Sabtu, 30 Mac 2024

REKOD SUHAKAM MEMBUKTIKAN DAKWAAN LIBERAL DAN MENYEBAR AGENDA BARAT ADALAH PALSU

Isu Saman Sivil

Baru-baru ini timbul kekecohan apabila Pengerusi SUHAKAM, Rahmat Mohamad, telah mengambil tindakan memfailkan saman sivil terhadap pegawai SUHAKAM kerana pegawai tersebut membuat aduan dalaman berkaitan salahgunakuasa dan diskriminasi terhadap beliau. Fakta sebenar berkaitan aduan tersebut tidak kita ketahui kecuali melalui dokumen awam yang diperolehi iaitu ‘kenyataan tuntutan’ yang dibuat oleh Pengerusi SUHAKAM. Masyarakat awam masih belum mendengar daripada pihak yang mengadu kerana ‘kenyataan membela diri’ masih belum difailkan. 

Apabila terdapat kritikan daripada masyarakat madani tentang tindakan tersebut yang dilihat sebagai cubaan menyekat siasatan dijalankan, Rahmat bersetuju menarik semula saman berkenaan dan membuat pelbagai janji yang luarbiasa. Namun apa yang membimbangkan adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh SUHAKAM seperti yang dilaporkan secara meluas oleh media, tidak secara jelas menyatakan siasatan akan dibuat berkenaan aduan rasmi terhadap Pengerusi SUHAKAM sebaliknya siasatan akan dilaksana ke atas segala dakwaan dan aduan yang telah didedahkan kepada media tidak kira melibatkan pesuruhjaya atau pegawai. 

Kenyataan ini seolah-olah membayangkan siasatan bukanlah berkaitan aduan rasmi terhadap Rahmat sebaliknya berasaskan apa yang dilaporkan oleh media termasuklah terhadap pegawai. Dari satu sudut, ia mengandungi unsur ugutan terhadap pegawai yang telah membuat aduan.  Manakala tuntutan masyarakat madani supaya Rahmat mengambil cuti sementara siasatan bebas berkenaan aduan rasmi yang dibuat terhadap beliau dijalankan tidak diendahkan. 

Walau bagaimanapun, ketika saya cuba mencari kenyataan SUHAKAM  tersebut di laman sesawang SUHAKAM, saya tidak dapat menjumpainya sebaliknya SUHAKAM hanya mengeluarkan kenyataan ringkas di sini (https://suhakam.org.my/2023/06/press-statement-no-17-2023_-withdrawal-of-defamation-suit-to-facilitate-independent-investigation-into-allegations-kenyataan-media-suhakam-no-17-2023_-penarikan-balik-saman-fitnah-untuk-membantu-si/). Adakah SUHAKAM telah menarik balik kenyataan yang dibuat terdahulu atau terdapat usaha ‘manouvering’ sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan oleh SUHAKAM. Mungkin SUHAKAM lebih sesuai memberikan penjelasan berkenaan perkara ini. 

Tuduhan liberal dan agenda barat

Isu tersebut tidak terhenti di situ sahaja. Pertubuhan Muslim kemudiannya membuat  pelbagai andaian, spekulasi dan tuduhan berhubung skandal yang berlaku di SUHAKAM. Tuduhan tersebut adalah seperti adanya usaha dalam kalangan puak liberal di SUHAKAM untuk menjatuhkan Rahmat kerana beliau berusaha membawa hak asasi manusia di Malaysia selari dengan Islam dan mewujudkan kerjasama dengan NGO Islam yang mana tidak pernah dilaksana oleh SUHAKAM sebelum ini. Benarkah dakwaan ini? Sehingga sekarang tiada kenyataan dikeluarkan oleh SUHAKAM berkenaan dakwaan ini. Mungkin benar kata Rahmat, SUHAKAM lebih gemar bekerja secara senyap di belakang tabir sekarang ini. Peliknya, bila menyentuh isu Pengerusi SUHAKAM, cepat sahaja kenyataan dikeluarkan.

 

Perlu kita sedar bahawa SUHAKAM telah ditubuhkan sejak tahun 2000. Sepanjang penubuhan SUHAKAM, terdapat ramai tokoh agamawan negara yang disegani masyarakat telah dilantik sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM antaranya adalah Prof Madya Dr Nik Salida Suhaila Nik Salleh dilantik dari tahun 2016-2022; Allahyarham Prof Emeritus Dato’ Dr Mahmood Zuhdi Hj A Majid yang dilantik menjadi pesuruhjaya SUHAKAM dari tahun 2010 – 2016; Allahyarham Datuk Dr.Muhammad Uthman El-Muhammady menjadi pesuruhjaya SUHAKAM dari tahun 2006 – 2008; dan Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob menjadi Pesuruhjaya SUHAKAM dari tahun 2002 – 2010. Pelantikan mereka sebelum ini sebagai Pesuruhjaya SUHAKAM tidak pernah dipertikaikan oleh mana-mana pihak dan tiada pula usaha menjatuhkan mereka. Sekiranya kita menerima tuduhan yang dicanangkan oleh Pertubuhan Muslim tersebut, adakah semua bekas pesuruhjaya SUHAKAM ini adalah tokoh liberal dan menyebarkan agenda barat di Malaysia melalui SUHAKAM sebelum ini? 

Sekiranya budaya ‘Iqra’ diamalkan, sudah pasti ramai yang sedar bahawa tuduhan terhadap SUHAKAM tersebut adalah palsu. Ini kerana SUHAKAM bukanlah institusi yang bergerak secara rahsia. Segala aktiviti SUHAKAM dilaporkan di dalam laporan tahunannya dan kewangan SUHAKAM diaudit oleh Jabatan Audit Negara. Berdasarkan kepada Laporan Tahunan SUHAKAM yang dikeluarkan setiap tahun, terdapat pelbagai program yang melibatkan badan dan tokoh agama Islam serta isu-isu hak asasi manusia yang berkaitan Umat Islam diperjuangkan oleh SUHAKAM. 

Program Hak Asasi Manusia dan Islam

Antara program tersebut adalah Perbincangan Meja Bulat berkaitan ‘Hak Asasi Manusia dan Islam’ pada 20 Mac 2012 anjuran SUHAKAM dan International Institutes of Advanced Islamic Studies (IAIS) Malaysia, ‘Seminar Hak Asasi Manusia dan Islam di Malaysia: Teori, Hakikat Semasa dan Halatuju Masa Depan’ pada 27 – 28 November 2013 anjuran SUHAKAM dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Seminar Kebangsaan Mengenai Islam dan Hak Asasi Manusia pada 27 November 2018 anjuran SUHAKAM dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM); Seminar Masjid Mesra OKU pada 20 Oktober 2018. 

Selain itu SUHAKAM pada tahun 2018, telah terlibat menyediakan 5 teks khutbah Jumaat berkaitan topik hak asasi manusia kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan. Lima teks Khutbah yang telah disediakan oleh SUHAKAM untuk JAWI dan JHEAINS seperti berikut:

 

BIL.

INPUT YANG DIKEMUKAKAN OLEH SUHAKAM

KHUTBAH JUMAAT BERDASARKAN INPUT YANG DIKEMUKAKAN OLEH SUHAKAM

TARIKH KHUTBAH JUMAAT DIBACA

1.

Hak kepada Kesihatan

Khutbah khas memperingati Israk Mikraj – JAWI

13 April 2018

2.

Hak Pelarian

Kemuliaan Membela Golongan Teraniaya – JAWI

6 Julai 2018

3.

Hak Orang Asli

Demi Islam Demi Negara – JAWI

31 Ogos 2018

4.

Hak kepada Pelindungan daripada Seksaan dan Hukuman atau layanan zalim, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah

Hak Perlindungan daripada Kezaliman - JAWI

26 Oktober 2018

5.

Menyantuni Orang Kurang Upaya

Malaysia Harmoni – JAWI

Menyantuni Orang Kurang Upaya - JHEAINS

7 Disember 2018

 

Jika kita menerima logik yang dibawakan oleh kenyataan pertubuhan Muslim tersebut, sudah pasti IAIS Malaysia, IKIM, JAKIM, JAWI, JHEAINS turut berkomplot dengan SUHAKAM untuk mengembangkan agenda barat dan liberal dan khutbah Jumaat yang telah dibaca di masjid-masjid berkenaan menjadi alat penyebaran tersebut. Selain itu, Laporan Tahunan SUHAKAM juga ada melaporkan bahawa SUHAKAM aktif menganjurkan Program Literasi Hak Asasi Manusia untuk Jabatan Agama Islam Negeri untuk memberikan kesedaran berkaitan isu hak asasi manusia kepada pegawai jabatan agama negeri sejak 2017. Adakah jabatan agama Islam negeri juga telah terpengaruh dengan ideologi barat dan liberal SUHAKAM? 

Apabila isu kebakaran sekolah tafiz berlaku pada tahun 2017, SUHAKAM adalah antara institusi terawal menganjurkan siri Bengkel Hak Asasi Manusia dan Hak Kanak-Kanak untuk pentadbir sekolah tahfiz di negeri-negeri. SUHAKAM bukan sekadar mengadakan program kesedaran dan seminar malah turut membawa isu hak asasi manusia yang melibatkan kepentingan umat Islam tersebut kepada Majlis Raja-Raja apabila mengadakan pertemuan dengan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 1 Oktober 2019, bagi mengemukakan tiga isu untuk pertimbangan dan perbincangan Majlis Raja-Raja iaitu isu pendaftaran sekolah tahfiz, perkahwinan bawah umur dan masjid mesra orang kurang upaya. 

Semua program dan libaturus ini dijalankan oleh SUHAKAM sebelum Rahmat dan pasukan pesuruhjayanya dilantik sekarang ini. Justeru, di manakah asasnya dakwaan bahawa SUHAKAM sebelum ini membawa agenda barat dan liberal bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. SUHAKAM sendiri telah menjawab dengan tegas dan jelas terhadap pelbagai tuduhan palsu  pada 14 Januari 2022 (https://suhakam.org.my/ms/2022/01/towards-the-realisation-of-human-rights-for-all/). 

Janganlah kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak, dengan menafikan pelbagai usaha besar yang telah dilaksanakan oleh SUHAKAM selama ini dari aspek Islam dan hak asasi manusia.

Geran EU

Isu geran Kesatuan Eropah (EU) yang diperolehi SUHAKAM juga dipertikaikan. Perlu kita ketahui bahawa Akta SUHAKAM membenarkan SUHAKAM menerima geran daripada pihak luar bagi tujuan pendidikan dan promosi hak asasi manusia. Berdasarkan kepada laporan tahunan SUHAKAM, penerimaan geran daripada EU kali ini adalah bukan untuk kali pertama. Selain daripada geran EU, SUHAKAM melaporkan di dalam laporan tahunan 2018 penerimaan geran daripada Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) untuk untuk menganjurkan tiga forum “Mempromosikan Persefahaman dan Pemakaian Prinsip Panduan PBB mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (UNGP)” di Terengganu, Putrajaya dan Johor masing-masing pada 12, 16 dan 20 Ogos 2018.

Malahan untuk Geran EU yang diterima oleh SUHAKAM pada tahun 2018 telah digunakan untuk mendanai Seminar Kebangsaan Mengenai Islam dan Hak Asasi Manusia pada 27 November 2018 dengan kerjasama JAKIM di Pusat Dagangan Dunia Putra (sekarang dikenali Pusat Dagangan Dunia). Antara ahli panel seminar tersebut ialah Prof. Dato’ Dr. Abdul Monir Yaacob (Universiti Islam Malaysia), Prof. Dr. Mohd Azizudin Mohd Sani (Universiti Utara Malaysia), Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil (sekarang Ketua Pengarah IKIM), YB Prof. Dato’ Dr. Hj Mohd Naim Hj. Mokhtar (sekarang Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Prof. Datin Dr. Raihanah Abdullah (UM) dan Tuan Umar Mukhtar (Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan). 

Geran EU yang sama juga telah digunakan oleh SUHAKAM untuk menjalankan kajian terhadap kesesuaian deklarasi dan triti hak asasi manusia antarabangsa yang utama dengan undang-undang sivil dan syariah di Malaysia. Hasil kajian tersebut dikongsikan oleh SUHAKAM di sini https://suhakam.org.my/ms/publications/international-human-rights-treaties/. Berdasarkan laporan-laporan tersebut, mereka yang dilantik oleh SUHAKAM menjalankan kajian berkenaan adalah seperti berikut:   

 

Kajian dan Analisis Mengenai Keserasian Undang-undang Sivil dan Syariah di Malaysia dengan Triti di bawah

Pengkaji

Kovenan Antarabangsa Mengenai Ekonomi (ICESCR)

A.Shanmuga Kanesalingam,

Sivananthi Thanenthiran

Edmund Bon Tai Soon

Nawmi Naz Chowdhury

Beatrice Chin Yuen Xin

Kee Hui Yee

 

Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR)

Dato’ Aishah Bidin

Shereen Khan

 

Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Semua Orang daripada Kehilangan Paksa (ICPPED)

Prof. Madya Dr Mohd Hisham Mohd Kamal

Dr. Zuraini Ab Hamid

Dr. Mohd Yazid Zul Kepli

 

Konvensyen Antarabangsa Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Ahli Kelaurga Mereka (ICMW)

Prof. Madya Dr Salawati Mat Basir

Dr. Saidatul Nadia Binti Abd Aziz

Prof. Madya Dr. Haniff Ahamat

 

Konvensyen Menentang Penyeksaan , Layanan Kejam, Tidak Berperikemanusiaan dan Menjatuhkan Maruah (UNCAT)

Encik Edmund Bon Tai Soon, AmerBon Advocates

Edmund Bon Tai Soon

Shazeera Zawawi

New Sin Yew

Chin Yuen Xin

Ryan Vong Junying

 

Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum(ICERD)

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani

Prof. Madya Dr. Nor Idayu Mahat

Prof. Madya Dr. Ummu Atiyah Ahmad Zakuan

 

Perisytiharan PBB Mengenai Hak Orang Asal (UNDRIP)

Dr Izawati Wook

Dr. Rohaida Nordin

Dr. Muhamad Sayuti Hassan

 




































Adakah semua mereka yang dinyatakan yang terlibat dalam program dan kajian yang didanai melalui Geran EU oleh SUHAKAM sebelum ini turut terlibat dalam menyebarkan agenda Barat dan liberal sebagaimana dakwaan Pertubuhan Muslim tersebut? Kenapa sekarang timbul isu Geran EU dan tidak sebelumnya? Berfikirlah dan telitilah laporan-laporan yang dibuat secara adil. Berdasarkan fakta-fakta yang dikemukakan daripada laporan-laporan yang diterbitkan SUHAKAM, nilailah secara adil sama ada dakwaan terhadap SUHAKAM tersebut adalah benar atau sekadar propaganda bagi memesong isu sebenar dan melindungi individu tertentu.

Sejarah di mana-mana negara di dunia termasuk Malaysia telah mengajar kita bahawa terdapat pihak yang akan cuba mempergunakan Agama untuk melindungi sebarang salahlaku atau penyelewengan. Kita telah melihat ini berlaku dalam kes  berkaitan 1MDB apabila segala dakwaan berkaitannya dituduh sebagai agenda orang bukan Islam terhadap pemimpin Islam dan sebagainya sehinggalah kes tersebut berjaya dibuktikan di mahkamah malah diperakui berlaku oleh mereka yang terlibat.  Iqtibas daripada peringatan Allah dalam Surah Al-Hujurat, saya ingin mengingatkan “Wahai Pertubuhan Muslim, jika datang kepada kamu orang yang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu Institusi yang telah memberikan sumbangan kepada pelbagai golongan maysrakat rentan secara jahil, maka jadilah kamu menyesal atas perbuatanmu itu.”

 

HAMKA

 

 

Tiada ulasan: