Isnin, 10 Mei 2010

MENGHALALKAN YANG HARAM


Mendengar berita NTV7 pada 7 Mei 2010 yang lalu, terdengar Timbalan Menteri Kewangan Malaysia menyatakan bahawa kemungkinan kerajaan mempertimbangkan memberi lesen bagi aktiviti perjudian bola sepak dunia yang tidak lama lagi akan berlangsung. Antara alasan yang diberikan kalau tidak salah saya ialah  mengelakkan aliran keluar matawang kerana aktiviti perjudian yang dilakukan di luar negara, kerajaan akan mendapat keuntungan cukai daripada aktiviti judi tersebut dan dapat 'regulate'(mengawal) aktiviti perjudian kerana kalau tidak diberikan lesen pun aktiviti itu tetap berlaku tanpa kawalan. Kalau mengikut aliran pandangan sedemikian saya ingin menambah faedah menghalalkan judi iaitu dapat mengurangkan beban kerja pihak berkuasa membanteras aktiviti judi.

Kalaulah boleh bersangka baik terhadap inisiatif tersebut tanpa ingin menghukum, soalan seperti berikut perlu dijawap terlebih dahulu:
1. Mungkin maksud memberikan lesen ialah membenarkan orang bukan Islam untuk terlibat dalam perjudian dan orang Islam tetap dilarang tetapi adakah mampu kerajaan menghalang orang Islam daripada terlibat dalam judi bola sepak?
P/S: Sedangkan judi yang sedia ada masih ada orang Islam yang terlibat, malah berdasarkan pengalaman saya di Negeri Bawah Bayu, ada orang Islam yang bercerita kepada saya pengalamannya membeli Toto.   

2. Adakah judi itu baik dari sudut mana-mana agama, mana-mana budaya bangsa atau budaya rakyat Malaysia?
P/S: Dulu pernah timbul isu di mana ada seorang pemimpin yang berbangsa lain mendakwa bahawa judi tidak dapat diharamkan kerana ia sebahagian daripada budaya kaum Cina tetapi 'statement' tersebut dinafikan ramai pemimpin berbangsa cina. Hakikatnya judi tidak pernah menjadi budaya mana-mana bangsa tetapi merupakan satu ketagihan.

3. Jika judi boleh dilesenkan kerana memberikan keuntungan cukai, mudah dikawal dll kenapa pelacuran, pengedaran dadah dll lagi tidak dilesenkan sedangkan mudah untuk dikawal nanti selain turut memberi keuntungan cukai terutama pengedaran dadah?
P/S: Di Afghanistan setahu saya pada satu ketika dahulu eksport utama adalah pokok popi untuk buat dadah tetapi di Malaysia memiliki daun ketum pun satu kesalahan.

4. Adakah kerajaan telah mempertimbangkan faedah & mudarat untuk RAKYAT jika judi bola sepak dibenarkan kerana menurut Abraham Lincoln maksud kerajaan itu ialah "government of the people, by the people, for the people"?
P/S: Bukanlah kerajaan itu "government of the people, by the leaders, for the gambling company".  

Akhir sekali buat renungan kita semua:

“Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia. Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).


P/S= Pandangan saya.

Wallahua'lam.



Tiada ulasan: