Rabu, 19 Mei 2010

SOALAN BERKENAAN SUNNAH & KEBIASAAN, DIJAWAP OLEH DR. ABDULLAH BIN BAYYAH

Saya mempunyai soalan berkenaan beberapa tabiat Nabi saw seperti memakai celak pada mata, membiarkan rambut panjang atau memakan tharīd (bubur). Adakah ini adalah kebiasaan Nabi saw yang ia sukai atau ia adalah satu perbuatan ibadah yang akan memberi pahala kepada kita apabila kita lakukan?

Jawapan oleh Dr. Abdullāh bin Bayyah

Sesetengah ulama’ berpendapat perbuatan ini adalah tabiat nabi saw, manakala sekumpulan yang lain berpendapat cara melaksanakan (dan bukan perbuatan itu sendiri) adalah ibadah. Ini bermakna menggunakan celak (kuhul) atau memakan makanan tertentu dengan cara sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah adalah apa yang diiktiraf sebagai perundangan Islam.

Ini disebut oleh penulis Murāqī al-Su’ōd yang berkata:

والفعل المركوز في الجبلة…

كالأكل والشرب فليس ملة

من غير نفي الوصف

“Perbuatan yang berkaitan dengan kebiasaan

Seperti makan dan minum bukanlah daripada agama

Tanpa menafikan sifat (cara pelaksanaan perbuatan tersebut)…”

Bermaksud, perbuatan Rasulullah yang berkaitan tabiatnya yang biasa adalah bukan sebahagian daripada perundangan Islam. Walau bagaimanapun, jika seseorang hendak memakai celak kepada matanya, kami menggalakkan beliau mengikut cara Rasulullah menggunakan celak pada mata baginda – dengan memulakan dengan mata kanan dan kemudiannya dengan mata kiri, kerana mengikut cara Nabi adalah perbuatan yang digalakkan.

Ulama’ berbeza pendapat berkenaan sebahagian perbuatan nabi samada ianya adalah perbuatan ibadah atau tabiat Rasulullah. Sebagai contoh, baginda melaksanakan haji ketika menunggang unta, dan berbaring sebelum solat subuh selepas solat 2 rakaat sunat fajar- Imam Ahmad berpendapat itu adalah sunnah, Imam Malik pula berpendapat ia adalah tabiat Rasulullah.

Ini dinyatakan di dalam Murāqī al-Su’ōd di mana pengarang berkata:

والحج راكباً عليه يجري

كضجعة بعد صلاة الفجر

“(seperti) baginda melaksanakan haji ketika menunggang

seperti baginda berbaring pada bahagian lambung selepas solat sunnah fajar”

Ini adalah isu yang remeh, sesiapa yang hendak mengikut perbuatan Rasulullah, maka itu adalah bagus, sesiapa yang memilih untuk tidak melaksanakannya, tidak ada kesalahan ke atasnya.

Dr. Abdullāh bin Bayyah (God’s protection be with him)

Dr. Abdullah Bin Mahfudh ibn Bayyah (lahir 1935) di Mauritania. Beliau adalah ualama’ bermazhab Maliki. Sekarang mengajar di Universiti King Abdul Aziz, Arab Saudi. Beliau belajar undang-undang di Tunis. Beliau pernah dilantik menjadi Menteri Pendidikan dan kemudiannya Menteri Keadilan di Mauritania. Beliau juga pernah dilantik sebagai Naib Presiden Mauritania.

Sekarang beliau terlibat dalam Majlis Fiqh Islam, institut yang berpusat di Saudi. Beliau juga ahli kepada European Council for Fatwa & Research yang berpusat di Dublin, sebuah majlis sekumpulan cendiakawan Islam yang bermatlamat untuk menerangkan perundangan Islam yang sesuai untuk Muslim di Eropah. Beliau tersenarai antara 50 orang Islam berpengaruh oleh The Royal Islamic Strategic Studies Centre pada tahun 2009.

Tiada ulasan: