Jumaat, 19 Julai 2013

CATATAN 8 RAMADHAN 1434

Pada bulan Ramadhan sudah menjadi kebiasaan pelbagai kain rentang digantung di merata-rata tempat dengan pelbagai ucapan bertujuan meraikan bulan tersebut. Baru-baru ini ada seorang sahabat hubungi dan bertanya tentang status kononnya hadith yang bermaksud sabar itu separuh daripada iman. Tujuannya adalah untuk ditulis perkataan berkenaan di kain rentang. Usaha sahabat saya tersebut yang memeriksa terlebih dahulu sebelum menyandarkan perkataan tersebut kepada Rasulullah amat terpuji. 

Memang kata-kata tersebut amat masyhur di kalangan orang ramai. Ada yang menyandarkan kata-kata tersebut kepada nabi sallalahu alaihi wasallam dan ada yang cuma menyebutkan kata-kata tersebut apabila menasihatkan orang yang sedang marah atau merungut tentang sesuatu. Benarkah ia sabda Nabi atau benarkah fakta yang disampaikan? Dalam kita menyandarkan apa-apa perkataan kepada Rasulullah sallalahu alaihi wasallam hendaklah kita ingat kepada peringatan baginda:

إن كذبا علي ليس ككذب على أحد من كذب علي متعمدا فليتبوأ مقعده من النار
   "Penipuan atasku tidak sama seperti penipuan atas seseorang (dari kalangan kamu). Sesiapa yang menipu atasku secara sengaja maka tempahlah tempat duduknya daripada api neraka."- Riwayat Bukhari

Banyak hadith-hadith yang disampaikan berkenaan bulan Ramadhan oleh para ustaz tidak diteliti kesahihannya terlebih dahulu. Saya ada mendengar satu ceramah Ramadhan yang disampaikan oleh seorang ustaz baru-baru ini, pelbagai ucapan yang sebenarnya bukan daripada Rasulullah disandarkan kepada Rasulullah. Antaranya seperti sebahagian daripada bait syair Imam Syafie ra:

فكم من صحيح مات من غير علة *** وكم من سقيم عاش حينا من الدهر.

“Berapa ramai yang sihat tetapi mati tanpa sebab#
                            Dan berapa ramai yang sakit tetapi hidup lama kemudiannya.”

Alangkah baiknya kalaulah kita tidak tahu bahawa sesuatu itu hadith atau bukan, kita hanya menyebutkan ia sebagai kata-kata hukama'. Itu adalah lebih selamat pada pandangan saya.

Berbalik kepada ucapan sabar separuh daripada iman, setelah dilakukan pencarian serba sedikit saya menjumpai bahawa perkataan tersebut sebenarnya adalah daripada Abdullah Bin Mas'ud. Atsar tersebut ada diriwayatkan antaranya oleh Al-Hakim dalam Mustadraknya seperti berikut:
أخبرنا أبو زكريا العنبري ، ثنا محمد بن عبد السلام ، ثنا إسحاق ، أنبأ جرير ، عن الأعمش ، عن أبي ظبيان قال : كنا نعرض المصاحف عند علقمة فقرأ هذه الآية : " إن في ذلك لآيات للموقنين " فقال : قال عبد الله : اليقين الإيمان كله وقرأ هذه الآية : " إن في ذلك لآيات لكل صبار شكور " قال : فقال عبد الله : " الصبر نصف الإيمان " . " هذا حديث صحيح الإسناد ولم يخرجاه

Diriwayatkan kepada kami oleh Abu Zakaria Al-Anbari, daripada Muhammad Bin Abdul Salam, daripada Ishak, daripada Jarir, daripada A'mash, daripada Abi Zibyan katanya: Kami membentangkan mashaf-mashaf di sisi Alqamah maka dia membaca ayat ini: (Sesungguhnya di dalam perkara itu terdapat tanda-tanda untuk orang yang yakin) perawi kemudian berkata: Abdullah berkata: Yakin adalah Iman keseluruhannya dan dia membaca ayat ini (Sesungguhnya dalam perkara tersebut terdapat tanda-tanda untuk setiap orang yang sabar dan bersyukur), perawi berkata: Maka Abdullah berkata: "Sabar itu adalah separuh daripada Iman". Kata al-Hakim hadith ini sahih isnad dan tidak dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim.

Jadi saya telah menasihatkan sahabat saya tersebut agar menyandarkan perkataan tersebut kepada Abdullah Bin Mas'ud. Walau bagaimanapun saya kemudiannya mendapati bahawa Imam Al-Ghazzali pula di dalam kitab Ihya' beliau  ketika membicarakan tentang puasa dan mengatakan bahawa puasa adalah 1/4 daripada Iman membawakan satu hadith bahawa Rasulullah bersabda:
الصوم نصف الصبر
"Puasa adalah separuh daripada sabar"
- diriwayatkan oleh Tirmizi dan Ibn Majah. Tirmizi mengatakan hadith ini hassa.
Kemudian beliau membawakan hadith bahawa Rasulullah bersabda :
الصبر نصف الإيمان
                                      “Sabar separuh daripada Iman”

Al-Iraqi mentakhrijkan hadith tersebut diriwayatkan oleh Abu Nuaim di dalam Hilyah dan Khatib Al-Baghdadi dalam Kitab Tarikh daripada hadith Ibn Mas'ud dan beliau mengatakan sanadnya Hassan. tetapi status hadith tersebut dipertikaikan antaranya oleh Al-Albani. Imam Al-Bukhari pula membawakan secara ta'liq di dalam sahih beliau perkataan Abdullah Ibn Mas'ud yang hampir sama dengan ucapan tersebut iaituالصبر شطر الإيمان واليقين الإيمان كله. 

Setelah diteliti semua ini, yang pasti perkataan tersebut sekurang-kurangnya adalah hassan jika tidak sampai sahih daripada Abdullah Bin Mas'ud. Malah para salaf sentiasa mengungkapkan  bahawa Sabar adalah separuh daripada Iman. Walau apa pun,  maksud ucapan tersebut adalah yang lebih penting untuk kita hayati. Sabar senang diungkap melalui perkataan tetapi sukar diamalkan kecuali mereka yang telah diuji sendiri. Saya pada 5 Ramadhan lalu diuji Allah dengan demam yang sedikit tetapi terasa amat pedih sekali, lebih-lebih lagi ketika itu berpuasa. Akibat demam sudah tidak mampu solat berjemaah dan solat Terawaih. Tetapi saudara-saudara kita di Mesir, Bangladesh dan Syria diuji dengan ujian yang lagi besar dan memerlukan kesabaran yang tinggi. Moga-moga Allah memberikan kesabaran kepada kita semua dalam menghadapi mehnah kehidupan dunia ini.  


Tiada ulasan: