Isnin, 3 Mei 2010

AGAMA adalah sebaik-baik Sistem Kepercayaan

Kejadian tembak yang menyebabkan kematian seorang kanak-kanak berusia 15 tahun di Shah Alam baru-baru ini amat menyedihkan ramai pihak bukan setakat keluarga mangsa sahaja. Ia telah menjadi bualan ramai pihak berkenaan kejadian tersebut. Ada yang menyalahkan pihak polis dan ada yang merasionalkan tindakan tersebut. Ada yang geram dengan pihak polis dan ada yang simpati. Ada yang mahukan anggota polis yang terlibat didakwa dan ada yang kesiankan keadaan anggota polis berkenaan. Tak terkecuali membincangkan insiden tersebut adalah kami di pejabat di Menara Tun Razak. Tapi apa yang ingin saya catatkan di sini adalah secebis daripada perbualan kami tersebut iaitu berkenaan pengambilan anggota penguatkuasa untuk menggelakkan insiden seperti itu atau insiden lain yang tidak disukai berulang.

Antara yang dilontarkan adalah pengambilan anggota penguatkuasa bukanlah setakat yang berbadan sasa atau berketinggian melebihi 6 kaki atau sebagainya. Sebaliknya aspek yang perlu dipentingkan juga adalah agamanya. Di dalam perbualan tersebut, sahabat yang berlainan bangsa mengatakan bahawa semasa 'interview' perkara tersebut boleh ditunjukkan (dibuat-buat) atau boleh dijawap bila ditanya. Malah katanya lagi seolah-olah tidak bersetuju dengan idea tersebut, ada yang ditangkap sebab rasuah melaksanakan sembahayang tiap-tiap hari dan ada pesalah yang memakai kopiah ketika dibawa ke mahkamah. Tegasnya yang penting bagi beliau adalah 'kesedaran diri sendiri' @ 'self-concioussness' setiap orang kerana sahabat itu sendiri mengaku tidak percaya kepada mana-mana agama. Ditambahnya lagi ada di kalangan yang menerima rasuah menggunakan wang rasuah tersebut untuk membayar hutang atau zakat dan tidak digunakan untuk memberi makan kepada anak isteri kerana mereka percaya wang tersebut haram.

Walau pun saya sedikit bersetuju dengan pandangannya tetapi banyak yang kami berbeza pandangan. Malangnya disebabkan perbualan tersebut adalah santai dan sekejap sahaja, tidak dapat saya jelaskan kepada beliau kenapa agama itu penting (kelemahan diri sendiri dari segi ilmu dan komunikasi turut menjadi punca). Moga-moga Allah mengampuni kelemahan diri ini. Jawapan saya kepada hujahnya semasa perbualan tersebut adalah mereka yang ditangkap kerana rasuah tersebut adalah hipokrit dan bukan beragama sebagaimana yang diperintahkan oleh agama. Mereka sembahyang bukan kerana tuntutan agama sebaliknya untuk menunjuk-nunjuk dan yang berfahaman bahawa wang rasuah haram dimakan tapi boleh digunakan untuk perkara lain adalah salah faham. Sebelum menamatkan perbualan kami, sahabat tersebut sempat membalas kata-kata saya tersebut dengan katanya orang tersebut bukan salah faham tapi memang dia nak faham macam tu.

Jika saya mampu untuk menerangkan kepadanya dengan lebih lanjut inilah apa yang akan saya katakan:


"Saya bersetuju dengan anda berkenaan pentingnya setiap orang mempunyai 'kesedaran diri sendiri' untuk mengelakkan daripada terlibat dengan perkara yang tidak baik atau melanggar undang-undang tetapi dari mana timbul kesedaran diri tersebut. Saya percaya kesedaran diri hanya timbul apabila individu mempunyai 'system of belief' atau 'sistem kepercayaan'. Agama adalah merupakan satu sistem kepercayaan atau di dalam Bahasa Arab dinamakan dengan 'Iman'. Ta'rifan mudah bagi Iman adalah 'membenarkan dengan hati, melafazkan dnegan lidah dan mengamalkan dengan anggota badan;. Justeru itu orang yang beragama adalah mereka yang percaya dengan sebenar-benarnya dengan sepenuh hati sehingga sanggup mati kerana kepercayaan tersebut. Setelah itu kepercayaan tersebut menimbulkan kesedaran diri dalam membuat pertimbangan dalam sesuatu perkara sehingga apa yang diucapkan dan dilaksanakan adalah selaras dengan perintah yang telah ditetapkan oleh agama. Kerana kepercayaan inilah lahirnya tokoh-tokoh hebat yang sanggup mati kerana agama. Di dalam sejarah Islam muncul Khalifah Al-Rasyidun, Sahabat Rasulullah seperti Bilal dan Slaman Al-Farisi, Ulama' seperti Ibnu Taimiyyah dan pejuang serta pemimpim seperti Umar Abdul Aziz dan Salahuddin Al-Ayyubi, sekadar menyebut contoh.

Orang yang percaya bahawa rasuah itu haram diambil sebagaimana diriwayatkan di dalam Sunan Tirmizi (لَعَنَ رسول اللَّهِ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ في الْحُكْمِ ) Rasulullah melaknat pemberi dan penerima rausah dalam menetapkan hukum, sesekali tidak akan mengambil rasuah walaupun bukan untuk tujuan makan minum kerana dalil-dalil dari Al-Quran dan Hadis menunjukkan bahawa dosa dan azab pasti akan dikenakan kepada penerima dan pemberi rasuah dan bukan hanya kerana menggunakan wang rasuah untuk membeli makanan. Agama bukan bermaksud memakai kopiah atau setakat sembahyang lima waktu sehari semalam. Bersembahyang adalah sebahagian daripada perintah agama Islam yang menekankan aspek spiritual. Tetapi sebelum bersembahyang Islam menekankan kepada keikhlasan niat dalam melaksanakan sembahyang.

Jadi bagaimana orang yang tidak percaya kepada agama ada yang lebih baik daripada orang yang dikatakan beragama? Bagi saya orang yang tidak percaya kepada agama tidak semestinya mereka tidak mempunyai sistem kepercayaan. Sebenarnya mereka mempunyai sistem kepercayaan berasaskan undang-undang, prinsip-prinsip kemanusian yang bertulis atau tidak, adat kebiasaan dan juga idea. Inilah agama @ isme bagi mereka. Sistem kepercayaan inilah yang menjadi panduan dan pengawal kehidupan mereka. Oleh itu kita melihat bahawa ada yang sanggup berjuang sampai mati kerana memperjuangkan prinsip keadilan, hak asasi manusia, hak wanita, kebebasan dan sebagainya. Ini semua telah direkodkan oleh sejarah. Tetapi isme, undang-undang dll boleh berubah dan berbeza berdasarkan persekitaran dan individu. Karl Marx sanggup mati dan sanggup mematikan orang lain semata-mata mempertahankan dan memperjuang idea komunisme kerana baginya komunisme akan membawa kebaikan kepada dunia ini.

Oleh itu, kita memerlukan satu garis panduan, GPRS dan pengawal diri yang sama untuk setiap manusia dan itulah agama kerana agama adalah sesuatu yang telah ditetapkan sejak dahulu kala dan secara dasarnya tidak berubah. Selain itu agama menekankan kepada pengawalan kerohanian. Orang yang beragama (beragama dengan sebenar-benarnya seperti yang diterangkan di atas dan bukan berpura-pura beragama) bukan sekadar takut untuk melakukan maksiat di depan orang ramai malah di tempat yang tersembunyi juga, bukan sekadar takut untuk membuat maksiat ketika senang tetapi semasa susah dan kesempitan juga, bukan sekadar takut membuat maksiat kerana undang-undnag tetapi kerana azab yang ditetapkan oleh tuhan juga kerana kepercayaannnya kepada agama dan pengawasan daripada tuhan. Oleh itu orang yang mempunyai kepercayaan agama (sekali lagi ditekankan bahawa kepercayaan yang sebenar-benarnya sebagaimana yang telah diterangkan) mempunyai 2 kali ganda perisai berbanding orang yang tidak percaya kepada agama. Orang yang hanya bersandarkan kepada kesedaran diri belum tahu keadaannya bila diuji selain sukarnya untuk menimbulkan kesedaran diri setiap manusia terutamanya ketika keadaan di mana sistem keadilan yang ditadbir manusia sudah tidak dapat dipercayai. Pada ketika itu agamalah penyelamat dan agama yang benar adalah Islam. Wallahua'lam.'

Walaupun saya tidak bersetuju dengan sahabat tersebut tetapi saya faham kenapa beliau boleh mempunyai salah faham terhadap agama. Ini semua adalah disebabkan oleh penganut agama tersebut sendiri dan dari contoh yang diberikan adalah penganut agama Islam. Benarlah kata Syed Jamalluddin al-Afghani ' Islam itu terhijab oleh Umat Islam'. Moga-moga Allah memberi hidayah Islam kepada sahabat saya ini.


Tiada ulasan: