Isnin, 1 April 2024

Meluruskan Pemahaman Hak Asasi Manusia

Isu hak asasi manusia acuan tempatan dan hak asasi manusia acuan barat seringkali dipolemikkan.

Polemik ini tidak membawa sebarang keuntungan dari segi praktikal terutama kepada golongan rentan yang mana hak asasi manusia mereka dinafikan.

Dalam satu temubual portal berita baru-baru ini, Pengerusi Suhakam, Rahmat Mohamad, menyatakan Suhakam di bawahnya membawa hak asasi manusia konteks tempatan dan bukan sejagat.

Peliknya, dalam masa yang sama Rahmat mengakui kegagalan menerangkan apakah yang dimaksudkan dengan hak asasi manusia konteks tempatan.

Kecelaruan ini timbul mungkin disebabkan kurang pengetahuan berkaitan sejarah perkembangan hak asasi manusia moden dan peranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Tiada pertikaian pada istilah

Walaupun istilah hak asasi manusia tidak dijumpai di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, namun ulama’ Islam dunia, Almarhum Dr. Yusuf Al-Qardawi dalam syarahan beliau berkaitan ‘Hak Asasi Manusia dalam Islam’ menegaskan bahawa ketiadaan istilah hak asasi manusia di dalam Al-Quran dan As-Sunnah tidak bermakna bahawa Islam tidak memberi perhatian tentang hak asasi manusia.

Mengikut beliau, ia seumpama istilah Syariah yang hanya disebut sekali sahaja di dalam Al-Quran dan terma Aqidah yang tiada satu pun di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Ini tidak bermakna Islam tidak mementingkan Syariah dan Aqidah kerana yang utama kandungan Syariah dan Aqidah adalah berdasarkan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Begitu jugalah hak asasi manusia yang merangkumi ajaran Islam berkaitan kemuliaan insan, keadilan, kesaksamaan dan tiada diskriminasi. 

Kaedah yang terpakai adalah:

Penilaian adalah kepada kandungan apa yang dinamakan dan bukan pada nama-nama

 

 Sejarah perkembangan hak asasi manusia moden

Terma hak asasi manusia dipopularkan setelah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibentuk pada tahun 1945  ketika mana dunia baru menyaksikan kesan tragedi Perang Dunia Kedua yang dimulakan oleh mereka yang berkuasa (Kerajaan) mengakibatkan kehilangan jutaan nyawa manusia terutama golongan rentan di kalangan wanita, orang kurang upaya dan kanak-kanak serta kesengsaraan manusia disebabkan oleh pelbagai pelanggaran hak asasi manusia.

PBB telah menjadikan pengiktirafan hak asasi manusia sebagai asas utama dalam Piagam PBB di mana kerajaan-kerajaan yang berkumpul di parlimen dunia tersebut menyatakan komitmen: 

“Kami ahli-ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bertekad untuk mengesahkan semula kepercayaan kepada hak asasi manusia, maruah diri dan nilai seseorang manusia, hak saksama lelaki dan wanita dan bangsa-bangsa sama ada yang kecil atau besar”.

Memang ada yang memandang sinis usaha negara yang menang peperangan menubuhkan PBB dan menonjolkan konsep hak asasi manusia.

Ulama’ nusantara, Haji Abdul Malik Karim Amrullah, walaupun mempersoalkan piawaian hak asasi manusia yang dihasilkan PBB tetapi tetap memperakui keikhlasan usaha mereka dengan komentarnya:

“Bagaimana tidakkan ikhlas, padahal betapa pun hebatnya peperangan dan ada yang menang dan ada yang kalah, namun yang menang tetap jadi bara dan yang kalah tetap jadi abu. Berjuta-juta bergelimpangan bangkai di medan perang, namun yang bergelimpang itu adalah manusia belaka, bukan kuda dan bukan burung. Dendam boleh menggelegak sebentar, tetapi sehabis segala dendam, orang akan berfikir, apa ertinya pekerjaan kita ini. Di sinilah sebab timbul segala deklarasi, dan yang kita alami sekarang ialah hak-hak asasi manusia.” - HAMKA, 'Hak Asasi Manusia dalam Islam dan Deklarasi PBB'

Oleh kerana PBB merupakan satu kesatuan pelbagai negara dengan pelbagai kepercayaan serta tradisi, maka hak asasi manusia perlu diberikan piawaian sejagat yang boleh diterima oleh setiap negara.

Justeru, PBB menubuhkan satu jawatankuasa mendraf piawaian tersebut yang diwakili oleh beberapa individu daripada beberapa negara yang mewakili pelbagai benua iaitu China (Dr. Peng-Chun Chan), Lubnan (Dr. Charles Malik), Perancis (Rene Cassin), United Kingdom (Charles Dukes), Chile (Hernan Santa Cruz), Kanada (John P. Humprey), Amerika Syarikat (Eleanor Roosevalt), Kesatuan Republik Sosialis Soviet (Alexandre Bogomolov) dan Australia (William Hodgson).

Draf piawaian tersebut kemudiannya dibentang di Persidangan Agung PBB untuk dibahas dan diundi.

Ia dibahas serta dipinda oleh 56 negara ahli PBB yang ketika itu turut dianggotai oleh negara-negara Islam antaranya Arab Saudi, Afghanistan, Pakistan, Mesir, Syria, Iran dan Iraq sebelum diundi. 

Akhirnya pada 10 December 1948, piawaian tersebut yang dikenali sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat atau UDHR diterimapakai oleh PBB dengan undian majoriti 48 negara menyokong dan tiada yang membantah manakala 8 negara berkecuali.

Negara yang berkecuali adalah 6 negara komunis kerana mereka mendakwa perisytiharan tersebut tidak cukup menyokong hak ekonomi dan sosial serta ia menolak fasisma; Afrika Selatan kerana melindungi sistem Apartheid; dan hanya sebuah negara Islam iaitu Arab Saudi kerana tidak bersetuju dengan Artikel 16 mengenai hak perkahwinan yang saksama dan juga Artikel 18 mengenai hak menukar agama.

Walaupun 8 negara berkenaan berkecuali tetapi mereka turut terlibat dalam proses mendraf dan mengundi cadangan pindaan kepada UDHR.

Harus ditekankan bahawa tidak ada satu pun negara yang mengundi untuk menolak UDHR.

Pada ketika itu tidak timbul berkenaan hak LGBTQ.

Ketika UDHR masih dideraf, Persatuan Antropologi Amerika (AAA) mengeluarkan kenyataan awam pada bulan Jun 1947 menyatakan kebimbangan mereka bahawa piawaian yang akan dihasilkan tersebut akan menjadi produk etnosentrik negara Barat dan Amerika.

Bagi menjawap kebimbangan ini, Pertubuhan Pendidikan, Santifik dan Budaya PBB (UNESCO) ditugaskan untuk mendapatkan pandangan pemikir dan ahli falsafah yang mewakili pelbagai fahaman dari pelbagai latar belakang berkenaan asas kepada penghasilan satu piawaian yang sejagat.

Hasilnya UNESCO menerbitkan laporan ‘Human Rights: Comments and Intrepretations’ yang menjadi respon empirikal kepada kebimbangan AAA dan sekurang-kurangnya menolak dakwaan bahawa UDHR adalah produk langsung etnosentrik.

 

Hak asasi manusia dan kemerdekaan

Penzahiran UDHR ini juga menjadi pemangkin kepada kemerdekaan negara-negara yang masih dijajah kerana salah satu prinsip hak asasi manusia adalah hak untuk menentukan nasib sendiri atau ‘rights to self-determination’.

Malah Artikel 73 Piagam PBB, mengiktiraf  hak negara yang masih dijajah untuk membentuk kerajaan sendiri.

Susulan itu, PBB menerimapakai Perisytiharan Pemberian Kemerdekaan kepada Negara dan Rakyat yang Dijajah pada 14 Disember 1960.

Persekutuan Tanah Melayu antara yang mendapat kemerdekaan melalui rundingan pada 31 Ogos 1957.

Malah ‘kebebasan asasi’ di masukkan sebagai sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan.

Melihat pentingnya peranan PBB, Persekutuan Tanah Melayu memohon dan diterima menjadi ahli PBB tidak sampai sebulan selepas kemerdekaan iaitu pada 17 September 1957.

Daripada 56 buah negara ahli PBB pada tahun 1948, kini PBB mempunyai 193 negara ahli, apabila negara-negara yang dijajah mendapat kemerdekaan masing-masing. 

 

Adakah UDHR produk Barat?

Mereka yang masih terperangkap dalam minda yang dijajah akan memberikan kredit kepada Barat dengan mendakwa bahawa UDHR adalah hasil pemikiran Barat.

Nabi berpesan ‘Hikmah itu adalah barang yang hilang milik orang yang beriman. Di mana kami dapati ia maka ambillah.’

Sejarah membuktikan pelbagai negara Islam dan Timur terlibat secara aktif dalam menghasilkan UDHR.

Bagi mereka yang ingin meneliti perbahasan semasa UDHR dihasilkan boleh merujuk kepada buku The Universal Declaration of Human Rights: Origins, Drafting and Intent oleh Johannes Morsink.

Memang benar tiada ayat Al-Quran dan As-Sunnah yang dipetik di dalam UDHR tetapi yang penting sebagaimana ungkapan Dr. Yusuf Al-Qaradawi adalah kandungan dan matlamat UDHR adalah selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah iaitu memelihara hak golongan rentan daripada dicabuli mereka yang berkuasa. 

UDHR mengandungi 30 Artikel. Artikel 1 dan 2 mengungkapkan prinsip asas kepada hak asasi manusia iaitu ia adalah fitrah (inherent) kepada setiap manusia dan tiada diskriminasi dalam menikmati hak-hak tersebut.

Artikel 3 – 21 menyenaraikan hak sivil dan politik manakala Artikel 22 – 27 menyenaraikan hak ekonomi, sosial dan budaya.

Manakala Artikel 28 – 30 adalah syarat dalam mengeksesais hak-hak tersebut.

Bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak, UDHR juga turut menekankan tentang tanggungjawab individu kepada masyarakat dan sekatan terhadap negara, kumpulan dan individu daripada terlibat dalam sebarang aktiviti atau tindakan yang boleh memusnahkan hak dan kebebasan yang termaktub di bawah UDHR.

Artikel 29 UDHR menyatakan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat dan hak asasi manusia boleh dikenakan sekatan yang munasabah melalui undang-undang setakat untuk menjamin moral, ketenteraman awam dan kebajikan umum.

Artikel 30 UDHR mengasaskan ‘pendekatan maqasidi’ (purposive approach) apabila menetapkan bahawa apa-apa artikel di dalam UDHR tidak boleh difahami untuk membenarkan sebarang aktiviti yang boleh menafikan mana-mana hak yang terdapat dalamnya.

Ringkasnya tiada mana-mana pihak boleh menggunakan hak asasi manusia bagi menafikan hak asasi individu lain.

Konsep hak asasi manusia yang diperkenalkan oleh PBB ini menekankan bahawa Kerajaan/Pemerintah sebagai pemikul tanggungjawab dan individu sebagai pemegang hak.

Ini kerana PBB adalah satu kesatuan yang mengumpulkan pemerintah bagi sesebuah negara dan sejarah membuktikan pelanggaran hak asasi manusia banyak berlaku disebabkan penyalahgunaan kuasa yang ada pada pemerintah atau agen mereka.

Tanggungjawab kerajaan adalah memenuhi, menghormati dan melindungi hak asasi manusia.

Pemahaman ini berterusan sehinggalah pada tahun 90-an timbul kebimbangan tentang operasi syarikat multinasional yang memberi impak kepada hak asasi manusia dan kadangkala lebih berkuasa daripada kerajaan kerana mereka mempunyai kuasa wang yang mendanai parti-parti politik yang membentuk kerajaan.

Atas desakan aktivis hak asasi manusia dan siri konsultasi, akhirnya PBB menerimapakai Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia atau UNGP BHR pada 16 Jun 2011.

Tiga teras UNGP adalah tanggungungjawab Kerajaan untuk melindungi hak asasi manusia, tanggungjawab korporat menghormati hak asasi manusai dan hak mangsa pelanggaran hak asasi manusia kepada remedi.

Jika dibaca secara harmoni, UDHR tidak bertentangan dengan konsep hak asasi manusia yang difahami dalam tradisi atau agama tertentu sebaliknya ia saling melengkapi.

Sebagai sokongan dan pelengkap kepada UDHR, setiap kesatuan sama ada berasaskan geografi atau fahaman yang disertai oleh negara-negara menghasilkan perisytiharan hak asasi manusia masing-masing antaranya Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah  1950, Konvensyen Hak Asasi Manusia Amerika 1969, Piagam Afrika Mengenai Hak Asasi Manusia dan Individu 1981, Perisytiharan Kaherah Mengenai Hak Asasi Manusia dalam Islam 1990 dan Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN 2012.

Perisytiharan Kaherah dalam Bahasa Malaysia dan infografik boleh dimuatturun di laman sesawang Suhakam yang telah diterbitkan sejak 30 Mac 2021 sebelum Rahmat dilantik sebagai Pengerusi Suhakam lagi.

 

Pandangan berkenaan kesejagatan hak asasi manusia

Wacana berkaitan kesejagatan dan kerelatifan budaya hak asasi manusia ini telah dibahas oleh ramai cendiakawan dan pakar.

Pertembungan ini dilebarkan oleh mereka di kalangan ekstrem kanan dan ekstrem kiri dan ia tidak menguntungkan individu di kalangan golongan rentan di mana hak mereka dinafikan.

Prof. Emeritus Shad Saleem Faruqi, pakar perlembagaan, menjelaskan bahawa hak asasi manusia adalah sejagat pada terasnya dan relatif dari segi ranting dan pelaksanaan.

UDHR diterima sebagai prinsip sejagat dan pelaksanaan setiap hak tersebut mengambil kira konteks setempat.

Ini adalah selari dengan Perkara 5 Perisytiharan Vienna dan Program Tindakan yang diterimapakai pada 25 Jun 1993 yang menyatakan:

‘Semua hak asasi manusia adalah sejagat, tidak boleh dibahagikan dan saling bergantungan dan berkaitan. Komuniti antarabangsa hendaklah melayan hak asasi manusia secara global dengan cara yang adil dan saksama, pada asas yang sama dan tumpuan yang sama. Sementara kepentingan khusus nasional dan rantau serta pelbagai latarbelakang sejarah, budaya dan agama perlu diberi perhatian, Negara bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi semua hak asasi manusia dan kebebasan asasi, tidak kira apa sistem politik, ekonomi dan budaya mereka.’  

Prof. Mashood A. Baderin, profesor undang-undang di School of Oriental Study, melalui kajian perbandingan beliau terhadap Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) dan Kovenan Antarabangsa Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (ICESCR) dengan undang-undang Islam mendapati kewujudan asas persamaan yang luas antara undang-undang hak asasi antarabangsa dan undang-undang Islam.

Walaupun wujud sedikit perbezaan, namun pendekatan saling melengkapi melalui ‘margin of appreciation’ dan ‘maqasid shariah’ akan dapat mengatasi perbezaan tersebut. 

Begitu juga Jonathan Brown, professor pengajian Islam di Universiti Georgetown,   melalui buku beliau ‘Slavery dan Islam’ menjawab persoalan kenapa Islam tidak menghapuskan perhambaan serta-mereta sekiranya penghapusan perhambaan itu adalah hak yang sejagat.

Beliau mengemukakan hujahan bahawa terdapat perkara sejagat yang secara intrinsik atau semulajadi dan terdapat sejagat yang berdasarkan budaya.

Sejagat yang semulajadi adalah sesuatu yang diterima sepanjang zaman dan tempat.

Ia ditetapkan oleh agama dan rasional. Dalam isu perhambaan, penganiayaan dan eksploitasi adalah sesuatu yang salah secara sejagat yang intrinsik.

Manakala penghapusan perhambaan yang diterima pada zaman sekarang sebagai hak sejagat adalah hasil bentukan budaya akibat perubahan ekonomi dan sosial semasa.

Penghapusan perhambaan adalah selari dengan Maqasid Shariah.

 

Pendirian Wasatiyyah Suhakam dulu

Sebagaimana ada pihak menghalalkan keganasan ke atas pihak lain dengan mengatasnamakan Islam, hak asasi manusia juga tidak terlepas daripada penyalahgunaan pihak tertentu.

Dalam hal ini, Islam tidak wajar dipersalahkan atas perbuatan yang menyalahi ajaran Islam itu sendiri.

Begitu juga hak asasi manusia tidak seharusnya dihakimi atas tindakan mereka yang menggunakan hak asasi manusia untuk mempromosikan agenda tersembunyi.

Akhir-akhir ini, hak asasi manusia cuba dimomokkan sebagai mempromosi gaya hidup LGBTQ oleh penganjur atau penentang.  

Suhakam juga terpalit dengan tuduhan tersebut.

Suhakam pernah menjawap tohmahan seumpama ini secara tegas dalam kenyataan media pada 22 September 2018 apabila menyatakan bahawa Suhakam tidak menyokong perkahwinan sejenis di Malaysia.

Sebaliknya Suhakam cuba menyelesaikan aduan diskriminasi yang jelas bertentangan dengan Islam dan undang-undang negara.

Walaupun pelbagai program hak asasi manusia dan Islam (rujuk di sini) telah dilaksana, tetapi Suhakam masih ditohmah membawa hak asasi manusia sejagat yang bertentangan dengan Perlembagaan semata-mata kerana menjalankan kajian berkaitan gender ketiga.

Sebenarnya, banyak lagi kajian di universiti-universiti tempatan jika diteliti pasti didakwa liberal dan membawa agenda barat oleh golongan ekstrem kanan.

Contohnya seperti kajian ‘Trangederism in Malaysia(2012) oleh Chang Lee Wei, Azizan Baharuddin, Raihanah Abdullah dan Zuraidah Abdullah daripada Universiti Malaya (UM) serta ‘Gender Change of Transsexuals in Shariah: An Analysis’ (2018) oleh Zahra Sarcheshmehpour, Raihanah Abdullah dan Muhammad Bashir Alkali dari UM juga.

Prof. Dr Raihanah Abdullah adalah mantan ahli Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia (IPHRC), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)  dan Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin ialah mantan Ketua Pengarah Institut Kemajuan Islam Malaysia.

Ini tidak pelik kerana kajian dibuat untuk menyelidiki permasalahan semasa dalam masyarakat.

Sama ada kita bersetuju dengan kajian atau dapatannya adalah perkara yang berbeza.

Sesuatu kajian jika tidak dipersetujui maka hadapilah dengan kajian atau hujahan juga bukan dengan label dan tuduhan.

 

Jauhi Ruwaibidhah dengan 1I 3T

Menerima sifat (alamiyyah) kesejagatan ajaran Islam tidak bermakna hukum feqah di mana-mana tempat adalah seragam tanpa mengambilkira situasi dan adat setempat.  Begitu juga hak asasi manusia.

Menerima kesejagatan hak asasi manusia tidak bermakna menolak peranan agama, sejarah dan budaya setempat kerana UDHR dan Perisytiharan Vienna menyatakan sebaliknya.

Penolakan hak asasi manusia sejagat ini bukan unik di negara kita sahaja.

Di Barat juga melihat penentangan terhadap hak asasi manusia oleh golongan ekstrem kanan di mana berlaku peningkatan xenophobia dan diskriminasi terhadap pelarian serta migran.

Bekas Menteri Kehakiman Israel, Ayelet Shaked, pernah mengatakan pada tahun 2017 bahawa "Zionisma tidak akan tunduk kepada sistem hak individu berdasarkan nilai sejagat" membayangkan penindasan ke atas hak asasi rakyat Palestin akan diteruskan.

Malangnya Suhakam sekarang turut masuk dalam pertikaian hak asasi manusia sejagat lawan acuan tempatan.

Nabi Muhammad s.a.w pernah mengingatkan kita akan ketibaan satu zaman yang penuh dengan penipuan dan manipulasi.

Yang jujur didustakan dan pendusta dibenarkan, yang khianat diberikan amanah manakala yang jujur dikhianati.

Ruwaibidhah pula akan berbicara dan mereka ialah orang bodoh yang menguruskan urusan awam (Ibn Majah, No. 4172)

Dari sudut bahasa arab, Rabidhah merujuk kepada individu lemah dan tenggelam dengan hal keduniaan.

Bagi mendepani situasi ini, Islam telah memberikan panduan melalui Al-Quran di mana kaedah 1I 3T iaitu Iqra’ (pengumpulan maklumat), Tabayyun (pengesahan maklumat) dan Tafakkur serta Taa’qul (analisis kritis) mengelakkan manusia menjadi mangsa penipuan walaupun golongan Ruwaibidhah memakai pelbagai gelaran dan pangkat.

 

Hamka 

Tiada ulasan: