Khamis, 20 Mei 2010

Niat & Ber'blog'

Setelah beberapa hari menulis di dalam blog ini, saya baru terfikir apa matlamat atau niat sebenar saya ber'blog'. Ini timbul kerana saya merasakan bahawa blog saya ni agak caca merba dan tidak ada hala tuju. Adakah saya ber'blog' semata-mata mengikut tren semasa atau untuk meluahkan perasaan yang terbuku di hati. Kerana niatlah sudah banyak blog yang dibuka atas nama saya terhenti di tengah jalan sahaja. Ada antaranya yang dibuka semasa saya masih belajar di Universiti Malaya, kalau di'google' masih boleh di jumpai. Sememang isu niat ini amat dititikberatkan oleh Islam. Benarlah apa yang dinyatakan oleh Rasulullah di dalam Hadis baginda yang banyak dicatatkan di permulaan Kitab-kitab hadis dan buku-buka feqh  iaitu Hadis daripada Umar memberi peringatan kepada kita berkenaan pentingnya kita mempunyai matlamat yang jelas apabila melaksanakan sesuatu perkara. Niat atau matlamat yang telah di'set'kan pada permulaan sesuatu amalan akan membawa amalan kita sampai kepada destinasi yang dituju.   

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu.- Muttafaq alaihi
Oleh itu saya cuba melayari beberapa blog tempatan yang ada di laman maya. Ada yang menarik minat saya antaranya adalah blog anak kepada Tok Guru Nik Aziz iaitu Ustz Nik Abduh. Dengan penulisan yang nampak jujur tetapi bahasanya yang cantik menampakkan keikhlasan penulis blog tersebut. Blog Nik Abduh lebih bermatlamatkan menyatakan pendapat beliau berkenaan isu-isu semasa berpandukan kepada Islam. Terdapat juga tazkirah yang diberikan. Sebelum itu ada juga blog-blog yang telah saya minati antaranya blog saifulislam. Metod blog saifulislam ialah motivasi islam berdasarkan pengalaman peribadi penulis. Blog ini agak menarik kerana susunan bahasa yang indah dan penulis berjaya menyampaikan mesej dengan jelas dan tidak memberatkan pemikiran pembaca.

Blog Dr.Maza pula lebih kepada penghujahan hukum-hakam Islam dan soaljawab berkenaan agama. Artikel-artikel yang dimuatkan agak padat dengan fakta dan dinyatakan secara tegas. Blog Che Det pula adalah luahan pendapat berkenaan isu-isu yang menyentuh pentadbiran & pemerintahan dari sudut pengalaman bekas Perdana Menteri. Dengan mengekalkan gaya sinikal beliau, Dr.Mahathir berjaya menarik minat pembaca dengan pendedahan secara ringan berkenaan sesuatu isu.

Ada juga blog yang lebih kepada luahan & ekspresi perasaan penulis blog. Tetapi saya tidak faham apakah matlamat sebenar penulis-penulis blog sebegini. Adakah mereka tidak ada tempat untuk berbual atau meluahkan perasaan sehingga terpaksa menulis kisah peribadi di dalam alam maya yang seterusnya boleh diakses oleh jutaan orang seluruh dunia, atau adakah mereka sememangnya mahu semua manusia tahu perasaan mereka & kewujudan mereka. Kadang-kadang blog sebegini dimuatkan gambar 'personal' yang tidak sepatutnya ditunjukkan kepada orang ramai. Suka saya ingatkan kepada diri saya dan kita semua agar bertanggungjawab dalam memuatkan 'posting' di alam maya. Walau pun dengan mudahnya sekadar menekan papan kekunci di depan komputer sudah boleh memaparkan 'posting' kita kepada seluruh dunia tetapi setiap perkara yang di tulis & dimuat naik akan ada perkiraan dosa & pahala di sisi Allah dan ada perkiraan salah dan betul di sisi undang-undang. 

Ada juga blog yang berbentuk politik yang membuat pendedahan, fitnah, merapu dan memaki golongan lain yang bukan dari kelompok mereka. Termasuk di kalangan blog ini adalah blog politik yang berasaskan agama.

Kadang-kadang dalam menjalani kehidupan sehari-sehari banyak perkara yang kita lihat, dengar dan rasa menyebabkan kita berfikir bahawa apa yang kita lihat, dengar atau rasa itu tidak sepatutnya begitu. Malah apa yang kita lihat, dengar dan rasa itu bertentangan dengan agama tetapi akibat kedaifan diri, tidak bnayak yang dapat kita laksanakan untuk mengubahnya. Sedangkan Rasulullah telah memberi peringatan kepada kita dalam Hadis baginda;

Dari Abi Said Al-Khudri r.a, katanya : ” Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : ” Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya ( kuasanya ). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahnya dengan lidahnya ( nasihatnya ). Sekiranya ia tiada berkuasa maka hendaklah ia mengubahkannya dengan hatinya ( tidak meredhai perbuatan tersebut ). Dan yang demikian adalah selemah-lemah iman.- Riwayat Muslim




Kini saya jelas bahawa tujuan saya berblog ni adalah memenuhi tuntutan tanggungjawab saya sebagai Da'ie.Sebagaimana perintah Rasulullah kepada saya dan juga kita semua agar menyampaikan apa yang kita terima daripada Rasulullah kepada orang lain. Hendak berdakwah dengan lisan, amatlah daif diri ini dalam berbahasa, hendak berdakwah dengan pena di alam haqiqi, siapalah yang sanggup menerima tulisan yang tak seberapa ini. Maka alam maya adalah pilihan terbaik untuk saya berdakwah dengan cara saya sendiri dan Insyaallah dengan panduan Al-Quran & As-Sunnah. Maka penulisan di blog ini akan diisi dengan pendapat penulis berkenaan isu semasa bersandarkan kepada Islam dan terjemahan kepada beberapa artikel daripada bahasa Arab & Inggeris. Dengan cara ini juga menambahkan ilmu saya kerana saya perlu meluaskan dan membanyakkan pembacaan agar blog ni dapat di'update' selalu. Samada ada yang melayari blog ini atau tidak, diserahkan kepada Allah s.w.t. Halangan saya dalam meng'update' blog ini adalah sifat malas. Moga-moga Allah membantu saya. 

Ya, Allah jadikanlah apa yang aku lakukan ini menjadi simpanan yang membawa kebaikan kepadaku di akhirat nanti. Amin ya rabbalalamin.

  


Tiada ulasan: