Jumaat, 4 Jun 2010

MENJAWAP HUJAHAN MEREKA YANG MENGHALALKAN PERJUDIAN BOLA

Kerajaan mengatakan bahawa pemberian lesen perjudian bola boleh menggelakkan berlakunya perjudian haram oleh bookies. Tauke Judi, Tan Sri Vincent Tan memberitahu bahawa negara kerugian sebanyak RM20 billion dalam bentuk cukai yang tidak dikutip akibat daripada perjudian bola haram yang dijalankan oleh bookies.

Kita katakan bahawa pemberian lesen judi bola hanya kepada satu-satu syarikat sahaja tidak akan menghalang bookies daripada menjalankan perjudian haram sebab lesen perjudian bukan diberikan kepada penganjur perjudian haram tersebut sebaliknya kepada Syarikat Berjaya Corp. Jika kerajaan secara jujurnya ingin mengelakkan kerugian dalam bentuk kutipan cukai daripada perjudian haram maka lesen perjudian seharusnya diberikan kepada semua bookies haram. Pemberian lesen hanya kepada seorang tauke judi hanya akan memberikan keuntungan kepada tauke judi tersebut dan tauke judi haram yang lain tetap akan meneruskan 'bussines' mereka secara haram. Apa yang akan berlaku adalah persaingan antara perjudian yang dihalalkan dan yang haram. Kalau diteliti sebelum tahun 2004 di mana kerajaan menghentikan pemberian lesen judi bola, perjudian bola secara haram masih berlaku dan tidak pernah berhenti kerana ia melibatkan satu perniagaan yang menguntungkan kepada penganjur judi tersebut. Sama seperti urusniaga dadah dan sebagainya. 
Pemikiran bahawa memberikan lesen kepada aktiviti yang tidak sihat akan memudahkan pengawalan terhadap aktiviti tidak sihat tersebut adalah satu pemikiran yang simplistik dan 'childish'. Jika mudah sebegitu, peniagaan dadah harus diberikan lesen, pelacuran harus diberikan lesen, penggunaan dadah harus diberikan lesen dan seterusnya. Alangkah dangkalnya pemikiran sebegini.   

Kerajaan mengatakan bahawa perjudian bola adalah sama dengan judi toto yang telah dijalankan sebelum ini. Tujuan golongan yang menentang pemberian lesen judi bola hanyalah bermotifkan politik.

Kita katakan bahawa kita sememangnya menentang semua jenis perjudian dan semua jenis judi adalah haram. Tetapi penentangan terhadap pemberian lesen judi bola yang berlaku sekarang adalah kerana judi bola telah diharamkan oleh kerajaan pada tahun 2004 dan keputusan menarik balik tindakan tersebut adalah satu langkah ke belakang. Kita katakan perjudian bola tidak sama bentuknya dengan judi toto kerana perjudian bola menggunakan media @ television sebagai platform untuk perjudian. Siaran langsung perlawanan bola akan ada di setiap rumah yang memiliki tv. Ini membawa perjudian masuk ke dalam setiap rumah rakyat Malaysia. Jadi apabila sesebuah keluarga melihat perlawanan bola, ia tidak akan di lihat sebagai hiburan atau riadah sebaliknya sebagai perjudian. Kerajaan pernah mengharamkan penyiaran perlumbaan kuda yang disiarkan di tv satu ketika dahulu kerana perlumbaan kuda disinonimkan dengan perjudian.

Kerajaan mengatakan bahawa hanya orang bukan Islam sahaja dibenarkan terlibat dengan perjudian bola, orang Islam akan tertakluk kepada undnag-undnag Syariah. Dr.Mahathir berkata bahawa orang Islam tidak seharusnya menghalang perjudian bola kerana ia hanya diharamkan oleh ISLAM dan tidak boleh dipaksakan kepada bukan Islam.

Kita katakan kepada mereka, tunjukkan dalil bahawa perjudian dibenarkan di dalam agama-agama lain seperti Kristian, Buddha, Hindu dll. Tanyalah kepada paderi kristian, sami agama Buddha dll apakah hukum perjudian di dalam agama mereka. Rukun negara yang pertama ialah 'kepercayaan kepada tuhan'. Oleh itu negara kita adalah berasaskan kepada kepercayaan kepada agama. Kecuali jika kita menolak kepercayaan kepada agama bolehlah kita katakan bahawa judi dibenarkan kepada bukan Islam. Tetapi bukan Islam yang kita maksudkan tersebut sudah tentu mempunyai kepercayaan kepada agama lain samada Kristian, Buddha dll yang turut mengharamkan perjudian.
Hujah yang mengatakan bahawa orang Islam akan disekat daripada berjudi oleh undang-undang Syariah, kita tanyakan kepada mereka siapakah yang akan pastikan orang Islam tidak terlibat. Adakah penguatkuasa agama akan berjaga 24 jam untuk memastikan bahawa orang Islam tidak terlibat dengan judi. Apabila ada judi bola yang boleh dilihat di kaca television yang ada di setiap rumah, judi akan menjadi semakin senang. Kemajuan seperti perhubungan telefon dan sebagainya akan memudahkan lagi judi. Judi secara haram sebelum ini pun tidak memerlukan premis untuk melaksanakan perjudian sebaliknya semua dilakukan secara online.  Hakikatnya masih ada orang Islam yang terlibat dengan judi toto dsbgainya tidak boleh dinafikan.

Kita bercakap secara ikhlas dan jujur, demi Allah apa yang kita nampak langkah kerajaan memberikan lesen perjudian sukan kepada pihak tertentu adalah kerana pihak yang berkepentingan yang baik dengan pemimpin negara telah melobi agar aktiviti perjudian yang telah diharamkan pada 2004 di halalkan semula. Keputusan yang dibuat bukanlah untuk kepentingan negara atau rakyat sebaliknya untuk membantu pihak tersebut. Tetapi pelbagai alasan diberikan untuk menafikan bahawa keputusan dibuat untuk kroni berkenaan. Ini amat jelas sekali kerana penentangan terhadap perjudian bola datang bukan sahaja dari kalangan orang politik tetapi rakyat yang berbilang kaum dan agama tetapi tidak diendahkan langsung oleh pihak yang memiliki kuasa.

Kita nasihatkan, takutlah kalian dengan ancaman Allah. Di dunia kita boleh berbijak berhujah tetapi setiap orang pasti akan mati. Tiada benda yang paling meyakinkan di dunia melainkan kematian. Apabila kematian tiba, setiap perbuatan, percakapan, keputusan dan tindakan akan dipertanggungjawabkan setelah dibangkitkan kembali. Allah menceritakan pada ayat 65 Surah Yaasin:
"Pada hari ini kami tutupkan mulut-mereka mereka, tangan-tangan mereka akan bercakap kepada kami dan kaki-kaki mereka akan memberi penyaksian atas apa yang mereka usahakan (di muka bumi)"

Ya Allah saksikanlah aku telah berkata  yang benar dan menyampaikan kebenaran.



Tiada ulasan: