Rabu, 2 Jun 2010

DEMAM & SAKIT ADAT KEHIDUPAN DI DUNIA

Seminggu ni saya agak kurang sihat kerana demam. Bila dah demam 'mood' pun tak de. Badan pun sentiasa letih. Bila difikirkan, lemah betul manusia ni. Bila dah diserang oleh kuman yang begitu halus dan tak dapat dilihat oleh mata kasar pun, sudah jadi begitu teruk. Alangkah lemahnya manusia, walaupun dapat mencipta bangunan setinggi pencakar langit, dapat terbang di atas awan dengan kapalterbang dan sebagainya malah dapat membelah langit sehingga ke angkasa lepas tetapi bila terkena makhluk Allah yang paling halus & kerdil, tak kira orang biasa atau Perdana Menteri pasti terlantar kesakitan. Allahu Akbar. Jadi apalah nak dimegahkan sangat. Alhamdulillah dengan kehendak Allah, setelah makan beberapa ubat keadaan sedikit baik daripada peringkat awal.

Tetapi dalam keadaan demam ni saya terbaca buku yang dikarang oleh Ibnu Abi Dunya (w. 281H) yang bertajuk Al-Marad wa Al-Kaffarat (Penyakit & Penghapus Dosa) terbitan Dar Salafiah dan ditahkik oleh Abdul Wakil Riyad Ahmad An-Nadwi. Apa yang menarik ialah isi buku tersebut yang dimuatkan dengan kata-kata utusan bagi Pencipta penyakit itu sendiri insyaallah memberikan kita ketenangan dan kesabaran ketika menghadapi kesakitan. Di dalam buku tersebut terdapat 262 Hadis Nabi saw dan Atsar Sahabat yang disampaikan oleh Ibnu Abi Dunya melalui sanadnya sendiri berkenaan dengan penyakit sebagai penghapus dosa. Walaupun tidak keseluruhan hadis & atsar yang terdapat di dalam buku tersebut sohih kerana bukanlah matlamat penulis mengumpulkan hadis yang sohih semata-mata, tetapi terdapat pengajaran yang boleh diambil daripada hadis-hadis yang diriwayatkan.

Di samping itu kita perlu berhati-hati apabila ingin menyampaikan hadis-hadis tersebut kepada orang lain agar kita tidak sewenang-wenangnya menyandarkan ucapan yang bukan datang daripada Rasulullah kepada Rasulullah. Alhamdulillah pentahkik buku tersebut telah memberikan jasa yang besar dengan mentahkik setiap hadis yang terdapat di dalam kitab tersebut. Antara yang dapat saya kongsikan ialah:

1. Demam adalah sebenarnya sebagai pelindung orang yang beriman daripada api neraka


Daripada Abu Raihanah, Rasululllah s.a.w bersabda: Demam itu adalah pemelihara daripada kepanasan Jahannam dan ia merupakan bahagian orang yang beriman daripada neraka.
(sanad hadis adalah Hassan dan disohihkan Al-albani)

2. Setiap kesakitan yang dialami oleh orang Islam di dunia ini walaupun sekecil tercucuk duri adalah untuk menghapus kekotoran dosa

Daripada A'isyah: Rasulullah s.a.w. bersabda: Tidak ada musibah yang menimpa seorang muslim melainkan dihapuskan dosa kerana musibah tersebut walaupun sekecil duri yang mencucuknya
(sanad hadis sohih dan rijalnya dipercayai)

3. Jika kita sentiasa istiqamah melakukan kebaikan dan kepatuhan kepada Allah semasa sihat, insyaallah kita akan terus mendapat ganjaran pahala membuat kebaikan tersebut semasa sakit walaupun ketika itu kita tidak mampu melaksanakannya sebagaimana ketika sihat

Daripada Abdullah Bin Amru, Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesungguhnya seorang hamba apabila ia berada di atas jalan kebaikan dalam melakukan ibadat kemudian ia jatuh sakit, dikatakan kepada mailakat yang diwakil mengawasinya: Tulislah untuknya sebagaimana amalannya (semasa sihat) sehingga ia sembuh dari penyakitnya atau ia dikembalikan kepada-Ku.
(sanad hadis hassan dan Haithami menyebut di dalam majma' Az-Zawaid "diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan sanadnya sohih")

4. Seseorang yang ditimpa musibah di dunia sebenarnya mendapat rahmat Allah kerana musibah tersebut adalah sebagai balasan daripada kejahatan yang dilakukan sebagai ganti balasan di akhirat yang semestinya berlipat kali ganda kepedihannya

Ai'isyah berkata kepada Rasulullah: Wahai Raulullah! Sesungguhnya aku mendapat tahu satu ayat yang amat berat di dalam Al-Quran, maka Rasulullah bertanya: Apakah ayat tersebut wahai A'isyah? A'isyah memberitahu: Wahai Rasulullah! ayat tersebut ialah (Sesiapa yang membuat satu kejahatan akan dibalas perbuatannya- Ayat 123 Surah An-Nisaa') Rasulullah bersabda: Balasan tersebut ialah apa yang menimpa seseorang hamba yang beriman walaupun satu bencana yang mengenainya.
(sanad hadis "tidak mengapa") 

5. Setelah kita sedar bahawa setiap kesakitan yang dihadapi adalah sebenarnya menghapus dosa maka tidak seharusnya kita mengutuk penyakit yang dihidapi.

Daripada Jabir Bin Abdullah Rasulullah mendatangi Umm Saib atau Umm Musayyab (syak perawi)- beliau dalam keadaan bergerak-gerak (kerana tidak tenang), Rasulullah bertanya: kenapa kamu bergerak-gerak? beliau menjawap: Aku demam, tidak ada keberkatan Allah pada demam. Rasulullah bersabda (Jangan kamu mencela demam, ia menghilangkan kesalahan anak Adam sebagaimana penempa membersihkan kekotoran besi.
(sanad hadis Hassan)

Akhir sekali Ibnu Abid Dunya membawakan hadis yang turut diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim iaitu:
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda ((Sesengguhnya terdapat seorang lelaki yang tidak pernah membuat kebaikan sedikut pun, dia berkata kepada ahli keluarganya: Apabila aku mati maka bakarlah mayatku lepaskan separuh abuku ke daratan dan separuh ke lautan. Demi Allah jika Allah dapat mengambilku pasti Dia akan mengenakan azab kepada-Ku dengan azab yang amat pedih yang tidak pernah dikenakan kepada sesiapapun. Apabila dia mati maka ahli keluarganya memperbuat sebagaimana yang diminta. Kemudian Allah mengarahkan daratan mengumpulkan abunya ke satu tempat dan mengarahkan laut mengumpulkannya ke satu tempat kemudian dijadikan dia kejadian yang sempurna. Kemudian Allah berkata: Apakah yang mendorong mu membuat sedemikian? Dia menjawap: Takut kepada Mu wahai Tuhanku!!  Maka Allah mengampuni dosanya))

Ulama' membahaskan hadis ini dengan panjang kerana perbuatan yang diperbuat oleh lelaki tersebut bercanggah dengan Islam tetapi lelaki tersebut masih mendapat pengampunan Allah. Ada yang mengatakan bahawa kejadian ini berlaku sebelum Islam dan zaman Fitrah di mana tidak ada Nabi dan Rasul yang diutus.Tetapi pengajaran yang boleh diambil daripada hadis sohih ini ialah keampunan Allah adalah luas. Masuk syurga atau neraka seseorang itu adalah kerana rahmatnya bukan amalan seseorang semata-mata. Tetapi untuk mendapat rahmat Allah kena berusaha dan lelaki tersebut mendapat rahmat Allah kerana perasaan takutnya yang sebenar-benarnya kepada Allah. 

Wallahua'lam.





Tiada ulasan: