusia berehat dalam kebeningan dan kedamaian’.]

Tetapi kita perlu menyedari bahawa ajaran tentang mencapai kedamaian dalam diri dengan membebaskannya daripada kongkongan nafsu itu kebenaran yang sarwajagat, dan bila itu berlaku pada umat manusia dunia akan aman. Tetapi ini bukannya bukti untuk pandangan ‘semua agama adalah benar’, dan itu bukan pegangan Dante pun. Kalau demikian pegangan Dante mengapakah beliau, dalam ‘Divine Comedy’nya, dalam ‘Inferno’ meletakkan Nabi Muhammad salla’Lahu ‘alaihi wa sallam dan Ali dalam neraka? Ia menyatakan Nabi Muhammad sebagai ‘the chief of those who create schisms’? Ertinya dia menolak Islam, sebagaimana seorang paderi dalam program TV Larry King baru-baru ini menolak kebenaran Islam katanya mereka menyembah Tuhan yang salah! Agama mereka palsu! Jelas bahawa Dante bukan tokoh plurarisme agama dalam erti John Hick yang membicarakannya. Maka menyebut Dante dalam konteks pluralisme agama dalam erti Hick adalah langsung tidak berkenaan.

Adakah boleh dikaitkan Dante yang membenci Islam dan Nabi Muhammad dihubungkannya dengan tokoh-tokoh intelektuil dan rohani Islam termasuk al-Farabi atau ibn Rushd untuk membantu manusia berfikir tentang dunia yang perlu diamankan daripada konflik? Adakah ini caranya?

Nampaknya kata-kata Dalai Lama lebih munasabah dalam hal ini. Beritanya ialah bagaimana dalam suatu ceramah di Madrid, Dalai Lama membuat rayuan kepada Barat supaya jangan memeluk agama Buddha sebagai fesyen budaya (‘cultural fashion’). “I am a Buddhist“, the Dalai Lama added “Therefore, Buddhism is the only truth for me, the only religion. To my Christian friend, Christianity the only truth, the only religion.To my Muslim friend, Mohammadenism (should be Islam-UEM) is the only truth, the only religion. In the meantime I respect and admire my Christian friend and my Muslim friend. If by unifying you mean mixing, that is impossible, useless” (http://www.tibet.net).

Ertinya: “Saya penganut Buddha’ Dalai Lama menambah kenyataannya, “Oleh itu agama Buddha sahaja kebenaran bagi saya, agama satu-satunya. Bagi kawan saya yang beragama Kristian, agama Kristian sahaja kebenaran, itu sahaja agama yang benar. Bagi kawan saya penganut agama Islam, agama Muhammad (sepatutnya ‘Islam’-UEM) sahaja berupa kebenaran, berupa agama satu-satunya. Dalam pada itu saya menghormati dan mengkagumi kawan saya yang beragama Kristian dan yang beragama Islam. Kalaulah menyatupadukan itu maksudnya mencampur-adukkan itu mustahil, dan tidak berfaedah.”

Selain daripada itu adakah kita boleh samakan pendirian dan sikap Dante dengan Ibn Rushd dan al-Farabi? Adalah sukar sekali kita hendak mempertahankan pendirian ini sebab ibn Rushd adalah seorang Fakih yang mahir tentang Syariat dan yakin dengan Islam, berpegang kepada ijma’, berpegang kepada kebenaran Islam bukan yang lain, dan ia bukan pluralis dalam erti Hick dalam memahami Islam; demikian pula al-Farabi; kalau tidak mereka ‘berhenti’ daripada menjadi Orang Islam. Dan ini tidak berlaku.

Orang yang terpengaruh dengan pluralisme agama seperti yang dihuraikan oleh Hick mungkin berkata bahawa mengutamakan satu agama dalam sesebuah negara seperti menjadikan Islam sebagai agama persekutuan adalah bertentangan dengan semangat pluralisme agama, tetapi ini masih berlaku walaupun dalam demokrasi-demokrasi yang sudah teguh seperti di Eropah dan di Asia Barat dan Asia Tenggara. Dengan itu orang yang berfikir demikian mahu supaya isu asasi tentang kebebasan beragama perlu ditangani dengan disekalikan perbincangan itu dengan kebebasan dhamir atau ‘freedom of conscience’.

Pada kita Muslimin kalau seseorang itu mempunyai agama katakanlah agama Kristian yang yakin dengan kebenaran agamanya dan ia beramal dengan baik dan tidak mengganggu orang lain atau memudaratkan orang lain, dan ia mentaati undang-undang negeri itu, maka itu diterima, walaupun agamanya berlainan dengan kita Muslimin. Di negara kita misalnya Islam adalah agama persekutuan tetapi sistem-sistem kepercayaan lain dibenarkan diamal dalam keadaan aman dan sejahtera (‘in peace and security’ tetapi jangan secara tidak aman dan tidak sejahtera).

Mereka yang terpengaruh dengan pluralisme agama dalam erti yang tersebut mungkin berpendapat bahawa apa juga agamanya seseorang itu, baik ia Islam, Kristian, Yahudi, Sikh, dan Hindu dan lain-lain lagi, mungkin mempercayai adanya kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (‘the higher truths’) yang mengatasi amalan-amalan lahiriah semata dan ibadat semuanya tertumpu kepada kebenaran yang satu: yakni kita semua dari Allah dan kepadaNya kita semua kembali. (Whatever the religion, whether it be Islam, Christianity, Judaism, Sikhism, Hinduism and many others, I believe that the higher truths which go beyond mere practice and ritual all converge on the singular truth: and that is from God we were sent forth and unto God shall we return).

Kalaulah pendirian yang demikian ini benar-menganggap sebagai jalan kebenaran di sisi Tuhan- maka perjuangan Nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam mendepani agama penyembah berhala, agama Yahudi dan Kristian zamannya adalah tidak bererti lagi sebab semuanya tertumpu kepada kebenaran yang mengatasi bentuk-bentuk lahiriah itu. Ertinya Nabi Muhammad seolah-olah ‘tidak memahami kebenaran yang lebih tinggi’ itu, demikian juga Abu Bakar dan ‘Umar serta para sahabat lainnya. Allah meredhai mereka semuanya. Tidak pernah ada pernyataan sedemikian dalam tamadun Islam dan wacana intelektuil dan rohaniahnya. Yang disebut-sebut sedemikian berhubung dengan nama-nama seperti Ibn ‘Arabi dan Jalal al-Din Rumi, misalnya oleh Schuon dan yang sepertinya adalah perbuatan ‘menjual nama’ bukan berdasarkan hakikat yang sebenarnya. Ini boleh diperhatikan, katakanlah tentang ibn Arabi bahawa syahadahnya dalam awal ‘Futuhat’ adalah syahadah dalam akidah Ahli Sunnah wal-Jamaah, bukan “syahadah” “wahdatul wujud” yang disebut-sebut orang itu.

Pencatit yang kerdil ini ada menterjemahkan syahadah wali Allah ini dalam membincangkan kontribusi Hamzah Fansuri dalam persuratan Melayu di Sibolga Sumatra tidak lama sebelum ini. Ini terjemahan syahadah itu, mungkin pertama kali, dalam bahasa Melayu.

Orang yang berfikir demikian mungkin membuat kenyataan bahawa penganjur-penganjur dalam agama-agama mungkin membuat pengakuan tentang benarnya agama mereka, dan tidak menyebut unsur-unsur yang menyatupadukan semua pihak. Dia mungkin berkata bahawa kalau kita boleh menerima perpaduan dalam kepelbagaian (unity in diversity) maka pluralisme agama menjadi tenaga yang menyatukan bukan yang memecahbelahkan. Mungkin padanya itulah jalan menuju cahaya mengelak kegelapan, jalan mengelak perang menuju kepada kedamaian dan keamanan, demikian seterusnya.

Masalah pada Muslimin yang berpegang kepada agamanya ialah pluralism agama terletak atas asas sangkaan pandangan yang bercanggah dengan Qur’an, Sunnah dan ijma’. Our’an datang mengajarkan kebenaran agama yang diajarkan para anbia, sebab itu dinyatakan ‘musaddiqan baina yadaih’, membenarkan apa yang sebelumnya, agama-agama yang berubah daripada yang asal itu tidak boleh kita ikuti, sebab ia bersalahan dengan ajaran tentang penasakhan agama dengan kedatangan Islam sebagai wahyu dari Tuhan. Mereka, bagaimanapun, yang mengikut agama-agama mereka dengan baik, yang tidak menggangu kita, kita hidup aman dengan mereka, dan kita boleh berkerjasama dengan mereka dalam ‘commonality’ yang am seperti Nabi s.a.w. melakukan kerjasama dengan Orang Yahudi dan Kristian di Madinah itu. Ini diamalkan sehingga ke zaman kerajaan Othmaniah Turki dengan sistem ‘millet’nya, yang mengikut mendiang Edward Said tidak dilaksanakan di zaman moden ini. Ini juga berlaku di zaman kerajaan Andalusia di Sepanyol. Dan itulah yang menjadi pegangan kita; itulah yang kita yakini sebagai kebenaran. Mereka yang hendak berkongsi dengan kebenaran ini saudara kita, yang tidak memudaratkan kita, bahkan mereka hidup dengan aman damai, kita juga hidup dengan aman damai dengan mereka.

Kita boleh menghormati nilai-nilai yang baik yang ada pada sistem-sistem kepercayaan (‘belief-systems’) lain tetapi pada kita agama yang diterima di sisi Allah adalah al-Islam dalam erti Islam yang dibawa oleh Nabi salla’Llahu alaihi wa sallam, yang disebut dalam Qur’an, Sunnah dan ijma’ itu dengan perpanjangannya dalam wacana arusperdana umat Islam ini, bukan ‘islam’ yang ditakwil-takwil mengikut huraian peribadi berdasarkan kata kerjanya.

Maka kalau pihak yang terpengaruh dengan teori Hick dan sepertinya dan berkata bahawa tidak kena Muslimin menolak nilai kebebasan bersuara (dalam erti Barat sekarang), kemerdekaan media, demokrasi (dalam acuan Barat secara totok), dan kemerdekaan dhamir, dan melihat budaya kepelbagaian agama sebagai percubaan untuk mencapai hegemoni, pada kita, yang tidak diterima ialah yang bercanggah dengan batasan-batasan syara’, tauhid, akhlak, dan kerohanian Islam. Aspek-aspeknya yang tidak bercanggahan dengan kita kita menerimanya; ertinya bukan menolak secara total dan bukan menerima secara total. Ini kerana panduan Islam adalah menyeluruh dan sepadu, bukan terpisah-pisah. Kalau ada kecurigaan terhadap konsep pluralisme Barat itu di kalangan Muslimin, itu ada alasannya, dengan kolonialismenya (lihat huraian Edward Said dalam ‘Culture and Imperialism’ dan ‘Orientalism’nya), kemudian sekarang globalisasi dengan kesannya parah ke atas Muslimin, kemudian falsafah pascamodernisme, yang membuahkan ‘Islam Liberal’ yang ditaja oleh mereka. Ini juga mengingatkan kita kepada Rand Corporation Report, Civil Democratic Islam laporan Cheryl Benard itu. Tetapi kita boleh terbuka dalam bertemu dengan mereka dalam ruang-ruang yang munasabah.

Kalau pihak yang berpendirian begini menggunakan nama-nama ulama terkenal, untuk ‘menjual’ konsep pluralisme ala Hick itu kita merasakan kita perlu bercermat tentang hal ini dan melihat wacana ilmu Islam secara menyeluruh bukan dengan menebok-nebok bahagian tertentu kemudian membentangkannya seolah-olah ia mewakili sikap intelektuil Islam seluruhnya, misalnya hukum bila setengah fuqaha membuat keputusan memberi ruang kepada penganut sistem kepercayaan lain memutuskan hukum mengikut aturan agama mereka dalam amalan-amalan yang ‘ganjil’ seperti orang Zoroaster mengawini anak perempuannya sendiri atau yang sepertinya. Kita boleh menegaskan bahawa kita tidak tenang menerima konsep pluralisme agama dalam erti seperti yang dihuraikan oleh Hick dan yang sepertinya kerana pada sisi wacana arusperdana Islam –yang menjadi neraca muktamad dalam umat-ini kezindikan dan kesyirikan bukan kebenaran dan tauhid.

Bila orang yang terlibat dalam pemikiran pluralisme cara Barat ini menyesali bagaimana orang Islam ‘terlupa’ kepada hikmat kebijaksanaan dalam kesarjanaan klasik Islam, maka mungkin terlintas juga pada kalbu kita, tidak mungkinkah orang yang berkata demikian sebenarnya sudah ‘terlupa’ kepada kebijaksanaan itu, sebab itu ia memilih untuk menerima ‘pluralisme’ dalam erti mereka, dan tidak terus setia kepada wacana arusperdana umat ini yang dijamin oleh Nabi salla’Llahu alaihi wa sallam akan kekal sehingga ke akhir zaman. Ini kerana keberadaan alam ini ialah kerana wacana ini dan manifestasi kebenarannya dalam hidup manusia. Kalau tidak ayat-ayat yang bermaksud ‘Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepadaKu’ [dalam Islam mengikut epistemologi dan kebenaran arusperdananya] dan ayat yang bermaksud ‘Dialah yang menjadikan tujuh lapis langit dan bumi seperti itu juga, maka turun Perintah antara itu semua supaya kamu mengetahui bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan bahawa Ia meliputi segalanya dalam ilmuNya’ dan ayat yang bermaksud ‘[berkait dengan Nabi Muhammad selamat di gua perlindungannya] supaya jadilah Kalimah Allah itu yang paling tinggi dan yang menentangnya paling rendah’ dan hadis sahih yang bermaksud ‘dunia ini akan kiamat bila tidak ada lagi orang yang menyebut ‘Allah’, ‘Allah,’ dan hadith yang menyebut tentang ‘kiamat berlaku bila semua manusia adalah sejahat-jahatnya’] [tidak ada lagi kebenaran hakiki yang diajarkan oleh para anbia dalam alam ini, maka alam ini hilanglah sebab bagi penerusan wujudnya. (Apa juga yang mungkin dikatakan oleh pascamodernisme dan fahaman-fahaman dari mereka seperti Hick dan sebagainya).

Adapun tentang adanya konflik di kalangan umat manusia kerana keyakinan agama masing-masing, bila wajar, pada kita konflik umat manusia adalah perkara yang berlaku secara tabi’i, dunia dengan keadaannya sebagai dunia, alam ujian, yang ada benar-salah, baik-jahat, hitam-putih, malam-siang, sihat-sakit dan seterusnya, bukan syurga jannatul firdaus. Kita mengelak konflik yang tidak perlu yang mesti dielakkan; tetapi kalau konflik itu dicetuskan oleh pihak lain untuk tujuan hegemoninya, kita perlu tangani dengan berkesan dan betul; kita tidak berkata bahawa oleh itu kebenaran pada kami adalah kebenaran, kebenaran yang ada pada anda adalah seperti kami, kelainan hanya sangkaan sempit yang tidak benar, timbul daripada kedangkalan akal, keadaan keladak pada roh, sebenarnya semuanya betul dan benar. Jangan kita berkelahi. Yang kita katakan ialah: bahawa kebenaran itu kebenaran, dan pada kami kami yakin ada kebenaran, dan apa yang tidak benar adalah tidak benar, tapi kalau anda hendak berterusan dengan pandangan anda anda jangan ganggu kami dan mengatakan bahawa kebenaran yang ada pada kami tidak benar sebetulnya, yang sebetulnya semua benar. Kita katakan: bagi anda pegangan dan agama anda, bagi kami pegangan dan agama kami. Kalau kita bertujuan mengelak konflik lalu kita perkenalkan pluralisme cara seperti Hick hanya untuk mengelak konflik, itu ertinya kita membatalkan ajaran para anbia, rasul, ulama, mujtahidin, dan para mujadid dalam umat ini; kita hendak meletakkan kebenaran di bawah peristiwa, bukan menghakimkan peristiwa mengikut kebenaran (we put history above truth and knowledge and not truth and knowledge above history).

Ajaran Quran ialah kita meletakkan ilmu dan kebenaran untuk menghakimkan sejarah bukan sebaliknya. Kita dengan pihak lain berhubung mengikut etika, dan kita mahu mereka berhubung dengan kita mengikut etika, dan kita berbeza pandangan dengan secara beretika, bukan dengan secara memaksa orang, termasuk memaksa ‘secara berwacana’, sebab itu terlarang, lainlah dengan ulil-amri dalam umat Islam, sebab mereka wajib kita taati selepas daripada Allah dan Rasul, melainkan dalam kemaksiatan dan kekufuran. Dijauhkan Allah.

Kita tegaskan, kita berbeza pandangan dengan beretika, bukan dengan memperkenalkan ajaran kenisbian dalam ilmu dan kebenaran. Memperkenalkan pluralisme dan kenisbian dalam ilmu, kebenaran dan nilai hanya kerana hendak mengelak konflik, itu kebaculan intelektuil, rohani, moral, dan budaya; ia kemuflisan rohani dan kenaifan intelektui; maha suci Allah. Dunia adalah ‘negeri ujian’ bukan tempat memperkenalkan kenisbian dan pluralisme kerana mengelak konflik. Mereka yang memperjuangkan demokrasi secara falsafah sosial mutlak pun tidak ‘mencairkan’ demokrasi mutlak mereka untuk mengelak konflik dengan pihak lain. Mengapa pula kita hendak diajar dan dipujuk untuk ‘mencairkan’ pegangan kita atas nama keabsahan kenisbian dan pluralisme? Maka dalam menegakkan kebenaran yang diredhai Allah dan Rasul kita teruji dalam hidup ini, kita redha, dan kita tidak berpegang kepada kenisbian dan pluralisme kebenaran hanya untuk mengelak konflik.

Kalaulah ada pihak yang sengaja berbicara tentang ‘clash of civilizations’ atau ‘pembenturan peradaban’ atau ‘pertentangan peradaban’ kita tidak perlu terperusuk ke dalam ‘lubang biawak’ itu (mengingatkan hadith Baginda s.a.w. tentang umat kita cenderung mengikut Ahlil-kitab sehingga memasuki lubang biawak [intelektuil] mereka), bagi kita umat manusia hendaklah dipandang dari segi kenal mengenali, memandang makhluk sebagai ‘hamba-hamba Tuhan’ baik di Timur atau di Barat, tetapi kita perlu berwaspada tentang kebenaran dan mengikutnya, serta berwaspada tentang kepalsuan dan jangan mengikutnya. Sikap kita bukan tertumpu kepada ‘orangnya’ tetapi kebenaran yang mesti dijadikan pegangan dan kepalsuan yang mesti dielakkan. Ini sedemikian penting sehingga ia wajib kita peringatkan diri tentangnya dalam bacaan sembahyang setiap rakaat. (ayat tentang mereka yang dikurniakan ni’mat dan mereka yang dimurkai Tuhan). Ma sha’Allah.

Kita juga tidak memandang kepada label-label, ‘fundamentalis’kah, ‘moderate’kah, atau apa juga yang diberikan oleh pihak luar terhadap umat dan ahlinya, kita dikelas-kelaskan seperti makhluk yang dikaji dalam makmal-makmal budaya. Sebaliknya kita mesti menumpukan perhatian kepada kebenaran dalam umat yang disepakati, dengan menjaga khilaf-khilaf dalam bidang rantingnya. Kita selesaikan perbezaan, dengan beradab, mengikut ‘neraca [intelektuil dan rohani] yang betul’ (al-qistas al-mustaqim). Perbuatan label-melabel itu kita tinggalkan, kecuali ia bersesuaian dengan neraca intelektuil arusperdana umat dan untuk memutuskan hukum dan pendirian bila itu mesti dilakukan. Inilah pendirian kita.

Tentang pengajaran daripada sejarah yang mesti dimanafaati, itu jelas dari ajaran Quran yang menyuruh manusia mendapat pengajaran daripada ‘hari-hari Allah’ yang menyebut kemenangan dan rahmat Ilahi bagi mereka yang mengikut kebenaran ajaran para anbia dan mengelak kepalsuan pihak yang menentang mereka. Sebab itu diajarkan supaya kita memberi peringatan tentang ‘hari-hari Allah’[4] dalam sejarah manusia. Demikian pula sejarah disebutkan kepada Nabi kita s.a.w. supaya Baginda mendapat kekuatan hati dan keteguhan jiwa dengannya (لنثبت به فواءدك)[5]. Kita tidak berbicara tentang sejarah dari segi kebebasan atau sebaliknya, sebab penekanan kita adalah ketundukan kepada Hukum dan kehendak Tuhan, sebab kita ‘khalifah’ dan ‘hamba’Nya. Bacaan sejarah sebagai ‘kebebasan’ atau ‘kehambaan’ itu bacaan pascamodernis atau bacaan liberalis, bukan bacaan secara panduan Quran, sunnah dan epistemologi arusperdana umat Muhammad ini. Maha suci Allah.

Kalau dipuji negara-negara tertentu, kerana Barat memujinya, dengan alasan ia mengamalkan ‘liberal demokrasi’ dan ia sudah berada pada ‘garis penghabisan’ berjaya, kita perlu ingat kepada fahaman memisahkan agama daripada hidup kemasyarakatan dan berkembangnya Islam yang menjadi khadam kepada falsafah pascamodernisme yang mengajarkan kepelbagaian kebenaran dan kenisbian nilai-nilai, yang semuanya menyanggahi Syariat Islam dan ajarannya tentang halal dan haram serta kebenaran dan kebatilan, pahala dan dosa. Adakah ini yang hendak dijayakan dalam negara kita yang berpegang kepada Quran dan hadith serta kefahaman tentangnya mengikut wacana dan epistemologi Sunni? Maha suci Allah. Ini mengingatkan kita kepada ajaran kaum zindik yang disebut-sebut zaman lampau dalam teks-teks Islam klasik yang masih relevan sekarang dan bila-bila, sebab wacana asasi Sunni kekal sampai kiamat sebagaimana yang dinyatakan oleh Nabi s.a.w. dalam hadith sahih.

Kalau dalam senario semasa ada berlaku pihak yang memperjuangkan prinsip jihad kemudian itu diberi keabsahan untuk berlakunya keganasan, maka wajib diperhatikan bahawa ini tidak ada dalam takrifan jihad yang muktabar, yang cukup dengan syarat-syaratnya, yang melarang penyerangan atas mereka yang tidak berdosa, kanak-kanak dan wanita, yang melarang merosakkan gereja, tempat penyembahan agama Yahudi, dan seterusnya. Dan ini tidak boleh digunakan sebagai alasan untuk sesiapa menerima pluralisme dalam erti bahawa kebenaran adalah nisbi, banyak, kalau tidak bacaan fatihah dalam sembahyang dan dalam wacana Islam tidak ada makna, sebab kita diperintah mengikut ‘al-sirat al-mustaqim’ dan mengelak ajaran dan jalan mereka yang dimurkai Allah dan jalan mereka yang sesat (المغضوب عليهم ولا الضالين). Dan jihad dalam erti yang sahih dengan syarat-syaratnya tidak terbatal. Ia terus ada dan menjadi kewajipan bila cukup syarat-syaratnya dan bila kita berupaya mengamalkannya. Mungkin bagi mereka yang berpegang kepada pluralisme dalam erti yang batil menganggap jihad terhapus, hukum Tuhan terhapus (pada golongan Islam liberal ‘hukum Tuhan’ tidak ada). Dijauhkan Allah.

Kalau disebutkan bahawa dalam agama Islam kebebasan berupa satu daripada matlamat-matlamat yang lebih tinggi, kemudian disebutkan bahawa ia sama dengan apa yang ada dalam sebuah demokrasi berperlembagaan, dengan kebebasan dhamir atau ‘conscience’ manusia, kebebasan untuk menyuarakan penentangan terhadap penindasan, atau seruan kepada perbaikan dan hak atas harta, itu semua tidak boleh disamakan dengan pluralisme yang dicanangkan oleh setengah pihak yang merancang untuk kepentingan hegemoni mereka. Amalan demokrasi dalam Islam wajib taat kepada peraturan syara’ tentang halal dan haram, kebebasan dhamir atau ‘freedom of conscience’ bukan bererti sama dengan yang ditafsirkan dalam ‘The First Amendment’ bagi perlembagaan Amerika Syarikat kerana kita terpandu oleh tuntutan wahyu dalam Quran dan tuntutan sunnah nabi dalam hadith yang menyuruh kita menerima Islam sebagai kebenaran yang berdiri sebagai mewakili kebenaran agama Islam yang diajar kepada semua anbia dalam sejarah manusia. Oleh itu dhamir orang yang beriman wajib tunduk kepada tuntutan fitrah ini; yang lain mesti dielakkan sebab itu terlarang. Perlu diingatkan lagi: kebebasan dalam Islam tertakluk di bawah ajaran Allah dan Rasul bukan boleh mengikut falsafah pascamodernisme yang mengajar kebenaran yang pelbagai (‘multiple truths’); kalau demikian seruan para nabi sebagaimana yang ada dalam Quran tidak bermakna apa-apa lagi.

Akhirnya, prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernist, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, dengan beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali.

Wallahu a’lam. Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan. Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekalian alam.

--------------------------------------------------------------------------------

Nota akhir:

[1] http://www.pluralism.org
[2] Quran Surah al-Hujurat: 13.
[3] Pluralism dalam OED yang terbesar itu ialah:no 4 ialah: The presence or tolerance of a diversity of ethnic or cultural groups within a society or state; (the advocacy of) toleration or acceptance of the coexistence of differing views, values, cultures, etc.
1924 H. KALLEN Culture & Democracy in U.S. 43 Cultural growth is founded upon Cultural Pluralism. Cultural Pluralism is possible only in a democratic society whose institutions encourage individuality in groups, in persons, [and] in temperaments. 1969 Guardian 20 Sept. 4/4 A good deal of discussion at the conference..has been about pluralism as opposed to assimilation. 1976 Times 7 Aug. 14/4 To be in favour of pluralism is to declare that one does not intend to hound or persecute theologians or catechists whose expression of faith differs from your own. 1995 N.Y. Rev. Bks. 19 Oct. 30/1 The institutions and practices of liberalism are likely to open public space to previously repressed and invisible groups, turning a merely theoretical or potential pluralism into an actual on-the-ground pluralism.
 [4] Ayat bermaksud ‘Berilah peringatan kepada mereka tentang hari-hari Allah’, Surah Ibrahim: 5.
[5] Al-Furqan: 32.

--------------------------------------------------------------------------------

Sumber-sumber rujukan antaranya:

1. Abdul Rashid Moten, “Religious Pluralism in Democratic Societies: Challenges and Prospects for Southeast Asia, Europe, and the United States in the New Millennium”. Contemporary Southeast Asia.Journal Volume: 29. Issue: 1. 2007. pp 204 ff,2007 Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS)
2. Brad Stetson ,Pluralism and Particularity in Religious Belief. Praeger Publishers. Westport , CT. 1994
3. Jeannine Hill Fletcher, Article Religious Pluralism in an Era of Globalization: The Making of Modern Religious Identity”. Journal: Theological Studies. Volume: 69. Issue: 2, 2008.pp. 394 ff.
4. J. Gordon Melton, Article: “Religious Pluralism: Problems and Prospects” Journal: Brigham Young University Law Review. Volume: 2001. Issue: 2, 2001.
5. Jung H. Lee, Article: “Problems of Religious Pluralism: a Zen Critique of John Hick’s Ontological Monomorphism” Journal: Philosophy East & West. Volume: 48. Issue: 3. Publication Year: 1998.p. 453+.
6. Lucas Swaine, The Liberal Conscience: Politics and Principle in a World of Religious Pluralism. Columbia University Press. New York . 2006.
7. Michael Jinkins – Christianity, Tolerance, and Pluralism: A Theological Engagement with Isaiah Berlin ‘s Social Theory. Routledge. New York. 2004.
8. Peter G. Danchin – editor, Elizabeth A. Cole – editor, Protecting the Human Rights of Religious Minorities in Eastern Europe . Columbia University Press. New York. 2002.
9. Richard E. Wentz, The Culture of Religious Pluralism , Westview Press, 1998
10. Richard Hughes Seager edit. with the assistance of Foreword by Ronald R. Kidd Diana L. Eck, The Dawn of Religious Pluralism Voices from the World’s Parliament of Religions, 1893, published in Association with The Council for a Parliament of the World’s Religions.
11. S. Wesley Ariarajah, “Kenneth Cracknell, in Good and Generous Faith: Christian Response to Religious Pluralism”. Journal The Ecumenical Review. Volume: 58. Issue: 3-4. 2006. pp 400ff
12. William C. Allen “Stephen Kaplan, Different Paths, Different Summits: A Model for Religious Pluralism”, Journal of Ecumenical Studies. Volume: 41. Issue: 1, 2004. p 102.
13. Harvard Pluralism project:

--------------------------------------------------------------------------------

[*] Rencana ini adalah untuk dibentang di Wacana Pemikiran dan Pembinaan Ummah 2 – Peringkat Kebangsaan, dengan tema “Membenteras Gerakan Pluralisme Agama dan Pemurtadan Ummah,” anjuran bersama Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Allied Coordinating Committee of Islamic NGOs dan Permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan pada hari Selasa 14 Disember 2010, bertempat di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur.