Selasa, 2 Februari 2010

PERSOALAN MEMBACA FATIHAH DI BELAKANG IMAM

بسم الله والصلاة والسلام على رسول الله صلى الله عليه وسلم ، أما بعد

Persoalan ini adalah persoalan Khilaf yang mashyur. Pendapat ulama’ terbahagi kepada 4 pendapat utama:

Pertama: Pendapat Abu Hanifah r.a bahawa ma’mum tidak wajib membaca Al-Fatihah samada dalam sembahyang Sir atau Jahr, inilah yang jelas daripada kata-kata Al-Buhuti Al-Hanbali di dalam Kitab Muntaha Al-Iradat (ms 248 / jld 1). Al-Buhuti membawakan dalil-dalil berikut untuk menyokong pendapat ini:

1-Imam memikul bacaan Al-Fatihah ma’mum maka sah sembahyang ma’mum tanpa membaca Al-Fatihah sebagaimana firman Allah Taa’la:

(وإذا قرئ القرآن فاستمعوا له وأنصتوا)

Maksud: Apabila dibacakan Al-Quran maka dengarlah bacaan tersebut dan diam.


2- Hadis Abu Hurairah secara marfu’:

(إنما جعل الإمام ليؤتم به ، فإذا كبر فكبروا ، وإذا قرأ فأنصتوا)

Maksud: Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti, jika dia bertakbir maka bertakbirlah, dan jika dia membaca (bacaan Al-Quran) maka diamlah.


Diriwayatkan oleh yg lima (daripada Sunan Sittah) kecuali Tirmizi dan disohihkan Imam Ahmad melalui riwayat Al-Asram. Jika Bacaan diwajibkan ke atas ma’mum secara keseluruhannya sudah pasti tidak diwajibkan meninggalkan bacaan untuk tujuan mendengar yang hanya sunat.


3- Dan hadis (من كان له إمام فقراءة الإمام له قراءة)

Maksud: Sesiapa yang mempunyai Imam maka bacaan Imam adalah bacaannya.
Diriwayatkan oleh Said & Ahmad di dalam Masail anaknya dan Daruqutni. Buhuti menyebut diakhir hadis ini seperti berikut: وهو إن كان مرسلا ، فهو عندنا حجة (Jika hadis ini mursal maka ia adalah hujah di sisi kami)

Berdasarkan kepada dalil pertama iaitu ayat Al-Quran tersebut Al-Buhuti berpendapat tidak dilarang bacaan ma’mum ketika diamnya Imam. Itulah yang disokongnya selepas itu beliau menyebut:

وسن لمأموم أيضا أن يقرأ الفاتحة وسورة حيث شرعت السورة في سكتاته


Maksud: Dan disunatkan untuk ma’mum membaca Al-Fatihah dan surah-surah lain ketika diamnya imam. Begitu juga Hadis Abu Hurairah yang difahaminya tidak melarang ma’mum membaca Al-Fatihah ketika diamnya Imam. Ini kerana dikaitkan diam tersebut dengan bacaan Imam maka tidak ada halangan bagi ma’mum membaca setelah bacaan Imam selesai. Manakala pendalilannya dengan hadis (من كان له إمام فقراءة الإمام له قراءة ) telah diakuinya sendiri bahawa hadis tersebut Mursal, Mursal adalah Hadis Daif. Inilah Hadis yang paling kuat bagi mereka yang berpegang kepada pendapat yang tidak diwajibkan membaca Al-Fatihah bagi ma’mum. Hadis ini bertentangan dengan hadis yang lebih kuat riwayat Ubadah Bin Somit ra secara marfu’ iaitu:

(لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب)
Maksud: Tidak (sah) solat orang yang tidak membaca Al-Fatihah.

Kata-kata Al-Buhuti bahawa وهو إن كان مرسلا ، فهو عندنا حجة bukanlah mutlak kerana ulama’-ulama’ mazhab Hanbali menetapkan bahawa Hadis daif didahulukan daripada pendapat individu jika tidak ada dalil lain dalam bab tersebut. Tetapi dalam masalah ini hadis tersebut bercanggah dengan hadis yang lebih kuat daripadanya. Maka hadis yang lemah tidak terpakai. Pengkajian secara mendalam mendapati bahawa apa yang dimaksudkan oleh Imam Ahmad dengan Hadis Daif yang didahulukan daripada pendapat individu adalah hadis Hassan di sisi istilah Mutaakhirin. Maka Hadis Mursal bukan Hassan kecuali ada penguatnya, tetapi hadis ini tidak ada penguatnya.

Kedua: Pendapat Malik ra ialah ma’mum membaca bersama Imam jika imam membaca secara Sirr, dan tidak membaca bersamanya jika imam membaca secara Jahr. Itulah pendapat ulama’ mazhab Maliki dalam masalah diam yang berubah-ubah dan didalam masalah diam secara tidak berubah atau ma’mum tidak dapat mendengar bacaan imam maka wajib ma’mum membaca Al-Fatihah.

Ketiga: Pendapat Imam Ahmad ra. Pendapat ini menyerupai pendapat Imam Malik kecuali dari segi pelaksanaan iaitu diwajibkan membaca jika ma’mum tidak mendengar bacaan imam dan tidak diwajibkan jika dia mendengar bacaan imam. Maka hukumnya bergantung kepada pendengaran.

Keempat: Pendapat Syafie ra iaitu wajib secara mutlak ma’mum membaca Al-Fatihah samada dalam solat Sirr atau Jahr. Pendapat inilah yang dipilih oleh Imam Bukhari. Imam Tirmizi menyebut berkenaan masalah ini seperti berikut:

 
العمل على هذا الحديث (أي حديث عبادة المتقدم) ، عند أكثر أهل العلم من

أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم والتابعين ، وهو قول مالك بن أنس وابن

المبارك والشافعي ، وأحمد ، وإسحاق يرون القراءة خلف الإمام
Maksud: Beramal dengan hadis ini (hadis Ubadah yg telah dinyatakan sebelum ini) di sisi ahli ilmu daripada Sahabat Nabi saw dan tabien. Ini juga pendapat Malik bin Anas, Ibn Mubarak, Syafie, Ahmad dan Ishaq bahawa wajib membaca Al-Fatihah di belakang imam.

Inilah kata-kata Imam Tirmizi yang menarik dalam masalah ini sebagaimana yg diungkapkan oleh Syeikh A’dil Bin Yusuf Ghazazi hafizullah dalam Kitab Tamamul Minnah fi Fiqhul Kitab wa Sunnah:
أن هؤلاء الأئمة كلهم يرون القراءة خلف الإمام إما في جميع الصلوات ، أو في الصلاة
السرية فقط ، وإما على سبيل الوجوب أو على سبيل الاستحباب ، كتاب الصلاة (1/115
Maksud: Sesungguhnya kesemua Imam-Imam berpendapat bahawa bacaan di belakang imam samada pada kesemua Solat atau pada Solat secara Sirr sahaja adalah wajib atau sunnah. Kitab Solat ms 115/ jld 1.

Itulah pendapat yang dipilih oleh Khatabi, Baihaqi dan Nawawi dari kalangan Syafiiyyah. Berkata Imam Nawawi:
 
والذي عليه جمهور المسلمين القراءة خلف الإمام في السرية والجهرية
Jumhur Umat Islam berpendapat wajib membaca Al-Fatihah di belakang imam samada pada solat Sirr atau Jahr.

Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Ibn Hazm dan mereka dari kalangan mazhab Zahiri. Ulama’ dari kalangan mutakhhirin yang memilih pendapat ini adalah Syed Sabiq dalam Fiqh Sunnah (ms 95-96 / jld 1). Dia membawakan 7 dalil yang menyokong pendapat ini iaitu:
1- Hadis Ubadah Bin Somit (لا صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب)
2- Hadis Abu Hurairah secara marfu’
من صلى صلاة لم يقرأ فيها بأم القرآن ، وفي رواية : بفاتحة
الكتاب ، فهي خداج هي خداج غير تمام
3- (لا تجزئ صلاة لا يقرأ فيها بفاتحة الكتاب) diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah, Ibnu Hibban dan Abu Hatim
4- (لا تجزئ صلاة لمن لم يقرأ بفاتحة الكتاب) diriwayatkan oleh Daruqutni dan disohihkannya
5- Hadis Said Bin Khudri ra secara marfu’ أمرنا أن نقرأ بفاتحة الكتاب وما تيسر
6- Hadis Orang yg buruk Solatnya (حديث المسيء صلاته):
(ثم اقرأ بأم القرآن) ، إلى أن قال له : (ثم افعل ذلك في كل ركعة)
7- Telah sabit daripada hadis-hadis yg sohih bahawa Rasulullah membaca Al-Fatihah pada setiap rakaat daripada rakaat-rakaat solat fardhu dan sunat. Sebaliknya tidak sabit rasulullah meninggalkan bacaan Al-Fatihah. Asas dalam Ibadah adalah Ittiba’.Rasulullah saw ada bersabda (صلوا كما رأيتموني أصلي) yg nermaksud solatlah kamu sebagaimana aku solat-riwayat Bukhari.

Syeikh Ibn Baz, Syeikh Al-Uthaimin dan Syeikh Muhammad Al-Syanqiti juga memilih pendapat ini. Syeikh Muhammad Al-Syanqiti berdalilkan kepada Hadis Abu Hurarirah iaitu (من صلى صلاة لم يقرأ فيها بأم القرآن ، وفي رواية : بفاتحة الكتاب فهي خداج هي خداج غير تمام
dan juga hadis (لعلكم تقرؤون خلف إمامكم ؟ ، قالوا : نعم ، قال : لا تفعلوا إلا بأم القرآن
فإنه لا صلاة لمن لم يقرأ بها). Hadis ini menjadi dalil yang jelas menolak pandangan bahawa wajib mendengar bacaan imam secara mutlak. Syeikh Muhammad Amin Syanqiti ada membincangkan dalil yang bertentangan tentang hadis (من كان له إمام فقراءة الإمام له قراءة) kata Syeikh:
“Sesungguhnya dakwaan bahawa hadis ini telah dimansukhkan dengan hadis-hadis yang mewajibkan bacaan Al-Fatihah di belakang imam adalah dakwaan yang tiada dalil. Tiada dalil yang menunjukkannya adalah kemudian daripada hadis ini. (Akan tetapi) sesungguhnya hadis ini adalah daif kerana ianya mursal. Tidak dapat diperkuatkan untuk berhadapan dengan hadis yg berlawanan. Cukuplah bagi kamu Imam Bukhari ra mendaifkannya dan dinaqalkan oleh Ibnu Hajar tentang kesepakatan pada daifnya sebagaimana yg dikatakan oleh Syeikh Abdullah Saad ketika mensyarahkan kitab Tamyiz karangan Imam Muslim. (Jika kita terima hadis ini) Yg dimaksudkan dengan قراءة ialah bacaan imam selepas Al-Fatihah. Maka bacaan imam selepas Al-Fatihah diterima sebagai bacaan ma’mum selepas Al-Fatihah. Pemahaman ini disokong oleh hadis Rasulullah saw (ما لي أنازعها) tidak aku meninggalkannya, iaitu bacaan Surah Al-A’la yang dibaca selepas surah Al-Fatihah.”
 
Imam Bukhari dan Imam Baihaqi ada menulis risalah berhubung persoalan ini yang menyokong pendapat yang mewajibkan bacaan ma'mum di belakang imam.



Diterjemah & diolah secara terpilih daripada http://www.almeshkat.net/vb/showthread.php?t=37609



Tiada ulasan: