Jumaat, 14 Mei 2010

Koc Wanita: KTMB Yang Prihatin


Sebagai antara pelanggan tetap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang sentiasa menggunakan komuter sebagai pengangkutan ke tempat kerja, saya sejak dari dulu lagi berharap agar dapat diwujudkan koc yang khusus untuk wanita (atau koc yang khusus untuk lelaki. Tidak kisahlah yang mana satu asalkan wanita dan lelaki tidak berasak-asak pada tempat yang sama). Bukan untuk merendahkan wanita tetapi untuk menjaga maruah wanita dan memberikan keselesaan kepada pengguna komuter. Mana tidaknya, kadang-kadang apabila bersesak-sesak ketika 'waktu puncak' kita pengguna-pengguna lelaki serba salah kerana terpaksa berasak-asak dengan kaum wanita juga dan ketika itu bersentuh-sentuhan sudah tidak dapat dielakkan. Bersentuh-sentuhan tu juga boleh menimbulkan salah sangka kepada wanita. Alhamdulillah dan syabas buat KTMB yang akhirnya  mewujudkan Koc khas untuk wanita untuk perkhidmatan komuternya bermula 28 April 2010 yang lalu. Walaupun mengambil masa yang agak lama untuk mewujudkan koc tersebut tetapi ia tetap dialu-alukan. Bagi yang berpandangan bahawa ia adalah tindakan yang merendahkan-rendahkan wanita serta kolot rasanya pandangan tersebut lebih kepada emosional daripada rasional dan tidak berdasarkan kepada prinsip hak wanita. Walau bagaimanapun keberkesanan koc wanita ni mungkin perlu dipertingkatkan kerana berdasarkan pemerhatian ada lagi lelaki yang memasuki koc wanita. Diharapkan juga wanita turut menggunakan koc yang telah dikhususkan kepada mereka kecuali kalau dah penuh tu barulah mengisi koc lain.


P/S: Harap-harap KTMB pun akan mempertingkatkan mutu perkhidmatan komuter sebab komuter asyik rosak dan lewat dari jadual. Saya sendiri dah beberapa kali terlewat ke pejabat disebabkan komuter dan bila dah ada masalah mesti koc akan penuh dan penumpang akan berasak-asak tanpa mementingkan keselamatan. Ada yang berkata ini mungkin sebab perkhidmatan komuter dimonopoli KTMB, jadi walau bagai mana teruk pun perkhidmatan, orang terpaksa naik komuter KTMB juga sebab tidak ada pilihan. Betul ke? 

Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.
(Surah An-Nur - Ayat 30)



Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. (Surah An-Nur - Ayat 31)


Tiada ulasan: