Jumaat, 14 Mei 2010

PERBANKAN ISLAM, HANYA PADA NAMA?


Dengan rasa penuh hormat dan berterima kasih kepada mereka yang terlibat di dalam kewangan Islam dan perbankan Islam saya menulis tentang perkara ini. Pernah satu ketika terjadi perbualan antara 2 sahabat ini.

S : Kau tahu tak macam mana pinjaman perumahan cara Islam beroperasi?

K : Aku tak tahu, tapi aku sebenarnya tak percaya sangat dengan perbankan islam ni. Sebenarnya sama je dengan konvensional. Cuma nama saje.

Mungkin ramai yang mempunyai pandagan yang sama dengan K, malah saya sendiri setelah berpengalaman berurusan dengan perbankan Islam dalam membuat pinjaman tidak dapat merasakan 'izzah' Islam yang sepatutnya dapat dirasai. Di sini saya titipkan pengalaman untuk perkongsian:

Pengalaman 1

Membuat pinjaman peribadi dengan sebuah bank Islam menggunakan konsep Bai 'Inah. Setelah permohonan diluluskan pelanggan dipanggil untuk menandatangani perjanjian. Ketika sedang membaca perjanjian yang agak tebal juga, pegawai bank berkenaan meminta pelanggan menandatangani sahaja perjanjian tersebut kerana katanya salinan akan diberikan selepas itu. Pelanggan berkenaan tanpa mendapat sebarang penjelasan berhubung kontrak tersebut dan tanpa membacanya, menandatangani kontrak tanpa mengetahui isi kontrak. Selepas selesai proses dokumentasi pelanggan dibawa berjumpa seorang pegawai. Pegawai tersebut memberitahu bahawa kerana ini adalah pinjaman secara Islam maka kena ada akad. Dia ditunjukkan kertas hijau tertulis no.1 dan kertas hijau tertulis no.2, maka pegawai tersebut berkata kertas tersebut diibaratkan matawang Riyal Saudi dan RM. Dia akan membaca akad jualbeli matawang tersebut dan pelanggan hanya perlu setuju sahaja. Prosesnya sekejap sahaja. Tetapi adakah pelanggan bank tersebut dapat faham apakah perbezaan atau kelebihan perbankan Islam berbanding perbankan konvensional. Kalau orang tidak faham, mereka akan nampak apa yang berlaku adalah satu prosedur perbankan Islam yang 'kurang cerdik'.

Pengalaman 2

Seorang pelanggan membuat pinjaman perumahan menggunakan konsep Bai' Inah juga. Walau bagaimanapun pegawai yang dijumpai adalah bukan beragama Islam. Ketika menerangkan tentang pinjaman tersebut perkataan yang sering digunakan ialah 'bunga' dan 'interest'. Pegawai tersebut juga tidak menerangkan apa perbezaan antara pinjaman Islam dan konvensional kecuali hanya memberitahu bahawa 'interest'nya tetap selama 3 tahun pertama dan ada 'ceiling price'. Memberi tangapan bahawa kelebihan lain tidak ada malah sama dengan konvensional.

Manakala di dalam kontrak yang perlu ditandatangani oleh pelanggan terdapat satu 'phrase' yang menyatakan pihak bank yang menawarkan produk Islam tersebut boleh meminda apa-apa syarat di dalam kontrak dengan hanya memaklumkan kepada pelanggan melalui surat. Dalam erti kata lain perjanjian tersebut meyebelahi satu pihak dan menguntungkan pihak yang lebih kuasa. 

Pengalaman 3

Melanggan kad kredit Islam. Setelah borang diisi kemudiannya pelanggan menerima panggilan telefon daripada bank. Pegawai tersebut memaklumkan bahawa kerana kad kredit Islam maka perlu kepada akad. Pelanggan hanya perlu menyatakan setuju sahaja. Akad tersebut dibaca oleh pegawai dengan cepat sehingga tidak jelas kepada pelanggan.


Ketiga-tiga pengalaman ini adalah realiti implementasi kewangan Islam. Mungkin dari sudut teori atau ilmiah produk-produk Islam tersebut telah mematuhi syarat untuk diluluskan oleh Panel Syariah di bank berkenaan tetapi dari segi pelaksanaan di peringkat bawah adakah ia boleh dikatakan Islam. Yang paling penting dan paling utama dalam melaksanakan perbankan @ kewangan Islam ialah pelaksana tersebut perlu terlebih dahulu faham tentang islam dan mempunyai cita-cita untuk melaksanakan Islam. Pelaksana perlu merasakan bahawa kewangan Islam adalah lebih baik dan lebih adil berbanding kewangan konvensional. Jika ini tidak dipenuhi, walaupun produk tersebut dikatakan Islam tetapi keislamannya tidak dirasai malah dianggap sama dengan konvensional. Walaupun matlamat keuntungan tidak dapat dielakkan tetapi perbankan Islam tidak seharusnya meletakkan keuntungan melampau prinsip-prinsip Islam sama seperti Perbankan konvensional. Bagi saya ciri-ciri kewangan Islam yang mengharamkan riba, ghurur dan syubhat adalah untuk tujuan umum berikut:

  1. Melaksana keadilan mengelakkan kezaliman
  2. Membantu dalam melaksanakan kebaikan dan ketaqwaan(ta'awun ala birri wa taqwa)
  3. Menyelesaikan masalah bukan mencipta masalah
  4. Dakwah kepada Islam
Akhir sekali saya berharap institusi kewangan Islam yang menawarkan produk islam dapat membawa imej Islam yang sebenarnya bukan hanya sekadar nama sahaja. terapkanlah semangat Islam kepada pekerja-pekerja dan berilah kefahaman Islam kepada pelanggan anda. Ketahuilah bahawa setiap yang dilaksana akan dipersoal di akhirat nanti.


Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!



Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
(Surah Az-Zalzalah - Ayat 7 & 8) 


Tiada ulasan: